Sabtu, 27 Julai 2019

Baddrol puas cipta sejarah

Ahad, 28 Julai 2019 | 7:46am
 
PENGADIL perlawanan dari Jepun, Okabe Takuto melayangkan kad kuning kepada pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar pada final Piala FA 2019 Kedah menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
Baddrol puas cipta sejarah
Oleh Mohd Fitrie Muhammad danZulfaizan Mansor dan Syafiq Aznan
sukanteam@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar mengakui puas selepas berjaya mencipta sejarah peribadi dengan menjulang Piala FA buat kali keempat bersama Helang Merah.

Kedah dinobatkan sebagai juara Piala FA musim ini selepas menundukkan satu lagi pasukan dari utara tanah air, Perak 1-0 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Baddrol yang menjadi perancang utama Helang Merah tidak pernah berhijrah ke pasukan lain sepanjang kerjayanya sudah menjulang trofi itu pada 2007, 2008 dan 2017.

"Saya memang tekad untuk mendapatkan piala ini sebab saya ingin mencipta sejarah sebagai seorang pemain yang merangkul empat kejuaraan Piala FA dalam satu kelab," kata Baddrol pada sidang media selepas perlawanan.

Kedah seharusnya perlu berterima kasih kepada pemain gantian, Fadzrul Danel Mohd Nizam selepas jaringan tunggalnya pada minit ke-105 memberikan kejuaraan Piala FA buat kali kelima kepada Helang Merah.

Selain itu, Baddrol menjelaskan kejayaan di Piala FA menjadi suntikan semangat buat pasukannya untuk fokus kepada saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirai bulan depan.

"Syukur kami dapat bawa balik Piala FA ke bumi Kedah dan kami tetap akan fokus kepada Piala Malaysia. Kami akan adakan sambutan Piala FA di Darul Aman," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 28 Julai 2019 | 7:46am

Khamis, 25 Julai 2019

PORTUGIS MENYERANG MELAKA


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada bulan April 1511 Alfonso de Albuquerque telah meninggalkan Goa di India dengan menaiki kapal perangnya Flor de la Mar untuk menyerang Melaka.  Beliau tiba di pelabohan Melaka pada 1 Julai 1511. Kedatangan beliau adalah ekoran daripada peristiwa yang telah dialami oleh Panglima Perangnya Lopez de Sequeira semasa rombongan tersebut yang datang ke Melaka pada 1509.  Dalam peristiwa tersebut rombongan Lopez de Sequeira telah diserang dan sebilangan askarnya ditahan oleh Bendahara Melaka.  Keadaan ini terjadi di atas hasutan pedagang-pedagang Arab dan India yang menaruh curiga dan iri hati terhadap perdagangan yang akan dijalankan oleh saudagar-saudagar Eropah itu. Pada hari ini 25 Julai 1511, Alfonso de Albuqueque telah mula menyerang bandar dan pelabuhan Melaka selepas beberapa rundingan dengan pemerintah Melaka menemui jalan buntu. Sultan Mahmud dan anakanda baginda Raja Ahmad berserta dengan pasukan tenteranya telah bermati-matian mempertahankan Melaka daripada serangan ganas Portugis itu.  Pihak Portugis pula mempunyai maksud yang lebih besar iaitu selain dari ingin menguasai pelabuhan yang kaya itu mereka juga membawa misi keagamaan tersendiri iaitu meneruskan perang salib ke atas orang-orang Islam seluruh dunia. Askar Portugis telah melancarkan serangan pada waktu Subuh pada hari ini dengan kekuatan tentera seramai 800 orang Portugis, dan 200 orang askar Malabar yang lengkap bersenjata.  Mereka mendarat di bahagian utara dan selatan bandar Melaka. Sultan Mahmud dan Raja Ahmad telah bertempur hebat dengan tentera Portugis selama beberapa jam yang mengakibatkan ramai askar daripada kedua-dua belah pihak terbunuh. Banyak rumah, harta benda dan istana Sultan sendiri telah musnah dalam serangan ini. Saki baki askar-askar Portugis pula yang merasakan kekalahan telah lari semula ke kapal perang mereka di laut.  Ramai diantara mereka mati terkena tembakan meriam, tombak dan sumpitan beracun orang-orang Melayu. Orang-orang  Melayu Melaka telah dapat mempertahankan tanah air mereka dari pencerobohan Portugis dalam serangan kali pertama ini. Mereka telah dapat mempertahankan Melaka daripada kuasa besar yang mempunyai tujuan untuk menguasai perdagangan dan menghapuskan perkembangan Islam. Kekalahan Portugis itu kemudiannya telah ditebus kembali pada 10 Ogos 1511, apabila Alfonso de Albuquerque sekali lagi menyerang bandar Melaka.  Dengan tipu helah yang dijalankan oleh Alfonso de Albuquerque dan sikap saudagar-saudagar India di dalam bandar Melaka yang membantu Portugis serta bantuan daripada jong-jong saudagar China di laut telah memberikan kejayaan kepada Portugis menguasai bandar dan Pelabohan Melaka yang kaya raya itu.  Portugis terus bertapak di Melaka hinggalah kalah di tangan askar-askar Belanda pada 1641.[i]



[i]http://www2.arkib.gov.my/hids

Rabu, 24 Julai 2019

Tuah jemaah berusia 101 tahun


 SYED Saleh Syed Abd. Rahman (kiri),  Sheikh Hisham Damanhouri
SYED Saleh Syed Abd. Rahman (kiri), Sheikh Hisham Damanhouri (dua dari kiri, belakang), Sheikh Mohamad Amin Andaqiri (tiga dari kiri belakang) bersama jemaah tertua, Abdul Gapak Mahmud dan isterinya, Siti Mainmun Hassan pada majlis memotong kek sempena sambutan harijadi Abdul Gapak di bangunan Abraj Al-Janadriyah, semalam. - UTUSAN ONLINE
Mohd. Ridzwan Iman

22 Julai 2019 4:37 PM

MEKAH 22 Julai - Siapa tidak terkejut. Seorang nelayan dari sebuah kampung di Kudat, Sabah, tiba-tiba diberi layanan seperti tetamu kenamaan sebaik sahaja menjejak kaki ke tanah suci, Mekah Al Mukaramah.

“Kami disambut macam Tun Dr. Mahathir Mohamad pula,” kata Siti Maimun Hassan, 60, isteri kepada jemaah tertua dari Malaysia, Abdul Gapak Mahmud, yang berumur 101 tahun.

Selepas diberi sambutan sebaik tiba di sini kelmarin dan kemudiannya diiringi petugas Tabung Haji dan Muassasah Asia Tenggara ke Masjidilharam untuk menyelesaikan umrah, satu lagi sambutan diberikan kepada pasangan jemaah itu.


Semalam, pihak Muassasah telah mengadakan majlis khas memotong kek sempena sambutan harijadi untuk Abdul Gapak yang dilahirkan pada 3 Julai 1918.

Ketua Muassasah Asia Tenggara, Sheikh Mohamad Amin Hassan Andaqiri berkata, sambutan diberikan kepada Abdul Gapak kerana mereka begitu berbangga berpeluang melayan jemaah berusia melebihi 100 tahun.

Katanya, kerajaan dan rakyat Arab Saudi sememangnya sangat menghargai warga tua dan berharap mereka berada dalam keadaan sihat sehingga selesai menunaikan ibadat haji.

“Dia seperti bapa kepada kita semua, setakat ini Abdul Gapak merupakan jemaah tertua dalam kalangan jemaah haji Asia Tenggara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis itu yang diadakan di Maktab 79, Abraj Al-Janadriyah di sini.

Turut hadir Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd. Rahman dan Ketua Maktab 79, Sheikh Hisham Damanhouri.

Syed Saleh berkata, sejak tiba, pemeriksaan doktor mendapati keadaan kesihatan Abdul Gapak dalam keadaan baik.

Abdul Gapak yang pertama kali menunaikan haji melahirkan rasa syukur dengan sambutan dan layanan yang diberikan oleh pihak Muassasah dan Tabung Haji.

“Mana ada orang tua datang buat haji disambut begini,” katanya sambil berseloroh.

Dia juga berkata, mungkin tuah isteri keduanya menguatkan semangat dan kesihatannya untuk menunaikan haji di usia tua, selepas kematian isteri pertama.

Ditanya rahsia kekal sihat, Abdul Gapak berkata, tiada apa-apa rahsia diamalkannya tetapi hanya makan nasi dengan ikan, ayam dan daging yang tidak digoreng serta tidak menggemari sayur.SUMBER - UTUSAN ONLINE 22 Julai 2019 4:37 PM

Selasa, 23 Julai 2019

SULTAN ABDULLAH MENANDATANGANI PENGISYTIHARAN MEMBERI KUASA MEMUNGUT CUKAI KEPADA RESIDEN

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

Pada hari ini 24.07.1874, Sultan Abdullah yang dilantik menjadi Sultan Perak berikutan dengan pengisytiharan memberi kuasa memungut cukai kepada Residen. Pengisytiharan ini telah diketepikan buat beberapa waktu kerana keengganan baginda menandatanganinya akibat daripada perlantikan dan perselisihan yang berlaku dengan J.W.W. Birch iaitu Residen Inggeris yang pertama di Perak. Kedatangan Birch di Perak sebagai Residen Inggeris tidak menyenangkan hati Sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar Negeri kerana sikap dan tindakannya yang dianggap melampau batas. Perselisihan Sultan Abdullah dengan Birch menjadi rumit apabila Birch tidak bersetuju dengan tindakan Sultan Abdullah memajakkan kuasa memungut cukai di Muara Sungai Perak kepada seorang saudagar Cina. Birch berpendapat kuasa memungut cukai itu hendaklah diserahkan kepada pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik olehnya. Dalam bulan Februari dan Mac, Birch telah mendesak Sultan Abdullah supaya menandatangani pengisytiharan yang membolehkan beliau mengambil alih tugas-tugas memungut semua cukai. Sultan Abdullah dengan disokong oleh Laksamana dan Menteri Larut enggan menandatangani pengisytiharan tersebut. Sultan Abdullah telah bertindak menulis surat dan cuba menghantar wakil menemui Sir Andrew Clarke untuk meminta supaya Birch ditukarkan ataupun dihadkan kuasanya. Tetapi tindakan Sultan Abdullah itu telah gagal. Satu lagi perselisihan antara Sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar Perak dengan Birch telah terjadi apabila Residen bertindak melindungi hamba abdi yang melarikan diri. Orang-orang besar menganggap perbuatan ini sebagai satu cabaran kepada hak turun temurun mereka. Sementara itu Birch sekali lagi meminta Sultan Abdullah menandatangani pengisytiharan berkaitan dengan kuasa memungut cukai tersebut dan Sultan diberi tempuh sehingga 20hb. Julai, untuk berbuat demikian kalau tidak jawatan baginda akan diturunkan. Memandangkan kepada ancaman ini, satu mesyuarat telah diadakan pada 21hb. Julai di Durian Sebatang dengan dihadiri oleh pembesar-pembesar Perak atau wakil-wakil mereka kecuali Raja Yusof. Hasil mesyuarat ini satu rancangan telah diatur untuk membunuh Birch yang dianggap telah merosakkan adat istiadat yang lama. Maharaja Lela sanggup menjalankan pembunuhan tersebut. Sultan Abdullah pula pada zahirnya akan menunjukkan perhubungannya yang biasa dengan Residen, dan bersetuju menandatangani pengisytiharan yang memberi kuasa memungut semua cukai kepada Residen. Dalam pada itu dengan cara sulit, Sultan Abdullah telah menghantar orang-orang baginda ke Pulau Pinang untuk membeli senjata bagi pemberontakan yang akan dijalankan. Akhirnya rancangan ini sampai ke puncaknya apabila Birch dibunuh dalam bulan November 1875 di Pasir Salak.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids

Isnin, 22 Julai 2019

PEMBUKAAN RASMI PUSAT LATIHAN HARIAN, KUANTAN 23.7.1965


PEMBUKAAN RASMI PUSAT LATIHAN HARIAN, KUANTAN 23.7.1965
Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam melahirkan masyarakat yang berilmu dan kemahiran.  Sejak mencapai kemerdekaan, usaha-usaha sentiasa dijalankan bagi memberi pendidikan kepada penduduk di negara ini.

Pada hari ini, 23.7.1965, Menteri Pelajaran, YB Encik Mohd. Khir Johari telah merasmikan Pusat Latihan Harian Kuantan Pahang.

Di bawah Rancangan Lima Tahun Kedua (19610-1965) pelbagai kemudahan pelajaran telah disediakan di negeri Pahang.  Dalam tempoh tersebut sebanyak 133 buah sekolah baharu, 2 pusat latihan harian, 3 sekolah pelajaran teknik, 5 buah asrama dan 191 rumah guru telah didirikan.

Dengan penubuhan Pusat Latihan Harian ini, pelbagai kemahiran telah dapat diberikan kepada para penduduk dan ini telah membawa kepada wujudnya tenaga pekerja yang berkemahiran, berdikari dan berpengalaman dalam memenuhi kehendak negara.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids

Ahad, 21 Julai 2019

SULTAN PAHANG DIISYTIHAR SEBAGAI KETUA PELEMBAGAAN UIA


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Sejarah pendidikan tinggi Islam di negara ini semakin nyata apabila tertubuhnya Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di negara ini. Selain daripada pengambilan pelajar-pelajar tempatan, universiti ini juga mengambil pelajar daripada luar negara, Universiti Islam Antarabangsa telah ditubuhkan secara rasmi pada 21 Mei 1983, apabila Yang di-Pertuan Agong menandatangani persetujuan penubuhannya. Dalam usaha memantapkan pentadbiran Universiti ini, pada hari ini 22 Julai 1983, Yang di-Pertuan Agong telah melantik Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah sebagai Ketua Pelembagaan UIA. Pada masa yang sama Ketua Perlembagaan telah melantik bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Hussein Onn, sebagai Presiden UIA yang pertama. Pengumuman ini telah dibuat oleh Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Sulaiman Daud sewaktu melawat Kampus Sementara di Maktab Perguruan Islam, Petaling Jaya, Selangor. Selain daripada pelantikan dua jawatan tertinggi di atas, pelantikan pegawai-pegawai kanan akademik telah dilakukan. Bagi bidang akademik iaitu Prof. Datuk Ahmad Ibrahim sebagai Kuliyah Undang-undang, Prof. Dr.Mohd Kamal Hassan sebagai Syeikh Markaz Ilmu Teras dan Prof. Madya Syed Othman Syed Hussain Al-Habshi sebagai Penyelaras Program Ekonomi dan Pengajian Perniagaan.  Universiti Islam Antarabangsa akan memulakan sesi pengajian buat pertama kali pada 18 Julai 1983, dengan pengambilan 180 orang pelajar daripada dalam dan luar negeri iaitu 130 daripada negara ini dan 50 daripada luar negara. Buat permulaan dua program asas yang diperkenalkan ialah program Undang-undang dan Ekonomi. Dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pelajaran ini, usaha-usaha mempercepatkan kemajuan Universiti Islam yang pertama di negara ini akan dapat berjalan dengan lebih lancar lagi.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids

Khamis, 18 Julai 2019

Tinggalan masjid purba dijumpai di Bedouin


PEKERJA Muslim Pihak Berkuasa Antikuiti mengerjakan solat di tinggalan
PEKERJA Muslim Pihak Berkuasa Antikuiti mengerjakan solat di tinggalan masjid purba di pekan Bedouin, Rahat hari ini. - AFP
18 Julai 2019 11:12 PM

RAHAT 18 Julai - Sekumpulan ahli arkeologi Israel menemukan tinggalan masjid purba dari abad tujuh dan lapan selepas Masihi di pekan Bedouin.

Pihak Berkuasa Antikuiti berkata, tinggalan itu dijumpai ketika persiapan untuk membina bangunan baharu di pekan terbabit.


Tinggalan itu berbentuk segi empat tepat dan mempunyai mihrab.

Pihak berkuasa menyifatkan ia adalah salah satu masjid di kawasan perkampungan yang tertua di dunia. – AFP
Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 18 Julai 2019 11:12 PM