Isnin, 3 Disember 2018

Neraka buat Abu Lahab, Ummu Jamil


ARKIB : 26/10/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PADA suatu masa di Kota Mekah, di satu kawasan yang dikenali Shafa yang tidak berapa jauh dari Kaabah, tinggal sepasang suami isteri di sebuah rumah yang sentiasa dihias cantik dan lebih mewah berbanding jiran-jirannya yang lain.

Namun rumah pasangan ini sentiasa tertutup pintu dan tingkapnya yang memberikan gambaran penghuninya mempunyai sifat dengki, tamak haloba, sombong dan egoistik.

Pasangan suami isteri itu tidak lain tidak bukan ialah Abu Lahab dan isterinya, Ummu Jamil.

Nama sebenar Abu Lahab ialah Abdul Uzza, putra tokoh Quraisy yang disegani, Abdul Mutalib yang juga saudara tokoh-tokoh yang disegani di kalangan kaum itu iaitu Abdullah, Abu Talib dan Abbas.

Akan tetapi, Abu Lahab memiliki sifat yang tidak sama dengan saudara-saudaranya itu, baik dalam hal kesopanan, keberanian mahupun yang lain. Abu Lahab (perkataan Arab yang bermakna mempunyai kulit yang putih dan cerah) mungkin kebetulan boleh disamakan dengan perkataan Melayu kita 'lahab.'

Ini kerana Abu Lahab memang terkenal sikap rakus dan tamak dalam banyak hal. Perbuatan beliau yang dianggap paling melampaui batas apabila Abu Lahab dikatakan pernah mencuri emas-emas yang terdapat di Kaabah.

Isterinya, Ummu Jamil juga seorang yang ego, suka berdengki dan pelbagai perangai buruk yang lain. Sifat-sifat buruk itu sebagai menutup kekurangan yang ada pada dirinya, iaitu sebelah daripada matanya, buta.

Cacat pada matanya itu membuatkannya selalu merasa iri kepada sesiapa sahaja.

Sehinggalah pada suatu Subuh yang hening, Ummu Jamil hampir-hampir bergaduh dengan suaminya apabila tidur mereka terganggu dek satu suara yang melaung-laung dan memanggil orang ramai untuk berkumpul.

Abu Lahab begitu memarahi isterinya kerana dia masih mahu tidur dan pening kerana mabuk.

"Celaka aku keranamu wahai perempuan jahat!" kata Abu Lahab terhadap isterinya itu.

Lalu dibalas juga oleh Ummu Jamil dengan kata-kata yang kesat. "Aku pun celaka kerana kau wahai pemalas yang suka tidur! Demi kebenaran berhala, jika kamu tidak memberitahuku (siapa yang melaung-laungkan suara itu) nescaya tidak akan ku biarkan kamu tidur dengan tenang walau sekejap!" katanya.

Akhirnya Abu Lahab bingkas bangun dan mahu menyertai perhimpunan setelah beliau dapat mengenalpasti suara yang memanggil-manggil itu iaitu tidak lain tidak bukan anak saudaranya sendiri, Nabi Muhammad.

"Pasti itu Muhammad yang memanggil kita kerana ada suatu hal yang penting," kata Abu Lahab.

"Barangkali ada harta yang akan diberi olehnya kepada kita," sampuk Ummu Jamil.

Abu Lahab pun segera menyertai anak saudaranya yang ketika itu telah berada di atas Bukit Safa dan menyeru kepada seluruh yang hadir.

"Apakah kamu akan percaya seandainya ku katakan kepadamu bahawa seekor keldai telah keluar dari kaki bukit ini?" teriak Nabi Muhammad kepada semua yang hadir.

"Kamu tidak pernah mendustai kami, kami mempercayai kamu!" ujar mereka hampir serentak.

Lalu Nabi Muhammad pun berkata; "Sesungguhnya aku adalah seorang pemberi peringatan kepadamu sebelum kamu menghadapi azab yang pedih!"

Abu Lahab yang mendengar kata-kata anak saudaranya itu terus pergi meninggalkan kaki Bukit Safa itu dengan marah-marah.

Abu Lahab sangat marah lalu berteriak dengan suara yang nyaring; "Celakalah kamu untuk selama-lamanya. Hanya untuk itukah kamu kumpulkan kami di sini?".

Daripada peristiwa inilah, Allah mengutuk Abu Lahab kerana sikapnya yang degil dan begitu memusuhi Islam dengan diturunkan-NYA surah al-Masaad (Bernyala-nyala), ayat 1 hingga 5, bermaksud: Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya. Dia akan masuk ke dalam api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya (Ummu Jamil) seorang pemunggah kayu api. Dilehernya ada tali daripada tali-tali yang dipintal daripada sabut.

(Sesetengah riwayat mengatakan ayat itu diturunkan sebagai mengecam tindakan Ummu Jamil yang suka menyakiti Rasulullah di kemuncak penentangan pasangan suami isteri ini terhadap baginda)

Setibanya di rumah, Abu Lahab disambut oleh isterinya yang kehairanan melihat kepulangan suaminya itu.

"Celakalah kamu wahai perempuan! Mengapa aku harus lama di sana. Kalau yang aku dapat hanyalah si Muhammad yang hendak mengajak kita semua supaya menerima ajaran baru dia itu," jawab Abu Lahab.

Mereka suami isteri semakin tidak senang duduk dengan perkembangan Islam yang semakin diterima oleh masyarakat Arab Quraisy. Mereka menjadi semakin dengki namun tahukah anda apakah faktor sebenarnya yang menjadikan mereka begitu benci kepada Islam?

Adakah semata-mata kerana menyembah berhala itu satu ajaran yang sangat mulia dan mesti dipertahankan?

Kata Abu Lahab kepada Ummu Jamil: "Kini kita perlu sedar setelah melihat kenyataan yang terjadi. Bahayanya mengenai Islam semakin diterima ramai apabila tidak akan ada lagi utusan atau orang Arab yang akan datang untuk mempersembahkan korban mereka kepada berhala-berhala kita.

"Kita tidak akan mendapat manfaat dengan seruan (Islam) Muhammad itu. Bukankah demikian wahai Ummu Jamil?" kata Abu Lahab.

Ternyata merekalah yang selama ini berkongsi hasil daripada penyembahan dan segala macam objek yang dijadikan korban kepada berhala-berhala.

Bukan kerana mempertahankan agama nenek moyang seperti yang selalu mereka laung-laungkan.

Sejak itu mereka suami isteri sentiasa berusaha untuk menyekat perkembangan Islam secara lebih serius.

Ini termasuklah Abu Lahab akan mengekori anak saudaranya yang keluar untuk menyampaikan dakwah Islamiah dan kemudian akan memburuk-burukkan Nabi di hadapan orang ramai dengan pelbagai kata yang menghina dan menyakitkan hati.

Sementara apa yang dilakukan oleh Ummu Jamil adalah lebih dahsyat lagi. Setiap hari beliau akan keluar untuk mengumpulkan kayu-kayu yang tajam dan penuh duri untuk ditaburkan di hadapan rumah dan sepanjang jalan yang sering dilalui oleh Nabi Muhammad.

Dikatakan tidak ada ruang sedikit pun di permukaan jalan tersebut kecuali semua penuh dengan duri yang pelbagai bentuk yang menyebabkan tanpa baginda sedari, baginda akan terpijak dan melukakan kakinya.

Maka itulah yang dilakukan oleh Ummu Jamil setiap hari kerana dia merasakan satu kebahagiaan dan kepuasan yang luar biasa setiap kali meletakkan duri-duri itu dan menyakiti anak saudaranya itu.

Untuk bertindak lebih jahat, dia kemudiannya melaksanakan satu lagi misi terhadap Rasulullah dan kali ini melibatkan hubungan kedua-dua buah keluarga.

Ummu Jamil segera menemui anaknya, Uthbah yang mengahwini anak perempuan Rasulullah yang bernama Ruqayyah dan seorang lagi anaknya, Mukhtab yang juga berkahwin dengan seorang lagi anak perempuan baginda yang bernama Ummu Kalsum.

Benar, Abu Lahab dan isterinya itu selama ini bukan sahaja mempunyai hubungan bapa saudara dan anak saudara dengan Nabi Muhammad malah mereka sebenarnya adalah berbesan.

Dek kerana bencinya Ummu Jamil terhadap besannya itu, beliau kemudiannya memaksa anak-anak lelakinya itu supaya menceraikan isteri masing-masing. Sehingga ke tahap itu sekali sehingga sanggup memutuskan hubungan yang suci semata-mata memenuhi nafsu syaitannya itu.

Pastinya Uthbah dan Mukhtab tidak dapat memenuhi kehendak ibu mereka yang melampau itu kerana selama ini mereka tidak menghadapi sebarang masalah dan bahagia dengan pasangan hidup masing-masing.

"Baiklah, jika itu keputusan kalian ibu akan pergi Kaabah dan akan bersumpah di hadapan berhala-berhala yang ada di situ, bahawa kamu semua bukan anak ibu lagi kerana kamu telah derhaka!" ancam Ummu Jamil.

Walaupun terkejut namun demi seorang ibu, mereka terus menemui bapa mertua, Nabi Muhammad.

Lalu melafazkan di hadapan baginda; "Mulai saat ini, kami menceraikan puteri-puteri anda yang kami kahwini selama ini dan mula menentang agama yang anda cuba sebarkan demi maruah berhala-berhala yang mulia!"

Rasulullah yang terkejut dengan tindakan menantu-menantu baginda itu tidak mampu melakukan apa-apa kecuali berdoa moga balasan yang setimpal ditimpakan terhadap keluarga Abu Lahab ini.

Ummu Jamil benar-benar bersorak kegembiraan atas tekanan demi tekanan yang beliau lakukan terhadap Rasulullah.

Namun semua itu masih tidak menghentikannya daripada terus menyakiti Rasulullah. Sehingga di akhir hayatnya, Ummu Jamil dalam usia lanjut akhirnya menemui ajal kerana keletihan menaburkan duri-duri di atas jalan bagi melukakan Nabi Muhammad itu.

Kisah Abu Lahab dan keluarganya ini merupakan kisah yang dikutip dari sebuah buku lama yang bertajuk Profil Di Balik Cadar - Kisah Wanita Dalam al Quran, karya Jabir Asy-syal (terbitan tahun 1986). Penulis memegang ijazah kedoktoran dalam Sastera Cum Laude dari Universiti Iskandariah Mesir, 1961

Walaupun pernah diceritakan mengenai kedua-dua mereka sebelum ini tetapi menerusi buku ini rasanya masih banyak mengenai Ummu Jamil dan Abu Lahab yang hendak dikongsi bersama.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YblRtav5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ketabahan Ibu Musa dibalas kebaikan


 ARKIB : 23/10/2009
YUKABID adalah ibu kepada Nabi Musa. Yukabid mengandungkan Musa ketika Firaun memerintahkan anak lelaki kaum Bani Israel dibunuh kerana bimbang anak lelaki akan menentang dan mengambil kekuasaannya.

Suatu ketika, Yukabid mendengar perintah Firaun itu. Alangkah sedihnya hati Yukabid kerana dia sedang sarat mengandung waktu itu. Yukabid terpaksa bersembunyi sahaja di rumah agar kandungannya tidak diketahui orang.

Sehinggalah tiba masanya, Yukabid pun melahirkan anaknya. Alangkah terkejutnya dia apabila anak yang dilahirkannya itu adalah anak lelaki.

Walaupun berasa takut dengan perintah Firaun, seboleh-bolehnya dia mahu mempertahankan nyawa anaknya itu. Dia tidak mahu anaknya itu menjadi korban undang-undang yang diperintahkan oleh Firaun yang zalim dan kejam.

Yukabid berjaya merahsiakan kelahiran Musa selama tiga bulan daripada pengetahuan Firaun dan tentera-tenteranya.

Walau bagaimanapun, hatinya tidak pernah tenteram melihat anaknya yang semakin membesar. Dia risau akan keselamatan Musa. Dalam kerisauan itulah, Allah Yang Maha Berkuasa telah memberi ilham kepada Yukabid agar membuat sebuah peti. Lalu Allah SWT memerintahkan agar Musa dimasukkan ke dalam peti dan dihanyutkan ke Sungai Nil.

Dengan hati yang tenang dan sabar, maka Yukabid pun menghanyutkan Musa ke sungai Nil seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT kepadanya. Peti itu dihanyutkan oleh arus sungai sehingga sampai ke istana Firaun.

Kebetulan pada hari itu, Asiyah permaisuri Firaun sedang bersiar-siar bersama dayang-dayangnya. Ketika sedang bersiar-siar itu, Asiyah menyuruh dayang-dayangnya mengambil sedikit air dari Sungai Nil. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati ada sebuah peti di sisi kaki mereka. Lalu diambil peti itu dan dibawakan kepada Asiyah.

Maka Asiyah terus membuka peti itu dan dilihatnya da seorang bayi di dalamnya. Apabila melihat akan wajah bayi itu, timbul rasa cinta dan kasih dalam hatinya terhadap bayi itu. Asiyah mengambil bayi itu dan dibawanya pulang istana.

Tiba sahaja di istana, Asiyah meminta keizinan Firaun untuk membela bayi itu. Pada mulanya Firaun tidak mengizinkan Asiyah mengambil bayi itu tetapi setelah dipujuk, akhirnya Firaun bersetuju.

Setelah mendengar tangisan kehausan bayi itu, Asiyah berasa kasihan lalu disuruhnya Firaun mencarikan seorang wanita yang dapat menyusukan bayi itu. Akan tetapi seorang demi seorang wanita yang datang untuk menyusukan bayi itu telah ditolak oleh bayi tersebut.

Bayi itu tidak mahu disusukan oleh mereka sehinggalah berita ini diketahui oleh saudara Musa, Mariam. Lalu Mariam datang ke istana dan memberitahu kepada dayang-dayang Asiyah bahawa dia boleh membawakan seorang ibu yang boleh menyusukan bayi itu.

Mendengar sahaja berita daripada dayang-dayang itu, Asiyah memerintahkan agar bayi itu dibawa ke rumah Yukabid.

Yukabid menyambut anaknya itu dengan penuh kasih sayang. Bayi itu terus minum susu ibunya sehingga kenyang. Alangkah seronoknya hati Yukabid. Allah SWT telah mengembalikan anaknya, Musa kepadanya kerana kesabaran dan ketabahan mengikut perintah-Nya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YbiUzJLW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ummu Hani menyelamatkan iparnya


ARKIB : 20/10/2009
NAMA sebenarnya ialah Ummu Hani binti Abi Talib. Dia adalah anak Fatimah binti Asad. Ummu Hani merupakan isteri Hubairah bin Amru. Dia mempunyai empat orang anak iaitu Amru, Jaadah, Hani dan Yusuf.

Selepas Nabi Muhammad dilantik menjadi nabi, Ummu Hani memeluk agama Islam iaitu pada tahun 8 Hijrah. Suaminya pula tidak mahu memeluk agama Islam. Hal ini telah menyebabkan Ummu Hani dan suaminya terpaksa berpisah.

Suaminya meninggalkan Ummu Hani dan pergi ke Najran di Yaman. Suaminya tinggal di Yaman sebagai pelarian. Akhirnya suaminya meninggal dunia di sana dalam keadaan kafir.

Ummu Hani merupakan salah seorang wanita yang melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Sepanjang hayatnya dia telah melaporkan sebanyak 46 buah hadis.

Ummu Hani memiliki sifat yang baik. Dia juga merupakan ibu yang penyayang terhadap anak-anaknya. Pernah diceritakan tentang sikap dan adab Ummu Hani ketika di hadapan Nabi Muhammad.

Pada suatu hari, Nabi Muhammad datang berjumpa dengan Ummu Hani. Tujuan sebenar Nabi Muhammd datang adalah bagi melamar Ummu Hani.

"Wahai Ummu Hani, saya ingin melamar awak. Sudikah awak berkahwin dengan saya," tanya Nabi Muhammad.

Ummu Hani tersenyum mendengar lamaran itu. Kemudian dia menjawab dengan tenang, "Tuan, saya adalah ibu kepada anak-anak yang ramai. Anak-anak saya sudah tentu memerlukan perhatian daripada saya. Tambahan pula mereka masih kecil. Sekiranya saya berkahwin dengan tuan, saya bimbang anak-anak saya akan menyinggung perasaan tuan. Saya juga bimbang saya tidak dapat menjalankan tugas sebagai isteri tuan".

Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Sebaik-baik wanita yang menunggang unta ialah wanita Quraisy. Mereka sangat sayang kepada anak-anak yang masih kecil. Mereka juga pandai menjaga suami mereka sendiri".

Ummu Hani adalah antara wanita yang kuat. Dia pernah mengikuti perang Khaibar bersama Nabi Muhammad. Dia juga seorang yang baik hati dan mempunyai rasa simpati terhadap orang yang susah.

Sejarah Islam mencatatkan bahawa Ummu Hani pernah menyelamatkan dua orang lelaki iparnya yang akan menerima hukuman bunuh.

Pada suatu hari Nabi Muhammad telah menduduki di sebuah bukit di kota Makkah. Kemudian dua orang lelaki datang berjumpa dengan Ummu Hani. Mereka berdua ialah ipar lelaki Ummu Hani. Mereka berasal dari suku bani Makhzum.

"Wahai Ummu Hani, tolong selamatkan kami berdua. Kami akan dibunuh," kata dua orang lelaki iparnya itu.

Ummu Hani berasa kasihan dan simpati terhadap mereka berdua. Kemudian Ummu Hani berkata, "Awak berdua menyorok sahaja di rumah saya. Saya akan bantu dan selamatkan awak berdua".

"Terima kasih Ummu Hani," kata iparnya itu.

Kemudian Ummu Hani menutup pintu rumahnya bagi menyelamatkan iparnya itu. Sebentar kemudian datang saudaranya iaitu Ali bin Abi Talib ke rumahnya.

"Saya akan bunuh dua orang lelaki ipar awak itu," kata Ali dengan bersemangat.

Sangat menghormati

Ummu Hani segera mendapatkan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad menyambut kedatangan Ummu Hani dan bertanya, "Wahai Ummu Hani mengapakah awak datang berjumpa dengan saya?"

Ummu Hani menceritakan segala peristiwa itu dengan teliti kepada Nabi Muhammad.

"Tolong selamatkan kedua-dua ipar saya itu wahai Nabi Muhammad," rayu Ummu Hani kepada Nabi Muhammad.

Kemudian Nabi Muhammad berkata kepada Ummu Hani, "Wahai Ummu Hani saya akan melindungi orang yang awak lindungi. Saya akan beri keamanan kepada kedua-dua ipar awak itu. Ali tidak boleh membunuh mereka. Tiada sesiapa pun boleh membunuh mereka".

Para sahabat yang ada di tempat Nabi Muhammad mendengar berita tersebut. Mereka tidak dibenarkan membunuh kedua-dua ipar Ummu Hani. Peristiwa itu menunjukkan bahawa Nabi Muhammad sangat menghormati Ummu Hani.

Nabi Muhammad pernah menikmati makanan yang disediakan oleh Ummu Hani. Pada suatu hari Nabi Muhammad bertanya kepada Ummu, "Awak adakah sedikit makanan yang boleh saya makan?"

Ummu Hani pun menjawab, "Saya Cuma ada sepotong daging. Saya berasa malu untuk hidangkan kepada tuan".

"Tidak mengapa. Hidangkan sahaja kepada saya," kata Nabi Muhammad.

Ummu Hani segera mengambil daging itu lalu dipotongnya menjadi kecil. Ummu Hani menyediakan air dan garam kepada Nabi Muhammad. Makanan itu segera dibawanya ke tempat Nabi Muhammad.

"Silakan tuan makan," pelawa Ummu Hani.

"Awak ada makanan yang lain?," tanya Nabi Muhammad.

Ummu Hani terus menjawab, "Saya hanya ada cuka di rumah ini".

Nabi Muhammad pun berkata kepada Ummu Hani, "Bawakan cuka itu kepada saya. Sebaik-baik lauk adalah cuka. Tidak ada kekurangan bagi seseorang yang di dalam rumahnya ada cuka".

Ummu Hani seorang yang bersopan-santun dan berhati mulia. Dia menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 50 Hijrah.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YbcHgCPe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 2 Disember 2018

Diseksa kerana Muslim


ARKIB : 19/10/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI

penderaan terhadap umat Islam hari ini seperti tiada beza yang dialami oleh umat Islam terdahulu yang memerlukan kita perlu bertahan, bersabar dan mencari jalan keluar. - Gambar hiasan

SEKSAAN terhadap kaum muslimin Mekah di awal penyebaran agama itu berlaku tanpa kemampuan mana-mana pihak dapat menghalangnya. Ditambah seksaan itu menimpa dari satu mangsa ke mangsa yang lain, tanpa henti dan kebanyakannya golongan bawahan, miskin, hamba dan lemah.

Berbanding jika yang memeluk Islam itu terdiri dari golongan atasan, mempunyai nama dan kedudukan, golongan kafir Quraisy tidak berani untuk usik mereka kecuali hanya akan disindir dan mengancam akan menerima padah yang buruk sama ada pada perniagaan, harta, nama dan kedudukan.

Nabi Muhammad SAW sendiri misalnya kecuali beberapa nama jahil tegar seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Suffian, golongan kafir Quraisy yang lain tidak berani untuk mendekati baginda untuk tujuan mengganggu. Kecuali mereka akan mengupahnya kepada orang lain untuk menyakiti baginda.

Faktor utamanya disebabkan baginda merupakan anak saudara kepada tokoh besar di Mekah, Abu Talib yang sering mempertahan dan memberikan perlindungan kepada anak saudaranya itu.

Ini menyebabkan ada rasa segan dan hormat terhadap Abu Talib yang selama ini begitu mengambil berat terutama pengurusan Kaabah.

Namun yang jelas kafir Quraisy sedia bertindak kejam terhadap sesiapa sahaja yang cuba meninggalkan persembahan terhadap patung-patung berhala.

Mereka sepatutnya mempertahankan berhala mereka dengan melawan balik hujah-hujah Nabi Muhammad yang berjaya mencelikkan mata mengenai sia-sianya selama ini penduduk Mekah menyembah patung-patung tersebut.

Patung-patung itu kata baginda sama sekali bukannya tuhan yang layak disembah. Tidak sahaja tangan manusia sendiri yang membuatnya, jadi apalah yang 'mampu' dapat dilakukan oleh patung-patung tersebut.

Kalau pun patung tersebut hanyalah satu simbolik atau idola kepada tuhan yang sebenar, namun tuhan tidak memerlukan apa juga objek yang menyerupai atau mewakili-Nya.

Manusia boleh terus mengadu, memohon, mengharap dan menyembah kepada Allah tanpa perlu sebarang perantaraan sama ada melalui objek yang hidup atau mati.

Serta pelbagai hujah baginda yang lain yang tentunya tidak sahaja berjaya membuka pemikiran masing-masing dan tanpa perlu ragu, peluk Islam dan tinggalkan berhala yang 'tidak hidup' itu!

Jika hujah lawanlah dengan hujah, namun tidak kepada kafir Quraisy, mereka memilih untuk bertindak lebih kejam ke tahap yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Selain dari Bilal bin Rabah, mahupun malang yang menimpa keluarga Amar bin Yasir terdapat ramai lagi pengikut Nabi Muhammad yang teruk diseksa seolah-olah mereka itu bukan manusia.

Ini termasuklah nasib yang menimpa Saidina Uthman bin Affan apabila bapa saudaranya sendiri pernah membungkus Uthman dalam tikar yang dijalin dari daun kurma, kemudian dinyalakan api di bawahnya dan disalainya anak saudaranya itu.

Tindakan sekejam ini semata-mata bagi memastikan Uthman kembali kepada ajaran nenek moyang disebabkan keluarga Uthman yang terkenal dengan kekayaan dan bangsawan dikatakan menanggung malu yang besar dengan tindakan Uthman memeluk Islam itu.

Mus'ab bin Umayar yang berasal dari keluarga berada dan kaya pula diusir dari rumah oleh ibunya sendiri apabila mendapat tahu anaknya itu memeluk Islam.

Tidak cukup itu, jangankan dari dirinya sendiri si ibu akan memastikan si anak itu tidak akan dapat bantuan makanan dan minuman dari sesiapa pun. Sanggup dibiarkan si anak itu menanggung kelaparan yang jika tidak diselamatkan boleh menyebabkan Mus'ab jatuh sakit dan akhirnya akan mati kebuluran!

Menderitalah si Mus'ab sehingga kulit badannya mengelupas kekeringan kerana sanggup diseksa sebegitu walaupun sebagai anak beliau sepatutnya tidak derhaka. Tetapi kerana Islam, Mus'ab tetap bertahan sambil memohon kepada Tuhan semoga ibunya diampunkan!

Pengikut nabi seterusnya yang menjadi mangsa kezaliman kafir Quraisy ialah Abu Fakihah atau nama sebenarnya Aflah, seorang hamba sahaya kepada sebuah keluarga Bani Abdul al Dar. Mereka telah mengikat kakinya dengan tali kemudian diseret dan diheret ke sana ke mari di atas apa juga permukaan tanah tanpa sebarang belas kasihan.

Apa yang menimpa Khabbab bin al Aratt pula yang juga seorang hamba kepada Ummu Anmar binti Khuzaah juga tidak kurang kejamnya. Beliau berjaya ditangkap oleh kaum Musyrik Mekah yang kemudian pelbagai seksaan dilakukan terhadap hamba ini.

Ini termasuklah rambutnya dikepal dengan tangan yang kemudiannya direntap dengan sekali rentapan dengan sekuat-kuat tenaga. Tidak cukup seksaan yang sepedih itu, tengkuk dan lehernya telah dipulas dengan sekuat-kuat hati.

Nyawa Khabbab yang masih bertahan menyebabkan si kafir-kafir Quraisy tidak puas hati.

Hamba ini terus diseksa dengan dibaringkan beberapa kali di atas bara api yang diletakkan di atas dadanya dengan seketul batu besar. Bayangkan pedih dan sengsaranya bagi hamba ini untuk menanggungnya.

Kalangan wanita juga turut menjadi sasaran sedangkan kaum ini patutnya dikasihani, dilindungi dan dihormati. Namun nama-nama seperti Zunayrah, Al Nahdiyyah serta anak perempuannya dan Ummu Ubays adalah antara yang teruk diseksa.

Lebih-lebih lagi kebanyakannya terdiri dari golongan hamba, kalangan kaum Musyrikin ini benar-benar hilang kewarasan mereka.

Sebelum memeluk Islam, Omar bin al Khattab adalah antara Musyrik Mekah yang tidak kurang hebat dan kuat menzalimi mereka yang memeluk Islam.

Tambahan pula beliau seorang yang tegas, pemarah dan tidak boleh berkompromi. Salah seorang hambanya telah menjadi mangsa Omar apabila si majikan mendapat tahu hambanya itu memeluk Islam. Omar sangat marah lalu dipukul dan diseksanya si Muammil tanpa henti.

"Aku tidak akan meninggalkan hamba ku ini dari memukulnya tanpa henti kecuali sehingga aku bosan untuk memukulnya," kata Omar.

Dan sebagaimana Omar yang kini kenali, beliau tidak pernah mengenal erti bosan dalam sepanjang hidupnya.

Seorang lagi hamba Amir bin Fuhairah telah dibungkus dalam kulit unta atau lembu. Yang tentunya menyebabkan yang dibungkus kelemasan, kepanasan namun tidak cukup itu mangsa-mangsa seksaan akan dicampakkan ke tengah-tengah padang pasir yang panas membahang.

Jika siangnya dipanah dek terik matahari dan yang malamnya dicengkam kesejukan sehingga ke tulang hitam.

Tidak cukup dibungkus dalam kulit haiwan-haiwan itu, sesetengah mangsa akan dipakaikan baju besi yang kemudiannya dipanggang lagi sama ada di atas api mahu batu besar yang panas.

Senarai mereka yang diseksa sama ada sehingga membawakan kecacatan seumur hidup mahupun mati terseksa adalah dalam satu senarai yang sangat panjang.

Dan tentunya semuanya tidak dapat dirakam oleh sejarah namun menjadikan suasana kehidupan kepada umat Islam ketika itu benar-benar menakutkan dan tidak dijamin keselamatan mereka.

Andai terbocor rahsia pengislaman mereka, maka bersedialah untuk menaruh nyawa. Apa yang mampu dilakukan andai ada yang akan diseksa, mereka saling memberikan semangat, nasihat-nasihat kesabaran dan memastikan masing-masing akan tetap iman.

Namun apa yang dilakukan oleh golongan kafir Quraisy benar-benar melampaui batas kemanusiaan, mereka sanggup memperlakukan apa sahaja apabila kedudukan mereka tergugat dan bimbang pengaruh dan kuasa mereka akan terlepas kepada orang lain. Bukan sangat kerana ramai yang cuba berpaling dari penyembahan berhala.

Namun timbul persoalan mengapa diawal penyebaran Islam ini, tentangan begitu hebat diterima oleh Rasulullah dan para pengikut baginda?

Semua siri-siri kekejaman yang menimpa umat Islam ketika itu memberikan pengajaran kepada kita hari ini mengenai kekentalan dan keutuhan iman mereka walaupun baru mengenal dan memeluk Islam.

Bayangkan jika mereka mengaku kalah terhadap segala seksaan kafir Quraisy, dapatkah itu semua itu menjadi contoh untuk kita ikuti?!

Walaupun teruk mana pun mereka diseksa namun iman tetap dipertahankan, sedikit pun tidak goyah. Walaupun ada cubaan untuk menggelapkan mata dengan tawaran kemewahan, kedudukan dan nama namun semua itu tidak memberi kesan, kecuali Islam adalah agama yang mesti dipertahankan pada diri sendiri.

Maka, bagaimana dengan kita hari ini mampukah mempertahankan iman atas pelbagai 'seksaan' yang bakal mendatang?
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5Yb6G2j6A
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ketampanan Nabi Yusuf diuji


ARKIB : 16/10/2009
NABI Yusuf ingin hidup tenang dan tenteram di rumah pembesar Mesir. Baginda mendapat sepenuh kepercayaan daripada majikannya untuk menguruskan segala hal-hal rumah tangga mereka dengan penuh keikhlasan, kejujuran tanpa mengharapkan balasan dan sebagainya.

Pertumbuhan fizikal dan mental Nabi Yusuf menjadi seorang pemuda yang cukup tampan dan gagah telah menarik perhatian isteri pembesar Mesir tersebut.

Zulaikha sangat tertawan melihat ketampanan Yusuf. Dia selalu menggoda Yusuf dengan pelbagai cara sama ada secara terang ataupun tersembunyi. Pantang ada kesempatan, maka akan digunakan oleh Zulaikha dengan sepenuhnya.

Setiap hari dia akan berpakaian cantik dan memakai wangi-wangian semata-mata untuk menggoda Nabi Yusuf agar terpikat kepadanya.

Perbuatan dan tingkah laku Zulaikha yang selalu menggoda Yusuf itu lama-kelamaan menjadi buah mulut penduduk Mesir.

Sebagai isteri kepada orang yang sangat berpengaruh, Zulaikha terasa sangat teruji dan malu dengan perbuatannya sendiri. Dia pun merancang satu strategi untuk menutup perbuatannya.

Pada suatu hari, dia telah memanggil rakan-rakannya yang terdiri daripada isteri-isteri pembesar dan kaum-kaum wanita yang berpengaruh di daerah itu untuk menjamu mereka di rumahnya.

Setiap tetamu yang datang akan diberikan tempat duduk yang sangat selesa kepada mereka dan dihidangkan dengan makanan yang lazat serta sebilah pisau setiap seorang untuk memotong makanan itu.

Apabila semua tetamu telah sampai, Zulaikha pun mempersilakan mereka makan.

Sedang tetamu-tetamunya asyik makan, Zualikha memerintahkan Nabi Yusuf supaya keluar dan berjalan di hadapan mereka. Nabi Yusuf pun keluar dan berjalan dari bahagian hadapan hinggalah ke belakang meja itu.

Para wanita yang melihatnya terdiam seketika dan terngangalah mulut masing-masing. Mata mereka bulat memerhatikan ketampanan Yusuf. Tidak kurang juga ada yang menjerit kerana terkejut. Lagipun seumur hidup mereka sebelum ini tidak pernah melihat orang lelaki setampan Nabi Yusuf.

Oleh sebab terlampau terkejut dan terpukau dengan ketampanan Nabi Yusuf, mereka telah memotong jari masing-masing sehingga luka. Sesungguhnya apa yang terjadi itu adalah di luar kawalan mereka.

Zulaikha memerhatikan mereka dengan perasaan suka hati. Dia pun bertepuk tangan dan mengarahkan Nabi Yusuf masuk ke dalam bilik semula. Setelah Nabi Yusuf hilang daripada pandangan, barulah wanita-wanita itu tersedar daripada lamunan dan mula menyedari tangan masing-masing telah terluka.

"Sesungguhnya apa yang kami lihat itu tadi bukanlah manusia tetapi malaikat," kata mereka. Zulaikha pun berkata: Kamu telah melukai tangan masing-masing, padahal kamu hanya melihatnya sekali sahaja. Tetapi aku melihatnya setiap hari, daripada usianya 12 tahun sehinggalah dia menjadi pemuda yang tampan begini. Jadi salahkah aku kerana menyukainya?"

Pelbagai nasihat yang diberikan oleh wanita-wanita itu tadi supaya Nabi Yusuf menerima cinta Zulaikha. Jika menerima cinta Zulaikha, Yusuf akan mendapat kesenangan hidup dan pelbagai ganjaran yang lain. Namun begitu kata-kata nasihat yang diberikan tidak menarik minat di hati Nabi Yusuf.

Baginda berdoa kepada Allah agar dirinya ditetapkan iman dan tidak terpengaruh dengan godaan wanita-wanita itu. "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku lebih rela dipenjarakan kerana sekiranya berada di luar aku bimbang akan terpaksa menurut hawa nafsu wanita-wanita itu. Lindungilah aku wahai Tuhanku daripada rayuan dan tipu daya mereka," ucap baginda.

Pembesar Mesir mengetahui hal itu, tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa. Demi menyelamatkan keadaan, dia telah menurut kata isterinya supaya memenjarakan Nabi Yusuf. Akhirnya tinggallah Nabi Yusuf dalam penjara.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YalTwItE
© Utusan Melayu (M) Bhd

AMIN iktiraf Yusoff Zaky


ARKIB : 14/10/2009
Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM
maisarah.utusan.com.my

Datuk Jamil Khir Baharom (kanan) menyampaikan Anugerah Media Islam Negara (AMIN) kepada Irfan Datuk Yusoff Zaky (kiri) yang mewakili Allahyarham ayahandanya sambil diperhatikan Dr. Mashitah Ibrahim (tengah) pada majlis Anugerah Media Islam Negara.

MENGABDIKAN seluruh kehidupan demi menyambung tugas Rasulullah SAW dalam menyampaikan seruan dan tuntutan Yang Maha Esa kepada seluruh isi alam, bukanlah satu kerja yang mudah untuk digalas.

Namun, itulah tugas yang sebegitu berat dipandang apatah lagi dipikul, digalas dengan penuh dedikasi oleh seorang tokoh pengamal media Islam, Allahyarham Datuk Yusoff Zaky Yacob sehingga melayakkan beliau diiktiraf sebagai penerima Anugerah Perdana Media Islam pada Majlis Anugerah Media Islam Negara (AMIN) kali ketiga.

Anugerah berprestij itu bagi menghargai sumbangan dan jasa pengamal media dalam memartabatkan Islam sebagai penggerak kemajuan ummah negara, memihak kepada beliau, seorang tokoh penterjemah karya terkenal, Asy-Syahid Sayyid Qutb - Fi Zilal al-Quran 17 jilid yang ditekuni beliau selama 11 tahun.

Menyelusuri kehidupan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang dilahirkan pada 13 Jun 1928 ini, erti penat lelah dalam kerja penulisan, penterjemahan, pemikiran, kesusasteraan, penyelidikan, penerbitan serta percetakan sebagai insan media dakwah seolah tiada dalam kamus hidupnya.

Menurut Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman ketika membacakan kisah perjuangan tokoh ini pada malam anugerah itu, walaupun cita-cita untuk menterjemahkan kitab yang berhalaman lebih 5,000 halaman itu tercetus sejak tahun 1952 semasa beliau belajar di Kaherah, ia hanya tercapai pada akhir kehidupan beliau.

"Jantungku berdebar jariku menggeletar, hatiku diusik rasa dan tanya yang serius apakah diriku mampu menghabiskan terjemahan kitab sebesar ini atau apakah usaha ku akan patah di tengah jalan, saat usia meniti senja yang mulai suram?

"Apakah tenaga perseorangan berdaya melintasi lebih 5,000 ribu halaman tafsir ini, mampu merenangi dan menyelami lautan pengetahuan dan kebudayaan yang saujana luasnya?"

Itulah antara bait ungkapan beliau di dalam Kata Pengantar kitab terjemahan agung itu yang diterbitkan Pustaka Aman Press atas biaya Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM).

Sesungguhnya harapan dan doa beliau mendapat keizinan dan taufik Allah SWT atas niat murni itu untuk menterjemahkan kitab tafsir bahasa Arab yang begitu tinggi sasteranya ke dalam bahasa ibunda bagi memudahkan bangsa seagamanya mendalami rahsia ilmu dalam kitab itu.

Anugerah Perdana AMIN itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Jamil Khir Baharom kepada anak sulung Allahyarham Yusoff, Nasir Zihni.

Pengiktirafan itu melayakkan beliau membawa pulang trofi, wang tunai RM10,000, hadiah iringan iaitu satu set Kitab Fi Zilal al-Quran 17 jilid bernilai RM3,000 beserta sijil.

Turut hadir pada anugerah itu ialah Timbalan Menteri di JPM, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Allahyarham Yusoff telah mengatur kehidupan beliau di awal usianya sebagai pendakwah dengan melengkapkan diri dengan pelbagai lapangan ilmu sehingga ke aspek pemilihan pusat pengajian.

Ketika kebanyakan pelajar dari Malaysia memilih Universiti Al-Azhar di Mesir, namun ia tidak menjadi pilihan beliau. Sebabnya, semata-mata untuk mendalami ilmu baru dan berlainan kerana skop pengajian di Al-Azhar sudah dipelajari beliau di Kelantan.

American University of Cairo menjadi pilihannya demi mendalami ilmu pendidikan dan psikologi yang telah membuka cakerawala pemikirannya kepada pendekatan baru dalam dunia kepengarangan sebagai senjata untuk berdakwah.

Sesungguhnya minat dan kesungguhan beliau untuk menjadi pengarang dan penulis terbukti apabila banyak buku karya beliau diterbitkan selepas manuskrip pertama berjudul Saikologi Remaja tidak mendapat sambutan pada awalnya.

Bermula daripada langkah pertama itu, maka terbitlah buku-buku susulan beliau antaranya; Dari Rahim Ke Dunia, Psikologi Kanak-kanak, Psikologi Takut, Mencari Kejernihan Jiwa dan 1001 Masalah Jiwa Manusia.

Kelahiran satu-persatu buku tulisan beliau menjadi titik-tolak terdirinya sebuah syarikat penerbitan yang besar iaitu Pustaka Dian Press beberapa bulan sebelum kemerdekaan Tanah Melayu.

Anak kepada seorang ulama Kelantan terkenal, Tuan Guru Haji Yaacob Lorong Gajah Mati itu tidak pernah kenal lelah dan kecewa dalam menggalas tugas berdakwah malah tetap gagah dan kental tanpa melepaskan tanggungjawab sebagai seorang pengarang dan pendakwah Islam sehingga akhir hayat beliau. Beliau akhirnya menyahut panggilan Ilahi pada 19 Januari 1999.

Selain Anugerah Perdana Media Islam, AMIN anjuran Jakim itu turut mempertandingkan Anugerah Penerbitan Radio, Anugerah Penerbitan Televisyen, Anugerah Penerbitan Media Cetak, Anugerah Laman Web dan Anugerah Khas Juri.

AMIN antara lain bertujuan menggalakkan penerbit media elektronik, cetak, penulis dan pengkarya di negara ini menghasilkan karya mengenai Islam yang menjadi wahana ilmu dan penggerak kepada kemajuan umat dan negara.

Utusan Melayu (M) Berhad yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia muncul sebagai penerbit akhbar terbaik bagi kategori Penerbitan Media Cetak Terbaik yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Kemenangan bagi kategori Anugerah Penerbitan Media Cetak itu melayakkan syarikat berkenaan menerima hadiah wang tunai RM2,000, satu set Kitab Fi Zilal al-Quran berserta trofi dan sijil.

