Isnin, 22 Julai 2019

PEMBUKAAN RASMI PUSAT LATIHAN HARIAN, KUANTAN 23.7.1965


PEMBUKAAN RASMI PUSAT LATIHAN HARIAN, KUANTAN 23.7.1965
Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam melahirkan masyarakat yang berilmu dan kemahiran.  Sejak mencapai kemerdekaan, usaha-usaha sentiasa dijalankan bagi memberi pendidikan kepada penduduk di negara ini.

Pada hari ini, 23.7.1965, Menteri Pelajaran, YB Encik Mohd. Khir Johari telah merasmikan Pusat Latihan Harian Kuantan Pahang.

Di bawah Rancangan Lima Tahun Kedua (19610-1965) pelbagai kemudahan pelajaran telah disediakan di negeri Pahang.  Dalam tempoh tersebut sebanyak 133 buah sekolah baharu, 2 pusat latihan harian, 3 sekolah pelajaran teknik, 5 buah asrama dan 191 rumah guru telah didirikan.

Dengan penubuhan Pusat Latihan Harian ini, pelbagai kemahiran telah dapat diberikan kepada para penduduk dan ini telah membawa kepada wujudnya tenaga pekerja yang berkemahiran, berdikari dan berpengalaman dalam memenuhi kehendak negara.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids

Ahad, 21 Julai 2019

SULTAN PAHANG DIISYTIHAR SEBAGAI KETUA PELEMBAGAAN UIA


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Sejarah pendidikan tinggi Islam di negara ini semakin nyata apabila tertubuhnya Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di negara ini. Selain daripada pengambilan pelajar-pelajar tempatan, universiti ini juga mengambil pelajar daripada luar negara, Universiti Islam Antarabangsa telah ditubuhkan secara rasmi pada 21 Mei 1983, apabila Yang di-Pertuan Agong menandatangani persetujuan penubuhannya. Dalam usaha memantapkan pentadbiran Universiti ini, pada hari ini 22 Julai 1983, Yang di-Pertuan Agong telah melantik Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah sebagai Ketua Pelembagaan UIA. Pada masa yang sama Ketua Perlembagaan telah melantik bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Hussein Onn, sebagai Presiden UIA yang pertama. Pengumuman ini telah dibuat oleh Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Sulaiman Daud sewaktu melawat Kampus Sementara di Maktab Perguruan Islam, Petaling Jaya, Selangor. Selain daripada pelantikan dua jawatan tertinggi di atas, pelantikan pegawai-pegawai kanan akademik telah dilakukan. Bagi bidang akademik iaitu Prof. Datuk Ahmad Ibrahim sebagai Kuliyah Undang-undang, Prof. Dr.Mohd Kamal Hassan sebagai Syeikh Markaz Ilmu Teras dan Prof. Madya Syed Othman Syed Hussain Al-Habshi sebagai Penyelaras Program Ekonomi dan Pengajian Perniagaan.  Universiti Islam Antarabangsa akan memulakan sesi pengajian buat pertama kali pada 18 Julai 1983, dengan pengambilan 180 orang pelajar daripada dalam dan luar negeri iaitu 130 daripada negara ini dan 50 daripada luar negara. Buat permulaan dua program asas yang diperkenalkan ialah program Undang-undang dan Ekonomi. Dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pelajaran ini, usaha-usaha mempercepatkan kemajuan Universiti Islam yang pertama di negara ini akan dapat berjalan dengan lebih lancar lagi.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids

Khamis, 18 Julai 2019

Tinggalan masjid purba dijumpai di Bedouin


PEKERJA Muslim Pihak Berkuasa Antikuiti mengerjakan solat di tinggalan
PEKERJA Muslim Pihak Berkuasa Antikuiti mengerjakan solat di tinggalan masjid purba di pekan Bedouin, Rahat hari ini. - AFP
18 Julai 2019 11:12 PM

RAHAT 18 Julai - Sekumpulan ahli arkeologi Israel menemukan tinggalan masjid purba dari abad tujuh dan lapan selepas Masihi di pekan Bedouin.

Pihak Berkuasa Antikuiti berkata, tinggalan itu dijumpai ketika persiapan untuk membina bangunan baharu di pekan terbabit.


Tinggalan itu berbentuk segi empat tepat dan mempunyai mihrab.

Pihak berkuasa menyifatkan ia adalah salah satu masjid di kawasan perkampungan yang tertua di dunia. – AFP
Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 18 Julai 2019 11:12 PM

SMK JENGKA 2 DI BAWAH PENTADBIRAN EN.IBRAHIM MOHAMAD 1973-1979.

[SEJARAH SMK JENGKA 2 SIRI 2]
OLEH- AHMAD BIN YAAKOB

      Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 2 dibuka pada 1 Januari 1973 di kawasan seluas 15 hektar merupakan sekolah menengah pertama di Wilayah Pembangunan Jengka. Sekolah ini memulakan operasinya sehari selepas Pengetua pertama iaitu Tuan Haji Ibrahim Haji Mohamad melaporkan diri pada 1 Januari 1973.[1] Pada masa itu bilangan pelajar ialah 87 orang, manakala tenaga pengajarnya seramai 4 orang. Mereka ialah Encik Mat Yusof bin Ismail, Puan aminah Hj Koya, Cik Jamaliah binti Aman dan Encik Ibrahim bin Hj Mohammad sebagai Guru Besar.[2]





[1]Majalah Jaya Edisi 24 2002, hlm.5.
[2] Majalah Jaya 1978,5.

Selasa, 16 Julai 2019

Rekod Indra Putra dapat penghargaan

INDRA PUTRA MAHAYUDDIN  menerima penghormatan atas kejayaan meledak
INDRA PUTRA MAHAYUDDIN menerima penghormatan atas kejayaan meledak lebih 100 gol dalam saingan Liga Super sebelum sepak mula antara Kuala Lumpur dan JDT di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam. - Gambar MFL
14 Julai 2019 9:15 PM

KUALA LUMPUR - Pencapaian cemerlang Indra Putra Mahayuddin yang telah meledak lebih 100 gol dalam aksi Liga Super sepanjang kariernya mendapat penghargaan daripada rakan penaja Liga Malaysia (Liga M), 100Plus.

Semalam, Pengurus Penajaan dan Peng­aktifan F&N Beverages Marke­ting Sdn. Bhd., Engku Isyamuddin Tuan Losin memberikan penghargaan itu sebelum perlawanan Liga Super di antara Kuala Lumpur menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.


Pada April lalu, Indra Putra yang bakal menginjak usia 38 tahun pada 1 September ini, meledak gol ke-100 ketika menentang PKNS FC dalam aksi di Shah Alam.

Kejayaan Indra, yang merupakan pemain Malaysia pertama melakar pencapaian itu turut mendapat penghormatan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). – SUMBER-UTUSAN ONLINE 14 Julai 2019 9:15 PM


Sabtu, 13 Julai 2019

7 DISEMBER 1990 TUNKU ABDUL RAHMAN MENINGGAL DUNIA

      Pada 7.12 1990,   Bapa  Kemerdekaan Negara, YTM  Tunku  Abdul Rahman Putra Al-Haj  telah  kembali  ke  rahmatullah  pada  usia  87  tahun  di Hospital  Besar  Kuala  Lumpur  pada  jam  10.25  malam.   Jenazah Almarhum telah di bawa ke Bangunan Parlimen  daripada  tempat   kediamannya  bagi  membolehkan orang ramai memberikan  penghormatan  terakhir.  Satu  upacara  penghormatan  terakhir  juga  telah diadakan  di  Stesen  Tentera  Udara  Diraja Malaysia oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia,  sejurus  sebelum Jenazah Almarhum diterbangkan ke Alor Setar,  Kedah untuk  disemadikan di Makam Diraja Langgar, disisi makam kekandanya, Tunku Yusof, Tunku Mohammed Dewa, Tunku Kassim  dan  Sultan Badlishah.    Tunku  Abdul  Rahman  merupakan  putera  ketujuh  kepada  Sultan  Abdul  Hamid  Halim  Shah  dan  telah  diputerakan  oleh  bondanya,  Manjalara  pada  8  Februarui 1903.  Penglibatan Tunku dalam politik UMNO bermula sejak tahun 1949 setelah menjadi Pengerusi UMNO Kedah.  Atas desakan Tun Abdul Razak, beliau menawarkan dirinya menjadi Yang di-Pertua Agong UMNO pada 1951 bagi menggantikan Dato' Onn Jaafar yang meletakan jawatan dengan menewaskan dua pencabar lain dalam pemilihan itu.  Sesungguhnya  segala  jasa  bakti  dan  sumbangan  Almarhum  Tunku  terhadap  negara  akan  tetap  terus  dikenang  dan  dijulang  selamanya.[1]


[1] http://www2.arkib.gov.my/hids/

Kepala firaun kena lelong


MyMetroGlobal
 
Reuters
LONDON: Satu patung kepala firaun yang dikenali sebagai raja Tutankhamen dilelong dengan harga dijangka mencecah AS$5 juta (RM20.65 juta) semalam walaupun kerajaan Mesir menuntut artifak itu dipulangkan.

Patung yang diukir dari batu kuarzit coklat berusia lebih 3,000 tahun itu dipamerkan dan bakal dijual di rumah lelongan Christie di sini.

Setiausaha agung Majlis Tinggi Barang Purba Mesir, Mostafa Waziri berkata, dia kecewa lelongan itu diteruskan walaupun pihaknya meminta maklumat dan protes daripada kerajaan serta kedutaan Mesir di London.

“Saya percaya ia dibawa keluar dari Mesir secara haram. Mereka tidak mengemukakan dokumen untuk membuktikan sebaliknya.

“Kami tidak akan berhenti, kami akan mengekori pemiliknya dan juga pembelinya. Kami akan terus dan terus mendesak supaya ia dipulangkan,” tegasnya.

Bagaimanapun, pegawai di Christie memberitahu, firma itu mengambil langkah yang perlu bagi membuktikan asal-usulnya dan jualan itu adalah sah.

Patung setinggi 28.5 sentimeter itu berada dalam keadaan sangat baik, cuma bahagian hidung dan telinga mengalami kerosakan.

Ia dijangka dijual lebih AS$5 juta termasuk komisyen dan dijangka dibeli oleh pengumpul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 1:08 AM

Artifak seludup kini dipulangkan
MyMetroGlobal

AFP
LONDON: Artifak purba dari Iraq dan Afghanistan yang dirampas di Britain akan dikembalikan ke negara asalnya selepas penilaian dibuat oleh Muzium British, kata institusi itu hari ini.

Muzium yang terletak di London itu mendedahkan ia bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang termasuk Angkatan Sempadan United Kingdom dan Polis Metropolitan ibu negara untuk mengembalikan barang seludup ketika tempoh konflik baru-baru ini.

Antara artifak yang akan dihantar kembali ke Afghanistan termasuklah patung ukiran Gandharan yang dieksport secara haram ke Britain pada 2002.

Satu lagi tarikan utama yang akan dikembalikan ke Iraq iaitu 154 tulisan teks Mesopotamia ditulis di atas tanah liat dalam skrip cuneiform, dikenali sebagai salah satu sistem penulisan terawal. Ia dirampas ketika diseludup masuk pada 2011.

Kedua-duanya dihasilkan antara abad ke-6 dan ke-4 SM.

“Muzium British bekerjasama secara meluas dengan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mengenal pasti dan memulangkan benda yang dicuri dari Iraq dan Afghanistan semasa konflik baru-baru ini dan ini adalah contoh yang sangat baik,” kata pengarah muzium, Hartwig Fischer mengenai tablet unik.

Ia akan diserahkan kepada Muzium Iraq di Baghdad, yang juga sebahagian daripada Dewan Antikuiti dan Warisan Negeri Iraq.

Tambahnya, muzium berkenaan turut berusaha mendapatkan kebenaran daripada Muzium Negara Afghanistan untuk mempamerkan beberapa artifak berkenaan di London sebelum ia dipulangkan.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 11:30 PM