Selasa, 12 Disember 2017

Hee Chun-Kok Siang juara di Pune

ARKIB : 03/11/2008
KUALA LUMPUR - Pasangan negara, Mak Hee Chun-Teo Kok Siang melengkapkan tahun 2008 yang cemerlang apabila muncul juara beregu lelaki Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Pune, India semalam.

Kemenangan tersebut dilakar hanya tiga bulan selepas mereka berjaya merangkul kejuaraan Remaja Asia di Kuala Lumpur.

Hee Chun-Kok Siang, menepati status sebagai pilihan pertama kejohanan selepas menundukkan pasangan dari China dan pilihan ketiga/empat, Chai Biao-Qiu Zihan 21-18, 21-14.

Malah apa yang menjadikan kemenangan lebih bermakna, beregu negara itu berjaya menebus kekalahan kepada pasangan yang menundukkan mereka pada separuh akhir acara berpasukan, minggu lalu.

Hee Chun-Kok Siang menjadi beregu ketujuh Malaysia (lelaki dan campuran) berjaya merangkul kejuaraan remaja dunia selepas Chan Chong Ming-Jeremy Gan memenanginya buat kali pertama pada 1996.

Malah bagi Kok Siang, kemenangan semalam berjaya menyamai pencapaian abangnya, Teo Kok Seng, yang muncul juara beregu lelaki bersama Chong Ming pada 1998.

Sementara itu pasangan Singapura, Fu Mingtian-Yao Lei melakar kejutan terbesar apabila menundukkan pilihan pertama, Xie Jing-Zhong Qianxin dari China 21-19, 21-17 untuk muncul juara beregu wanita.

China bagaimanapun membawa pulang dua gelaran - perseorangan lelaki dan beregu campuran, manakala tuan rumah meraikan kemenangan terbesar pemain wanita mereka, Saina Nehwal.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz512eXC5oR

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 11 Disember 2017

Masih gah pada usia 100 tahun

ARKIB : 16/10/2008
Oleh ZAINI RABAN
 
Masjid India Muslim di Ipoh ini masih gah walaupun sudah berusia 100 tahun.
- Gambar MOHD. NAJIB MOHD NOR

IPOH 15 Okt. - Salah satu yang menarik perhatian apabila bercerita tentang bangunan lama di Ipoh ialah mengenai kewujudan sebuah masjid yang terletak betul-betul di tengah bandar raya ini iaitu Masjid India Muslim.

Sama ada percaya atau tidak, usia masjid yang terletak berhampiran dengan Padang Bandaran Ipoh ini sudah mencecah 100 tahun.

Ia dibina pada tahun 1908 dan diasaskan oleh Sheikh Adam yang merupakan keturunan Tamil.

Buat pengetahuan umum, masjid berkenaan merupakan sebuah masjid tua yang dibangunkan oleh pengikut Mazhab Hanafi dan terletak di Jalan Clayton atau kini lebih dikenali sebagai Jalan S.P. Seenivasagam.

Pada mulanya, tujuan masjid ini dibina adalah untuk kegunaan komuniti India Muslim di Ipoh tetapi setelah 100 tahun berlalu, fungsi serta peranannya dalam membangunkan dakwah Islam di negeri ini khususnya Ipoh memang tidak dapat dinafikan.

Apa yang membanggakan, masjid ini terus tersergam indah dan secara tidak langsung menjadi lambang kekukuhan syiar Islam di bandar raya ini.

Penulis percaya, semua itu adalah hasil usaha keras, titik peluh dan keikhlasan komuniti India Muslim yang terlibat dalam membina dan mengimarahkan Masjid India Muslim selama ini.

Pembinaan dan konsep seni bina masjid ini lebih cenderung kepada Chitya India atau gaya Moghul yang hampir sama bentuknya dengan Diwan-i-Khas di Delhi.

Bagaimanapun, apa yang penting ialah mengenai pengisian atau fungsi masjid tersebut yang masih mampu bertahan setelah 100 tahun berlalu.

Antara aktiviti kebajikan utama masjid ini ialah membela saudara seagama yang hidup dalam kesusahan.

Sebab itu, di sebelah masjid berwarna putih dan hijau ini, terdapat sebuah bangunan asrama yang menempatkan insan-insan kurang bernasib baik.

Asrama berkenaan digunakan oleh mereka sebagai tempat untuk berteduh selain beribadah selepas mendapat kebenaran pihak pengurusan masjid.

Salah seorang individu penting di sebalik kejayaan Masjid India Muslim ini bertahan lama ialah Pengerusi Jawatankuasa Masjidnya iaitu Datuk Thasleem Mohd. Ibrahim Al-Haj.

Beliau yang merupakan tokoh korporat yang berjaya begitu tegas dalam memainkan peranan untuk membela golongan fakir miskin di seluruh negara.

''Kadang-kala kita cuma bagi bantuan kepada mereka yang layak di masjid ini tetapi ia hanyalah simbolik di hadapan masyarakat umum.

''Sebenarnya kita turut membantu ramai mereka yang susah tetapi perkara itu tidak perlulah dihebahkan kepada umum," katanya baru-baru ini.

Sempena dengan sambutan 100 tahun masjid itu, pihaknya berhasrat untuk menjemput Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menziarah masjid berkenaan sebagai tanda penghormatan.

Katanya, selaku Ketua Agama Islam di Perak, Sultan Azlan adalah individu paling layak untuk memberi penghormatan kepada kejayaan masjid ini.

Ditanya mengenai keunikan masjid berkenaan, Thasleem berkata, kebanyakan jemaah berasa amat kagum dengan kekukuhan binaan masjid tersebut.

''Setelah 100 tahun berlalu, terfikir juga bagaimana masjid ini boleh begitu kukuh berdiri. Bagaimanapun selepas diperiksa oleh pakar, kami dapati kayu di bahagian bumbungnya sudah teruk dimakan anai-anai.

''Kami amat terkejut melihat keajaiban itu. Malah pakar kejuruteraan yang kami bawa dari Kuala Lumpur juga hanya mampu menggelengkan kepada dan hanya berkata ini semua kerja Allah.

''Kami sangat bersyukur kerana mengikut logik, bumbung masjid ini sebenarnya boleh runtuh pada bila-bila masa," katanya.

Setelah meneyedari perkara tersebut, pihak pengurusan masjid telah membuat keputusan untuk memperbaiki masjid berkenaan melalui dua fasa.

Katanya, fasa yang pertama iaitu menukar kayu-kayu bumbung telah siap dengan menelan belanja lebih RM200,000.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm#ixzz50wJph9ym

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 10 Disember 2017

3 abad Kesultanan Terengganu

ARKIB : 13/10/2008
Oleh Hasrom Haron
Terengganu terkenal dengan Batu Bersurat yang menandakan kehadiran agama dan masyarakat Islam di negeri itu seawal kurun ke-14. Pada Batu Bersurat itu terpahat tarikh Hijrah 702. Tarikh itu bersamaan 1303M berdasarkan perkiraan Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Daripada segi bukti sejarah, ini menandakan Terengganu mempunyai masyarakat Islam lebih awal daripada tempat lain di Semenanjung Tanah Melayu, bahkan lebih awal daripada Kerajaan Melayu Melaka, yang bermula pada awal abad ke-15!

Belum pun lipatan sejarah Batu Bersurat Terengganu itu dapat dihuraikan sepenuhnya, sejarah negeri ini ditandai oleh satu lagi mercu tanda pada awal abad ke-18. Kali ini ditemui pula kupang emas yang terpahat tarikh Hijrah 1120H. Tarikh itu diperkirakan bersamaan 1708M.

Pada kupang emas itu ditulis dalam huruf Jawi beberapa kalimah lain selain tarikh tersebut. Pada muka depan duit itu dicatatkan nama 'Sultan Zainal Abidin Shah'. Di bahagian belakang duit itu ditulis perkataan Khalifatul'l-Mu'minin 1120, dalam tulisan Jawi juga. Kupang emas itu dikeluarkan sempena pertabalan Sultan Zainal Abidin Shah sebagai Sultan Terengganu yang pertama.

Tulisan itu dengan jelas menunjukkan kehadiran Sultan Zainal Abidin Shah sebagai sultan yang membuka negeri di Tanjung Baru, di Kuala Berang, Hulu Terengganu. Maka itu pengkaji menetapkan bahawa Kesultanan Terengganu adalah bermula dengan Sultan Zainal Abidin Shah selewat-lewatnya pada 1708 Masehi dan memerintah Negeri Terengganu dari 1708 hingga 1733.

Susur galur dan perkembangan Kesultanan Terengganu ini didokumentasikan dalam sebuah buku besar berjudul Dirgahayu Tuanku - Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008, terbitan sulung Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) bersempena 300 tahun Kesultanan Terengganu.

