Selasa, 7 Ogos 2018

SOALAN 2 Sejauh manakah faktor kewarganegaraan membawa kepada penentangan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union.

A.PENGENALAN
1.      Gagasan Malayan Union telah diisytiharkan di Tanah Melayu pada 1 April 1946.Malayan Union merupakan satu rancangan British untuk menukarkan kepada negeri-negeri Melayu yang bernaung kepada tanah jajahan.
2.      Kerajaan British hendak berkuasa penuh ke atas Tanah Melayu dan cuba menghapuskan kedaulatan raja-raja Melayu. Malangnya penubuhan Malayan Union telah menyemarakkan api semangat kebangsaan di kalangan orang-orang Melayu.
3.      Terdapat beberapa faktor yang mencetuskan bantahan atau penentangan di kalangan orang Melayu antaranya kedaulatan raja-raja Melayu terancam, pemberian taraf kerakyatan, cara Harold Mac Michael mendapatkan tandatangan persetujuan sultan-sultan dan sokongan bekas pegawai-pegawai Bristish.

B)        ISI
a) Faktor Kewarganegaraan
        i.            Pemberian taraf kewarganegaraan di bawah prinsip Jus Soli telah memupuk sentimen bencikan kaum bukan Melayu dan keadaan ini telah menimbulkan ketegangan kaum di beberapa tempat di Tanah Melayu. Dengan syarat-syarat yang longgar dalam hal mendapatkan kerakyatan tanpa sebarang syarat lain membolehkan kaum bukan Melayu mempunyai hak yang sama dengan orang Melayu.
      ii.            Kedudukan istimewa orang Melayu dalam pentadbiran awam terancam dan ini merendahkan lagi taraf kedudukan mereka berbanding orang bukan Melayu yang sudah maju dari segi ekonomi. Syarat-syarat kewarganegaraan yang longgar dan penghapusan hak-hak istimewa orang Melayu disifatkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu sebagai membahayakan kedudukan politik, ekonomi, dan masa depan orang Melayu. Jika MU diteruskan bermakna orang Cina dan India yang ketika itu ketaatan mereka masih diragui akan mengancam kedudukan ekonomi dan politik kaum Melayu sebagai kaum bumiputera Tanah Melayu. Seorang ahli sejarah Inggeris Thomson menganggap faktor ini amat serius.

b) Kedaulatan Dan Kuasa Sultan Terancam
        i.            Orang Melayu Bangkit Menentang Malayan Union kerana kedaulatan dan kuasa memerintah negeri oleh sultan terancam oleh pembentukan Malayan Union (MU). Sultan bagi negeri-negeri merupakan pemerintah pada nama sahaja dan yang dikekalkan hanya kuasa ke atas hal ehwal agama dan adat resam sahaja.
      ii.            Penukaran status sultan itu membinbangkan orang Melayu tentang masa depan mereka terutama dalam menghadapi persaingan daripada kaum bukan Melayu yang menguasai ekonomi. Tambahan pula Gabenor MU menjadi pengerusi dilucutkan kuasa politik dan hak istimewa dan mereka tidak lagi dapat menyelamatkan institusi kebudayaan. Kehilangan kuasa sultan menyebabkan status Tanah Melayu ditukar menjadi tanah jajahan Inggeris telah membangkitkan penentangan di kalangan orang Melayu dan mengatur penentangan ke atasnya.

c)         Cara Harold Mac Michael Mendapatkan Tandatangan Sultan
          i.            Berikutan pengumuman MU di Parlimen Inggeris pada 10 Oktober 1945 Harold Mac Michael telah ditugaskan untuk mendapatkan tandatangan sultan di Negeri-Negeri Melayu. Beliau mendapatkan tandatangan sultan secara paksaan iaitu mengugut akanmelucutkan jawatan sultan atas alasan baginda sultan telah bersubahat dengan pihak Jepun menentang Inggeris semasa Perang Dunia Kedua. Contohnya Sultan Kedah telah diberi kata dua bahawa baginda akan diturunkan daripada takhta sekiranya baginda enggan menandatangani MU dalam tempoh tertentu. Beliau dikatakan menggunakan ugutan politik.
        ii.            Mac Michael juga tidak memberikan peluang kepada sultan untuk berunding dengan Majlis Mesyuarat Negeri ataupun pembesar-pembesar. Ini merupakan satu pelanggaran perlembagaan negeri yang dinyatakan dengan jelas bahawa sultan diwajibkan berunding dengan Majlis Mesyuarat Negeri dan para pembesar sebelum baginda memperkenankan satu perkara yang berkaitan dengan hal ehwal negeri. Contohnya Sultan Ibrahim Johor dipaksa menandatangani perjanjian tanpa berunding dengan Majlis Mesyuarat Negeri dan Rakyat juga berasa marah dengan penubuhan kerana raja-raja tidak diajak berunding dalam perbincangan syarat-syarat MU dan cara Mac Michael dianggap kurang ajar.

d)         Sokongan bekas Pegawai-Pegawai British
        i.            Penentangan orang Melayu ini mendapat galakan yang besar juga daripada pegawai-pegawai Inggeris yang telah bersara seperti Frank Swettenham, George Maxwell, Arnold Robinson, Sir Ronald braddell, Sir Cecil Clemti Smith dan R.O Winstedt.
      ii.             Mereka telah bersimpati dengan nasib bangsa Melayu. Mereka telah menulis di dalam akhbar Times dan lain-lain penerbitan dan menyatakan kekesalan mereka terhadap pengenalan Perlembagaan Malayan Union yang tidak sesuai dengan Tanah Melayu.
C)        KESIMPULAN
1.      Orang-orang Melayu telah bangkit menentang dengan berbagai cara iaitu seperti ahli Majlis Mesyuarat Negeri telah memulaukan majlis perlantikan Gabnor, sultan-sultan Melayu pula tidak menghadiri upacara perlantikan Gabenor sementara orang Melayu pula berkabung selama 7 hari dengan melilit kain putih pada songkok mereka.

2.      Kemarahan orang-orang Melayu dan penentangan yang menyeluruh oleh orang Melayu di seluruh Tanah Melayu telah menyebabkan MU dibubarkan dan digantikan dengan satu perlembagaan baru yang sejajar dengan tuntutan dan kehendak UMNO iaitu Persekutuan Tanah Melayu 1948.

SUMBER-JPN KELANTAN

Bincangkan perjuangan gerakan islah islamiah dalam perjuangan kesedaran kebangsaan di Tanah Melayu pada abad ke-20.

 Gerakan kesedaran yang pertama digerakkan oleh mereka yang berpendiikan agama dari timur tengah. Mereka menerima pengaruh dan ilham dari gerakan Reformis Islam yang diketuai oleh Syed Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh.Kaum muda ini bermatlamat untuk memajukan bangsa Melayu berasasaan  perjuangan agama Islam. Lidah rasmi yang pertama bagi Kaum Muda ini ialah al-Imam.Di antara para pemimpin umatnya ialah Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh Ahmad al- Hadi, Hj. Abbas bin Mohd Taha dan Syeikh Mohd Salim al-Kalali.

      Antara matlamat perjuanagan Kaum Muda ialah untuk memajukan kaum Melayu berasaskan ajaran lslam.yang sebenar iaitu berpandukan al-Quran dan Hadis. Mereka bermatlamat untuk membebaskan orang Melayu dari amalan-amalan taklid buta serta amalan khurafat serta bidaah. Semua amalan inilah yang menghalang kemajuan orang Melayu. Pengamalan Islam yang sebenarnya merupakan jawapan kepada segala masalah sosial, ekonomi dan politik yang dihadapi oleh orang Melayu.

      Kaum Muda menekankan kepentingan sistem pendidikan kepada bagi.kemajuan orang Melayu. Pendidikan adalah kunci kepada kemajuan. Kaum Muda melihat  pendekatan pendidikan dari sudut yang lebih liberal. Pendidikan di kalangan kaum  perempuan juga dipentingkan. Selain menekankan kepentingan pendidikan agama,  pendidikan bercorak moden seperti penekanan Bahasa Inggeris juga dititikberatkan.

      Di dalam aspek politik, Kaum muda bersikap anti penjajah dan bersikap tidak mahu  bekerjasama. Kaum muda mengacak penjajah Inggeris kerana gagal memberikan  pendidikan yang cukup dan seterusnya memajukan orang Melayu. Kaum Muda  berhasrat untuk membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan British.

      Kaum muda juga bersifat anti birokrasi elit Melayu. Raja-raja dan para pembesar Melayu diingatkan supaya memelihara kepentingan orang Melayu. Mereka diseru agar melakukan sesuatu seperti menubuhkan persatuan bagi menggalakkan  pendidikan dan pembangunan ekonomi.

      Kaum muda turut menuntut orang Melayu menceburkan diri di datam bidang  perniagaan, menubuhkan koperasi dan menggunakan sistem kemudahan di bank. Antara strategi perjuangan kaum muda ialah melalui akhbar dan majalah Al-Imam Al Imam muncul pada bulan Julail 1906 di Singapura. Ianya satu penerbitan bulanan dan dihentikan penerbitannya pada bulan Disember 1908. Tujuan al-Imam ialah untuk mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan kepada mereka itu (orang Melayu). Selain itu terdapat juga akhhbar dan majalah lain yang menjadi medan kepada idea dan penulisan kaum muda; Neraca (Singapura 1911-1915), Al-Ikhwan (P.Pinang1926-1931), Saudara (P. Pinang 1928-1941), dan Edaran Zaman (P. Pinang 1925-1930)

      Penyampaian idea perjuangan melalui perbincangan agama dimasjid dan madrasah. Kaum muda juga terlibat di dalam penubuhan Madrasah Al-Ikbal yang dibuka pada 21 November 1907. Melalui madrasah ini mata pelajaran yang bukan bersifat keagamaan seperti bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Matematik, Geografi, dan Sejarah telah diperkenalkan bersama mata pelajaran bersifat keagamaan. Madrasah-madrasah lain yang turut diasaskan oleh Kaum Muda ialah seperti Madrasah Al- Hadi (Melaka 1917), Madrasah Muhammadiah (Kota Bharu 1917), dan madrasah Al- Diniah (Kg. Lalang Perak, 1924)

      Kaum muda mendapat tentangan darinada kaum tu. Kaum tua merupakan terdiri daripada hierarki agama rasmi, elit Melayu tradisional dan golongan agama di luar  bandar. Pertentangan pendapat ini berlaku melalui akhbar-akhbar. Lidah rasmi kepada kaum Tua adalah aklbar Lidah Benar dan Suara Benar. Kaum muda telah dianggap sebagai kurang ajar dan tidak bertata susila. Kaum tua menentang kaum muda kerana kegiatan dan idea-idea kaum muda ini menggugat kedudukan mereka sebagai elit agama di dalam masyarakat Melayu sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat kampung-kampung. Para mufti telah mengeluarkan fatwa yang mengutuk kaum muda sebagai kafir dan Qadiani. Kaum muda telah dilarang untuk berkhutbah dan memberi syarahan di masjid. Terdapat beberapa penerbitan kaum yang diharamkan penyebarannya di  beberapa negeri.


      Perjuangan kaum muda boleh dianggap berjaya dilemahkan oleh perjuangan kaum tua. Kaum tua telah menggunakan kelebihan kedudukan mereka sebagai elit agama untuk mempengaruhi sultan dan juga pemerintah Inggeris bagi menekan dan menindas  perjuangan kaum muda. Kaum muda telah gagal untuk mewujudkan gerakan massa. Menjelang tahun-tahun sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua, perjuangan nasionalisme Melayu lebih tertumpu pula kepada usaha-usaha untuk memperbaiki taraf sosio ekonomi orang Melayu. Perjuangan corak ini pula lebih mendapat tempat dalam gerakan massa

Isnin, 6 Ogos 2018

3.2.1 Perkembangan ilmu.

Unit 3.2 Intelektual
Oleh- AHMAD BIN YAAKOB
Hasil pembelajaran-membincangkan proses perubahan pemikiran dan Kemajuan ilmu pengetahuan kesan daripada Renaisans, Reformasi Protestan, Revolusi Sains dan Gerakan Pencerahan di England dan Perancis abad ke-17-19.
1.a) Konsep intelektual dan ilmu.
Perkataan intelektual atau intelegensia berasal dari Rusia. Golongan inteletual merupakan golongan yang mengadun ilmu pengetahuan yang diperolehi dan semangat intelektual untuk mencurahkan segala ilmu yang ada untuk membangunkan masyarakat dan negara.
Ilmu-umumnya ialah pengetahuan yang diperolehi daripada pengalaman dan pelbagai sumber pengetahuan yang didapati dalam kehidupan.[1]
b.Konsep
Renaisans
Reformasi Protestan
Revolusi Sains
Gerakan Pencerahan.

1.Renaisans-ialah zaman pemulihan budaya yang melahirkan semangat ingin tahu dan kritikal yang radikal dan seterusnya melahirkan masyarakat terbuka.
2.Reformasi Protestan-Reformasi protestan ialah pembaharuan agama yang menyebabkan agama Kristian terbahagi kepada Protestan dan Roman Katholik.Antara
3.Revolusi Sains-berlaku selepas penemuan semula teks purba dan penciptaan alat mencetak menyebabkan sains dan seni bercampur semasa Ranaisans awal.Bapa sains moden Leonardo Da Vinci melakukan eksperimen dalam aliran air, diseksi perubatan dan mencipta prinsip dan kaedah penyeldikan. Kaedah saintifik menekankan kepada bukti emprikal dan kepentingan matematik.Kaedah saintifik ini membawa sumbangan besar kepada bidang astronomi, fizik, biologi dan anatomi.[2]  
4.Gerakan Pencerahan-
Pencerahan (Enlightenment) ialah satu zaman yang berlaku di Eropah selepas Renaisans dan Reformasi pada tahun 1650-1800. Enlightenment bererti Zaman  Pencerahan ialah zaman di mana semangat kepercayaan dan pegangan manusia adalah kritikal dan berasaskan sebab-musabab dan kaedah-kaedah saintifik.[3]

      Enlightenment merupakan satu zaman yang mendukung gerakan pemikiran dan kepercayaan berkaitan dengan konsep-konsep seperti Tuhan, sebab-musabab, alam dan manusia.Zaman ini mewakili satu gerakan ke arah melahirkan masyarakat terbuka, pengajaran untuk kebahagiaan individu, perlembagaan, toleransi, fikiran yang tidak dikongkong dan segolongan masyarakat yang hidup berdasarkan undang-undang.Pelopor Zaman Pencerahan dikenali sebagai ahli falsafah. Golongan ini mendedahkan diri mereka kepada perkara kritikal dan semangat ingin tahu. Antara ahli falsafah yang terkenal ialah Voltaire, Montesquieu, Diderot, De Alembert dan Rousseau.Mereka mengasingkan agama daripada ilmu pengetahuan dan menekankan kepentingan pencapaian kerasionalan melalui ilmu pengetahuan.[4]  


[1]Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,(Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi 2015),218.   
[2]ibid),224.  
[3] “Intelektual”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1 , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013)132. 
[4]Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar 2015),245.  

Pertanian di England abad ke-17-18.

oleh-AHMAD  BIN YAAKOB
Menjelang akhir abad ke-17, tercetus revolusi yang dikenali sebagai Revolusi Pertanian di England.Revolusi Pertanian meletakan asas bagi kemunculan Revolusi Perindustrian di England.[1]
Hasil pembelajaran: Mmembincangkan perubahan orientasi kegiatan dan kemajuan dalam bidang pertanian.
Latar belakang pertanian di England
1.Pengeluaran makanan secara besar-besaran
2.Sistem pemilikan tanah
3.Akta pemagaran tanah
4.Kaedah pertanian baru
5.Kaedah penternakan baru
6.Pengenalan pertanian campur
7.Ciptaan baru
8.Penggunaan baja
9.Pembinaan saliran
Latar belakang pertanian di England
1.Pengeluaran makanan secara besar-besaran kerana perubahan sistem pemilikan tanah, penggunaan kaedah saintifik dan kaedah pemasaran produk yang berkesan.
2.Sistem pemilikan tanah terbahagi kepada dua iaitu tanah persendirian dan pemilikan tanah awam.
3.Akta pemagaran tanah menyebabkan tuan tanah membeli tanah awam dan aktiviti pertanian dijalankan secara besar-besaran.
4.Kaedah pertanian baru seperti sistem penanaman bergilir, memperkenalkan tanaman baru tunip dan ubi kentang.
5.Kaedah penternakan baru untuk membesarkan binatang ternakan dengan cepat untuk bekalan daging dan bulu binatang.
6.Pengenalan pertanian campur melibatkan tanaman dan ternakan.
7.Ciptaan baru untuk meningkatkan pengeluaran seperti Jethro Tull (menggali dan menugal), bajak tiga segi untuk membajak tanah, alat mengetam, alat memukul dan alat menumbuk bijiran, penciptaan jentera berkuasa wap.
8.Penggunaan baja tiruan dan baja asli daripada najis binatang.
9.Pembinaan saliran dapat menyalirkan kawasan pertanian yang luas.[2]





[1]Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar 2013),232.    
[2]“Perkembangan ekonomi pertanian di England”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1 , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013) 122 .     

