Isnin, 6 Ogos 2018

1.Bincangkan sistem ekonomi feudalisme yang diamalkan oleh Jepun pada abad ke-16.[20M]

Ekonomi feudalisme merujuk kepada sistem ekonomi yang mempunyai peraturan dan ketetapan yang harus diikuti oleh golongan buruh dan ketua-ketua feudal mempunyai kuasa yang besar disokong oleh golongan pembesar yang mendapat keuntungan daripada ketua-ketua feudal tersebut.
Ekonomi feudalisme di Jepun masih mengamalkan sistem ekonomi yang menyerupai 'idea perhambaan' kerana masyarakat Jepun hanya menurut segala arahan golongan pembesar dan tiada sistem pemberian gaji kepada masyarakat tani. Masyarakat Jepun melaksanakan tanggungjawab sebagai petani atas tanggungjawab kepada pemerintah.
Ekonomi feudalisme yang diamalkan ialah pertanian, perusahaan tempatan, perikanan, perlombongan, dan perdagangan.
Sistem ekonomi feudalisrne yang diamalkan oleh Jepun

    Jepun mempunyai iklim sederhana. Oleh itu, padi hanya ditanam sekali setahun bermula pada musim bunga dan dituai pada musim luruh.Penanaman sawah bertingkat dilaksanakan bagi mengatasi kekurangan tanah.Usaha bersungguh-sungguh diperlukan bagi mengusahakan tanaman padi kerana musim tanaman yang singkat.

      Kaedah penanaman padi menggunakan sistem pengairan semula jadi, iaitu air dibawa terus dari sungai atau anak sungai. Kaedah ini mengurangkan penggunaan baja.
Tanah yang digunakan setiap tahun dapat menghalang rumput-rumpai tumbuh dan dapat mengekalkan kesuburan tanah.Masyarakat petani juga menanam gandum, barli, teh, dan kapas.

      Perusahaan tempatan di Jepun berasaskan daerah dan pemasaran dilakukan antara daerah.
Misalnya, pengeluaran kain kapas di Kinai, pengeluaran ulat sutera di Fukushima, Yamanashi, dan Gumma.
Mengusahakan pusat pembuatan kertas, barangan logam, dan tenunan.
Barangan dipasarkan di pasar dan pasar-pasar kecil berkembang menjadi bandar perdagangan. Ia membawa perkembangan bandar seperti Kuwana, Sakai, Ise, dan Hakata.

      Laut Jepun kaya dengan ikan. Ia membolehkan kegiatan perikanan menjadi sumber kedua dalam ekonomi masyarakat feudal di Jepun.Kegiatan peikanan dijalankan di persisir pantai.

    Industri perlombongan berkembang pesat.Pengeluaran emas, perak, dan tembaga bertambah.Perkembangan perindustrian membawa kepada perkembangan bandar seperti Osaka.Osaka menjadi bandar bebas di luar domain bangsawan feudal dan hanya dikuasai oleh pedagang tempatan dan istana kuil agung mazhab Tanah Suci Benar.

      Perdagangan dengan China berlaku sejak Putera Shotoku menghantar utusan ke China.Perdagangan luar berkembang pesat pada abad ke- 16 dan menjadi sumber ekonomi masyarakat Jepun.Orang Jepun mengimport barangan tropika dari negara kebenuaan China dan India serta barangan pembuatan dari China seperti sutera, porselin, buku, manuskrip, lukisan, dan barang tembaga.

      Barangan tembaga merupakan barangan utama yangdiimport dari China oleh Jepun.Menjelang abad ke-15 dan ke-16, Jepun mengeksport barangan siap ke China dan negara-negara lain. Contohnya, pedang, kipas lukisan berlipat, dan pemidang. Kipas berlipat dan pemidang mendapat permintaan tinggi di China.
Tambahan pula, pedang buatan fepun mendapat permintaan tinggi dan dieksport dalam jumlah yang besar..

      Hubungan perdagangan juga diadakan dengan pedagang Portugal pada abad ke-16. Pada tahun 1570, satu perjanjian telah ditandatangani antara pedagang Portugal dengan Shogun Ashikaga yang membolehkan Portugis berdagang di pelabuhan Nagasaki.Pembukaan perdagangan di Nagasaki telah menyebabkan peningkatan perdagangan dengan dunia luar dan menjadi pintu keluar bagi perdagangan Jepun ke luar negara.

     Sewaktu pemerintah Hideyoshi berkuasa, beliau mengutamakan pembinaan senjata seperti senapang dan meriam disebabkan ingin menyaingi persaingan politiknya dalam kalangan daimyo.Pada tahun 1558, penggunaan senjata buat pertama kalinya digunakan di Jepun dan pada tahun 1570-an wujud pasukan penembak di Jepun.

Kesimpulannya,ekonomi feudalisme di Jepun berkembang pesat dan membolehkan pemerintah menguasai kekayaan negara Jepun.Menjelang abad ke-17, ekonomi Jepun terus berkembang pesat.

3. Bincangkan sistem persekutuan di Amerika Syarikat pada abad ke-18 hinggaabad ke-19.


Pengenalan

Persekutuan merupakan gabungan beberapa wilayah atau negeri di bawah satu perlembagaan pusat.  Sistem persekutuan adalah satu sistem pemerintahan yang mengandungi  dua   kerajaan iaitu kerajaan pusat dan negeri yang mempunyai bidang kuasa masing-masing dalam perkara tertentu. Persekutuan Amerika dibentuk paa 4 Julai 1776.  Apabila Kongres meluluskan Pengisytiharan Kemerdekaan di Philadelphia. Amerika Syarikat mengamalkan sistem Demokrasi Berperwakilan.  Di bawah perlembagaan ini sebuah kerajaan persekutuan akan diwujudkan,   Kerajaan pusat menguasai perkara-perkara penting seperti dasar luar negeri, pertahanan, cukai dan mata wang,  Hal-hal tempatan terletak di bawah bidang kuasa negeri masing-masing dan   Pentadbiran kerajaan akan dibahagi kepada eksekutif, perundangan dan kehakiman.
FAKTA 1

Badan Eksekutif diterajui oleh Presiden

TAAKULAN
Presiden Amerika Syarikat dipilih untuk tempoh empat tahun. Selepas tamat tempoh perkhidmatan presiden boleh dilantik semula untuk penggal kedua juga selepas empat tahun. Segala urusan pentadbiran negara Amerika dipusatkan kepada Presiden. Dalam hal ini Presiden memegang kuasa yang begitu tinggi dan unggul. Demokrasi perwakilan yang diamalkan oleh Amerika menyaksikan penyerahan kuasa yang banyak ke tangan Presiden. Tempat presiden akan diambilalih oleh Naib Presiden jika beliau meninggal dunia atau meletak jawatan sehingga cukup tempoh untuk diadakan pilihan raya semula. Kuasa seorang Presiden cukup besar termasuk menjadi ketua turus angkatan tentera, merunding perjanjian, menerima duta asing, mencalonkan pegawai tinggi persekutuan termasuk hakim persekutuan, mempunyai kuasa pembatal undang-undang, mentadbir undang-undang persekutuan, mengampun kan orang perseorangan yang bersalah di peringkat persekutuan dan akhir sekali mentadbir kongres dan negara.

   Kuasa Presiden juga kadang kala mengatasi kuasa Kongres apabila berupaya mengisytiharkan peperangan terhadap negara luar, sedangkan tugas ini berada di bawah Kongres. Presiden walau bagaimanapun boleh dipecat jika terlibat rasuah, pengkhianatan atau jenayah besar maka Dewan berhak untuk mendakwa Presiden. Dewan Perwakilan mesti mendapat sokongan 2/3 dalam dakwaan rasmi. Presiden akan didakwa di Dewan Senat dan perbicaraan diketuai oleh Ketua Hakim Mahkamah Agung. Kesimpulannya Presiden mempunyai kuasa yang kuat dalam menjalankan tugasnya meliputi Kabinet-Eksekutif, Pengurusan Rumah Putih dan sebagainya. Bahkan Presiden boleh dikatakan sebagai pusat pentadbiran negara bagi Amerika Syarikat yang meliputi kuasa seperti Yang Di Pertuan Agong dan Perdana Menteri di Malaysia.
                          

FAKTA 2
Badan Perundangan(Legislatif)

Taakulan
Badan Perundangan(Legislatif) Amerika dikenali sebagai Kongres. Tugas utama Kongres adalah menggubal undang-undang. Kongres terdiri daripada Dewan Rakyat(Perwakilan) dan Dewan Senat. Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Senat dipilih oleh rakyat. Tiap-tiap negeri akan memilih dua ahli bagi Dewan Senat. Tiap-tiap negeri juga memilih ahli Dewan Rakyat mengikut jumlah penduduknya. Kongres pada dasarnya mempunyai kuasa yang kuat dalam politik Amerika. Dewan Perwakilan (House of Representative) mempunyai 435 ahli dan ianya mengikut saiz dan kapasiti penduduk sesebuah negeri Amerika. Setiap ahlinya dipilih  untuk mewakili 30 000 orang rakyat bagi tiap-tiap dua tahun. Bagi mereka yang berjaya akan mendapat keistemewaan seperti tidak boleh didakwa di mahkamah serta tidak boleh menjadi saksi atau juri bagi apa juga kes di mahkamah. Dewan Perwakilan empat kali lebih besar dari Dewan Senat. Anggota dewan berhak untuk membawa sebarang usul ke Kongres, berkuasa menggubal undang-undang biasa, meminda perlembagaan dan memberi kebenaran kepada sebuah negeri baharu yang mahu menyertai persekutuan. Dewan ini turut berkuasa menentukan Presiden jika timbul kekurangan majoriti undi calon Presiden dalam pilihanraya. Dewan Perwakilan mempunyai peraturan sendiri iaitu Jawatankuasa Peraturan Dewan atau House Rules Committee.
                      
Ahli Dewan Senat dipanggil Senator. Ahli-ahlinya berjumlah 100 orang iaitu kira-kira dua orang bagi setiap negeri. Senator akan berkhidmat selama 6 tahun. Mereka yang dipilih akan berkhidmat selama enam tahun dan mestilah berumur 30 tahun serta bermastautin di kawasan yang diwakili dan menjadi warganegara sekurang-kurangnya sembilan tahun. Dewan Senat diketuai oleh Timbalan Presiden Amerika. Dewan Senat         mempunyai kuasa pemutus undang-undang kewangan dan berupaya untuk menolak atau pun menerima rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan perwakilan. Dewan ini turut berperanan dalam pemilihan Presiden yang mana pengesahan Dewan Senat diperlukan untuk tujuan tersebut. Sekalipun kedua-kedua Dewan mempunyai perbezaan namun kedua-duanya memainkan peranan yang begitu bermakna dalam pentadbiran Amerika