Buku ini ditulis oleh dua orang sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia - Prof. Dr. Nik Anuar Nik Mahmud dari Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi dan Dr. Mohamed Anwar Omar Din dari Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, sebagai satu projek penting YDSM.

Buku ini diserikan dengan Perutusan Tuanku Mizan Zainal Abidin selaku Pengerusi YDSM. Baginda menitahkan buku ini diterbitkan supaya ia dapat mengilhamkan penyelidik lain untuk menggali lebih banyak sejarah dan warisan Terengganu khususnya dan Malaysia umumnya sebagai sumbangan kepada khazanah ilmu pengetahuan untuk tatapan masyarakat, lebih-lebih lagi generasi baru.

Selain itu, buku ini diberi Kata Pengantar oleh ahli sejarah terkenal antarabangsa, Profesor Sejarah Asia Tenggara dari Universiti Hawaii, Honolulu, Amerika Syarikat, Prof. Leonard Andaya yang mengalu- alukan penerbitan buku ini sebagai usaha memberikan keterangan terperinci mengenai negeri-negeri Melayu lain seperti Terengganu yang sering terlepas pandang dalam pensejarahan umum yang didominasikan oleh satu atau dua buah kerajaan utama sahaja.

Penyelidikan oleh kedua-dua sarjana dari UKM merumuskan bahawa Kesultanan Terengganu yang pada masa ini diterajui oleh Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al- Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah ditubuhkan oleh Sultan Zainal Abidin Shah I. Setelah membuka negeri di Tanjung Baru, Kuala Berang, baginda kemudiannya berpindah ke Langgar, seterusnya menghilir lagi ke Pulau Manis, berpindah pula ke Balik Bukit dan akhirnya mendirikan pusat pemerintahan di Kota Lama, di kaki Bukit Keledang, dalam Bandaraya Kuala Terengganu sekarang ini.

Tuanku Sultan Mizan adalah sultan keenam belas dalam jurai Kesultanan Terengganu yang diasaskan oleh Sultan Zainal Abidin Shah I.

Oleh itu tahun 2008 adalah satu tahun yang bersejarah lagi signifikan bagi Terengganu. Pada tahun ini genaplah tiga abad Kesultanan Terengganu. Sambutan ini menjadi lebih bererti kerana pada masa ini juga Sultan Mizan adalah Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang XIII.

Bagi menandakan kegemilangan tiga abad Kesultanan Terengganu ini akan dilangsungkan sambutan yang gilang gemilang dan acara keilmuan. Acara ini akan bermula pada 13 Oktober 2008 (hari ini) apabila Majlis Pelancaran Sambutan Tiga Abad Kesultanan Terengganu berserta Majlis Santapan Diraja akan berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Dalam majlis sambutan ini, tiga acara akan dilancarkan. Pertama, pelancaran buku Dirgahayu Tuanku - Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008.

Selain itu akan dirasmikan pelancaran Pameran Tiga Abad Kesultanan Terengganu. Pameran yang diselenggarakan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu akan berlangsung sehingga 31 Disember 2008.

Acara ketiga yang turut dilancarkan ialah Persidangan Antarabangsa Tiga Abad Kesultanan Terengganu yang dianjurkan secara bersama oleh Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan YDSM. Persidangan ini akan dilangsungkan pada 17-19 Oktober di Kampus KUSZA, UDM.

Persidangan itu akan membentangkan antara lain susur galur Kesultanan Terengganu, perkembangan sosio-ekonomi negeri Terengganu, sastera dan persuratan serta lain-lain. Persidangan ini akan membariskan 17 sarjana dalam dan luar negeri, khasnya sarjana anak negeri Terengganu.

Ketiga-tiga Majlis Sambutan Tiga Abad Kesultanan Terengganu merupakan program besar penyelidikan, penerbitan dan khidmat masyarakat Yayasan DiRaja Sultan Mizan. Semuanya akan menyumbang kepada kedaulatan dan kebesaran institusi Kesultanan Terengganu untuk menghadapi cabaran abad baru.



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm#ixzz50vlO96Oe

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 5 Disember 2017

Malaysia berpeluang ke pusingan akhir

ARKIB : 16/09/2008
KUALA LUMPUR - Malaysia mampu mengintai peluang yang lebih cerah untuk layak ke pusingan akhir bola sepak Piala Asia 2011 di Qatar apabila Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) memberikan kelayakan automatik kepada salah satu lawannya dalam Kumpulan C, India.

AFC dalam kenyataan medianya, semalam, menyebut: "India layak ke Piala Asia 2011 atas tiket sebagai juara Piala Cabaran 2008 sekali gus cuma meninggalkan Uzbekistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia dalam Kumpulan C pusingan kedua kelayakan apabila ia disusun semula."

India yang dibimbing Bob Houghton dari England, menewaskan juara bertahan, Tajikistan 4-1 dalam perlawanan akhir Piala Cabaran di Stadium Ambedkar, New Delhi, bulan lalu.

Keputusan oleh Jawatankuasa Pertandingan AFC ini bererti kesemua pasukan kumpulan ini cuma akan bermain empat perlawanan (liga timbal balik) berbanding enam bagi pasukan lain dalam Kumpulan A, B, D dan E pusingan kedua Kelayakan Piala Asia yang bermula Januari ini.

Malah sekiranya Malaysia mampu mencapai kemenangan mengejut ke atas UAE dalam dua perlawanan di tempat sendiri dan lawan, ia sudah memadai untuk menjamin kelayakan ke pusingan akhir di Qatar.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan kelayakan pusingan kedua ini, akan mara ke Qatar.

Namun UAE yang masih berjuang merebut tiket ke pusingan akhir Piala Dunia Afrika Selatan 2010, pernah menewaskan Malaysia 3-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Petaling Jaya, tahun lalu.

Selain itu, kelebihan dari segi ranking sesama mereka lebih menyebelahi UAE yang berada di ranking ke-109 dunia dan ke-13 Asia sementara skuad negara bimbingan B. Sathianathan kini menduduki ranking ke-161 dunia dan ke-29 Asia.

Malaysia turut dianggap sukar menyaingi Uzbekistan (keenam Asia dan ke-59 dunia) yang pernah membelasah skuad negara 5-0 dalam perlawanan Kumpulan C pusingan akhir Piala Asia di Bukit Jalil, tahun lalu.

Sementara itu ketiadaan India dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2011 turut menggugurkan kesemua perlawanan yang dijadualkan dalam kelayakan Kumpulan C termasuk menentang Malaysia pada 28 Januari 2009 dan 3 Mac 2010.

Turut layak ke Qatar secara automatik ialah juara dan naib juara Piala Asia 2007, Iraq dan Arab Saudi di samping pemenang tempat ketiga Korea Selatan, tuan rumah Qatar dan juara Piala Cabaran 2010.

Malaysia pernah mara ke pusingan akhir Piala Asia pada tahun 1976 serta 1980 dan tahun lalu secara automatik selaku tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50PkDDPQo

© Utusan Melayu (M) Bhd

SALASILAH NABI MUHAMMAD SAW

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Menurut Abu Musad Al-Husny sasilah Nabi Muhammad SAW bermula dengan bapa baginda
,Abdullah,Abdul Mutalib, Hasyim, Abdul Manaf, Qushai bin Kilab, Kaab, Luai, Ghalib, Fihr,
Nazar, Kinanah, Khuzamah, Mudrikah, Ilyas, Mazar, Maad bin Adnan.[1]


[1] Abu Musad  Al-Husny, Sejarah Nabi Muhammad S.A.W, (Batu Caves Selangor:Pustaka Ilmi,2014),65.

Sheikh Idris Al-Marbawi pengarang Bahrul Mazi

ARKIB : 08/09/2008
Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

KITAB Tafsir Surah Yasin karangan Imam Asy-Syaukani terjemahan bahasa Melayu oleh Sheikh Al-Marbawi atas permintaan percetakan Musthafa Al-Baby Al-Halabi Mesir tahun 1353H.

ULAMA besar yang diperkenalkan pada kali ini tidak asing bagi kebanyakan pelajar-pelajar Alam Melayu amnya, dan di Malaysia khususnya. Beliau sangat terkenal dengan kamus Arab-Melayunya, iaitu Qamus al-Marbawi. Beliau ialah Sheikh Muhammad Idris Abdur Rauf al-Marbawi, seorang ulama yang berketurunan dari Kampung Merbau, Perak. Dilahirkan pada tahun 1893 M di Mekah, dan tarikh kembalinya beliau ke rahmatullah juga telah banyak ditulis orang pada 10 Oktober 1989, dimakamkan di Kampung Lubuk Merbau, Perak pada usia 96 tahun.

Tok Kenali antara Guru Sheikh Idris al-Marbawi

Ilmu yang paling banyak diperolehnya adalah dari Tok Kenali Kelantan. Sebelum ini, artikel mengenai Tok Kenali pernah dibicarakan penulis dengan judul Tok Kenali: Ulama Peringkat Wali yang dikeluarkan pada Isnin, 2 Oktober 2006.

Namun dirasakan perlu dibicarakan lagi secara umum berkenaan guru kepada Sheikh Idris Marbawi tersebut.

Tok Kenali adalah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam bersistemkan pondok di Malaysia, bahkan juga seluruh Alam Melayu.

Beliau ialah murid yang paling dipercayai oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, sehinggakan tiada satu rahsia perjuangan Sheikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh beliau.

Beliau meninggalkan murid yang sangat ramai. Antara yang menjadi ulama besar adalah Sheikh Idris Marbawi dan Sheikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber ini penulis perolehi daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, seorang Mufti Mempawah Indonesia, yang didengar penulis pada tahun 1969 di Indonesia, Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah, yang didengar pada tahun 1970, Kadi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala Patani pada tahun 1970, Kadi Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ramai yang lain yang belum perlu disebutkan).

Karya-karya yang dihasilkan

Sheikh Idris al-Marbawi meninggalkan karya-karya yang tidak kurang banyaknya. Terdapat dua karya beliau yang sangat terkenal, sehingga masih digunakan sehingga ke hari ini iaitu Qamus al-Marbawi dan Bahrul Mazi. Keterangan maklumat mengenai kedua-dua karya tersebut adalah berikut:

A. Qamus Idris al-Marbawi

Qamus Idris al-Marbawi adalah judul sebenar dalam persuratan. Dalam percakapan umum dinamakan kamus Marbawi. Kamus ini bukan kamus Arab-Melayu yang pertama ditulis. Terdapat kamus lain ditulis sekitar tahun berhampirannya. Namun, kamus ini mendapat tempat tersendiri dalam bidang perkamusan.

Paling luas penyebarannya

Antara keistimewaan kamus ini berbanding yang lainnya adalah kamus Arab-Melayu yang ditulis dengan Melayu-Jawi dan yang pertama paling luas penyebarannya di seluruh dunia Melayu. Bahkan ia turut digunakan oleh masyarakat Melayu di Mekah, Mesir dan beberapa tempat lain.

Ia turut digunakan oleh hampir semua orang yang belajar bahasa Arab dari kalangan suku kaum Melayu, Jawa, Bugis dan sebagainya.

Dalam mukadimahnya, beliau meluahkan yang terkandung dalam hatinya demi kemajuan bangsa Melayu, iaitu katanya: “Kemudian dari itu, maka sebelum masuk mengarang kamus ini, lebih dulu menerangkan maksudku mengadakannya, ialah memajukan bangsaku Melayu, sekiranya menuntut bahasa Arab adalah kamus penyuluhnya yang diharap, mendapatkan pelajarannya umpama nahu dan saraf.”

Kamus ini mengandungi dua juzuk. Juzuk pertama yang mengandungi 384 halaman dimulakan huruf Alif dan berakhir dengan Zha, yang mengandungi 18,000 kosa kata perkataan Arab yang diberi takrif atau ertinya ke dalam bahasa Melayu, dan terdapat juga 700 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Dalam juzuk kedua pula mengandungi 401 halaman, yang dimulakan daripada huruf ‘Ain dan berakhir dengan huruf Ya, juga terdapat 18,000 kosa kata Arab dan 500 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Berkenaan maklumat-maklumat lainnya berkaitan kamus Marbawi tersebut, telah banyak penulis bicarakan dalam Berita Harian, 28 Mac 2006 (Selasa) dengan judul ‘Kamus Marbawi Rujukan Pelajar Kuasai Bahasa Arab.’

B. Bahrul Mazi
Karya Syeikh Idris al-Marbawi yang berupa hadis yang terkenal ialah Bahrul Mazi, judul lengkapnya Bahrul Mazi li Syarh Mutkhtasar Sahihit Tarmizi. Ia merupakan terjemahan kitab Sahih Tarmizi dan disyarah oleh beliau.

Terjemahan Sahih Tarmizi secara lengkap ini adalah merupakan yang pertama sekali dilaksanakan dalam bahasa Melayu.

Bahrul Mazi adalah karya besar yang terdiri daripada 22 jilid yang sudah diterbitkan. Maklumat ringkas tentang keseluruhan jilidnya, adalah seperti berikut:

- Jilid I : Tanpa menyebut tarikh. Tebal 227 halaman. Menerangkan bicara bersuci dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 126 hadis dan 591 masalah.

- Jilid II: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 454 masalah.

- Jilid III: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 240 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 161 hadis dan 558 masalah.

- Jilid IV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang; zakat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 115 hadis dan 519 masalah.

- Jilid V: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 208 halaman. Menerangkan bicara puasa dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 110 hadis dan 473 masalah.

- Jilid VI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara haji dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 108 hadis dan 458 masalah.

- Jilid VII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara umrah dan jenayah. Terdiri daripada 114 hadis dan 483 masalah.

- Jilid VIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan baki bab-bab jenayah dan membicarakan Kitabun Nikah. Terdiri daripada 99 hadis dan 330 masalah.

- Jilid IX: Tarikh selesai menulis malam Rabu, 29 Syawal 1357 H di rumah berdekatan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Tebal 224 halaman. Menerangkan bab-bab talak, li’an dan jual beli. Terdiri daripada 117 hadis dan 226 masalah.

Bab-bab jualan
- Jilid X: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Menerangkan baki bab-bab jualan, bab-bab kadi, diat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 180 hadis dan 259 masalah.

- Jilid XI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan korban, nazar-nazar, sumpah-sumpah, perjalanan Nabi dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 151 hadis dan 486 masalah.

- Jilid XII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan perang sabil, pakaian, makanan dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 170 hadis dan 353 masalah.

- Jilid XIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan minum-minuman, kebaktian, perhubungan rahim dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 152 hadis dan 472 masalah.

- Jilid XVI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Melengkapi atas baki bab-bab perhubungan rahim, perubatan, faraid, wala’, hibah, qadar dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 395 masalah.

- Jilid XV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 248 halaman. Melengkapi bab-bab huru-hara, ta’bir mimpi dan saksi-saksi. Terdiri dari 105 hadis dan 301 masalah.

- Jilid XVI: Tarikh akhir Bab ar-Ru‘ya dan mengiringi bab-bab syahadah. Selesai malam Rabu, 21 Ramadan 1359 H/1940 M. Melengkapi atas bab-bab mimpi, saksi-saksi dan zuhud. Terdiri daripada 128 hadis dan 237 masalah.

- Jilid XVII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat kiamat; pelembut hati, wara’ dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 100 hadis dan 210 masalah.

- Jilid XVIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat syurga, neraka, iman dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 109 hadis dan 210 masalah.

Minta izin
- Jilid XIX: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab ilmu, minta izin dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 148 hadis dan 266 masalah.

- Jilid XX: Tarikh dicatat oleh pengarangnya, katanya: “Telah selesai hamba daripada menulis dan mengarangkan juzuk yang kedua puluh ini dengan kurnia Allah SWT kemudian daripada tergendala mengarangnya 16 tahun. Iaitu mula perang Inggeris dengan Jerman dan Jepun dan Itali pada tahun 1949, dan sudah juzuk ini pada malam Rabu 25 Ramadan dan 1373 bersamaan 18 Mei 1955." Melengkapi atas baki bab-bab adab, misal-misal, bab-bab pahala Quran dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 127 hadis dan 311 masalah.

- Jilid XXI: Mulai penulisan pada hari Khamis, 26 Syaaban 1374 H/19 Mei 1955 M, dan diselesaikan pada 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M. Tebal 255 halaman. Melengkapi atas segala bab tafsir. Terdiri daripada 92 hadis dan 335 masalah.

- Jilid XXII: Dimulai 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M, dan selesai pada malam 2 Jamadilakhir 1377 H/24 Disember 1957 M. Tebal 242 halaman. Melengkapi atas tafsir setengah-setengah ayat di dalam surah al-Maidah dan lain-lainnya. Terdiri daripada 95 hadis dan 351 masalah.

Penerbitan keseluruhan diusahakan oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, mulai tahun 1352 H/1933 M.

Pada kata aluan jilid pertama, pengarangnya menerangkan bahawa beliau telah belajar ilmu hadis daripada Sheikh Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadis yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyidina Husein di Kaherah, Mesir. Bahawa ketika pulang ke rumah, beliau terus mencatat pelajarannya sehingga tersusunlah kitab besar Bahrul Mazi tersebut.

Kurang tersebar
Sebuah lagi karangan Sheikh Idris al-Marbawi yang kurang tersebar ialah kitab Tafsir Surah Yasin. Asal kitab ini adalah karangan Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad asy-Syaukani dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sheikh Idris al-Marbawi atas permintaan Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H.

Pada mukadimah Sheikh Idris al-Marbawi menulis: “Adapun kemudian daripada itu, maka telah menuntut kepada hamba oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bahwa hamba terjemahkan tafsir yasin karangan asy-Syaukani daripada Arab kepada Melayu...”.

Kitab ini telah diterbitkan oleh Mathba‘ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H/ 1935 M.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz50NgL0Lhk

© Utusan Melayu (M) Bhd

Chong Wei No.1 dunia

ARKIB : 07/09/2008
Oleh FERZALFIE FAUZI dan HIYSMUDDIN AYUB
KUALA LUMPUR - Pemain utama badminton negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) berjaya menduduki ranking nombor satu dunia ekoran berjaya melangkah ke pusingan akhir Olimpik Beijing 2008, bulan lepas.

Mengetepikan Lin Dan yang kini turun sebagai pemain nombor dua dunia, Chong Wei ketika dihubungi Mingguan Malaysia terkejut dengan ranking terbaru yang diperoleh dari Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu.

Chong Wei berjaya merampas kedudukan nombor satu dunia dari Lin Dan pada 24 Ogos lalu selepas mengumpul 85,579 mata berbanding juara Sukan Olimpik Beijing 2008 itu yang hanya berpuas hati dengan 84,080 mata.

"Saya terkejut... Walaupun saya tahu ranking saya dinaikkan, saya tidak tahu kenapa ia jadi begitu. Saya agak mungkin disebabkan kejayaan saya layak ke perlawanan akhir Sukan Olimpik Beijing yang lalu," katanya yang kecundang di tangan Lin Dan pada acara itu.

Mengulas mengenai penyertaannya ke Terbuka Jepun 16 September ini pula, Chong Wei mengatakan, dia tidak tertekan untuk menyertai kejohanan itu walaupun sebagai pemain ranking nombor satu dunia.

''Ini adalah kejohanan pertama selepas saya memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Beijing, selaku pemain nombor satu dunia saya tidak berasa sebarang tekanan dan akan memberikan persembahan terbaik,'' katanya ketika dihubungi malam tadi.

Dalam pada itu, jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek yakin Chong Wei mampu menangani tekanan sebagai pemain nombor satu dunia pada kejohanan Terbuka Jepun itu.

Misbun berkata, Chong Wei kini mempunyai keyakinan tinggi dan begitu bersemangat untuk menjalani latihan bagi menghadapi kejohanan tersebut.

"Dia (Chong Wei) begitu bersemangat dan menyatakan tidak sabar untuk menjalani latihan bagi menghadapi kejohanan tersebut.

"Meskipun dia tidak menjalani latihan lebih daripada seminggu kerana mengikuti pelbagai program kerajaan, keadaan dirinya kini masih lagi stabil.

"Selain itu, dia juga dilihat mampu menangani dengan baik tekanan sebagai pemain nombor satu dunia dan sebagai pemain pilihan pertama kejohanan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai sasaran pada kejohanan Terbuka Jepun itu, Misbun berkata, berdasarkan penilaian atas kertas, Chong Wei dilihat tidak mempunyai masalah besar untuk mencipta kejayaan di kejohanan itu.

Namun begitu katanya, pasti akan ada pemain lain yang cuba untuk mencipta kejutan ke atas pemain utama negara itu dan jika Chong Wei tidak memberi penumpuan sepenuhnya, dia pasti akan menerima saingan sengit.

"Kadang kala, apabila sudah menjadi pemain nombor satu dunia, kamu pastinya ingin mencatat kemenangan mudah dan mengatasi pemain di bawah kamu dengan jarak mata yang jauh.

"Perkara seumpama ini kadangkala boleh mengundang padah dan memberi tekanan kepada pemain," kata Misbun.

Jurulatih perseorangan negara itu berkata, Chong Wei akan mula menjalani latihan sesi penuh bermula esok dan pemain itu dilihat seperti tidak mahu mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Dia seperti tidak mahu mengalami satu lagi kekesalan dan menangis di atas kekalahannya. Apa yang seringkali dikatakan olehnya ialah untuk menjalani latihan sahaja," kata Misbun.

