Ahad, 30 Ogos 2020

Tanggungjawab besar untuk negara

 AHAD MOMEN PANORAMA

TUNKU Abdul Rahman melaungkan ‘merdeka’ pada Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957.

Tanggungjawab besar untuk negara

Oleh MOHD SHARKAWI LONDING

29 Ogos 2020, 1:06 pmSAAT kaki melangkah masuk ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957, perasaan pemuda itu bercampur baur tatkala melihat puluhan ribu rakyat pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama memenuhi ruang demi menanti detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Seawal pukul 7 pagi, Laskar Kelas I (LK I) Mohd. Sharif Kalam lengkap berpakaian istiadat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama dua lagi rakan setugas, Allahyarham Bintara Kanan (BK) Awang Salleh dan Laskar Kanan Oliver Cuthbert Samuel berdiri di satu sudut, bersedia dengan taat dan penuh semangat.

Hati tiga sahabat itu berdebar-debar menanti minit yang dinantikan seluruh rakyat ketika itu apabila mereka diamanahkan untuk menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Raja-raja Melayu dan tetamu-tetamu khas luar negara menjadi saksi detik wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj. Ini sekali gus menandakan berakhirnya penjajahan British ke atas Tanah Melayu.

MOHD. SHARIF mengenang memorinya sebagai anggota tentera satu ketika dahulu.


“Merdeka, merdeka, merdeka!”


Tepat pukul 9 pagi, terdengar laungan keramat Tunku Abdul Rahman disambut sahutan merdeka berselang-seli daripada puluhan ribu hadirin.


Usai laungan keramat itu, azan berkumandang penuh syahdu menandakan kesyukuran, malah ada yang bersorak, bertakbir serta tidak kurang juga mengalir air mata.


Selesai azan dilaungkan, tugas tiga sahabat ini pun bermula.


Acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang diiringi lagu Negaraku.


Berkongsi pengalaman manis tersebut, Mohd. Sharif yang kini berusia 64 tahun berkata, dia tidak menyangka yang dirinya terpilih untuk ditugaskan menaikkan bendera negara pada waktu itu.


Jelasnya, dia memulakan kerjaya sebagai tentera laut di Woodlands, Singapura pada tahun 1955.


MOHD. SHARIF (berdiri kiri di baris ketiga) semasa mula berkhidmat dalam TLDM.


“Ketika peristiwa itu umur saya 20 tahun. Diberi kepercayaan oleh ketua unit memang satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan amanah.


“Saya memang tak sangka dipilih sebagai petugas yang naikkan bendera ketika negara mengecapi kemerdekaannya. Ini adalah pengalaman terindah sepanjang hayat saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Johor Bahru, Johor.


Menurutnya, semasa berkhidmat, dia sering ditugaskan menaikkan panji-panji tentera dan Raja-Raja Melayu apabila ada majlis rasmi.


Anak kelahiran Batu Pahat itu berkata, tugasnya pada 31 Ogos 1957 cukup berbeza kerana dia perlu menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu secara rasmi buat pertama kali untuk dipersembahkan kepada rakyat.


Katanya, tugas menaikkan bendera yang ketika itu diiringi lagu Negaraku berjaya dilaksanakan bersama dua lagi rakannya, BK Awang dan LK Cuthbert Samuel.


“Tugas menaikkan bendera itu adalah kerja sepasukan. Allahyarham BK Awang sebagai penyelia tugas, LK Oliver memegang talinya dan saya pula memegang bendera untuk dinaikkan.


“Selama tiga hari kami lakukan latihan. Lagu Negaraku yang saya dengar pada masa itu juga sama dengan lagu sekarang,” katanya.


Bersara


Sepanjang 32 tahun berkhidmat dalam dunia ketenteraan memberi peluang kepada dirinya menimba banyak pengalaman sebelum bersara sebagai Leftenan Komander TLDM pada tahun 1987.


“Kita kerja dengan kerajaan ketika itu, ikut orang hantar ke mana sahaja. Kita tidak boleh kata tidak, kita patuh dengan arahan penugasan.


“Saya pernah ditugaskan ke Sabah, Kuala Lumpur dan Pahang sebelum ke Singapura sebagai Pegawai Pelaksana Beret Woodlands TLDM di Singapura,” katanya.


Menurut Mohd. Sharif sebelum negara mencapai kemerdekaan, tentera laut ketika itu dikenali sebagai Tentera Laut Diraja British (Royal British Navy) di Singapura.


“Istiadat menaikkan bendera adalah tugas tentera laut semasa pemerintahan kerajaan British dan mereka mahu kekalkan tradisi itu, sebab itulah mereka memilih kami.


“Sehingga kini istiadat menaikkan bendera Jalur Gemilang setiap kali negara menyambut merdeka itu kekal dan TLDM ditugaskan menyempurnakan upacara rasmi itu,” ujarnya.


Ketika ditanya mengapa memilih kerjaya sebagai tentera laut, dia berkata, pengalaman yang ditempuh sewaktu kecil ketika negara hadapi ancaman komunis dan tentera Jepun membuat dia terpanggil untuk menjadi benteng pertahanan negara.

MOHD. SHARIF menunjukkan pingat-pingat yang diperolehi semasa berkhidmat dengan TLDM.–RAJA JAAFAR ALI


Jelasnya, pada ketika itu ibu bapanya tidak membenarkannya ke Singapura untuk menyertai tentera, namun dia bertekad mahu berbakti kepada negara sebelum akhirnya berjaya menjadi anggota tentera.


Kini, Mohd. Sharif meniti usia senja dengan menumpukan aktiviti keagamaan di surau dan masjid, malah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Madrasah Al-Quran Sidi Ibrahim Ar-Rashid di Kampung Sinaran Baru Skudai.


Mohd. Sharif masih aktif dan boleh berjalan namun mengalami sedikit masalah pendengaran atas faktor usia.


Dia tinggal bersama anak tunggalnya, Abu Bakar, 50, di Taman Pelangi, Johor Bahru.


Hayati erti kemerdekaan


Dalam pada itu, bersempena ulang tahun kemerdekaan yang akan disambut esok, Mohd. Sharif menegur segelintir rakyat negara ini yang dilihat gagal menjiwai semangat patriotisme.


Katanya, tidak faham sejarah dan kurang memahami kepentingan Jalur Gemilang menyebabkan masyarakat hari ini sanggup menghina dan tidak hormati bendera itu.


“Kita hendak marah budak pun tidak boleh sebabnya kalau kita lihat sendiri di bangunan-bangunan termasuk di premis kerajaan, anda boleh tengok sendiri bendera dibiarkan sampai koyak rabak sampai tali pun sudah tiada.


Mungkin dipasang pada 1 Januari lalu, sampai sekarang tidak ditukarkan. Jika dipasang sekalipun, bukan dilakukan pegawai atau kakitangan, tetapi pengawal keselamatan yang bukan rakyat Malaysia.


“Macam mana kita nak tunjuk kepada generasi muda, kalau kita sendiri gagal tonjolkan semangat dan menjiwai budaya mencintai bendera itu sendiri?” soalnya.SUMBER-KOSMO ONLINE

Abadi jiwa patriotik

MyMetroUtama

Semangat lagu keramat, 31 Ogos nyanyian Sudirman cukup sebati dalam jiwa pendengar hingga kini.

Riadz Radzi & Syafil Syazwan Jefri

am@hmetro.com.myJIKA hayatnya masih ada, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad kini sudah berusia 66 tahun.Namun, penghibur serba boleh ini meninggalkan kita lebih awal pada 22 Februari 1992 ketika berusia 38 tahun.

Sudirman yang memulakan kerjaya nyanyiannya selepas menjuarai program Bintang RTM pada 1976 ini cukup dekat dalam kalangan rakyat Malaysia meliputi semua kaum, agama, usia dan pangkat.


Paling ketara setiap kali sambutan Hari Kebangsaan, suara Sudirman terus bergema dengan lagu malar hijaunya iaitu 31 Ogos yang dirakamkan pada 1982.Sehingga hari ini, lagu itu terus dimainkan setiap kali negara menyambut Hari Kebangsaan.Malah, kanak-kanak berusia enam tahun di tabika turut menghafal lagu yang berusia hampir 40 tahun itu.

Populariti lagu itu dan Sudirman turut 'menenggelamkan' penyanyi asalnya iaitu Ahmad CB.Semangat patriotik sentiasa ada dalam diri Sudirman dengan kebanyakan lirik lagu terarah pada semangat kenegaraan.

Semangat patriotik sentiasa ada dalam diri Sudirman dengan kebanyakan lirik lagu terarah pada semangat kenegaraan.

Bagi yang tidak tahu, lagu itu adalah ciptaan dan nyanyian asal penyanyi kelahiran Medan, Indonesia yang diciptanya selepas mendapat tahu Malaya akan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.