FAKTA 3
Badan Kehakiman
TAAKULAN
Badan Kehakiman Amerika terdiri daripada Mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkamah lain. Ia merupakan sebuah badan yang bebas. Mahkamah boleh mengambil tindakan terhadap Presien sekiranya beliau melanggar perlembagaan.  Di Amerika sistemm kehakiman terbahagi kepada dua iaitu Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Negeri. Mahkamah Negeri mempunyai kuasa kehakiman bagi semua kes yang melibatkan undang-undang negeri kecuali terdapat percanggahan antara undang-undang negeri dengan persekutuan. Mahkamah Negeri berfungsi untuk menghakimi perkara yang bersangkutan dengan penetapan hak-hak di bawah perlembagaan negeri. Badan Kehakiman i Amerika mempunyai kuasa untuk mengistiharkan tindakan-tindakan kongres, keputusan presiden, tindakan diplomasi ataupun syarat-syarat perjanjian mahupun dokumen undang-undang di sesetengah perudangan negeri sebagai melanggar Perlembagaan. 

KESIMPULAN

Selepas mencapai kemerdekaan perlembagaan baharu telah digubal bagi 13 buah koloni tanah jajahan pada tahun 1789. Perlembagaan Amerika memperuntukan penubuhan sebuah kerajaan persekutuan. Struktur kerajaan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Eksekutif, Perundangan dan kehakiman. Dalam Pilihanraya pertama George Washington telah dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat. Beliau telah mengambil langkah untuk mewujudkan perpaduan antara negeri-negeri dalam Persekutuan. Dalam usaha menjalankan dasar perluasan kuasa Amerika telah berjaya meluaskan wilayah melalui pembelian, perjanjian dan peperangan. Menjelang aba ke-19 Amerika berkembang menjadi sebuah negara yang terdiri daripada 50 buah negeri. 




 SKEMA PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH STPM P1 NEGERI PAHANG 2016

Khamis, 2 Ogos 2018

PENENTANGAN TERHADAP MALAYAN UNION

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB.
Hasil Pembelajaran –menilai penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union.
Malayan Union
a.Latar belakang
Idea penubuhan  Malayan Union muncul berdasarkan Piagam Atlantik Ogos 1941,Iaitu memberi hak menentukan nasib negara sendiri. Februari 1943, Pejabat Tanah Jajahan di London merancangmewujudkan sistem kesatuan di Tanah Melayu. Pada 10 Oktober 1945, rancangan Malayan Union diumumkan semasa persidangan Parlimen British. Pada 12 Oktober 1945, Sir Harold Mac Michael dilantik sebagai wakil khas mendapatkan tanda tangan sultan. 1 April 1946, Malayan Union diisytiharkan.[1]

b.Perlembagaan Malayan Union.
i.Pentadbiran
Perlembagaan Malayan Union menetapkan kesatuan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, NMTB dan Neger-Negeri Selat diletakkan dibawah kawalan Gabenor British yang dilantik oleh Ratu England. Singapura kekal sebagai tanah jajahan mahkota British dengan gabenonya sendiri. Singapura diasingkan kerana kepentingannya sebagai pelabuhan bebas.

      Gabenor akan menjalankan pentadbiran dengan bantuan Majlis Eksekutif dan Majlis Undangan.Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri selat akan diletakkan di bawah kawalan terus kerajaan pusat. Seorang Pesuruh Jaya Negeri akan dilantik bagi setiap negeri sebagai ketua pentadbir.
ii.Kedudukan sultan Melayu.
Mengikut perlembagaan baru ini Tanah Melayu menjadi sebuah kesatuan (union) dan semua kuasa pemerintahan disatukan secara berpusat. Kedudukan sultan dikekalkan tetapi kuasa baginda semakin berkurangan. Sultan hanya menjadi penasihat kepada Gabenor. Baginda berkuasa ke atas hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu. Raja-raja Melayu kehilangan kuasa sebagai pemerintah berdaulat di negeri masing-masing. Kuasa kerajaan negeri diambil alih oleh kerajaan pusat.[2] Sultan menjadi ahli Majlis Raja-Raja Melayu.[3]
iii.Syarat kerakyatan
Perlembagaan Malayan Union memberi hak kewarganegaraan yang sama bagi semua orang, tanpa mengira bangsa dan asal keturunan. Hak-hak ini termasuklah peluang untuk memasuki perkhidmatan awam dan mengundi dalam pilihan raya. Malayan Union memberi hak kewarganegaraan yang longgar kepada kaum bukan Melayu melalui prinsip jus soli. Terdapat dua ciri utama dalam kerakyatan secara perinsip jus soli, iaitu melalui kuatkuasa undang-undang dan secara permohonan.

      Melalui kerakyatan secara kuatkuasa undang-undang , Malayan Union memeberi kewarganegaraan kepada;
a)      mereka yang dilahirkan dilahirkan di negeri-negeri Malayan Union atau Singapura serta bermastautin sebelum perintah ini dikuatkuasa.
b)      Mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan bermastautin selama 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942 dan mengangkat sumpah taat setia kepada Malayan Union.
c)      Mereka yang dilahirkan pada atau selepas perintah itu dikuatkuasakan. Sesiapa yang dilahiran di luar Malaysia atau Singapura selepas perintah dikuatkuasakan diberi kerakyatan dengan syarat bapanya merupakan warga Malayan union.
Kerakyatan secara permohonan diberi kepada;
a)      mereka yang bermastautin selama 5 tahun daripada 8 tahun terdahulu semasa permohonan dibuat.
b)      Mempunyai tingkah laku yang baik, berpegetahuan dalam bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu.
c)      Mengangkat sumpah taat setia dan berjanji untuk kekal bermastautin di Malayan Union atau Singapura.[4]
iv.Kedudukan Majlis Mesyuarat Negeri.
Majlis Mesyuarat Negeri dikekalkan untuk menguruskan hal ehwal kerajaan tempatan dan berada di bawah kawalan kerajaan pusat. Semua ahli majlis ini terdiri daripada para pegawai British.
v.Kedudukan Hak Istimewa orang Melayu.
Perlembagaan Malayan menyebabkan hak istimewa orang Melayu terancam. Ini kerana dalam Perlembagaan Malayan Union, semua bangsa dan kaum layak dipertimbangankan memasuki perkhidmatan awam dan satu undi dalam pilihanraya umum.  Ini bermakna golongan imigran setaraf dengan bumiputera dalam maan Union. Sultan sebagai pelindung kepada orang Melayu telah kehilangan kuasa politik.
  
c.Reaksi orang Melayu terhadap Malayan Union.
i.Penentangan melalui akhbar
ii.Demonstrasi ,berkabung,
iii.Peranan Dato’ Onn Jaafar
iv.Kongres Melayu 1946 pertama
v.Kongres Melayu kedua.
d.Faktor orang Melayu menentang Malayan Union.
1.Kedaulatan dan kuasa sultan terancam
2.Taraf kerakyatan longgar- Jus soli
3.Cara Mac Michael mendapatkan tanda tangan sultan
4.Sokongan bekas pegawai British
v.Hak istimewa orang Melayu tergugat.





[1]“Perjuangan Mencapai Kemerdekaan”, dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 3, , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013) ,68.
[2] Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf,AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3  Edisi Kemaskini, (Shah Alam: Oxford Fajar,2014) ,184.
[3] Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2014),167.
[4] Ibid,185.

Peranan pengaruh luar dalam membangkitkan semangat nasionalisme di Tanah Melayu.

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
      Pengaruh luar merupakan antara faktor yang menyumbang dalam membangkitkan keinginan untuk mendapatkan hak-hak politik dan membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah. Dalam perkara ini gerakan nasionalisme di Tanah Melayu tidak terkecuali kerana banyak dipengaruhi oleh perkembangan yang berlaku di negara Asia yang lain. Pada awal abad ke-20, pelbagai perubahan yang berlaku di negara luar telah menarik perhatian pendukung gerakan nasionalisme di Tanah Melayu yang turut memberi sumbangan dalam menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat tempatan.[1]
1.Gerakan Islah Islamiah/ Pemulihan di Timur Tengah.
Gerakan ini dipelopori oleh Syed Jamaluddin al-Afghani dan diteruskan oleh Syeikh Muhammad Abduh. Mereka menggesa kaum muslimin agar berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan Hadis.
      Gerakan pemulihan Islam di Tanah Melayu dipelopori oleh Syeikh Tahir Jalaluddindan Syed Syeikh al-Hadi. Pelajar Melayu bersama Indonesia menerbitkan majalah Seruah Azhar (1925-1928) dan Pilihan Timur (1927-1928). Majalah ini mengecam pihak penjajah di Tanah Melayu dan Indonesia.
2.Gerakan Pan Islamisme.
Empayar Turki yang dikenali sebagai Empayar Turki Uthmaniah dan Sultan Turki yang dianggap sebagai khalifah sangat dihormati oleh seluruh dunia Islam. Sultan Abdul Hamid  (1876-1909) merupakan penyokong kuat gerakan Pan Islamisme. Dunia Islam diseru supaya bersatu di bawah naungan empayar Turki untuk menyekat perluasan kuasa Barat.[2]
     Pengaruh Pan Islamisme semakin hebat semasa berlaku Perang Dunia Pertama 1914-1918. Dalam perang tersebut, Turki telah  bersekutu dengan Jerman untuk melancarkan perang jihad terhadap Kuasa Berikat. Tindakan Turki ini telah mempengaruhi orang Islam di Tanah. Di Singapura Kassim Ismail Mansur dan Nur Alam Syah telah berusaha menyebarkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat Islam pada tahun 1915. Mereka telah membankitkan Dahagi Singapura 1915 dengan memberi dorongan kepada askar sepoi India supaya menentang British dengan memberi alasan   Turki dan Jerman pasti akan menang dalam Perang Dunia Pertama.[3]
 3.Gerakan Turki Muda.
Gerakan Turki Muda dipimpin oleh Mustapha Kamal berusaha untuk memodenkan negara Turki. Gerakan ini memberi ilham kepada orang Melayu untuk memajukan diri dalam pelbagai bidang.Gerakan ini merangsang semangat golongan muda di Tanah Melayu untuk memperhebatkan perjuangan mereka.Parti politik pertama ditubuhkan ialah Kesatuan Melayu Muda pada tahun 1938.
4.Perang Rusia-Jepun 1904-1905
Kemenangan Jepun dalam Perang Rusia-Jepun 1904-1905 memberi ilham kepada orang Asia untuk mencabar orang Barat. Ini kerana Jepun merupakan sebuah negara Asia dan Rusia merupakan negara Eropah.Ini membuktikan sebuah negara boleh menjadi kuat melalui kemajuan pendidikan dan teknologi.
      Perang Rusia-Jepun disifatkan sebagai satu pertelingkahan antara orang Asia dengan orang Eropah kerana kebanyakkan negara Asia Tenggara masih lagi berada di bawah belenggu penjajah terutama kuasa Eropah. Perasaan angkuh orang Eropah sebagai kuasa penjajah yang memandang rendah terhadap keupayaan penduduk tempatan menimbulkan perasaan benci kepada mereka. Peperangan ini dianggap penting sebagai mencerminkan penentangan sebuah negara Asia terhadap kuasa penjajah Eropah.

