Selasa, 3 September 2019

Ikon manusia sejagat


MyMetroNuansa
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

DALAM usaha dakwah menerusi riwayat insan agung, Nabi Muhammad, Manhajj Brothers mengambil inisiatif menganjurkan Pameran Artifak Rasulullah SAW bagi mengupas keistimewaan baginda melalui pelbagai perspektif berbeza supaya tidak hanya dikenali sebagai nabi malah ikon manusia sejagat.

Menerusi pameran yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 22 Julai sehingga 4 Ogos ini, orang ramai berpeluang mengenali dengan lebih dekat peninggalan dan sejarah Rasulullah dan sahabat baginda.

Banyak artifak dan peninggalan berkaitan sumbangan Islam terhadap dunia masih boleh dilihat hingga kini dan tidak lain adalah bertitik tolak daripada peranan serta amanah besar yang dimainkan rasul terakhir itu.

Antara artifak Rasulullah yang akan dipamerkan ialah rambut, janggut, kesan tapak kaki, capal, serban, tongkat, bekas air zamzam, bekas celak, cop mohor, kunci makam, pasir makam dan kain penutup makam.

Pengarah Projek, Razali Bachik berkata, penganjuran pameran itu adalah satu langkah yang positif dalam memberi pendedahan dan menambah pengetahuan masyarakat khususnya golongan muda berkenaan Islam.

“Ini satu usaha yang baik dalam menarik minat masyarakat supaya lebih mengenali sejarah Rasulullah dan Islam menerusi pameran artifak sarat dengan pelbagai maklumat berkaitan.

“Peluang menjejakkan kaki ke ruang pameran berkenaan bukan saja dapat mendekatkan diri dengan Nabi Muhammad, malah dapat meningkatkan rasa cinta terhadap baginda.

“Malah, pengisian pameran berkenaan sedikit sebanyak menerbitkan rasa rendah diri dan keinsafan untuk lebih mengenali Islam,” katanya yang menyediakan khidmat mutawif bagi memberi penjelasan berkenaan

perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW dari awal kelahiran sehingga kewafatannya.

Razali berkata, selain mempamerkan 16 artifak berkaitan Nabi Muhammad, pihaknya turut menampilkan artifak berkaitan sahabat baginda dan Kerajaan Uthmaniah yang juga kerajaan Islam terakhir mengamalkan sistem pemerintahan khalifah.


PEDANG milik Amr al-As.
Pedang Mu’adz bin Jabal, pedang Amr al-As, pedang Saidina Hussein, kiswah Kaabah merah, kiswah Kaabah hijau, serban Imam Syafie, capal Imam Ghazali, kunci makan Saidatina Fatimah, batu dinding Kaabah dan batu dinding Masjid Quba’ iaitu masjid pertama yang dibina Nabi Muhammad SAW ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah antara yang boleh dilihat.

Artifak pada zaman Kerajaan Uthmaniah pula seperti kunci Kaabah, baju perang, tandu, kiswah Kaabah, kiswah pintu taubah, kiswah pintu kecil, Makam Ibrahim dan al-Quran emas.

“Dalam pameran ini, masyarakat berpeluang mendapat ilmu menarik berkaitan semua artifak yang dipamerkan antaranya sirah Rasulullah, peristiwa peperangan dalam sejarah Islam, gerakan penyebaran Islam dan maklumat mengenai sahabat baginda.

“Contohnya Makam Ibrahim adalah binaan yang mengandungi batu hampar kecil terletak berdekatan Kaabah. Ia bukanlah kubur Nabi Ibrahim AS sebagaimana dugaan atau anggapan sebahagian orang.

“Sebaliknya dalam binaan kecil itu ada sebiji batu yang diturunkan Allah dari syurga bersama-sama dengan batu kecil lain yang terdapat pada Hajar Aswad.

“Di atas batu Makam Ibrahim ini, Nabi Ibrahim pernah berdiri ketika baginda membangunkan Kaabah dan puteranya Nabi Ismail AS memberikan bongkah batu kepadanya,” katanya.

Maklumat menarik lain seperti kisah kunci makam Nabi Muhammad SAW yang diganti kali pertama pada 1411 dan penggantian kedua pada 1847 ketika zaman Kerajaan Uthmaniah.

Kunci makam baginda digantikan semula pada 1937 oleh Kerajaan Arab Saudi. Kunci yang dipamerkan itu dipengerusikan Ali Zainal Abidin Toeh dan ia dipegang keturunan Saidina Ali hingga sekarang.

Amr’ Al Aas pula seorang sahabat Nabi Muhammad yang dilantik sebagai panglima perang sebanyak 12 kali. Beliau adalah panglima dalam angkatan barisan hadapan dan menjadi gabenor yang akhirnya dihantar ke Yaman untuk menjadi pendakwah.

Koleksi artifak selain dimiliki sendiri pihak penganjur, ia juga diperoleh secara pinjaman daripada pemilik asal dari beberapa negara antaranya Brunei, Arab Saudi, Turki, Jordan, India dan Syria. Semua artifak diyakini tulen dan disahkan sendiri pihak Muzium Dinar Islam, Makkah.

“Pameran ini akan memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat sendiri artifak yang turut menjadi rakaman sejarah kehidupan dan perjuangan baginda selain bermatlamat untuk memberi pendidikan, sumber inspirasi serta pengetahuan kepada pengunjung mengenai kegemilangan tamadun Islam,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 10:25 AM

Rabu, 28 Ogos 2019

PERSIDANGAN MALAYA MERDEKA DI LONDON


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

Pada hari ini dalam tahun 1956, Persidangan Meja Bulat di antara wakil-wakil kerajaan Perikatan dan wakil-wakil Raja Melayu dengan pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British di Lancaster House, London untuk menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu telah diadakan.  Persidangan ini dinamakan Persidangan Malaya Merdeka. Persidangan ini telah mengambil masa selama 3 minggu dan masalah-masalah yang dibincangkan ialah:-

Malaya akan merdeka dalam lingkungan ‘British Komanwel’,
Hal ehwal kewangan, pentadbiran, keselamatan dalam negeri, pertahanan dan hal ehwal luar negeri akan dipegang oleh menteri-menteri Persekutuan Tanah Melayu,
Penubuhan Jawatankuasa Bebas Kemerdekaan untuk mengkaji dan menyarankan perubahan dalam perlembagaan dengan tidak mengubah kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu.
Rombongan menuntut kemerdekaan Malaya ini diketuai oleh Y.T.M. Tunku Abdul Rahman dengan wakil-wakil dari Rakyat Malaya terdiri dari Dato' Abdul Razak bin Hussein, Dr, Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S.Lee, Tuan T.H. Tan dan Bahaman Shamsudin.  Wakil-wakil dari Raja-Raha Melayu pula terdiri dari  Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato' Mohd Seth. Sesungguhnya persidangan Malaya Merdeka di London pada hari ini dalam tahun 1956 telah membuka jalan untuk mendapatkan kemerdekaan penuh bagi Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan dalam satu upacara yang gilang gemilang pada 31 hb. Ogos, 1957.[1]           