Hadiah disampaikan oleh A. Aziz Deraman yang juga Pengerusi Panel Hakim Anugerah Penerbitan Media Cetak kepada Pengarang Agama Utusan Malaysia, Mohd. Radzi Mohd. Zin.

Sebanyak 665 penyertaan diterima daripada pengamal media dan orang awam berbanding hanya 200 penyertaan pada tahun 2007.

Penilaian dan pemilihan pemenang diputuskan barisan hakim yang dipengerusikan Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Abdul Karim.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YaiM7s00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Fatimah ibu mithali

ARKIB : 13/10/2009
FATIMAH binti Asad ialah ibu kepada Ali bin Abu Talib. Abu Talib adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Selepas Aminah meninggal dunia, Abu Talib mengambil tanggungjawab menjaga Nabi Muhammad.

Semasa Nabi Muhammad tinggal dengan Abu Talib, Fatimah menjaga anak saudaranya dengan baik.

Segala makan minum, tempat tinggal dan pakaian Nabi Muhammad disediakan oleh pasangan suami isteri itu mengikut kemampuan mereka.

Nabi Muhammad merupakan seorang yang baik, jujur, amanah dan menghormati orang yang lebih tua daripadanya.

Fatimah adalah antara wanita yang awal memeluk agama Islam. Semasa Nabi Muhammad dilantik menjadi nabi, Fatimah memberi sokongan padu kepada Nabi Muhammad bagi menegakkan agama Islam.

Anak-anak Fatimah juga turut mengikuti jejak langkah ibunya dengan memeluk agama Islam. Antara anak Fatimah yang memeluk Islam ialah Uqail, Jaafar, Ali, Ummu Hani dan Talib.

Nabi Muhammad sangat menghormati Fatimah seperti ibunya sendiri.

Semasa Fatimah tinggal di Madinah, Nabi Muhammad sering berkunjung ke rumah Fatimah dan berehat serta tidur pada siang hari di rumah itu.

Begitu juga keadaan berlaku semasa Fatimah tinggal di Mekah. Nabi Muhammad sering ke rumah Fatimah untuk berjumpa dengan ibu saudaranya itu.

Ada seorang lelaki tua bercerita kepada jirannya tentang Fatimah binti Asad. Lelaki tua itu berkata: “Nampaknya keluarga Fatimah sangat rapat dengan Muhammad. Fatimah menjaga Muhammad dengan baik sekali”.

Lalu jiran itu berkata pula: “Bukankah Fatimah itu isteri kepada Abu Talib? Abu Talib adalah bapa saudara Muhammad”.

“Ya,” jawab lelaki tua itu.

Jiran itu menambah lagi: “Sekarang ini Muhammad sudah berkahwin dengan Siti Khadijah. Saya dapat tahu bahawa Ali, anak Fatimah tinggal bersama Muhammad”.

“Ya. Saya juga dengar berita itu,” kata lelaki tua itu pula.

Lelaki tua itu tersenyum mendengar cerita jirannya itu. Lelaki tua itu berkata lagi: “Sejak kecil Fatimah mendidik dan menjaga Muhammad. Sudah tentu Fatimah mengetahui sifat-sifat yang ada pada Muhammad.

“Saya sendiri melihat Muhammad itu baik orangnya. Dia seorang yang amanah, jujur dan baik budi pekerti. Muhammad tidak pernah memungkiri janji”.

“Patutlah Fatimah sanggup membiarkan Ali tinggal bersama Muhammad. Sekiranya saya ada anak, sudah tentu saya juga ingin melihat anak saya tinggal bersama Muhammad. Pasti Muhammad dapat mendidik anak saya menjadi orang baik,” kata jiran itu panjang lebar.

Rata-rata orang yang mengenali Fatimah binti Asad akan memuji sifat keibuannya. Dia pandai mendidik anak sehingga anak-anaknya menjadi anak yang baik.

Sejarah Islam mencatatkan bahawa anak Fatimah iaitu Ali bin Abi Talib telah dilantik menjadi Khalifah yang ketiga selepas Khalifah Umar al-Khattab menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Fatimah juga menyumbang usahanya kepada Islam. Dia adalah seorang wanita yang suka menghafal dan melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Sepanjang hayat, dia telah melaporkan sebanyak 46 buah hadis.

Ali bin Abi Talib iaitu anak Fatimah telah berkahwin dengan anak Nabi Muhammad iaitu Fatimah az-Zahra. Semasa Fatimah az-Zahra menjadi menantunya, Fatimah menjaga menantunya dengan baik.

Ada satu peristiwa yang berlaku semasa Fatimah di rumahnya. Ali meminta ibunya membantu isterinya di rumah.

Ali berkata kepada ibunya: “Wahai ibu, bolehkah ibu membantu isteri saya mengambil air dan membuat pekerjaan yang lain. Isteri saya akan membantu ibu membuat roti untuk kita makan pada hari ini”.

“Boleh. Ibu sedia buat apa sahaja untuk anak dan menantu ibu yang disayangi itu,” kata Fatimah kepada anak lelakinya.

Semasa Fatimah menghembuskan nafasnya yang terakhir, Nabi Muhammad datang menziarahi jenazah Fatimah.

Nabi Muhammad berdoa kepada Allah, “Semoga Allah menyayangi diri Fatimah. Dia merupakan ibu bagi diri saya. Walaupun dia lapar, dia tetap memberi saya makan sehingga kenyang.

“Apabila pakaian saya koyak dan kotor dia akan beri pakaian yang baik kepada saya. Dia akan menghidangkan saya makanan yang enak dan lazat. Semoga Allah membalas jasa dan kebaikan Fatimah di akhirat kelak”.

Kisah srikandi Fatimah merupakan kisah teladan yang boleh dijadikan contoh. Ibu mithali sangat dihormati dan disayangi oleh anak-anak.

*Petikan daripada buku Bidadari Syurga terbitan PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YafThaPT
© Utusan Melayu (M) Bhd