      Perang Rusia-Jepun menguatkan keazaman rakyat di Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu untuk bangkit menentang kuasa Barat. Peristiwa ini juga memberi ilham kepada golongan nasionalis untuk bangun menvabar kekuatan penjajah Barat di Tanah Melayu.[4]
5.Pengaruh Gerakan Politik di Indonesia.
Ada tiga sebab mengapa perkembangan di Indonesia begitu kuat mempengaruhi gerakan nasionalisme di Tanah Melayu. Pertama Indonesia negara jiran yang paling hampir dan segala peristiwa yang berlaku di negara itu mudah tersebar ke Tanah Melayu. Kedua Indonesia dan Malaysia sedang berusaha membebaskan diri dari belenggu penjajahan Belanda di Indonesia dan British di Tanah Melayu. Ketiga pertalian antara kedua-dua negara dieratkan lagi oleh ikatan serumpun iaitu persamaan dari segi bahasa, budaya, adat dan agama.

      Perkembangan di Indonesia telah menarik perhatian golongan terpelajar di Tanah Melayu terutama di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim seperti Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji Muhammad yang kemudiannya menubuhkan Kesatuan Melayu Muda, KMM pada tahun 1937.
 Kefahaman mereka tentang perkembangan politik di Indonesia ditambah lagi melalui pembacaan buku-buku  dan majalah yang dibawa masuk daripada negara tersebut.Ia telah menyebabkan kebangkitan kesedaran nasionalisme pada tahap awal di Tanah Melayu lebih banyak dipengaruhi oleh gerakan nasionalis di Indonesia. 
6.Perkembangan di China
Pada tahun 1894, satu gerakan revolusi dimulakan di China oleh Dr Sun Yat Sen. Gerakan ini bertujuan untuk mengasas sebuah Republik yang bercorak revolusi dan menggulingkan kerajaan Manchu. Gerakan revolusioner ini berjaya menarik minat orang Cina di seberang laut hingga mendorong kepada penubuhan beberapa cawangan Teng Meng Hui termasuk di Tanah Melayu dan Singapura.
7.Perkembangan di India
Perjuangan nasionalis di India juga turut memberi dorongan kepada gerakan nasionalisme di Tanah Melayu. Pada tahun 1885, Parti Kongres Kebangsaan India ditubuhkan oleh sekumpulan orang India yang berpendidikan. Parti Kongres pada peringkat awal bersifat sederhana, kemudian berubah menjadi anti-British dan mengambil langkah yang agak keras seperti memulau barangan buatan England. Tindakan golongan nasionalis India ini diikuti oleh nasionalis di Tanah Melayu. Mahatma Ghandi menjadi tokoh yang dikagumi oleh nasionalis di Asia Tenggara. Kepimpinan Ghandi menjadi ilham dan dorongan kepada nasionalis di Tanah Melayu.

[1]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf, AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3 Edisi Kemaskini (Shah Alam: Oxford Fajar Sdn, Bhd,2014),162..    
[2]Ong Loo Chen, Pra-U Teks STPM Sejarah Peggal 3,(Bangi: Pelangi Sdn. Bhd, 2016),148  
[3]Ibid
[4]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf, AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3 Edisi Kemaskini

3.1.1 FAKTOR KEMUNCULAN SEMANGAT NASIONALISME

TEMA 3 NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
OLEH- AHMAD BIN YAAKOB
Gerakan nasionalisme di Tanah Melayu bermula secaralebih teratur pada awal abad ke-20 . Kesedaran ini timbul sebagai tindak balas masyarakat tempatan yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran British. Kesedaran ini diperkuatkan lagi apabila orang Melayu yang menerima pendidikan agama dan sekular dari negara luar mula kembali ke tanah air.Golongan intelektual ini tampil ke hadapan untuk memainkan peranan masing-masing dalam menyedarkan masyakat Melayu yang serba mundur dan ketinggalan melalui pelbagai cara termasuk gerakan persatuan, kelab dan kesatuan.[1]

a.Konsep nasionalisme
Nasionalisme bermaksud perasaan cinta akan bangsa dan tanah air yang mendalam.Ia juga bermaksud keinginan untuk berjuang membebaskan tanah air. Tujuannya ialah untuk menebus maruah bangsa dan menentukan nasib sendiri.[2]
1.Pengaruh agama Islam.
Agama menjadi faktor penting yang menyatukan orang Melayu pada peringkat awal kebangkitan nasionalisme di Tanah Melayu. Pada tahap inigerakan nasionalisme di Tanah Melayu lebih dipengaruhi oleh gerakan Pan-Islamisme di Timur Tengah yang muncul pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Gerakan Pan Islamisme di Timur Tengah.
Gerakan Pan Islamisme yang dipelopori  oleh Syeikh Muhammad Abduh dan Sayid Jamaluddin al-Afghani bertujuan memberi satu tafsiran baru kepada agama Islam supaya sesuai dengan peredaran zaman bagi mengatasi masalah kemunduran umat islam di seluruh dunia.

      Gerakan Pan-Islamisme berjaya mempengaruhi pelajar Melayu yang mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar, Mesir dan lain-lain negara di Timur Tengah. Pada tahun 1906, pengaruh gerakan ini mula dibawa masuk ke Tanah Melayu apabila mereka kembali ke tanah air. Pelajar lulusan dari Timur Tengah memulakan Gerakan Pemulihan Islam untuk menyeru orang Melayu supaya kembali semula berpegang kepada ajaran al-Quran dan hadis.

      Antara tokoh penting gerakan ini ialah Syeikh MohdTahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi, Haji Abbas Taha dan Syeokh Muhammad Salim al-Khalili.Kebanyakan mereka berasal dari keturunan Jawi-Arab dan Jawi Peranakan.[3]  
Perjuangan Kaum Muda.
Kemunculan Gerakan Pemulihan Islam ini disifatkan sebagai titik penting dalam perkembangan gerakan kebangsaan di Tanah Melayu.Ia berkait rapat dengan keadaan masyarakat Melayu ketika itu yang serba ketinggalan dalam berbagai bidang  berbanding dengan kaum-kaum lain.

Pada awal kurun ke-20, semangat kebangsaan dibangkitkan oleh golongan pelajar yang mendapat pendidikan di Timur Tengah, khususnya di Mesir. Pelajar yang menuntut di Universiti Al-Azhar telah terpengaruh dengan idea pemulihan Islam yang dibawa oleh Sayid Jamaluddin Al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Setelah kembali ke tanah air pelajar tersebut memulakan gerakan Islah di Tanah Melayu. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda.Antara tokoh penting dalam gerakan ini ialah Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh Al-Hadi dan Haji Abbas Muhammad Taha.  

      Idea pembaharuan Kaum Muda disebarkan melalui majalah Al-Imam. Al-Imam telah memberi kesan besar dalam perkembangan pemikiran orang Melayu. Orang Melayu mulai sedar akan kepentingan pendidikan dan ekonomi mereka.Mereka menegaskan pentingnya umat Islam kembali kepada ajaran al-Quran dan Hadis.Pada pandangan mereka, masyarakat Islam ketinggalan kepada kaum imigran bukan disebabkan oleh ketidakupayaan mereka bersaing, tetapi disebabkan kelalaian mereka memahami ajaran Islam sebenar.Bagi mereka masyarakat Melayu masih boleh diselamatkan sekiranya diberi petunjuk kepada ajaran Islam sebenar berlandaskan al-Quran dan Hadis.[4]  




[1]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf, AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3  Edisi Kemaskini,151.   
[2]“Gerakan Nasionalisme”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 3, , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013) 56 .  
[3]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf, AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000) ,153
[4]Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2015),142.  

Rabu, 1 Ogos 2018

Penghijrahan buruh India.

Orang India dari Benggala dan Madras datang ke Pulau Pinang hampir 200 tahun lalu bersama-sama Francis Light di Pulau Pinang. Selepas pembukaan Singapura 1819 dan pengambilan Melaka 1824 lebih ramai orangIndia datang mencari peluang pekerjaan sebagai peladang, petani, kerani dan buruh.Mulai tahun 1860-an orang India datang melalui Sistem Kangani. Kemasukan orang India secara beramai-ramai hanya berlaku pada tiga dekad pertama abad ke-20 dengan perkembangan perusahaan getah. Buruh India yang murah diperlukan untuk membuka ladang bagi kerja penanaman dan penorehan getah.[1]

      Kebanyakan buruh asing India berasal dari wilayah India Selatan,terutamanya Madras. Mereka dibawa masuk untuk bekerja sebagai buruh kontrak di ladang tebu dan kopi di Perak dan Selangor.Permintaan untuk menggunakan buruh asing dari India semakin meningkat sepanjang abad ke-19 kerana perbelanjaan untuk membawa mereka masuk ke Tanah Melayu agak murah.Kerajaan British di Negeri-negeri Selat juga tidak menghadapi masalah untuk membawa masuk mereka kerana ketika itu India berada di bawah pentadbiran Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC). Ini menjadikan semua urusan dapat dikendalikan dengan lebih mudah dan licin.[2]

Sebab-sebab penghijrahan orang India
1.Kesengsaraan ekonomi.
Petani yang memiliki tanah pula mula kehilangan tanah kerana terpaksa menjual atau menggadaikannya untuk membayar cukai atau hutang. Manakala petani yang tidak memiliki tanah untuk diusahakan terpaksa memajak tanah daripada tuan tanah yang menyewakannya dengan kadar sewa yang tinggi. Semua ini menjadikan kehidupan petani semakin susah. Mereka juga terpaksa menanggung beban cukai yang tinggi, serta terikat dengan hutang daripada peminjam wang.

Kesusahan ini diburuktan lagi oleh bencana alam yang sering berlaku seperti bunjir, kemarau, kebuluran dan merebaknya wabak penyakit. Misalnya pada tahun 1840-an, Dataran Tinggi Deccan dan India Selatan mengalami bencana alam seperti kemarau yang merosakkan tanaman dan mengakibatkan masalah kebuluran yang berpanjangan.

Sistem sosial di India juga membataskan mobiliti ekonomi dan sosial. Mereka yang berasal daripada kasta rendah tidak berpeluang meningkat ke taraf yang lebih tinggi. Mereka sentiasa
dipandang hina dan tidak dapat menikmati hak yang sama seperti orang yang berasal daripada kasta tinggi.  Sekatan dalam sistem sosial ini diburukkan lagi dengan wujudnya jurang antara mereka yang berpendidikan dengan golongan yang kurang terdidik atau buta huruf yang sebahagian besarnya berasal daripada kasta yang rendah.

Semua masalah ini menimbulkan kesengsaraan hidup dan mendorong mereka berhijrah ke negara lain untuk memulakan kehidupan baharu. Oleh kerana peluang pekerjaan yang terhad,
pilihan yang ada ialah mencari pekerjaan di tempat lain.

2.Pertambahan penduduk di India
Selepas pertengahan abad ke-19, India menghadapi masalah pertambahan penduduk yang pesat, iaitu daripada 130 juta pada tahun 1845 meningkat kepada 390 juta pada tahun 1941.Pertambahan pesat penduduk ini menimbulkan pelbagai masalah terutamanya kepada masyarakat tani. Tanah yang boleh diusahakan untuk kegiatan pertanian semakin kurang. Ini
bermakna sumber makanan untuk keperluan hidup seharian semakin kurang kerana orang yang menggunakannya semakin bertambah.

3.Kestabilan politik dan ekonomi di Tanah Melayu.
Perkembangan pesat perusahaan getah di Tanah Melayu pada awal abad ke-20 telah meningkatkan keperluan tenaga buruh. Keperluan ini semakin mendesak kerana penduduk tempatan enggan bekerja di ladang getah. Oleh itu, orang India dibawa masuk untuk bekerja sebagai buruh di ladang getah.Permintaan terhadap tenaga buruh semakin tinggi kesan tercetusnya Revolusi Perindustrian di Eropah. Kuasa-kuasa Eropah yang inginkan bekalan bahan mentah mula menjajah di beberapa buah kawasan tropika. sesetengah kawasan ini tidak dapat membekalkan tenaga buruh.

     Oleh itu, tenaga buruh terpaksa dibawa masuk dari luar. Keadaan ini diburukkan lagi akibat penghapusan amalan menggunakan hamba abdi di tanah jajahan British. Peladang-peladang Eropah yang kehilangan sumber tenaga buruh meminta British mengadakan peraturan baharu untuk mendapat bekalan tenaga buruh yang tetap dari India.

4.Galakan kerajaan British
British di ranah Melayu menggalakkan kemasukan buruh dari India kerana mereka sanggup bekerja walaupun dibayar gaji yang rendah. Selain ladang getah, mereka juga diambil bekerja
untuk membina jalan raya dan landasan kereti api. 6 orang Punjabi keturunan sikh dibawa masuk untuk menjadi tentera dan polis. Orang Tamil dari India Selatan yang berpendidikan Inggeris pula diambil untuk menjadi kerani dalam perkhidmatan kerajaan atau bertugas di ladang.

Cara kemasukan orang India
1.Sistem kontrak
Pada peringkat awal, kemasukan orang India ke Tanah Melayu dikendalikan melalui satu sistem yang dikenali sebagai sistem Buruh Kontrak yang mula diperkenalkan pada tahun l820. Di bawah sistem ini, buruh dikehendaki mengikat kontrak dengan majikan yang membiayai tambang perjalanan mereka ke Tanah Melayu. Mereka diwajibkan bekerja dengan majikan untuk satu tempoh tertentu, biasanya selama lima tahun. Sistem Buruh Kontrak tidak kekal lama kerana didapati lebih bersifat menindas. Buruh-buruh yang dibawa masuk itu diberi layanan yang buruk dan dipaksa bekerja keras di ladang-ladang. Mereka dibayar upah yang murah sehingga ada yang Jatuh sakit dan tidak dibayar gaji. pada tahun 1868, sistem ini dihentikan dan digantikan dengan satu sistem lain yang dinamakan sistem Kangani.
2.Sistem Kangani.
Perkataan 'kangani' dalam bahasa Timil bermaksud mandur.Melalui sistem ini, majikan yang ingin memperoleh buruh dari India dikehendaki menghantar pulang seorang kangani (mandur) ke kampung halamannya untuk mendapatkan pekerja. Kangani bertanggungjawab membiayai tambang dan lain-lain perbelanjaan sehingga mereka tiba di ladang majikan masing-masing. Buruh-buruh itu diambil bekerja di bawah jagaan kangani berkenaan.

      Sistem Kangani berjaya membawa masuk lebih ramai tenaga buruh dari India dan kebanyakannya datang secara berkeluarga.Cara ini memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan suasana dan tempat kerja yang baharu. Buruh-buruh ini dikendalikan oleh kangani yang dikenali dan dilayan dengan baik.[3]


[1]“Masyarakat Pelbagai Kaum”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 3,53 ,  
[1]Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Sejarah Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2015),131.  
[2]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf,AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3  Edisi Kemaskini, 145.
[3] Ibid,147.

Penghijrahan buruh Cina ke Tanah Melayu

mereka lebih tertumpu di Negeri-Negeri Selat sebelum memasuki negeri-negeri Melayu yang lain.Kebanyakkan orang Cina berasal dari tiga buah wilayah di Tenggara China iaitu Kwangtung, Kwangsi dan Fukien. Mereka tinggal di persisir pantai dan terkenal dengan sifat keberanian  ingin mengembara dan mahir dalam ilmu pelayaran.[1]
Sebab-sebab penghijrahan orang Cina
1.Kesengsaraan ekonomi dan sosial kaum tani
China mengalami pertambahan penduduk yang pesat. Ini menjadikan keluasan tanah yang boleh diusahakan untuk kegiatan pertanian semakin terhad. Keluaran pertanian yang dapat dihasilkan untuk keperluan makanan semakin berkurangan sehingga menimbulkan masalah kebuluran. Masalah kekurangan makanan diburukkan lagi oleh rencana alam seperti banjir, kemarau dan gempa bumi yang sering melanda China. Bencana alam ini telah meragut banyak nyawa dan memusnahkan harta benda serta mengakibatkan sebahagian besar keluaran pertanian yang dihasilkan turut musnah.
Akibat pelbagai masalah sosial dan ekonomi yang melanda, taraf hidup kaum tani semakin merosot dan hal ini memaksa mereka untuk berhijrah ke negara lain bagi memulakan kehidupan baharu.Kerajaan China memberi galakan kepada rakyatnya berhijrah ke negara lain untuk mencari kehidupan baharu yang lebih baik.
2.Ketidakstabilan politik di Negara China.
Chinadiperintah oleh dinasti Manchu dari tahun 1644-l9ll.Orang Manchu bukan orang Cina yang sebenar. Mereka pemerintah asing yang berjaya menakluki dan memerintah China Semasa pemerintahan dinasti Manchu, pemberontakan dan kekacauan sering berlaku akibat perasaan tidak puas hati rakyat seperti Pemberontakan Thiping (1850-1964) dan Pemberontakan Boxer (1899-1900). Setiap kali pemberontakan dan kekacauan tercetus, ribuan nyawa yang menjadi korban.Walaupun semua pemberontakan itu dapat ditumpaskan, tetapi keadaan politik dalam negeri sentiasa tidak stabil dan rakyat hidup dalam ketakutan. Keadaan ini mendorong rakyat biasa untuk berpindah ke tempat lain yang lebih selamat.[1]

3.Perkembangan ekonomi di Tanah Melayu.
Perkembangan ekonomi yang pesat dan pertapakan modal asing menjelang pertengahan abad ke-19 turut menarik minat penghijrah China untuk berhijrah ke Thnah Melayu.Pada ketika itu, ekonomi Tanah Melayu sedang berkembang pesat ekoran pelaburan modal British dalam perusahaan bijih timah dan getah. Selain itu, saudagar Cina juga sudah lama bertapak di Negeri-negeri Selat dan mereka berminat untuk melabur dalam perusahaan bijih timah dan getah.

      Kehadiran pemodal asing, terutamanya dalam perusahaan bijih timah merupakan antara faktor penting yang menjadi daya tarikan kepada penghijrahan beramai-ramai buruh asing Cina ke Tanah Melayu menjelang pertengahan abad ke-19 dan awal abad ke-20.Akibat perkembangan Revolusi Perindustrian di Britain, permintaan terhadap bijih timah semakin bertambah. Ini menyebabkan lebih banyak lombong baharu dibuka dan semakin ramai tenaga buruh diperlukan.

     Kemasukan buruh asing Cina lebih tertumpu di kawasan yang mengusahakan kegiatan melombong bijih timah seperti Kuala Lumpur, Thiping, Ipoh, Kampar dan Lukut. Pembukaan Pulau Pinang dan Singapura sebagai pelabuhan antarabangsa turut menjadi tarikan untuk mereka berhijrah ke Tirnah Melayu.Negeri-negeri Selat menjadi pangkalan utama kemasukan penghijrah Cina ke negeri-negeri Melayu. Mereka bekerja dalam sektor perniagaan atau perladangan seperti di ladang gambir, lada hitam dan tebu.

4.Kestabilan politik di Tanah Melayu.
Dasar pentadbiran British di Tanah Melayu turut menggalakkan kemasukan buruh asing Cina. Selepas campur tangan di negeri-negeri Melayu, British berjaya menamatkan persengketaan antara kongsi gelap, perebutan takhta dan perang saudara seperti di Perak, Selangor dan Sungai Ujong.Perkembangan ini dapat menyakinkan kaum Cina bahawa kestabilan politik di negeri-negeri Melayu telah dipulihkan. Ini membawa kepada bertambahnya bilangan buruh asing Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu.

      Pada mulanya, lebih 90 peratus daripada orang Cina yang berhijrah ke Negeri-negeri Selat terdiri daripada lelaki. Ini kerana kerajaan china tidak membenarkan kaum wanita berhijrah ke luar negara.Akibatnya, ramai lelaki Cina yang berhijrah ke Negeri-negeri Selat mengahwini wanita tempatan. Anak cucu mereka yang dilahirkan terus menetap di sini dan mereka dikenali sebagai 'orang Cina Selat'.Tidak lama kemudian, orang cina Selat memutuskan hubungan mereka dengan China dan menganggap diri mereka sebagai sebahagian daripada rakyat di Tanah Melayu' Mereka boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik dan ada yang terlibat dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.
Cara kemasukan orang Cina
1.Melalui ejen atau Sistem Tiket Kredit.
2.Sistem pengambilan kakitangan
3.Sistem pengambilan rumah kongsi.



[1]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf,AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3  Edisi Kemaskini, 142.
[2]ibid,144.