[1] http://www2.arkib.gov.my/hids   

Ahad, 18 Ogos 2019

PERLETAKAN SENJATA PARTI KOMUNIS MALAYA DI HAADYAI


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada  hari  ini  dalam  tahun 1989,  telah  berlangsung  upacara  menandatangani  perjanjian  di antara  Kerajaan  Malaysia  dan  Parti  Komunis  Malaya (PKM).  Peristiwa  bersejarah  ini  telah  berlangsung  di  Haadyai,  Thailand  bagi  menamatkan  permusuhan  dan  kegiatan  bersenjata  PKM.  Pada  masa  yang sama  juga satu perjanjian  berasingan  telah  ditandatangani  di  antara  Kerajaan  Thailand  dan  Parti  Komunis  Malaya.  Perjanjian  yang  termeterai  ini  telah  mewujudkan  perdamaian  dan  keamanan  demi  keselamatan,  kestabilan  dan  kemakmuran  kedua-dua  buah  negara  dengan  tamatnya  permusuhan  dan  kegiatan-kegiatan  bersenjata  oleh  Parti  Komunis  Malaya.  Perdana  Menteri,  Datuk  Seri  Dr.  Mahathir  Mohamad  dalam  kenyataannya  menyatakan  bahawa  dengan   perjanjian  ini,  kerajaan  berharap  berakhirlah  ancaman  terhadap  keselamatan  negara  yang  berpunca  daripada  PKM .  Berikutan  itu  kerajaan  bolehlah  menumpukan  usaha  dan  tenaga ke  arah  membangunkan  ekonomi  dan  taraf  hidup  rakyat  dengan  lebih  pesat  dan  gigih.  Sesungguhnya,  perjanjian  ini  besar  maknanya buat negara,  ini  kerana tamatlah  permusuhan dan  kegiatan-kegiatan  bersenjata  oleh  Parti  Komunis Malaya  yang  telah  berjalan  semenjak  41  tahun  yang  lampau.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids

Rabu, 14 Ogos 2019

RANG UNDANG-UNDANG PERSEKUTUAN TANAH MELAYU DILULUSKAN

 OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada  hari  ini  dalam  tahun  1957,  Rang  Undang-Undang  Perlembagaan  Persekutuan  Tanah  Melayu  1957   telah  diluluskan.   Rang  Undang-Undang  tersebut  telah  diluluskan  dengan  sebulat  suara  oleh  Majlis  Mesyuarat  Undangan  Federal  yang  telah  memberikan  taraf  Kemerdekaan  kepada Persekutuan  Tanah  Melayu   pada  31 Ogos  1957.  Tunku  Abdul  Rahman  selaku  Ketua  Menteri  Persekutuan  Tanah  Melayu  telah  mengemukakan  usul  agar  rang  Undang-Undang  ini  diluluskan  dengan  mendapat  sokongan  daripada  Encik  Shamsuddin  bin  Naim.  Dengan  lulusnya  Rang  Undang-Undang  ini  bererti  mulai  31 Ogos  1957,  Negeri-Negeri  Melayu  Bersekutu,  Pulau  Pinang  dan  Melaka  akan  menjadi  sebuah  Persekutuan  yang  dinamakan  Persekutuan  Tanah  Melayu.  Berikutan  daripada  itu  Perlembagaan  Persekutuan  Tanah  Melayu  Merdeka  telah  mula  berkuatkuasa  dan  diguna  pakai  bermula  pada  31  Ogos  1957.  Sesungguhnya,  dengan  kelulusan  Undang-Undang  Perlembagaan  Persekutuan  ini  telah  memberi  pengiktirafan  kepada  sebuah  kerajaan  Persekutuan  Tanah  Melayu  yang  berdaulat  dan  merdeka.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids

Fosil penguin gergasi ditemui di New Zealand


DUNIA»Lain-lain (Dunia)
Rabu, 14 Ogos 2019 | 2:02pm
 PENYELIDIK Muzium Canterbury, (dari kiri) Vanesa De Pietri, Paul Scofield dan Gerald Mayr memeriksa fosil corssvallia waiparensis. - Foto AFP
Fosil penguin gergasi ditemui di New Zealand

WELLINGTON: Fosil penguin gergasi bersaiz hampir sebesar manusia dewasa dijumpai di Pulau Selatan New Zealand, kata kumpulan saintis, hari ini.

Kumpulan saintis itu mengesahkan burung gergasi laut itu memiliki ketinggian sehingga 1.6 meter dan seberat 80 kilogram, kira-kira empat kali ganda lebih berat dan 40 sentimeter lebih tinggi berbanding penguin Maharaja moden.

Mereka menamakannya ‘corssvallia waiparensis’ dan spesies burung itu kerap diburu di pantai New Zealand ketika era Paleosen, kira-kira 66 hingga 56 juta tahun lalu.