Sementara itu Misbun berkata, keyakinan diri Chong Wei juga semakin meningkat setelah menerima ganjaran setimpal hasil persembahan baiknya di Beijing.

Jelasnya, anugerah Datuk yang diterima oleh pemain itu juga tidak pernah merubah sikap dirinya, malah dia lebih senang merendah diri seperti sebelum ini.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50NYh7n51
© Utusan Melayu (M) Bhd
KUALA LUMPUR - Pemain utama badminton negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) berjaya menduduki ranking nombor satu dunia ekoran berjaya melangkah ke pusingan akhir Olimpik Beijing 2008, bulan lepas.

Mengetepikan Lin Dan yang kini turun sebagai pemain nombor dua dunia, Chong Wei ketika dihubungi Mingguan Malaysia terkejut dengan ranking terbaru yang diperoleh dari Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu.

Chong Wei berjaya merampas kedudukan nombor satu dunia dari Lin Dan pada 24 Ogos lalu selepas mengumpul 85,579 mata berbanding juara Sukan Olimpik Beijing 2008 itu yang hanya berpuas hati dengan 84,080 mata.

"Saya terkejut... Walaupun saya tahu ranking saya dinaikkan, saya tidak tahu kenapa ia jadi begitu. Saya agak mungkin disebabkan kejayaan saya layak ke perlawanan akhir Sukan Olimpik Beijing yang lalu," katanya yang kecundang di tangan Lin Dan pada acara itu.

Mengulas mengenai penyertaannya ke Terbuka Jepun 16 September ini pula, Chong Wei mengatakan, dia tidak tertekan untuk menyertai kejohanan itu walaupun sebagai pemain ranking nombor satu dunia.

''Ini adalah kejohanan pertama selepas saya memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Beijing, selaku pemain nombor satu dunia saya tidak berasa sebarang tekanan dan akan memberikan persembahan terbaik,'' katanya ketika dihubungi malam tadi.

Dalam pada itu, jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek yakin Chong Wei mampu menangani tekanan sebagai pemain nombor satu dunia pada kejohanan Terbuka Jepun itu.

Misbun berkata, Chong Wei kini mempunyai keyakinan tinggi dan begitu bersemangat untuk menjalani latihan bagi menghadapi kejohanan tersebut.

"Dia (Chong Wei) begitu bersemangat dan menyatakan tidak sabar untuk menjalani latihan bagi menghadapi kejohanan tersebut.

"Meskipun dia tidak menjalani latihan lebih daripada seminggu kerana mengikuti pelbagai program kerajaan, keadaan dirinya kini masih lagi stabil.

"Selain itu, dia juga dilihat mampu menangani dengan baik tekanan sebagai pemain nombor satu dunia dan sebagai pemain pilihan pertama kejohanan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai sasaran pada kejohanan Terbuka Jepun itu, Misbun berkata, berdasarkan penilaian atas kertas, Chong Wei dilihat tidak mempunyai masalah besar untuk mencipta kejayaan di kejohanan itu.

Namun begitu katanya, pasti akan ada pemain lain yang cuba untuk mencipta kejutan ke atas pemain utama negara itu dan jika Chong Wei tidak memberi penumpuan sepenuhnya, dia pasti akan menerima saingan sengit.

"Kadang kala, apabila sudah menjadi pemain nombor satu dunia, kamu pastinya ingin mencatat kemenangan mudah dan mengatasi pemain di bawah kamu dengan jarak mata yang jauh.

"Perkara seumpama ini kadangkala boleh mengundang padah dan memberi tekanan kepada pemain," kata Misbun.

Jurulatih perseorangan negara itu berkata, Chong Wei akan mula menjalani latihan sesi penuh bermula esok dan pemain itu dilihat seperti tidak mahu mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Dia seperti tidak mahu mengalami satu lagi kekesalan dan menangis di atas kekalahannya. Apa yang seringkali dikatakan olehnya ialah untuk menjalani latihan sahaja," kata Misbun.

Sementara itu Misbun berkata, keyakinan diri Chong Wei juga semakin meningkat setelah menerima ganjaran setimpal hasil persembahan baiknya di Beijing.

Jelasnya, anugerah Datuk yang diterima oleh pemain itu juga tidak pernah merubah sikap dirinya, malah dia lebih senang merendah diri seperti sebelum ini.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50NYh7n51

© Utusan Melayu (M) Bhd