Jiwa patriotik Sudirman cukup tebal dalam dirinya. Malah, dalam setiap persembahan atau konsert, nama dan budaya masyarakat Malaysia tetap setia bersamanya.


Bekas pengurusnya, Dani'el Dharanee Dharan Kannan dalam satu temu bual berkata, Sudirman layak dikenali sebagai Ikon Perpaduan Negara dan Biduan Malaysia Sebenar.


"Imej perpaduan lahir secara semula jadi dalam diri Sudirman. Konsert beliau tidak pernah gagal, sentiasa dipenuhi masyarakat berbeza latar belakang, bukan sekadar kaum, malah perbezaan dari segi kelas ekonomi juga boleh berhimpun dalam konsert sama," katanya.


Sudirman turut mencipta kelainan apabila merakamkan album bertema patriotik berjudul Abadi pada 1982 yang diterbitkan S Atan.


PERSEMBAHAN Sudirman diwaktu kemuncak kejayaannya.

PERSEMBAHAN Sudirman diwaktu kemuncak kejayaannya.

Ketika itu tidak ada penyanyi mahu merakam album patriotik, tetapi tidak bagi Sudirman.


S Atan, 71, berkata, Sudirman tetap berusaha menghasilkan album berkenaan kerana belum ada penyanyi lain yang rakam album sedemikian.


Menurut S Atan, album berkenaan yang dirakam di Studio EMI di Singapura mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan.


Selain lagu ikonik 31 Ogos, album itu turut memuatkan lagu Warisan, 8 Ke 4 1/4 (Punch Card), Kehadiranku, Di Suatu Pagi, Indahnya Alam, Pertemuan Abadi, Sabarlah Menanti, Di Bumi Bertuah dan Tegakkan Bendera Kita.


Lagu Warisan ciptaan dan lirik oleh Syed Haron pernah dijadikan tema Hari Kebangsaan ke-57 pada 2014 iaitu Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.


Sepanjang kerjayanya, Sudirman menghasilkan 15 album studio di mana album terakhirnya ialah Asia's No 1 Performer pada 1989.


Beliau juga bergelar pelakon menerusi filem Kami pada 1982 yang juga filem pertama dan terakhir lakonannya

PERMATA negara yang akan selalu dikenang.

Disiplin dan semangat majmuk dalam Sudirman


Sentiasa dikenang dalam hati setiap masyarakat yang membesar ketika zaman kegemilangannya, nama Sudirman juga sentiasa abadi dalam hati beberapa individu yang rapat dengannya.


Antara yang paling akrab adalah bekas setiausahanya, Intan Zabidin yang pernah berkhidmat dengan Sudirman hampir lima tahun.


Berkongsi mengenai jiwa patriotik Sudirman, Intan yang juga bekas pengarang majalah Media Hiburan berkata, penyanyi itu tidak perlu menunggu tarikh 31 Ogos untuk menunjukkan semangat patriotisme.


"Semangat patriotik beliau sentiasa dalam dirinya. Saya rasa semangat patriotik dia sangat tinggi. Itu sebabnya kalau kita amati lirik lagu yang dinyanyikan, kebanyakannya terarah kepada semangat kenegaraan," katanya.


Menurut Intan, Sudirman pernah memintanya mendapatkan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman untuk ditemu bual. Bagaimanapun, niat Sudirman itu tidak kesampaian.


Menurut Intan, Sudirman juga sentiasa menerapkan semangat kesatuan dalam cara kerja dan persekitarannya.


"Satu perkara yang sentiasa ditekankan adalah mengenai semangat untuk bersatu padu. Kalau dia nak adakan konsert atau apa, pasukan yang akan bekerja di belakang tabir terdiri daripada pelbagai kaum.


"Kalau di konsert, dia tak hanya mempersembahkan lagu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, tetapi juga lagu Bahasa Cina dan Tamil serta pelbagai budaya lain. Sebab itu dia disenangi ramai orang dari pelbagai kaum," katanya.


Menjadi antara penyanyi Malaysia yang berjaya melebarkan sayapnya tanpa sempadan sehingga luar negara, Sudirman juga adalah anak Malaysia yang sentiasa bangga dengan negaranya.


"Saya tak pernah ikut dia ke luar negara, tapi dia selalu menunjukkan gambar kenangan ketika dia beraksi di sana.


"Dari situ, dapat dilihat bagaimana bersemangatnya dia, berbaju Melayu dan tak pernah lupa membawa bendera Malaysia bersama," katanya.


Sementara itu, S Atan berkata, tidak akan ada pengganti Sudirman.


"Bayangkan, tak pernah dibuat mana-mana artis untuk mengadakan konsert di tengah jalan raya yang sesak seperti Chow Kit. Tapi, dia mampu buat. Ratusan ribu penonton datang menonton persembahannya dan terdiri daripada pelbagai kaum. Dia bukan saja ada peminat Melayu, tetapi juga daripada kaum lain.


"Syarikat rakaman ketika itu tak yakin bahawa lagu patriotik akan mendapat sambutan, tapi dia tetap dengan pendiriannya dan buktinya, sehingga hari ini lagu patriotik nyanyiannya masih diterima," katanya.


S Atan juga mengakui, disiplin dalam diri Sudirman berjaya menempatkan dirinya di posisi terbaik dalam industri muzik.


"Selalunya, dia akan datang sejam lebih awal daripada waktu 'call time'. Disiplin ini yang membuatkan dia dihormati dan saya sendiri pun hormat kepadanya. Walaupun ramai artis baharu muncul hari ini, tak akan ada seorang pun yang mampu menggantikan Sudirman sebagai penghibur," katanya.


NAIM akui Sudirman adalah idolanya.

NAIM akui Sudirman adalah idolanya.

Sudirman 'superhero' Naim Daniel


"Dia adalah idola saya dan kalau ada adiwira buatan Malaysia, Sudirman paling layak. Sebab apa? Sebab dia mengetengahkan karya seninya dan pada masa sama, menyatukan masyarakat. Tak semua ada kemampuan sepertinya," kata penyanyi Naim Daniel.


Menurut Naim, dia sendiri menyuntik beberapa elemen 'Sudirman' dalam dirinya.


"Antara yang menarik perhatian saya adalah apabila dia memiliki simbol sendiri iaitu cermin mata gelap yang akan diselitkan setiap kali menulis sesuatu atau membalas surat peminat.


"Saya menjadikan itu sebagai ikutan dan kalau lihat di Instagram saya, saya akan selitkan simbolik diri saya sendiri di penghujung video yang dimuat naik dan sebagainya.


"Selain itu, saya juga mencontohinya dengan mengangkat baju Melayu sebagai baju yang sering saya pakai ketika membuat persembahan. Selain mengekspersikan minat terhadap Sudirman, ia juga cara saya untuk menunjukkan rasa kenegaraan saya," katanya.


Walaupun tidak pernah mengenali Sudirman secara peribadi, Naim mengakui bahawa 'jiwa' Sudirman itu sampai walaupun sekadar menonton video persembahannya.


"Karisma seorang Sudirman tatkala berada di atas pentas sangat luar biasa. Ia bukan satu perkara yang dibuat-buat kerana nampak keikhlasannya untuk berinteraksi dengan peminat," katanya.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 6:00 AM

Penemuan tapak dinosour di Kelantan.

 ANALISIS SEMASA

Penemuan tapak dinosour di Kelantan.

Hargai usaha UMK jejak fosil dinosaur

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

26 Ogos 2020, 8:46 pm

WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

BARU-BARU ini, negara digemparkan dengan penemuan tujuh fosil tapak kaki dinosaur spesies Sauropod berusia 65 hingga 160 juta tahun di Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan.Penemuan tersebut menjadi bualan ramai terutamanya warga netizen di sosial media sehingga carian menerusi berita tersebut dipercayai naik secara mendadak.

Bagaimanapun, ada pihak yang ragu-ragu, malah tidak kurang pula yang memperlekeh­kan penemuan bersejarah itu.Bermacam-macam kata-kata sindiran dilontar warga netizen menerusi hantaran di Facebook terutamanya di laman portal be­rita tempatan.

Tidak hanya warga maya, kebanyakan masyarakat yang tinggal di sekitar Bukit Panau dan Tanah Merah juga mengakui tidak mengetahui bahawa kampung halaman mereka itu pernah menjadi habitat kepada dinosaur berkenaan.


Menurut wartawan sambilan Kosmo! di Tanah Merah, Bahruddin Hatta, tinjauannya dengan menemui beberapa penduduk di daerah itu mendapati, mereka tidak mengetahui bahawa ketulan seperti bentuk batu itu merupakan fosil dinosaur.


Katanya, sebelum ini kawasan tersebut menjadi tumpuan para pendaki untuk mendaki bukit setinggi 255 meter itu.


Pensyarah Fakulti Sains Bumi (FSB) Universiti Malaysia Kelatan (UMK), Arham Muchtar Achmad Bahar yang mengetuai projek tersebut berkata, penemuan fosil itu berdasarkan morfologi tapak kaki dan kesan trek yang dijum­pai sebelum mendapat pengesahan daripada pakar Dinosaur Dunia dari Jepun.