Pemburu fosil amatur menjumpai tulang kaki milik mamalia itu tahun lalu dan ia disahkan sebagai spesis baharu dalam penyelidikan yang diterbitkan minggu ini di dalam ‘Alcheringa: An Australasian Journal of Palaeontology’.

Penyelidik Muzium Canterbury, Vanesa De Pietri berkata ia adalah kali kedua penguin gergasi dari era Paleosen dijumpai di kawasan terbabit.

“Penemuan ini memperkukuhkan lagi teori kami, bahawa penguin mampu mencapai saiz yang lebih besar dalam evolusi mereka,” katanya.

Ada dalam kalangan saintis sebelum ini membuat spekulasi, penguin bersaiz gergasi pupus kerana kemunculan pemangsa besar lain seperti anjing laut dan ikan paus bergigi.

New Zealand sangat terkenal dengan burung gergasi yang pupus, termasuk burung moa yang tidak mampu terbang, dengan ketinggian mencapai 3.6 meter dan helang Haast yang memiliki lebar sayap sehingga tiga meter.

Pada minggu lalu, Muzium Canterbury mengumumkan penemuan seekor burung tiung setinggi satu meter dan hidup kira-kira 19 juta tahun lalu. – AFP
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 14 Ogos 2019 | 2:02pm

Selasa, 13 Ogos 2019

TOKOH PAHLAWAN MERDEKA


Dato’ Mohamad Nordin bin Mohaluddin
OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Brigedier Jeneral (B) Dato’ Mohamad Nordin bin Mohaluddin. Seorang pejuang bangsa dan negara menentang percubaan PKM untuk menjajah Tanah Mmelayu. Beliau mengetuai Platun Kompeni A yang berpangkalan di Kerdau, Pahang kawasan pusat kegiatan Komunis. Dalam sebuah operasi di Temerloh, Platun pimpinan Mohamad Nordin diarah membunuh Ketua PKM di situ. Pasukannya berjaya menembak Ketua Komunis itu.[1]  

      Dalam Ooperasi di Tapah Perak platun pimpinannya berjaya membunuh dua orang pengganas Komunis.kejayaan ini mengharumkan nama beliau sebagai Ketua Platun. Mohamad Nordin terpilih sebagai penerima pingat keberanian tentera daripada British. Penganugerahan Military Cross (M.C) adalah anugerah tertinggi untuk anak tempatan yang berjasa. Anugerah ini diterima pada 23 Oktober 1956 daripada Queen Elizabeth II di Istana Buckingham, London. [2]


[1]Ramlah Adam, Pahlawan tegar Merdeka (Kuala Lumpur: dewan Bahasa dan Pustaka,2014),72.
[2] Ibid.

Isnin, 12 Ogos 2019

SULTAN PAHANG DIPILIH SEBAGAI PRESIDEN FAM


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 12.8.1984, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah terpilih sebulat suara sebagai Presiden bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru. Pemilihan baginda dibuat dalam Mesyuarat Agung ke 21 FAM di Kuala Lumpur. Baginda menggantikan Tan Sri Hamzah Abu Samah. Dengan pemilihan ini baginda menjadi Presiden FAM yang ke 4 selepas Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tan Sri Hamzah Abu Samah. Pemilihan baginda sebagai Presiden FAM yang baru memang kena pada tempatnya. Baginda bukan sahaja peminat sukan yang unggul tetapi juga pernah mewakili pasukan bola sepak Pahang dalam pertandingan Piala Malaya pada tahun-tahun 1950-an. Minat dan sumbangan baginda dalam bidang sukan mendapat penghormatan banyak pihak. Baginda dianugerahkan penghormatan peminat utama sukan negara oleh Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (BAM) pada 1981 dan pingat emas Olympic order dari Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC). Sesungguhnya dengan perlantikan Sultan Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar bukan sahaja suatu sejarah baru dalam sukan bolasepak di Malaysia khususnya tetapi juga dengan minat dan kecenderungan baginda dalam bidang sukan, mutu sukan di Malaysia akan meningkat selaras dengan slogan 'Majulah Sukan Untuk Negara'.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids