Rabu, 8 November 2017

WAWASAN 2020


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
      Wawasan 2020 merupakan satu rangka tindakan konkrit bersifat jangka panjang yang menjadi panduan kepada pelbagai dasar lain yang lebih luas berkaitan pembangunan negara. Rangka tindakan ini menetapkan dengan jelas arah tujuan, cabaran dan sasaran negara untuk mencapai satu tahap kemajuan ekonomi yang diinginkan dalam jangka masa yang ditetapkan. Wawasan 2020 digubal berlandaskan keyakinan bahawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum akan bersatu tenaga, berusaha dan bekerjasama ke arah mencapai matlamat yang digariskan oleh wawasan tersebut. Melalui wawasan ini, matlamat akhirnya adalah untuk menjadi sebuah negara maju. Mengikut sasaran yang ditetapkan pada tahun 2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang benar-benar maju, bersatu, mampu berdikari, progresif dan makmur. Rakyat Malaysia pula berpeluang menikmati kehidupan yang lebih sempurna dalam sebuah masyarakat yang demokratik, bertolak ansur, bermoral, adil, mampu bersaing. Dinamik serta mempunyai daya ketahanan yang tinggi.[1]  

CABARAN WAWASAN 2020 DAN HALA TUJU NEGARA.
CABARAN PERTAMA
MEMBINA NEGARA BANGSA YANG BERSATU-PADU.
Malaysia memerlukan perpaduan antara kaum dan integriti peringkat wilayah dan nasional ke arah sebuah negara yang aman dan harmoni. Malaysia menjadi negara yang aman, berintegrasi pada peringkat wlayah dan kaum dengan rakyat hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya secara adil serta didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik  dan dedikasi kepada negara. Perpaduan yang menjadi cabaran pertama Wawasan 2020 merupakan asas kekuatan yang penting untuk kejayaan sesebuah negara.[2]

      Semua ini telah dilakukan melalui pelbagai dasar kerajaan sepanjang tiga dekad yang lalu. Antara strategi ialah  seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pembangunan Nasional[3].

CABARAN KEDUA
MEMBINA MASYARAKAT BERJIWA BEBAS, TENTERAM DAN BERKEYAKINAN.
Keyakinan terhadap diri, bangga dengan segala yang dicapai serta mampu menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia mesti dapat dikenali melalui usaha untuk mencapai kecermerlangan, sedar terhadap semua kemampuan yang ada, tidak mudah mengalah kepada sesiapa dan dihormati oleh rakyat negara lain.

      Dengan memiliki dan menghayati ciri-ciri di atas, rakyat Malaysia akan menjadi sebuah bangsa gagah yang sentiasa berusaha untuk memajukan negara sehingga dapat mengangkat martabat bangsa dan negara di persada antarabangsa. Strategi yang telah dilaksanakan ialah melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan dengan memberi tumpuan kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat, kemahiran insaniah serta sifat kreatif dan inovatif.
CABARAN KETIGA
MEMUPUK DAN MEMBINA MASYARAKAT DEMOKRATIK DAN MATANG.
Mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun.    

      Amalan persefahaman yang matang dan prinsip demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia dapat menjadi contoh kepada negara membangun yang lain. Suatu usaha perlu dipupuk untuk membina masyarakat yang matang dan dalam masyarakat yang berdemoratik akan diberi kebebasan untuk memilih kerajaan yang bakal memimpinnya. Kebebasan memilih untuk memberi peluang kepada perasaan yang tidak berpuas hati melalui saluran tertentu.
CABARAN KEEMPAT
MEWUJUDKAN MASYARAKAT YANG BERMORAL DAN BERETIKA.
Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika, di mana warganegaranya mempunyai nilai agama dan jiwa yang didorong oleh tahap etika yang paling tinggi. Seseorang yang beretika baik perlu mempunyai ilmu pengetahuan, kemahiran dan keinginan yang tinggi. Etika merupakan tingkah laku yang berkait rapat dengan kelakuan yang dibina berdasar tiga unsur iaitu ilmu, kemahiran dan pengetahuan.

      Ketiga-tiga unsur berperanan memupuk  dan melahirkan masyarakat Malaysia yang dinamik bagi meningkatkan hasil kerja yang cemerlang. Masyarakat yang patuh kepada amalan agama dan budaya yang cemerlang, keberkesanan pendidikan dan sistem kekeluargaan yang unggul akan melahirkan manusia yang beretika dan bermoral.[4]

CABARAN KELIMA
MEWUJUDKAN MASYARAKAT YANG MATANG, LIBERAL DAN BERTOLAH ANSUR.
Masyarakat yang matang dapat berfikir secara rasional dan tidak bertindak   secara melulu dalam keadaan apa sekalipun. Masyarakat yang liberal dapat membebaskan diri daripada fahaman yang sempit dan berfikiran terbuka untuk menerima segala perubahan serta pandangan orang lain.

      Masyarakat yang bertolak ansur pula digambarkan melalui kebebasan yang dianuti oleh setiap rakyat untuk mengamalkan adat resam, kepercayaan dan kebudayaan masing-masing tanpa menjejaskan kesetiaan kepada negara. Usaha untuk mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertolak ansur dapat dilihat melalui pelbagai peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Perlembagaan Persekutuan, sistem demokrasi yang menjadi amalan sejak merdeka.Kewujudan pelbagai parti politik berbilang bangsa serta melalui pelbagai dasar yang bertujuan mewujudkan keharmonian antara kaum.

MEWUJUDKAN MASYARAKAT YANG MAJU DAN SAINTIFIK
Masyarakat yang maju adalah sebuah masyarakat yang dapat menyerap segala perubahan yang berlaku di persekitarannya untuk membina dan mencapai kecemerlangan. Masyarakat yang maju tidak boleh berpisah daripada masyarakat saintifik Hal ini kerana penguasaan ilmu pegetahuan terutama ilmu yang berteraskan sains dan teknologi sering dijadikan ukuran kepada kemajuan sesebuah bangsa. Masyarakat maju dan saintifik adalah masyarakat yang mempunyai budaya ilmu yang dapat menjana produktiviti dan amalan kreatif serta inovatif.

      Malaysia seharusnya mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke hadapan bukan sahaja sebagai pengguna teknologi, tetapi turut sama menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan

MEWUJUDKAN MASYARAKAT BERBUDAYA PENYAYANG.
Masyarakat berbudaya penyayang merujuk kepada sistem sosial yang meletakkan kepentingan masyarakat melebihi melebihi kepentingan individu dan kebajikan insan yang tidak berkisar kepada negara atau individu, tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh.

      Masyarakat penyayang sering dicirikan dengan kehidupan yang muafakat , saling memahami dan menghormati, bekersamadan saling membantu antara satu sama lain. Masyarakat penyayng tidak memiliki sifat individualistik tetapi meletakkan kepentingan masyarakat melebihi kepentingan diri. Asas-asas yang kukuh  dalam pembinaan masyarakat penyayang dan budaya penyayang ialah kepathan kepada agama , nilai-nilai murni yang diwarisi daripada amalan tradisi dan institusi kekeluargaan.

      Kasih-sayang dalam masyarakat bermula daripada kasih-sayang yang terjalin dalam keluarga. Hubungan  baik sesama manusia amat ditekankan dalam agama. Budaya teradisi yang penuh dengan nilai-nilai murni perlu ditonjolkan dan dihayati semula untuk memupuk masyakat yang bersifat penyayang .

MENJAMIN MASYARAKAT YANG ADIL DAN SAKSAMA DALAM BIDANG EKONOMI.  
Pengagihan kekayaan negara dilaksanakan secara adil dan saksama dengan mewujudkan perkongsian secara bersama dalam kalangan semua semua rakyat dalam suasana ekonomi yang berkembang. Masyarakat yang dibentuk itu akan menghapuskan pengenalan kaum yang berdasarkan fungsi ekonomi yang diwarisi dari zaman penjajah serta kemunduran kaum dari sudut ekonomi

      Pada masa lalu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar seperti Rancangan Pembangunan lima Tahun, Rancangan Pembangunan Luar bandar , Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional sebagai sebahagian daripada langkah  untuk menjamin keadilan ekonomi untuk semua dan pada masa yang sama untuk meningkatkan taraf hidup rakyat daripada semua lapisan kaum.

MEMUPUK DAN MEMBINA MASYARAKAT YANG MAKMUR.
Masyarakat yang makmur dikaitkan dengan masyarakat yang hidup dalam kemewahan dan mempunyai taraf hidup yang tinggi. Pada masa yang sama , tiada ahli masyarakat yang hidup melarat dalam kemiskinan. Pendapatan isi rumah dan pendapatan negara berada pada tahap yang tinggi. Bagi mencapai hasrat untuk menjadi masyarakat yang makmur, masyarakat Malaysia perlu mempunyai kekuatan ekonomi untuk bersaing, dinamik dan kental menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.[5]    


[1]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusof, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara (1800-2000) Penggal 3 Edisi Kedua.(Shah Alam: Oxford Fajar, 2017),212.
[2] Ibid,237.
[3] “Wawasan 2020,” dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Bandar Baru Bangi: PST Enterprise, 2013),100.
[4] S.B.Teoh,Norizan Yusoff dan Nurul Huda Md Yusop, Sejarah STPM Penggal 3,181.
[5] Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusof, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara (1800-2000) Penggal 3 Edisi Kedua.,239.

Ahad, 5 November 2017

RUKUN NEGARA

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
      Malaysia mempunyai ideologi negara yang dikenali sebagai Rukun Negara. Ideologi negara ini digubal sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyatukan rakyat dan membimbing mereka ke arah perpaduan. Rukun Negara dihasilkan melalui penyatuan idea dan pemikiran pelbagai kaum yang peka terhadap keperluan untuk mewujudkan sebuah negara yang bukan sahaja mempunyai identiti sendiri, tetapi juga berkongsi pegangan yang sama.

      Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sebagai satu susunan prinsip hidup bermasyarakat yang mengadungi nilai0nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang mencakupi seluruh aspek kehidupan bernegara seperti agama, budaya, politik, ekonomi dan perundangan. Setiap prinsip itu berperanan melahirkan sebuah negara yang rakyatnya hidup bersatu-padu, aman dan harmoni.[1]   

OBJEKTIF RUKUN NEGARA
      Rukun Negara menggariskan cita-cita murni negara untk mewujudkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu, demokratik, adil, liberal dan progresif. Hasrat ini berpandukan kepada lima objektif yang termaktub dalam Rukun Negara, iaitu;
a)mewujudkan  perpaduanyang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat..
b)memelihara cara hidup yang demokratik.
c)mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.
d)membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak.
e)membina sebuah masyarakat progresif berlandaskan sains dan teknologi moden.

      Kelima-lima objektif di atas terkandung dalam lima prinsip berikut;
a)Kepercayaan kepada Tuhan.
b)Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
c)Keluhuran Perlembagaan.
d)Kedaulatan Undang-Undang.
e)Kesopanan dan Kesusilaan.

      Penerimaan seluruh rakyat Malaysia terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara dan mengamalkannya dalam kehidupan masing-masing dapat membantu usaha ke arah melahirkan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat tanpa mengira keturunan atau kaum. Langkah ini dapat menghapuskan perasaan kegelisahan rakyat, tekanan hidup dan mengurangkan krisis dalam kehidupan masyarakat dan negara serta menjamin kestabilan politik dan sistem kerajaan yang berlandaskan amalan demokrasi.[2]  

PRINSIP-PRINSIP RUKUN NRGARA
      Agama merupakan asas dalam kehidupan untuk memandu seseorang bertindak melakukan kebaikan dan menghindari segala bentuk kejahatan. Setiap kaum di Malaysia menganuti pelbagai agama seperti Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh dan lain-lain. Islam merupakan agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama lain masih bebas diamalkan supaya setiap warganegara akan patuh kepada agama yang dianuti. Malaysia menghormati kebebasan beragama dan tidak ada dasar diskriminasi kepada warganegara atas dasar kepercayaan agama masing-masing.[3]
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem beraja dengan Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua negara dan lambang perpaduan rakyat. Seiring dengan kedudukan baginda sebagai raja berperlambagaan , sistem beraja juga diamalkan di setiap negara beraja dan Yang Dipertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja.

      Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud setiap warganegara hendaklah memberi sepenuh taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Manakala di peringkat negeri, rakyat hendaklah memberi taat setia kepada Raja dan Yang Dipertua Negeri masing-masing, selain kesetiaan kepada Yang di-Pertuan agong.

      Sikap kesetiaan ini merupakan nilai yang amat berharga dan menjadi ikatan dalam memupuk kecintaan rakyat kepada negara. Kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Raja dan Negara merupakan antara faktor yang boleh menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Oleh itu sebarang usaha yang cuba mengalihkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara adalah satu unsur yang jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara.

      Prinsip ini juga bertujuan untuk melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan sanggup berkorban demi kepentingan negara. Pegangan teguh kepada prinsip ini dipercayai dapat melahirkan rakyat yang mematuhi undang-undang dan menjada harta awam, menghormati simbol-simbol yang menjadi lambang kedaulatan negara, produktif dan berusaha untk memelihara nama baik negara sepanjang masa, sanggup menyumbang tenaga untuk pembangunan negara dan masyarakat dan bersedia untuk mempertahankan negara daripada ancaman luar.[4]

      Di Malaysia Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara yang berfungsi memberi hak dan keistimewaan kepada setiap warganegara. Oleh itu setia rakyat telah digariskan tanggungjawab mereka terhadap negara dan perlu menghormati latar belakang serta sejarah perlembagaan tersebut.

      Setiap rakyat hendaklah menerima, mematuhi dan mempertahankan kemuliaan Perlembagaan berdasarkan beberapa perkara asas tersebut iaitu;
a)konsep raja berperlembagaan
b)kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum Bumiputera yang lain.
c)Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan mengamalkan kebebasan beragama
d)bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kebangsaan dan bahasa rasmi serta kebebasan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
e)jaminan tentang hak dan kebebasan asasi rakyat.

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
      Kedaulatan undang-undang merupakan asas kepada prinsip keadilan di Malaysia untuk memberi kebebasan asasi kepada rakyatnya. Ini menjamin kebebasan rakyat untuk bersuara, beragama, perlindungan di sisi undang-undang, kebebasan memiliki harta dan lain-lain lagi.

      Kebebasan rakyat tersebut masih dikawal dengan peraturan dan batasan tertentu supaya tidak disalahguna bagi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Undang-Undang negara perlu dipatuhi supaya kehidupan rakyat aman dan damai serta menjamin kemajuan negara tanpa sebarang halangan.[5]    

KESOPANAN DAN KESUSILAAN
      Mengikut prinsip ini, setiap individu dan kumpulan dalam masyarakat dikehendaki bertindak dan berkelakuan secarasopan dan bertatasusila. Mereka juga harus mempunyai moral yang tinggi, menghormati orang lain dan tidak membangkitkan perkara-perkara yang boleh  menyentuh sensitiviti mana-mana kaum., terutamanya berkaitan asal-usul keturunan, bahasa, agama, kebudayaan dan kepercayaan.

      Jika amalan ini dapat dipatuhi oleh setiap warganegara, hubungan baik yang sedia terjalin antara kaum akan terus berkekalan dan rakyat hidup dalam suasana muhibah tanpa sebarang perasaan prasangka antara satu sama lain.[6]


[1]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusof, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara (1800-2000) Penggal 3 Edisi Kedua.(Shah Alam: Oxford Fajar, 2017),212.
2i]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusof, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara (1800-2000) Penggal 3 Edisi Kemaskini.(Shah Alam: Oxford Fajar, 2014), 229.
[3] S.B.Teoh,Norizan Yusoff dan Nurul Huda Md Yusop, Sejarah STPM Penggal 3, (Shah Alam: SAP PUBLICATIONS (M) SDN. BHD,2014), 179.
[4]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusof, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara (1800-2000) Penggal 3 Edisi Kemaskini.230
[5]S.B.Teoh,Norizan Yusoff dan Nurul Huda Md Yusop, Sejarah STPM Penggal 3,180.  
[6]S.B.Teoh,Norizan Yusoff dan Nurul Huda Md Yusop, Sejarah STPM Penggal 3,  

Jumaat, 3 November 2017

Sistem gred kokurikulum untuk pelajar IPTA



Mula semester depan -

PULAU PINANG – Sistem gred untuk aktiviti kokurikulum di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan dilaksanakan mulai semester akan datang ini dengan harapan ia menjadi pelaris untuk graduan memperoleh pekerjaan.

Ia akan menggunakan sistem penilaian 1 hingga 10 dan diasingkan daripada pemarkahan akademik.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ia satu langkah memberi pengiktirafan kepada mereka yang aktif dalam pelbagai aktiviti luar kuliah dan mendorong pelajar menaikkan nama universiti sama ada pada peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa.

Beliau berkata, cadangan itu kini dalam peringkat rundingan akhir dengan semua IPTA bagi mewujudkan keselarasan.

“Sistem ini akan menjadi panduan kepada majikan untuk memilih bakal pekerja selain rujukan kepada pencapaian akademik,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Malam Kebudayaan India di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini malam kelmarin.

Menurut beliau, ia juga bertujuan menilai personaliti seseorang individu dan ini penting untuk pasaran kerja yang akan diceburi kelak.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemberian gred ini kesinambungan daripada syarat kelayakan kemasukan bagi seorang pelajar sekolah ke universiti.

“Kalau masa sekolah dulu antara syarat untuk belajar di IPT seorang pelajar itu mesti aktif dalam kokurikulum, jadi ini adalah kesinambungan daripada syarat itu bagi melayakkan pelajar untuk memasuki pasaran kerja,” katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz4xN5yCU2v
Hakcipta terpelihara

Nabi Musa bertemu jodoh di Kota Madyan



ARKIB : 01/02/2008

BERKATALAH dia (Syuaib): “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang daripada kedua anakku ini, atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) daripada kamu, maka aku tidak hendak memberkati kamu.

Dan kamu insya-Allah akan mendapatiku termasuk orang- orang yang baik. (al-Qashash: 27).

PADA suatu hari, apabila tiba di Madyan, Nabi Musa telah menolong dua orang gadis mengambil air untuk kambing-kambing gembalaan mereka. Nabi Musa kasihan melihat gadis itu menunggu giliran untuk mengambil air kerana terlalu ramai lelaki di situ. Lalu, kedua anak perempuan itu pulang dan menceritakan akan hal itu kepada bapa mereka.

Bapa mereka menyuruh salah seorang daripada anaknya menemui Nabi Musa dan menjemputnya ke rumah. Maka, anaknya itu menemui Nabi Musa untuk menjemputnya ke rumah mereka.

Apabila tiba di rumah mereka, Nabi Musa disambut oleh bapa kedua-dua gadis itu. Bapa mereka mahu Nabi Musa menceritakan tentang dirinya. Maka, Nabi Musa menceritakan segala-galanya dan beliau kemudiannya diminta tinggal di rumah itu.

Tinggallah Nabi Musa di situ dan kehidupan beliau di situ sangat tenang dan bahagia. Hubungan Nabi Musa dan mereka juga semakin rapat.

Salah seorang anak perempuannya mahu Musa bekerja dengan mereka.

“Wahai ayah, elok sungguh sekiranya kita mengambil lelaki itu bekerja dengan kita. Dia banyak membantu kita dan juga seorang yang sangat kuat,” kata anak perempuannya.

“Baiklah anakku,” jawab ayahnya acuh tidak acuh.

Bapanya faham sangat akan perasaan anaknya itu.

Pada suatu pagi, bapa mereka telah memanggil Nabi Musa. Dia mahu bertanya akan hajatnya kepada Musa.

“Wahai Musa, aku mempunyai cita-cita untuk mengahwinkan engkau dengan salah seorang daripada anakku. Aku harap kamu dapat menemaninya dan menolongku. Bekerjalah kamu di sini menggembalakan kambing selama lapan tahun lamanya, sebagai mas kahwin untuk anakku. Sekiranya kamu suka, tambahlah dua tahun lagi. Itu bergantung kepada kesanggupanmu,” kata bapa gadis tersebut.

“Saya terima apa yang dihajati. Saya berjanji akan turut mana-mana keinginanmu sama ada lapan atau 10 tahun lamanya. Allah akan menjadi saksi atas perjanjian kita ini,” kata Musa.

Dengan perkahwinan itu, Nabi Musa hidup bahagia kerana mendapat isteri yang cantik dan mentua yang baik. Nabi Musa bekerja keras bagi memenuhi janji yang telah ditetapkan.

Walaupun beliau bahagia dengan kehidupannya tetapi telah tiba masanya untuk pulang ke Mesir. Setelah perjanjian bersama dengan mentuanya tamat. Nabi Musa bersama isterinya berangkat pulang ke Mesir. Nabi Musa meninggalkan mentuanya yang sudah tua. Baginda berdoa semoga selamat sampai ke destinasi. Baginda turut berdoa semoga Allah memelihara keluarga isterinya itu.

PENGAJARAN

* Apabila kita berjanji, hendaklah kita menunaikannya.

* Hendaklah kita menolong orang yang berada di dalam kesusahan.

PERBENDAHARAAN KATA

* hajat: keinginan

* menggembalakan: menjagakan

* destinasi: tempat yang dituju.

INFORMASI

* Madyan merupakan negeri di bahagian Selatan Palestin.

Perjalanan Nabi Musa dari Mesir ke Madyan mengambil masa selama lapan hari lapan malam.

* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4xN1drexo
© Utusan Melayu (M) Bhd