Jumaat, 9 Ogos 2019

KAWASAN MANCHIS DI BENTONG DAN TEMERLOH DIISYTIHARKAN KAWASAN PUTIH


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 10.8.1956, kawasan Manchis diisytihar sebagai kawasan putih oleh Sultan Pahang manakala bagi daerah Bentong oleh Menteri Besar iaitu Tengku Muhammad. Kawasan Manchis di daerah Bentong dan daerah Temerloh merupakan kawasan yang agak serius diancam pengganas komunis di negeri Pahang. Kawasan putih ialah kawasan yang telah diisytiharkan selamat dan bersih dari ancaman komunis. Kedua-dua kawasan ini meliputi keluasan 712 batu persegi dengan jumlah penduduk seramai 14,700 orang. Zaman darurat di antara tahun 1948 hingga 1960 telah membawa kesan yang besar kepada proses keamanan dan kemerdekaan di negara ini. Keamanan menjadi syarat untuk mencapai kemerdekaaan. Untuk mengisi kemerdekaan juga memerlukan keamanan. Kegiatan komunis mengancam keamanan, oleh itu kerajaan telah memperkenalkan beberapa dasar dalam usaha mengawal kegiatan komunis, antaranya ialah Rancangan Briggs serta mewujudkan kawasan Putih dan Hitam. Pada zaman darurat kawasan ini merupakan kubu kuat pihak komunis dalam usaha mereka menentang pihak kerajaan. Daerah Temerloh menjadi pembekal makanan dan ubatan kepada pihak komunis manakala kawasan Manchis pula pihak komunis bertindak dengan berleluasa seperti membunuh penduduk dan merosak kemudahan-kemudahan awam. Hasil tindakan tegas pihak kerajaan serta kerjasama yang telah diberikan oleh penduduk setempat dalam usaha membanteras pihak komunis maka pada hari ini dalam tahun 1956 kedua-dua kawasan telah diisytihar sebagai kawasan Putih dan bersih dari ancaman komunis. Penduduk setempat telah mendapat banyak pengalaman dalam berhadapan dengan kegiatan komunis. Pengalaman-pengalaman ini haruslah dijadikan pengajaran untuk menghargai keamanan. Bagi mereka yang melalui zaman darurat, keamanan dan kebebasan mempunyai harga yang tidak ternilai.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids


Rabu, 7 Ogos 2019

PENUBUHAN ASEAN

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 8.8.1967, setelah rundingan di Bangkok diadakan di antara ketua-ketua negara Asia Tenggara, maka lahirlah "Deklarasi Bangkok" yang menandakan dengan rasminya penubuhan Association of Southeast Asian Nations atau "Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara" (yang lebih dikenali sebagai ASEAN) Anggota ASEAN terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Filipina, Negara Thai dan Singapura. Malaysia ketika itu diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, Indonesia diwakili oleh Menteri Luarnya (Adam Malik), Filipina diwakili oleh Setiausaha Luarnya (Navciso Ramos), Singapura pula diwakili oleh Menteri Luarnya (S. Rajaratnam), manakala Negara Thai diwakili oleh Menteri Luarnya (Thanct Khowan).

Penubuhan ASEAN bertujuan untuk :-

Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan perkembangan kebudayaan secara bersama.
Menggalakkan keamanan dan kestabilan politik dengan mematuhi piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bantuan kepada negara anggota dalam bentuk kemudahan latihan dan penyelidikan.
Kerjasama dalam bidang pertanian, perusahan dan perdagangan negara anggota untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, dan
Hubungan yang baik dan berfaedah dengan pertubuhan serantau yang lain dan pertubuhan dunia.
Sesungguhnya penubuhan ASEAN pada hari ini dalam tahun 1967, merupakan satu pertubuhan keserautauan yang menitikberatkan hal-hal ekonomi, kebudayaan, sosial dan politik bagi tujuan kesejahteraan umat.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids

Ahad, 4 Ogos 2019

PERJANJIAN KEMERDEKAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU DITANDATANGANI


Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 5.8.1957, Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani antara Raja-raja Melayu dengan wakil baginda Queen Sir Donald Mac Gillivray Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu. Majlis menandatangani perjanjian ini berlangsung di King's House Kuala Lumpur. Pada jam 9.30 pagi 15 orang penandatangan utama iaitu Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, 8 orang Raja-raja melayu, Tengku Mahkota Johor dan 5 Pembesar yang berkuasa di Negeri Sembilan serta saksi-saksi kepada mereka tersebut telah menandatangani perjanjian ini dengan menggunakan pen khas yang bertulis "Federation Of Malaya Agreement 1957". Perjanjian ini ditandatangani dalam 40 salinan iaitu 20 dalam bahasa Melayu dan 20 dalam bahasa Inggeris. Dua salinan daripada perjanjian ini dihantar kepada Kerajaan British dan dua salinan lagi disimpan oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setiap satu salinan juga dihantar kepada tiap-tiap negeri dalam Persekutuan termasuk Melaka dan Pulau Pinang dan 6 salinan kepada Negeri Sembilan iaitu satu-satunya negeri yang agak baik sistem pentadbirannya. Perjanjian ini antara lain menyatakan bahawa mulai 31 Ogos 1957 negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat akan ditubuh menjadi satu Persekutuan baru dinamakan Persekutuan Tanah Melayu (The Federation Of Malaya). Perjanjian ini juga memansuhkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan akhirnya kuasa dan kedaulatan Queen ke atas Melaka dan Pulau Pinang. Dengan itu juga segala kuasa dan jurisdiksi baginda ke atas Persekutuan Tanah Melayu berakhir. Termeterainya perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ini telah membuka satu babak baru dalam pentadbiran negara dalam masa 26 hari selepas perjanjian ini Persekutuan Tanah Melayu menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat.[11


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids

Jumaat, 2 Ogos 2019

PENEMPATAN PERTAMA PENEROKA LEMBAH BILUT


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 2.8.1959, rombongan seramai 30 orang tiba di Tanah Rancangan Lembah Bilut untuk memulakan hidup baru sebagai peneroka di situ. Mereka adalah kumpulan pertama yang telah dipilih dari seramai 9,000 pemohon untuk mendiami tanah rancangan Lembah Bilut, iaitu rancangan pembukaan tanah yang terbesar pernah diusahakan oleh Felda sejak ia di tubuhkan. Untuk peringkat pertama, dalam Rancangan 5 tahun pertama ini, Felda telah memilih seramai 600 keluarga dari seluruh negeri Persekutuan Tanah Melayu. Ia dijangka akan mengambil seramai 600 keluarga lagi di peringkat keduanya kelak. Projek yang meliputi kawasan seluas 22 batu persegi ini melibatkan perbelanjaan sebanyak 2½ juta ringgit. Setiap peserta yang telah dipilih diberi tanah seluas 7 ekar bagi tanaman getah dan 3 ekar tanah dusun. Untuk membangunkan tanah tersebut, pihak Felda juga menyediakan bantuan pinjaman sebanyak 6,000 ringgit kepada setiap keluarga peserta. Pinjaman ini perlu dibayar balik dalam jangka masa 5 tahun dari tarikh pinjaman dibuat. Bagi memastikan kejayaan skim pertanian ini pula, kerja-kerja pertanian peneroka diawasi dan diberi perhatian secara langsung oleh pegawai Felda sendiri. Perhatian seumpama ini diteruskan hingga peneroka-peneroka itu boleh berdikari. Sesungguhnya pembukaan tanah Lembah Bilut pada hari ini dalam tahun 1959 memberi erti yang besar kepada golongan miskin. Melalui rancangan ini ramai dari mereka yang tidak berada telah berjaya memperolehi dan memiliki tanah sendiri, malah dengan kejayaan ini mereka telah berpeluang menikmati segala kemudahan yang disediakan oleh Felda untuk hidup yang lebih selesa.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids

Rabu, 31 Julai 2019

PEMBENTUKAN KABINET PERTAMA PERSEKUTUAN TANAH MELAYU


 Oleh-AHMAD BIN YAAKOB.

Pada  hari  ini  dalam  tahun  1955,  Tunku  Abdul  Rahman  Putra,  Ketua  Parti  Perikatan  telah  membentuk  Kabinet Pertama Persekutuan  Tanah  Melayu.  Pembentukan  Kabinet  itu  berikutan  kemenangan  besar  Perikatan  dalam  Pilihan raya   Persekutuan  Tanah  Melayu  yang  telah  berlangsung  pada  27  Julai   1955,  dengan   memenangi  51  daripada   52  kerusi  yang  dipertandingkan.  Pembentukan  barisan  Kabinet  pertama  ini  terdiri  daripada 10 orang  Menteri,  2  orang  Timbalan  Menteri  dan  3 orang  Penolong  Menteri.   Anggota  Jemaah  Kabinet  yang   dilantik   terdiri  daripada   pemimpin-pemimpin  parti  yang  menaungi  dibawah  Parti  Perikatan  iaitu  UMNO,  MCA  dan  MIC.  Pengumuman  rasmi  pembentukan  anggota  Kabinet  pertama  ini  telah  dilakukan  oleh  Pesuruhjaya  Tinggi  British,  Sir  Donald  Mac  Gillivary  pada   4  Ogos  1955  di  King’s  House  setelah  diperkenakan  oleh  Raja-Raja  Melayu  sebagaimana  yang  diperuntukan  di dalam  Perjanjian  Persekutuan  Tanah  Melayu.   Upacara  mengangkat  sumpah  telah  diadakan  pada  9  Ogos  1955  dengan  disaksikan  oleh  Ketua  Hakim  Mr.  Prethaser.   Sesungguhnya  dengan  pembentukan  Kabinet  Pertama  Persekutuan  Tanah  Melayu  pada  tahun  1955,  telah  merintis   kepada   kemerdekaan  negara  pada  31  Ogos  1957.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids

Selasa, 30 Julai 2019

SURAT PERSETUJUAN PENYERAHAN LUKUT KEPADA SUNGAI UJONG

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Kawasan persempadanan negara ini telah mengalami pelbagai perubahan.  Sejak daripada Zaman Kesultanan Melayu Melaka, pelbagai faktor seperti politik, ekonomi dan sosial telah membawa perubahan sempadan geografi di atas kuasa yang memerintah pada masa tersebut. Pada hari ini 30.07.1880 satu surat persetujuan penyerahan Lukut kepada Sungai Ujong telah dicapai setelah satu rundingan di antara Sultan Abdul Samad Selangor, Dato' Kelana Sungai Ujong, Raja Bot dan Raja Daud yang telah diadakan di Singapura.  Melalui persetujuan yang ditandatangani ini bersama ini penyelesaian hal Lukut yang telah dimasukkan ke dalam Daerah Sungai Ujong. Melalui surat persetujuan ini berakhirlah pemerintahan Raja Bot dan ayahya Raja Juma'at ke atas Lukut yang memakan masa 32 tahun.  Melalui perjanjian ini juga Raja Bot dan keluarga beliau menerima wang berjumlah RM 27,000. Pertikaian berkenaan daerah Lukut bermula apabila pada tahun 1862 Dato' Kelana Sendong yang menjadi Dato' Kelana Sungai Ujong beliau menuntut daerah Lukut dan mengatakan Lukut sebahagian daripada daerah Sungai Ujong.  Ekoran daripada ini rundingan-rundingan telah diadakan di antara pihak Selangor dan Sungai Ujong akhirnya pada hari ini 30 Julai 1880 penyelesaian telah dicapai berkaitan dengan masalah Lukut.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids

Ahad, 28 Julai 2019

MAHARAJA ABU BAKAR DITABAL SEBAGAI SULTAN JOHOR


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 29.07.1886, Maharaja Abu Bakar telah ditabalkan sebagai Sultan Johor. Upacara pertabalan berlangsung di Istana Besar Johor Bahru dengan cara yang sederhana tetapi penuh istiadat. Sultan Abu Bakar telah dilantik menjadi Temenggong Johor menggantikan ayahandanya Tun Ibrahim pada 1862. Baginda mendapat gelaran Maharaja pada tahun 1868. Sungguhpun baginda telah menaiki takhta Kerajaan Johor pada 1877, setelah kemangkatan Sultan Ali, tetapi upacara pertabalan hanya berlangsung 9 tahun kemudian iaitu pada hari ini dalam tahun 1886. Sebagai seorang Sultan yang memerintah, baginda amat disayangi dan disanjung tinggi oleh rakyat. Ini adalah kerana jasa-jasa dan usaha gigih baginda membangun dan memodenkan negeri Johor dalam segala bidang termasuk sosial, ekonomi dan politik. Dalam bidang sosial baginda memainkan peranan penting dengan usaha menubuhkan perkhidmatan perubatan, pelajaran, pos dan kemudahan awam. Manakala dalam bidang ekonomi pula, sebagai seorang yang berminat dengan perniagaan baginda telah menggalakkan kemasukan buruh-buruh asing menetap di Johor bagi memajukan perusahaan lada hitam dan gambir. Di samping itu baginda juga telah mengusahakan penubuhan pejabat kastam bagi memudah pemasaran hasil-hasil tersebut. Memandangkan kegigihan baginda memaju dan memodenkan Johor, sudah sewajarnya baginda digelar 'Bapa Johor Moden' dan menjadi Sultan yang paling masyhur hingga keluar negara. Ini adalah kerana sikap dan kegemaran baginda menjelajah dan mendampingi orang kenamaan termasuk Queen Victoria dan King George V. Dengan itu tidak hairanlah kemasyhuran baginda kekal hingga ke hari ini walaupun baginda telah mangkat pada 4 Jun 1895.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids