Isnin, 14 Oktober 2019

Kesan Kurun Ke-20


ARKIB : 11/05/1998
HANYA dua tahun lagi kita akan memasuki milenium ketiga. Apakah impak abad ke-20 terhadap dunia dan kita?

Di peringkat dunia, beberapa peristiwa yang amat berkesan telah berlaku, antaranya: Bom atom dan nuklear telah diciptakan sebagai senjata yang paling pemusnah (most destructive), kapal terbang terlaju dibina, telefon bimbit, Israel terbentuk, komunisme lahir dan hancur, penjajahan British tamat, sebuah negara Islam - Bosnia - lahir di Eropah, Websites, Internet dan CNN!

Di peringkat kebangsaan pula: Kita bebas daripada pengabdian British, bumiputera jadi doktor, peguam, saintis, juruterbang jet pejuang, pamandu kapal terbang terkini dan tercanggih - Super Ranger Boeing 777, buat kereta, mendirikan belasan universiti, bank dan menjelma dari satu bangsa tani kepada satu bangsa yang moden dan pasaran ekonomi. Semua itu yang baik. Keburukannya pula: Dadah, bohsia, AIDS, pelacuran, perjudian, pembunuhan, penipuan cara lama dan canggih, mengamal konsep semua halal asal cita-cita termakbul, harap rezeki turun ke atas riba dan suka menyalahkan kerajaan dan orang lain jika terkandas dan gagal terletak di tempat yang lebih tinggi dalam kehidupan dan pekerjaan. Semangat berwaris dan bersaudara (community) makin lemah sepertilah juga semangat gotong- royong.

Dalam abad yang lalu (hanya berlaku dua tahun lagi) dunia telah melahirkan Gandhi, Winston Churchill, Roosevelt, Lenin, Stalin, Mao Zedong, Nasser, Hitler, Puteri Diana, Ho Chi Minh, Nelson Mandela, Ayatollah Khomeini, Margaret Thatcher, Martin Luther King, Gorbachev dan Eisenhower antara gergasi negarawan dunia. Di wilayah ASEAN - negarawan yang dianggap besar ialah Vo Nguyen Giap (jeneral Vietnam yang mengalahkan Perancis dan Amerika Syarikat di Vietnam) dan Lee Kuan Yew. Di peringkat kebangsaan, saya kira yang menempa sejarah ialah Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Razak dan Dr. Mahathir Mohamad - setakat ini.

Masa depan dunia mengikut majalah Time, sebuah mingguan yang terpengaruh dan terbesar sebaran di seluruh alam, akan ditentukan oleh konflik berkisar alam sekitar, globalisasi, kabilah dan kesukuan (tribalisme) dan fundamentalisme. Bagaimana pula di negara kita? Sama-samalah kita merenung, mengkaji dan meneropong!

Dalam satu senarai seramai 20 orang yang dianggap ''gergasi'' Kurun 20 Time telah memilih Presiden Theodore Roosevelt (Presiden AS 1901-1905), menempa sejarah kerananya Terusan Panama diwujudkan dan keprihatinannya terhadap alam sekitar, menambahkan tanah rizab pemerintah dan meluaskan pengaruh luar Amerika Syarikat. Lenin, pengasas Empayar Soviet Union, Franklin Delano Roosevelt, presiden terlama dalam sejarah Amerika Syarikat (1932-45), waris kepada T.R. Roosevelt. FDR, nama popularnya, adalah presiden yang paling popular dan juga yang amat dibenci - diingati kerana dua perkara yang terbesar, memulihkan Amerika Syarikat daripada kemelesetan ekonomi teruk melalui dasar New Deal (Dasar Saksama Baru) yang merevolusikan cara kehidupan Amerika moden, masuk Peperangan Dunia Kedua (mengalahkan Nazi Jerman dan Jepun).