Katanya, ia membuktikan bahawa dinosaur itu pernah hidup di Tanah Merah antara 66 juta hingga 160 juta tahun lalu.


“Berdasarkan keadaan struktur muka bumi dan geologi di kawasan Bukit Panau, kami mendapati bahawa Saurapod ini telah hidup pada persekitaran daratan khususnya di sekitar sungai berliku.


“Sehingga kini kami belum dapat menentukan spesies Sauropod ini kerana data yang diperlukan masih belum mencukupi. Ini adalah salah satu penemuan daripada banyak penemuan lain hasil aktiviti eksplorasi dan penyelidikan yang kami laksanakan di Kelantan,” katanya.


Lebih menunjukkan kesunguhan warga UMK, mereka telah menjalankan aktiviti dan penyelidikan pada Mei 2017 dan telah menghabiskan masa selama lebih 10,000 jam menyiasat dan menjejak dinosaur di Kelantan.


Atas inisiatif agar penemuan tersebut dapat dikongsi kepada dunia, UMK telah menerbitkan jurnal ilmiah bertajuk The Saurapod Dinosaur Trackways from Tanah Merah bersempena dengan penganjuran Persidangan Sumber Tropika dan Sains Lestari (CTRESS) 2.0 secara dalam talian pada 10 dan 11 Ogos lalu.


Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menyifatkan kajian fosil dinosaur spesies Sauropod itu merupakan satu pe­nemuan yang besar buat negeri Kelantan khasnya dan Malaysia secara amnya.


Beliau juga berharap, pihak UMK dapat tampil memberi laporan rasmi kepada kerajaan negeri bagi memudahkan tindakan susulan diambil termasuk mengawasi kawasan terbabit daripada diganggu pihak lain.


“Tempat itu mempunyai potensi yang baik. Ia mungkin boleh dijadikan destinasi pelancongan kerana penemuan fosil dinosaur ini merupakan satu perkara yang besar,” katanya selepas menghadiri mesyuarat exco kerajaan negeri minggu lalu.sumber=kosmo online

SPEKTRUM: Kembali solat di Hagia Sophia

MyMetroSpektrum

Suasana di alam Hagia Sophia. FOTO AFP

FOTO AFP

MASJID Hagia Sophia di Istanbul, Turki dibuka semula untuk ibadah, semalam dengan solat Jumaat selepas 86 tahun sebagai muzium.Sebelum ini, Hagia Sophia berfungsi sebagai gereja selama 916 tahun sehingga penaklukan Istanbul, masjid dari 1453 hingga 1934 dan dijadikan muzium selepas itu.Ia turut disenaraikan sebagai Warisan Dunia UNESCO pada 1985.

Pada 10 Julai lalu, Mahkamah Turki membatalkan keputusan Kabinet 1934 yang menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium.

Kini, Pengarah Hal Ehwal Agama Turki akan memantau perkhidmatan keagamaan manakala Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan mengawasi kerja pemulihan dan pemuliharaan.Khamis lalu, pihak berkuasa tertinggi agama Turki melantik tiga imam dan lima muazin untuk Masjid Hagia Sophia.Lagi foto Spektrum

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 5:48 PM

Jamaluddin bakal diiktiraf Guinness World Records

 MyMetroMutakhir

KHAIRUL (lima dari kiri) serta Amrul Nizar Anuar (empat dari kanan) bergambar bersama sebahagian perserta 'Merdeka Jump' 2020 di Lapangan Terbang Tekah, Taiping. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

am@hmetro.com.my

PENERJUN udara paling tua negara, Jamaluddin Ismail antara 128 penerjun yang menyertai program Merdeka Jump 2020 di Lapangan Terbang atau Aerodrom Tekah di Taiping, hari ini sempena Hari Kebangsaan ke-63 dan penghargaan untuk petugas barisan hadapan.


Jamaluddin, 66, yang memegang rekod The Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi sukan ekstrem iaitu terjunan BASE (Building, Antenna, Span and Earth) juga bakal diiktiraf Guinness World Records bagi kategori sama.


"Jika tiada aral melintang, Insya-Allah saya akan ke Dubai pada Januari tahun depan (2021) untuk menerima anugerah penerjun BASE tertua dunia," katanya yang ditemui hari ini.


Menurut datuk kepada empat cucu itu, beliau sudah melakukan lebih 3,000 terjunan sejak mula menceburkan diri pada 1981, selain ketika berkhidmat sebagai anggota pasukan elit Grup Gerak Khas (GGK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Dalam pada itu, Pengarah Program Merdeka Jump 2020 yang juga Presiden AFJets Skydive Club, Amrul Nizar Anuar berkata, program tiga hari yang bermula semalam dicadang untuk dimuatkan dalam MBOR sebagai terjunan bebas orang awam paling ramai dalam satu acara.


Katanya, 64 orang daripada peserta adalah penerjun kali pertama, manakala selebihnya penerjun profesional.


"Program ini bertemakan 'Terima Kasih Para Barisan Hadapan' sebagai penghargaan kepada 'frontliners' yang mana kebanyakan peserta juga dalam kalangan anggota polis, bomba, ATM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan lain-lain.


"Bagi penerjun baharu, ketinggian terjunan adalah pada paras 4,000 kaki (1,219 meter), manakala 8,000 (2,438 meter) sehingga 10,000 kaki (3,048 meter) adalah ketinggian bagi penerjun profesional.


"Kita mahu jadikan program ini sebagai sambutan yang luar biasa apabila usaha menghargai 'frontliners' dirakam bersama dengan sambutan kemerdekaan serta mahu dicatatkan dalam MBOR," katanya.


Turut hadir menyaksikan terjunan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komumikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed dan Pengurus Operasi, Penyelidikan dan Pemasaran MBOR, Edwin Yeoh.


Setakat hari ini, 94 peserta sudah melakukan terjunan dan memerlukan sekurang-kurangnya 121 penerjun sebelum diiktiraf MBOR.

-

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 6:32 PM

Muar bandar pelancongan terbersih di Asean

MyMetroMutakhir

Omar Ahmad

am@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Bandar Muar pernah mencatat sejarah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bandar Pelancongan Terbersih Asean pada Forum Pelancongan Asean 2018 di Chiang Mai, Thailand.


Bandar Diraja Johor itu turut mempunyai tarikan tersendiri baik dari sudut pelancongan domestik mahupun makanan.


Menempuh perjalanan dua jam dari Johor Bahru pasti pengalaman menakjubkan apabila singgah melawat Ladang Herba Nasuha yang terletak 19 kilometer dari Bandar Muar.

Ladang berkeluasan lebih 1,500 hektar itu mengandungi 135 jenis herba berlainan yang datang dari seluruh dunia.


Selain menjual produk tempatan seperti minuman teh herba, ada juga restoran menyajikan hidangan mengandungi herba segar dari ladang yang memberi kepuasan serta keselesaan kepada pengunjung.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Muar turut dilengkapi aktiviti menyusuri Sungai Muar dengan bot dan pembelian tiket boleh dibuat di Jeti Tanjung Emas.


Katanya, perjalanan mengambil masa 45 minit hingga satu jam itu bermula di jeti dan menyusuri keindahan Sungai Muar.


"Pelancong boleh menikmati suasana pelayaran pada Jumaat, Sabtu dan Ahad. Manakala tiket boleh dibeli pada harga RM12 bagi dewasa warganegara, RM15 bagi bukan warganegara dan RM6 (kanak-kanak).


MENIKMATI masakan asam pedas di Parit Jawa.

MENIKMATI masakan asam pedas di Parit Jawa.

"Selain itu, pelancong juga boleh melakukan aktiviti Muar Walking Tour yang memperlihatkan bangunan budaya termasuk peninggalan sejarah zaman penjajah sebelum perang sehingga kini. Laluan sepanjang tujuh kilometer tarikan pelancong ini boleh diterokai dengan berjalan kaki," katanya.


Melanjutkan cerita tarikan di daerah itu, Onn Hafiz berkata Laluan Budaya Muar atau Muar Culture Walk pula mempamerkan lebih 32 lukisan merangkumi pelbagai budaya, fakta, sejarah dan bangunan warisan di Bandar Maharani.


Katanya lukisan mural di laluan belakang bangunan komersial ini turut mempamerkan karya kreatif tiga dimensi seperti pawagam lama Muar serta warung satay yang turut dilengkapi lukisan seni bina prapeperangan yang pasti menggamit memori.


"Laluan budaya juga memberi nilai pembelajaran dan sejarah kepada pelancong. Salah satu mural terkenal adalah Loving Sisters karya artis mural Rusia, Julia Volchkova yang mempamerkan mural Indian Boatman yang menjadi ikonik di Pulau Pinang.


MUAR pasti tidak mengecewakan bagi mereka yang mahu kelainan.

MUAR pasti tidak mengecewakan bagi mereka yang mahu kelainan.

"Ada juga pertunjukan buskers, pertunjukan budaya serta penjualan jalanan hasil kraftangan", katanya yang memaklumkan Muar juga popular dengan beberapa menu hidangan istimewa.


"Antaranya sarapan sate di Muar, ia hidangan unik kerana biasanya sate dinikmati pada waktu malam, tetapi di Muar, ia dihidangkan sebagai sarapan." katanya.


Katanya, ZZ Warisan Satay Muar dibuka setiap hari kecuali Selasa bermula jam 8 pagi hingga 2.45 petang menjadi lokasi popular menu sarapan pagi. Sate dijual serendah 70 sen secucuk selain turut menghidangkan nasi lemak dan roti canai.


"Selain sate, mi bandung yang menjadi menu wajib dicuba ialah Mi Bandung Central Muar. Biarpun perlu beratur panjang, ia berbaloi untuk dinikmati. Mi bandung di kedai ini hanya dijual bermula tengah hari walaupun kedai dibuka seawal 8 pagi hingga 10 malam.


LANDSKAP menarik di Hotel PPT Muar.

"Kopi 434 tidak perlu lagi diperkenalkan kerana pelancong pasti akan merasai pengalaman menikmati kopi ini yang terletak di Jalan Maharani. Cafe Kopi 434 memiliki keistimewaan tersendiri dengan hiasan dalaman bercirikan Norway. Di sini turut disediakan kopi istimewa, antaranya Kopi Gajah, Kopi Asli 434 dan Kopi Monalisa.


"Bagi masyarakat Cina, Muar sangat gah dengan kewujudan Gluttony Street Muar. Ia menjadi antara tarikan tertua kulinari di sini sejak 1952. Antara menu terkenal ialah tiram goreng, teh herba klasik, kuih beras air atau Chwee Kueh. Ia dibuka lewat petang dan berakhir jam 8 malam," katanya.


Onn Hafiz berkata, dengan pelbagai daya tarikan lokasi dan makanan yang di daerah ini, pastinya pelancong perlu menginap beberapa malam.


Katanya, pelancong boleh memilih bermalam sama ada inap desa atau hotel.


"Pilihan penginapan menarik di Muar ialah Homestay Galeri Seni Pop Chuco yang berkonsepkan kafe dengan ruang penginapan serta pesona tempatan dengan seni serta mural abstrak menarik. Selain itu, Hotel PPT Muar juga menyediakan penginapan dilengkapi kemudahan moden dengan harga berpatutan bermula RM98 hingga RM231," katanya.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 8:15 PM

Sabtu, 29 Ogos 2020

Eksplorasi artifak

MyMetroNuansa

HAIRUL mempunyai minat mendalam dalam aktiviti kajian sejarah. FOTO Ihsan Hairul Alias

Hafiz Ithnin

hafizithnin@mediaprima.com.my


MALAYSIA mempunyai perjalanan sejarahnya tersendiri dan ada antara tinggalan masa lampau sehingga hari ini masih tersimpan dalam pelbagai lokasi rahsia yang sebenarnya mampu merungkai pelbagai persoalan.


Di negara in terdapat golongan yang mempunyai minat untuk mencari ‘harta karun’ itu dan ada antara mereka bergerak secara berkumpulan atau di bawah pertubuhan tertentu bagi membantu pengkaji sejarah mendapatkan bukti perjalanan sesuatu sejarah.


Bertemu Hairul Alias, 40, berasal dari Manjung, Perak antaranya membuka mata penulis bahawa terdapat individu yang sanggup masuk dalam pelbagai lokasi rahsia untuk mencari tinggalan era peperangan negara khasnya



Hasil pencarian itu bukan untuk mengaut keuntungan, tetapi dia antara individu yang membantu pengkaji sejarah mendapatkan bukti kisah yang mungkin sebelum ini belum dapat dipastikan kesahihannya.


Hairul berkata, dia mempunyai minat mendalam mengenai sejarah yang merasa tidak puas hanya mengetahui sesuatu perkara itu menerusi pembacaan sahaja.


Katanya, pada awal 2010 dia mengikuti sekumpulan individu yang dikenali sebagai Malaya Historical Group untuk mendapatkan maklumat mengenai tinggalan sejarah yang tersimpan dalam lokasi yang sukar dijejaki orang ramai antaranya dalam hutan.