Perdagangan dan perniagaan di Portugal

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Latar belakang Portugal.
Pada abad ke-15 dan ke-16, Portugal berubah ke status kuasa dunia semasa Zaman penerokaan di Eropah kerana berjaya membina empaya besar di Amerika Selatan, Afrika, Asia dan Australia. Kejayaan pelayar-pelayar Portugal membangunkan empaya perdagangan disebabkan oleh pencapian mereka dalam ekspedisi maritim. Portugal adalah kuasa Barat yang paling aktif dalam kegiatan penjajahan dan perdagangan di Timur pada abad ke-16.[1]
Portugal merupakan penjelajah dan pelayar ulung yang merintis jalan ke Timur.
Faktor perkembanagn penjelajahan orang Portugal pada abad ke-16
1.Peranan Putra Henry
Menubuhkan Akademik Laut
Memberi galakan kepada pelayar Portugal.
2.Peranan pemerintah Portugal.
Memberi peluang kepada rakyat Portugal menerokai bidang perkapalan dan pelayaran.
3.Kesan Perang Salib
Berlaku pertembungan ilmu.
Orang Portugal mengetahui ilmu pelayaran daripada pelayar-pelayar Islam.
4.Penemuan baharu/teknologi baharu.
Penemuan baharu dan teknologi baru membawa kepada kegiatan pelayaran seperti peta dan kompas.
Berjaya membina kapal yang tahan dan kuat seperti kapal jenis Cravel.
5.Kemunculan tokoh pelayar Portugal.
Kesan perkembangan penjelajahan Portugal;
Perluasan pengaruh dan empayar
Perluasan hubungan antarabangsa.
Kepesatan perdagangan
Wujudnya rantaian pelabuhan di Goa dan Melaka.
Berjaya memonopoli perdagangan rempah di Kepulauan Rempah.[2]




[1]Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar 2015),227.
[2]“Kemajuan dan Pembangunan”, dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1 , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013) 115 .      

TAJUK 3: KEMAJUAN DAN PEMBANGUNAN

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Hasil pembelajaran-menghuraikan sistem ekonomi kapitalisme di Amerika Syarikat pada abad ke-18-19.
1.Kapitalisme di Amerika Syarikat
Sistem ekonomi kapitalisme di Amerika Syarikat.
Kapitalisme ialah sitem ekonomi yang menekankan hak milik persendirian, pasaran,kebebasan ekonomi dan perniagaan untuk keuntungan. Ekonomi kaptalisme diamalkan oleh negara-negara Eropah pada abad ke-15 dan 16 memungkinkan kuasa-kuasa ini mengamalkan sistem ekonomi merkantilisme.[1]

Perkembangan ekonomi kapitalisme di Amerika Syarikat bermula selepas tamat Perang Amerika dengan Britain 1812 dan Perang Saudara 1861-1865. Kestabilan politik menyebabkan golongan kapitalis melabur modal dalam sektor perindustrian. Perkembangan ini menyebabkan bermula Revolusi Perindustrian di Ameika Syarikat mulai 1860-an hingga 1914.[2]
a)Perkembangan sektor pertanian
Hasil pengeluaran pertanian ialah kapas,gula, beras, gandum,daging, tenusu dan membakau. Amerika membekalkan 75% kapas kepada kilang tekstil di Britain.
b)Perkembangan sistem pengangkutan.
Perkembangan industri keretapi.
Pembinaan lebuhraya merentasi Cumberland, Maryland dan Wheeling.
Terbinanya jaringan landasan keretapi .
c)Perkembangan perniagaan besar
Muncul perniagaan berskala besar. United States Rubber, Goodyear,Eastman Kodak.
Penyatuan syarikat-syarikat yang mebawa tertubuhnya syarikat besar seperti Dupont dan General Electric
Mempunyai modal dan pelaburan yang  besar.
d)Perkembangan industri minyak dan keluli.
Telaga minyak pertama di gerudi di Pennsylvania
Muncul syarikat minyak seperti Standard Oil of New Jersey dan Standard Oil of Ohio.
Us Steel Corporation menjadi syarikat pengeluar besi dan keluli di Amerika Syarikat.
e) Perkembangan perdagangan antarabangsa.
Barangan yang dikeluarkan secara besar-besaran dipasarkan secara meluas.
Pelabur membuat pelaburan ke tempat lain seperti Hawai, China dan Cuba.
f)Perkembangan pesat industri perkapalan.
Barangan dagangan dibawa masuk ke Amerika Syarikat menggunakan kapal milik Amrika Syarikat dikenakan cukai yang lebih rendah.[3]


[1]Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar 2013),207.   
[2] Ibid,210.
[3]Kemajuan dan Pembangunan, dalam dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1 , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013) 113 .  

Sistem Ekonomi Feudalisme di Perancis pada abad ke-16-18.

Oleh- AHMAD BIN YAAKOB
1.Ekonomi pertanian
Masyarakat Perancis masih bergantung kepada bidang pertanian pada awal abad ke-16. Kemewahan masyarakat masih diukur dari keluasan ladang yang dimiliki. Masyarakat masih lagi tinggal di desa berbanding di bandar.[1]

Sepanjang abad ke-16 hingga 18, Perancis muncul sebagai sebuah negara yang kuat dengan mengamalkan ekonomi feudalisme. Raja-raja Perancis bermula dari Louis XIV hingga Louis XVI mengekalkan sistem ekonomi feudalisme untuk mengukuhkan kekuasaan mereka. Pada era ini golongan bangsawan mempunyai kedudukan yang dominan dalam sistem ekonomi negara.Ketika ini rejim Perancis didominasi golongan bangsawan yang memiliki kuasa kewangan dan politik.

      Golongan bangsawan mendapat faedah dalam sistem ekonomi feudal dengan melabur dalam tanah, memiliki estet yang banyak , menjadi tuan tanah atau manor dan mengusir petani daripada tanah yang mereka usahakan.Masyarakat yang muncul waktu ini dianggap feudal kerana ketidaksamaan sosial kekal dalam masyarakat dan membenarkan hak milik tradisional kekal dari segi perundangan.[2]

      Tuan tanah golongan bangsawan yang menjadi tuan tanah.Petani menjadi hamba atau serf.[3] Petani yang menjadi serf pada abad ke-18 ialah seramai 1.5 juta orang daripada keseluruhan penduduk seramai 15 juta orang. Sebahagian besar petani ialah orang bebas dan mereka memiliki tanah yang mereka usahakan. Walaupun petani ini bebas tetapi mereka dikehendaki menunaikan obligsi  yang diwarisi sejak zaman pertengahan (500-100M). Salah satu dari kewajipan ialah pembayaran sewa tahunan kepada tuan tanah yang sebelumnya mempunyai kekuasaan atau hak milik atas tanah petani.

      Terdapat juga petani yang menjadi penyewa atau buruh yang diupah tuan tanah.[4]Masyarakat petani kini digelar metayers. Metayers mula mempelbagaikan pekerjaan, bukan hanya bercucuk tanam sahaja, tetapi mula mengusahakan penternakan lembu daging dan lembu susu serta menjualnya ke pasar-pasar. Mereka juga menggunakan kaedah moden dalam pertanian.[5]

      Pada zaman Raja Henry, beliau memerintah menterinya Duke Sully memberi tumpuan kepada bidang pertanian. Duke Sully merupakan Menteri Kewangan dan pemikir ekonomi. Idea dan pembaharuan beliau banyak digunakan untuk memajukan pertanian di Perancis. Antara pembaharuan yang dicadangakan beliau ialah menghapuskan cara kebiasaan petani di kawasan pedalaman, memberi bijih benih percuma, membiayai kegiatan penternakan, melarang pemusnahan hutan rimba dan mengeringkan paya serta membina jalan raya, jambatan dan sistem terusan.

     Pembaharuan tersebut membuahkan hasil apabila sumber pertanian bijirin dan anggur merah Perancis menjadi bahan dagangan utama yang didagangkan di pelabuhan Bruges, Belanda.

      Penanaman pokok mulberi dan penternakan ulat sutera diusahakan olehRajaHenry Iv telah meningkatkan ekonomi rakyat dan membawa perkembangan bandar Paris, Lyon dan Marseilles. Pada zaman Raja Louis XIV, menterinya, Jean Baptiste Colbert memajukan bidang pertanian. Dasar pertanian Colbert; tidak membenarkan peralatan pertanian dirampas hanya kerana petani mempunyai hutang, menggalakan penternakan lembu dan kuda dan membaiki jalan raya di kawasan pedalaman.   
     
2.Perdagangan
Kepesatan perdagangan di Perancis dapat dilihat pada masa pemerintahan Raja Henry IV 1598-1610. Baginda telah menubuhkan sebuah angkatan laut bagi melindungi perdagangan di Perancis. Seterusnya Perancis mula menerajui perdagangan di seberang laut dan bersaing dengan Belanda dan British. Perancis mula membuka pusat perdagangan di India dan Amerika Utara.

      Pada tahun 1620-an, Perancis membuka petempatan di Hindia Barat dan pangkalan di Chandernagore, Timur India.Pembukaan pangkalan ini meningkatkan perdagangan Perancis di luar negara. Perkembangan perdagangan dalam negara turut berlaku di Perancis. Kawasan Utara Perancis seperti Champagne, Lyon dan Beaucaire muncul sebagai bandar perdagangan antara Eropah Utara dan pedagngan Mediterranean.Perkembangan ini turut mempengaruhi pertambahan penduduk dan kewujudan perusahaan kecil-kecilan.
3.Institusi kewangan
Perkembangan perdagangan turut dipengaruhi oleh faktor perkembangan sistem kewangan. Pada tahun 1500 wang tidak perlu dibawa dengan banyak untuk melakukan urusan perdagangan. Keadaan tersebut memudahkan perdagang dan pengeluar mengawal dan memasarkan barangan bebas.

      Urusan pengutipan cukai juga mudah dilaksanakan. Misalnya, 200 cukai berjaya dikutip dalam satu masa di 120 tempat yang berlainan di Sungai Loire dan daerah-daerah yang lain. Sistem perbankan di Perancis hanya berkembang pesat pada abad ke-18. Contohnya pembukaan Paris Bourse pada tahun 1724, Casse d’Escompte pada tahun 1776 dan Loterie Royale pada tahun 1783.  Syarikat Joint-stock   berkembang pada pertengahan abad ke-18. Pada tahun 1788 syarikat Perancis memperkenalkan insuran kebakaran.[6]

4.Industri
Industeri tekstil diusahakan secara besar-besaran pada abad ke-16 untuk pasaran dalam negeri dan dieksport. Kain dan teknik pengeluaran sutera yang diimpot dari China ke Eropah oleh perdagangan Arab pada abad ke-10 di Itali telah berkembang luas ke seluruh Eropah. Perancis telah mengusahakan perusahaan sutera dan tidak lagi bergantung kepada kain impot dari Asia  dan Persia. Industri perusahaan kain berkembang di Tuscany, Utara Perancis. Industri desa ini berkembang pesat di Utara Perancis 1450-1550. Petani desa mengeluarkan pakaian berasaskan kain bulu dan linen. Masyarakat bandar pula menggunakan mesin untuk mewarna dan memutihkan kain dan kemudian memasarkannya.

Di Perancis industri pertukangan juga berkembang iaitu tukang yang berkelayakan akan bekerja tanpa menerima upah selama beberapa tahun di rumah guru atau ahli pertukangan sebelum membuka pusat pertukangan sendiri apabila mereka kembali ke tempat asalnya. Mereka akhirnya menubuhkan kesatuan tukang untuk menjaga hasil pertukangan mereka. Barangan pertukangan Perancis seperti perabut telah mendapat tempat di pasaran pada tahun 1770.
    Perkembangan perdagangan dan galakan daripada kerajaan telah mengukuhkan kedudukan golongan saudagar. Keadaan ini membolehkan golongan saudagar muncul sebagai satu kuasa politik dan mula   menyaingi kedudukan golongan aristokrat dalam bidang politik.[7]





[1]Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,(Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi 2015),170.
[2]Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar 2013),hlm.205. 
[3]dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1, , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013)32 
[4]Ibid.
[5]Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,171.
[6] Ibid,175.
[7] Ibid, 176