Hitler masyhur kerana menjadikan Jerman kuasa dunia dari debu kekalahannya dalam Perang Dunia Pertama dan kerana pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi yang diperkatakan oleh Yahudi sebagai ''holocaust''. Churchill menyelamatkan Britain (dengan pertolongan Amerika Syarikat) daripada Hitler, Eleanor Roosevelt (isteri FDR) yang berpengaruh itu sebagai pejuang hak-hak wanita dan keadilan sosial; Gandhi dikenang kerana peranan beraninya melawan penjajahan British di Afrika Selatan dan sebagai pengasas India moden melalui perjuangan tanpa darah (non-violence), Ben Gurion - pemimpin zionis dan pengasas Israel dan Perdana Menteri pertama - bertanggungjawab melahirkan sebuah negara Yahudi setelah 4000 tahun mereka merayau tanpa negara sendiri. Ho Chi Minh, tidak pernah kahwin kerana dia bernikah dengan nasionalisme Vietnam, arkitek dan pengasas Vietnam bersatu dan pemimpin teragung perang gerila yang menjatuhkan air muka dua kuasa besar Barat - Amerika Syarikat dan Perancis; Martin Luther King, pemimpin massa rakyat kulit hitam yang bertanggungjawab menghapuskan perbezaan antara warna (segregation) di Amerika Syarikat. Amerika memperingati hari lahirnya dengan cuti umum tetapi tidak pula menghayati pengajarannya.

Antara pemimpin-pemimpin agung pilihan Time itu hanya seorang sahaja Islam, Allahyarham Ayatollah Rohollah Khomeini, pengasas dan pemimpin Republik Islam Iran dan yang menghapuskan pemerintahan beraja Shah yang dekaden (merosotkan akhlak), korup, kuku besi, kebaratan dan keyahudian, dan dua wanita teragung selain daripada Eleanor Roosevelt ialah Margaret Thatcher, Perdana Menteri wanita pertama Britain - wira perang Falkland melawan Argentina, tokoh dan juara kebebasan minda, pasaran ekonomi bebas yang berjaya menghapuskan ''negara kebajikan'' yang dipelopori oleh Clemen Atlee, Perdana Menteri dari Parti Buruh selepas Perang Dunia Kedua. Seorang pemimpin yang tegas dan datang dari bawah dan naik semata-mata kerana pelajaran (Universiti Oxford), bukan kerana keturunan bangsawan atau kerana perangkaian.

Pope John Paul Kedua dipilih kerana dia dianggap sebagai pemimpin agung agama Kristian mazhab Katolik pertama yang menampakkan selain daripada memperjuangkan mazhabnya, juga memperjuangkan perlunya kepercayaan kepada perdampingan dengan tuhan bukan sahaja mesti disemai tetapi diperkuatkan dalam dunia yang makin sekular. John Paul Kedua adalah Pope pertama dalam sejarah yang menyokong sebuah masjid besar didirikan di Rom, tidak jauh dari Vatican, kota suci mazhab Katolik. Saya telah melawat masjid yang indah ini.

Ronald Reagan orang tertua sekali pernah jadi Presiden Amerika Syarikat (1980-88) dipandang sebagai ''wira'' yang menghancurkan Empayar Komunis Soviet Union. Amerika Syarikat di bawah ketuaannya telah menghancurkan, walaupun tidak 100 peratus berjaya, konsep Big Government (Kerajaan Besar). Cukai-cukai diturunkan dan rakyat terutama big business - tidak banyak dibeban oleh pentadbirannya. Amerika Syarikat maju dan makmur semasa Reagan menjadi presiden dan orang Amerika Syarikat amat suka kepadanya.

Lech Walesa, bekas pemimpin kesatuan sekerja Poland yang berani menentang kekuatan pemerintahan komunis Poland dan Kremlin sehingga tertubuh satu pemerintahan demokrasi dalam suasana glasnost (politik terbuka) dan perestroika (masa peralihan dan transformasi) yang diwujudkan oleh Setiausaha Agung Parti Komunis Soviet Union, Mikhail Gorbachev. Gorbachev digambar sebagai pemimpin yang perseptif; dia sedar masa komunisme telah tamat maka tugasnya seolah-olah menamatkannya sebaik mungkin. Tanpa peranannya, empayar komunis Soviet mungkin masih berkuasa di negerinya dan juga di Eropah Timur. Gorbachev, seperti kata Richard Nixon, sanggup mengambil risiko; biar kuasanya hilang asalkan reformasinya (ke arah demokrasi dan pemerintahan terbuka) terselamat. Gorbachev tidak sanggup dan rela reformasinya terancam langsung. Dia memperjudikan kuasanya dan dia kalah tetapi demokrasi mulai bertempat di Rusia dan di bekas wilayah-wilayah Soviet Union. Tiada ramai manusia dalam sejarah yang berprinsip seperti Gorbachev. Itu saya pasti.

Negarawan gergasi terakhir yang terpilih ialah Nelson Mandela. Nelson tahanan politik yang termasyhur sekali dalam dunia. Selama 27 tahun dia dipenjarakan, tetapi keyakinan kepada perjuangannya tidak luntur bahkan bertambah teguh. Jika dibandingkan dengan bekas Profesor Syed Hussein Ali (tujuh tahun), Kassim Ahmad dan saya (lima tahun) dan Anwar Ibrahim (18 bulan) kesengsaraan kami seolah satu temasya piknik sahaja namun begitu kami tetap dianiayai. Legenda dan mitos Mandela harum di seluruh alam; keutuhan moral integritinya bersinar sebagai contoh dan tauladan.

Dalam tahun 1941 Henry Luce, pengasas Time telah menyifatkan kurun ke-20 sebagai The American Century (Kurun Amerika). Ternyatalah kebenaran apa yang diperkatakan olehnya 57 tahun terdahulu dan teka teki kini ialah siapa punya kurun 21? Ada orang kata ia akan dipunyai oleh negara-negara Pasifik - Pacific century - tetapi ramai berasa Pax Amerikana akan terus menguasai abad ke-21 dengan negara-negara Asia dan Eropah memberi sumbangan terbesar kepada dan tamadun elektronik canggih. Ada juga yang berkeras kurun 21 akan dipengaruhi oleh ''nilai-nilai universal'' bukan nilai-nilai Pax-Amerikana atau nilai-nilai Barat.

Yang paling saya takut terjadi sekali dan ada pertandanya, semangat patriotisme, rasa tanggungjawab terhadap bangsa, bahasa, kebudayaan dan agama anak bangsa kita tidak lagi kuat seperti generasi nenek dan bapa mereka. Nampaknya generasi kini dan mendatang lebih menuju ke arah kepentingan diri lebih tinggi dan lebih mulia daripada tanggungjawab terhadap bangsa. Kita harus semaikan di kalangan generasi pelajar nilai-nilai cintakan, ''bangsa, bahasa dan agama'' sama ada negara makmur, aman atau susah.

Nampaknya apa yang saya takut ini kian berkembang dan berleluasa, apalah lagi dalam kurun 21 nanti dengan pengaruh globalisasi. Kita ingin bangsa kita menikmati tamadun superteknologi tetapi tanpa pula mengurangkan sifat kemalaysiaan kita. Saya berdoa, mereka di sekolah kini dan akan datang akan memikul tanggungjawab terpenting ini. Saya bukan seorang bumiputera yang taksub. Saya radikal dalam mahu dasar kemalaysiaan ini diresapi dan dilaksanakan secara amat sangat dan radikal oleh kerajaan dan UMNO.

Saya tegaskan lagi, saya ingin Melayu hidup canggih, secanggih dan selaras dengan tamadun negaranya. Peningkatan taraf kesejahteraan hidup bumiputera harus seiring dengan kecerdasan ekonomi dan pasaran yang bebas. Tetapi bumiputera janganlah hanya berharap kepada Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan sahaja. Mereka mesti mengejar ilmu, tekun, cermat, dan belajar secara smart; ''smart schools'' ''kerja bestari''lah!

Kalau setiap insan bumiputera insaf dan menjalankan tugas dengan jujur, kita tidak perlu satu Agenda Melayu selepas kita melangkah ke alaf baru tetapi seperti kata Dr. Rais Yatim (Utusan Malaysia 9 April): Tepuk dada, tanya selera.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4JNetSKSt © Utusan Melayu (M) Bhd

Asal nama Bukit Nanas


ARKIB : 13/05/1998

MENARA Kuala Lumpur... mercu tanda pembangunan di kawasan Bukit Nanas.

Perang di Kuala Lumpur meletus antara Raja Mahadi yang disokong oleh Raja Asal, Sutan Puasa dan orang Cina yang dipimpin oleh Chong-Chong dengan Tengku Kudin yang bersekutu dengan Sultan Abdul Samad, iaitu Sultan Selangor yang bersekutu dengan Yap Ah Loy, Kapitan Cina Kuala Lumpur pada 1871-75.

Pada akhir 1871, Sultan Puasa, iaitu ketua masyarakat orang Melayu keturunan Mendahiling mengumpul orangnya di Tanjung Dua Belas (Hulu Langat).

Di situ pasukan Sutan Puasa bersatu dengan pasukan orang Mendahiling dari Hulu Slim yang dipimpin oleh Raja Berumun atau dikenali juga Datuk Imam Perang Jabarungun di Tanjung Dua Belas.

Mereka berkumpul untuk menyerang Kuala Lumpur yang dikuasai oleh Kapitan Yap Ah Loy yang disokong oleh Tengku Kudin dan Sultan Abdul Samad.

Pengikut Sutan Puasa yang bersatu dengan pengikut Raja Berumun tidak sempat menyerang Kuala Lumpur kerana dengan tiba-tiba pasukan mereka diserang oleh pasukan Yap Ah Loy seramai 200 orang dan dibantu oleh orang Melayu daripada pasukan Kapitan Syers yang berjumlah kira-kira 100 orang.

Sutan Puasa sempat melepaskan diri ke Klang dan menubuhkan satu lagi pasukan. Namun tidak lama kemudian, Sutan Puasa dapat ditangkap oleh pasukan Inggeris yang dipimpin oleh Residen Davidson, Residen British di Selangor. Lalu Sutan Puasa dipenjarakan di Selangor.

Bukit Nanas yang ketika itu belum lagi dikenali dengan nama itu masih menjadi pusat pertahanan Raja Asal, iaitu sekutu Sutan Puasa. Raja Asal membina kubu pertahanan di Bukit Nanas dengan menanam pokok nanas di sekeliling kubu tersebut. Tujuannya supaya musuhnya sukar menembusi kubunya yang dikeliling oleh pokok nanas. Pokok nanas itu boleh menjadi penghalang kepada musuh yang berkaki ayam.

Akhirnya kubu Raja Asal dapat juga ditembusi oleh pasukan Yap Ah Loy yang disokong oleh Tengku Kudin dan dibantu oleh Inggeris yang telah berkuasa di Selangor.

Raja Asal sempat berundur ke Hulu Slim. Tetapi isterinya, Wan Putih, adik kepada Bendahara Tun Mutahir Pahang, menyerah diri. Beliau kemudiannya dibebaskan.

Bukit tempat kubu terakhir Raja Asal yang ditanam dengan pokok nanas itu akhirnya dikenali Bukit Nanas, mengambil sempena pokok nanas yang ditanam di sekeliling kubu.

Raja Asal yang dianggap ketua oleh masyarakat Melayu keturunan Mendahiling akhirnya berpindah ke Changkat Piatu di Kinta, Perak. Pada masa Inggeris mencari Datuk Maharaja Lela dan Datuk Sagor, kerana terlibat dalam pembunuhan J.W.W. Birch pada 1875, Raja Asal diminta oleh Inggeris untuk menolong mencari pahlawan Melayu Perak itu.

Waktu itu Raja Asal tidak berjaya menangkap penentang Inggeris itu. Tetapi kerana sangat menghargai jasanya, Inggeris melantik anak angkat yang juga anak saudaranya bernama Raja Bilah, menjadi Penghulu Mukim Belanja yang berpusat di Pekan Papar pada 1882-1909.

Pada 1877, Raja Asal meninggal dunia dan dimakamkan di atas sebuah bukit di Changkat Piatu dekat Batu Gajah.

Saya pernah melawat makamnya pada 1977, iaitu ketika sedang menyiapkan buku yang bertajuk Tempat-tempat Bersejarah di Negeri Perak.

Menurut Allahyarham Haji Waad juga, sekutu Raja Asal, iaitu Syed Mashur, berkubur di Hulu Kelang.

Beliau juga dikalahkan oleh angkatan perang Inggeris dengan sekutu angkatan perang Yap Ah Loy dan Tengku Kudin. Syed Mashur lari ke Perak dan terlibat pula menolong Inggeris mencari pahlawan Melayu yang membunuh Birch.

Syed Mashur akhirnya dilantik oleh kerajaan Selangor yang dikuasai oleh Inggeris menjadi Penghulu di Daerah Kerling.

Pada 1975 saya mengunjungi makam Syed Mashur yang terletak di Kerling. Saudara mara Syed Mashur masih ramai tinggal di Kerling hingga sekarang. Sultan Puasa selepas keluar dari penjara di Kelang, terus menetap di Sungai Mulia, Gombak.

Di situ, beliau memiliki sebuah rumah dan sebuah tasik kecil yang dikenali Tobek Sutan Puasa. Letak tasik itu betul-betul di belakang Masjid Sungai Mulia. Tobek Sutan Puasa masih ada hingga ke hari ini.

Haji Waad telah dilantik menjadi Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu pada 1970, menggantikan Tan Sri Ahmad Perang. pada masa saya tinggal di rumahnya, iaitu dari 1962, saya berkenalan dengan keluarga Ahmad Perang dan keluarga Datuk Abdul Razak, iaitu ketua Akauntan Keretapi Tanah Melayu.

Abdul Razak, setelah bersara melibatkan diri dalam perniagaan. Beliau menduduki sebuah rumah besar berbentuk Minangkabau berdekatan Taman Merbuk dan Tugu Negara.

Saya mendapat tahu bahawa Abdul Razak telah meninggal dunia pada tahun 80-an. Isteri allahyarham, yang saya panggil Kak Ani (Datin Noraini), berasal daripada keluarga Dato' Jaaffar Mambak. Saya mengenalinya semasa tinggal di Jalan Syer. Rumahnya tidak jauh dari rumah Allahyarham Haji Waad Jamaludin.

Haji Waad berpindah ke Jalan Keramat Hujung selepas bersara sebagai Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu pada 1970-an. Tapak rumah di Keramat Hujung itu saya yang berusaha menyuruh Hj. Waad membelinya daripada Melan Abdullah yang waktu itu bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu. Beliau meninggal dunia pada 1986 ketika usianya mencecah 80 tahun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Oleh: N.A. HALIM


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4JO0PbWXD © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 29 September 2019

PERSIDANGAN RAJA-RAJA MELAYU MENGENAI RUNDINGAN PERLEMBAGAAN BAGI MALAYA MERDEKA

Pada hari ini dalam tahun 1955, Raja-Raja Melayu telah mengadakan persidangan di Kuala Lumpur bagi membincangkan mengenai rombongan yang akan mengadakan rundingan berkaitan perubahan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang akan diadakan di London pada awal tahun 1956. Turut hadir adalah Pesuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu dan YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Kerajaan Perikatan. Persidangan ini telah memutuskan bahawa rombongan tersebut adalah terdiri daripada wakil Raja-Raja Melayu dan kerajaan Perikatan. Rombongan ini yang dinamakan ‘Rombongan Malaya Merdeka’ telah belayar ke London pada 1 Januari 1956. Ia terdiri daripada YTM Tunku Abdul Rahman Putra; Dato’ Abdul Razak Hussein; Dr. Ismail Abd. Rahman dan Kol. H.S. Lee sebagai wakil kerajaan Perikatan. Manakala wakil Raja-Raja Melayu pula terdiri daripada Dato’ Panglima Bukit Gantang; Dato’ Nik Ahmad Kamil; Encik Abd. Aziz Abd. Majid; Dato’ Mohd. Seth serta Encik T.H. Tan selaku setiausaha rombongan. Mereka akan mengadakan rundingan bersama wakil baginda Queen.[1]



[1] http://www2.arkib.gov.my/hids/

Selasa, 24 September 2019

SULTAN MUZAFFAR SYAH III MANGKAT


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 25 September 1754, Sultan Muzaffar Syah III mangkat.  Sultan Muzaffar Syah memerintah Perak di antara tahun 1728-1752. Baginda menaiki taktha pada tahun 1928 apabila Sultan Alauddin Munghayat Shah yang memerintah Perak di antara tahun (1920-1928) mangkat.  Baginda merupakan saudara kepada Sultan Alauddin Mughayat Shah. Pada masa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah telah berlaku perselisihan baginda  dengan Raja Muda Bisnu.  Perselisihan ini telah membawa kepada Perak terbahagi kepada dua dan Pacat menjadi sempadan pemerintahan Sultan Muzaffar Syah dan Raja Muda Bisnu. Namun begitu atas usaha-usaha yang dijalankan oleh anak Raja Muda Bisnu, Raja Muda Iskandar, akhirnya pedamaian dicapai di antara Sultan Muzaffar Syah III dan Raja Muda Bisnu dan akhirnya Sultan Muzaffar Syah III kembali bersemayam di Brahaman Indera. Setelah kemangkatan Sultan Muzaffar Syah III, Raja Muda Iskandar telah dilantik menaiki taktha pada tahun 1752 dengan gelaran Paduka Seri Sultan Iskandar Zulkainal Syah Khalifur Rahman Johan Berdaulat Zilullahfi Alam.[1]


[1] http://www2.arkib.gov.my/hids/

Selasa, 17 September 2019

SEJARAH MAJALAH JAYA SMK JENGKA 2 1978-2006


MAJALAH JAYA TAHUN 1978
OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
      Menurut Rosli Mat Khamis, Majalah Jaya sepatutnya diterbitkan pada tahun 1977 lagi. Tetapi memandangkan terdapat masalah kritikal, keluaran tahun 1977 tidak dapat diterbitkan. Antara masalah tersebut ialah sambutan dingin para pelajar untuk menghantar karya pelajar dalam Bahasa Melayu kepada Ridaksi Majalah Jaya. Karya Bahasa pula tidak dapat diterbitkan dalam keluaran sulung ini kerana pelajar-pelajar merasa rendah diri kerana merasakan penguasaan Bahasa Inggeris mereka masih lemah.[1]
                 
      Penertbitan Majalah Jaya ini juga terpaksa ditangguhkan kerana Sekolah Menengah Kebangsaaan Jengka 2 telah mengadakan Hari Ucapan dan Penyampaian hadiah dan Pameran. Ini menyebabkan penerbitan Majalah Jaya pada bulan Ogos 1978 telah tertangguh kepada bulan September 1978. Majalah Bil. 1 Jilid 1 Tahun 1978 ini mempunyai 163 halaman. [2]


[1] Majalah jaya Bil.1, jilid 1 tahun 1978, vi.
[2]Ibid.

Ahad, 8 September 2019

1994-PENETUAN TERAKHIR PIALA DUNIA 1994

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Penentuan terakhir Piala Dunia tahun 1994 di antara pasukan plihan Brazil dan di Itali diadakan di Rose Bowl, Pasadeda Amerika Syarikat jam 3.30 pagi. Bberdasarkan statistik penjaring gol Brazil di Piala Dunia 1994 ialah Romario 5 gol, Bebeto 3 gol, Rai, Marcio Santos dan Branco satu gol. Manakala penjaring gol Itali ialah Roberto Baggio lima gol, Dino Baggio dua gol dan Daniele Massaro satu gol.[1]


[1] Penentuan Terakhir, Berita Minggu Ahad, 17 Julai 1994,28.