ANTARA bangkai kapal terbang yang dijumpai Hairul (kiri) dan rakan dalam aktiviti eksplorasi artifak. FOTO Ihsan Hairul Alias

ANTARA bangkai kapal terbang yang dijumpai Hairul (kiri) dan rakan dalam aktiviti eksplorasi artifak. FOTO Ihsan Hairul Alias

“Pertama kali saya menyertai kumpulan itu dengan menerokai Hutan Tapah dan sebelum masuk ke sesuatu kawasan yang dipercayai terdapat tinggalan sejarah pastinya risikan maklumat menerusi pembacaan perlu dilakukan.


“Kemudian, bagi memastikan tidak berlaku masalah sesat di dalam hutan kami perlu mempunyai ahli kumpulan yang tahu menbaca kompas dan arif dalam laluan ke lokasi berkenaan,” katanya.


Pengalaman kali pertamanya menjumpai longgokan kotak kosong peluru lama era insurgensi yang dipercayai tinggalan British.


Katanya, bermula dari situ dia aktif melakukan aktiviti menjejaki artifak dalam hutan dengan sekurang-kurangnyan dua kali sebulan melakukan aktiviti berkenaan.


Antara yang pernah dijumpainya adalah bangkai kapal terbang British selepas empat malam meredah sebuah hutan di Selangor.


Katanya, kebiasaannya selepas menjumpai sesuatu artifak kumpulannya memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab dalam memulihara tinggalan sejarah.


Ia termasuk muzium atau pihak kedutaan yang berminat untuk melakukan ekskavasi supaya dapat dipulihara, barangan peribadi dan tulang mangsa dapat dikembalikan kepada waris serta dibawa pulang ke negara asalnya.


“Aktiviti ini menarik kerana saya dapat menimba ilmu pengetahuan dengan rakan yang lama dan bijak pandai dalam bidang arkeologi serta sejarah dalam usaha mencari khazanah yang tidak diketahui ramai.


PELBAGAI artifak ditemui sepanjang berkecimpung dalam aktiviti eksplorasi. FOTO Ihsan Hairul Alias

PELBAGAI artifak ditemui sepanjang berkecimpung dalam aktiviti eksplorasi. FOTO Ihsan Hairul Alias

BERSAMA rakan yang mempunyai minat sama. FOTO Ihsan Hairul Alias

BERSAMA rakan yang mempunyai minat sama. FOTO Ihsan Hairul Alias

“Perkara ini juga membabitkan pelbagai pihak seperti kumpulan bebas, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan kerajaan. Jadi, sebagai peminat sejarah saya dapat melihat sendiri secara lebih dekat aktiviti kajian itu dilakukan,” katanya.


Malah, Hairul juga melihat aktiviti menerokai hutan untuk mencari artifak lama dapat membantunya mempelajari teknik menerokai sesuatu kawasan dengan baik.


Katanya, perkara lebih penting ialah membuat bacaan, meneliti sumber yang diterima, menyusun strategi dengan mempunyai ahli kumpulan yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.


“Apabila masuk dalam hutan misalnya kita perlukan individu yang tahu membaca kompas dan laluan betul kerana tidak mahu tersasar dari tempat hendak dituju.


“Perkara seperti itu penting kerana ada antara artifak yang dimaklumkan bukan terletak di kawasan hutan yang biasa dilalui pendaki atau peneroka. Jadi, menggunakan khidmat seperi Orang Asli antara yang boleh membantu mereka tiba di lokasi berkenaan,” katanya.


Jelasnya, di Malaysia tidak ramai kumpulan yang mempunyai minat untuk menerokai artifak lama kerana ia membabitkan masa, pemahaman dan lebih penting wang sendiri untuk pergi ke sesuatu lokasi itu.


“Jadi untuk melakukan perkara ini pastinya minat perlu ada memandangkan kita perlu banyak membaca dan mencari sumber supaya tidak pergi sesuatu kawasan yang akhirnya pulang tidak menjumpai sebarang peninggalan.


“Sememangnya perkara itu adalah sering berlaku, tetapi sebolehnya kita tidak mahu ia berlaku kerana kumpulan seperti kami tidak mempunyai sokongan dana daripada pihak lain. Ia sekadar hobi, tetapi ada tarikan tersendiri,” katanya mengakhiri perbualan.


AKTIVITI mencari artifak membantu Hairul menimba ilmu sejarah lebih dekat. FOTO Ihsan Hairul Alias

AKTIVITI mencari artifak membantu Hairul menimba ilmu sejarah lebih dekat. FOTO Ihsan Hairul Alias

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 7:00 AM