Ahad, 3 September 2017

Rasulullah diutus mengajar kebenaran



ARKIB : 20/09/2006
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SAYID Qutub berkata: Sesuai dengan tujuan ini kita melihat ayat-ayat yang berikut memperingatkan kaum Muslimin dengan nikmat-nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada mereka, iaitu nikmat dikirimkan Rasulullah kepada mereka daripada kalangan mereka sendiri sebagai memperkenankan doa moyang mereka, Ibrahim a.s., selaku penjaga Masjid al-Haram yang menjadi kiblat kaum Muslimin. Kemudian pada akhir ayat itu Allah menghubungkan mereka secara langsung dengannya.

(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu) samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui. Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku). (Al-Baqarah: 151-152)

Firman Allah, (Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dalam kalangan kamu (iaitu Muhammad). Al-Zajjaj berkata: Perkataan Kama atau dengan maksud sepertimana tidak layak untuk menjadi jawab dengan apa yang sebelumnya dan lebih baik digantung dengan firmannya maka ingatlah Aku. Ia diriwayatkan maknanya oleh Ali, Ibn Abbas, Mujahid dan Muqatil. Ayat itu merupakan ucapan kepada musyrikin Arab.

Firman Allah, Yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu. Maksud perkataan al-Kitab ialah al-Quran, dan maksud al-Hikmah ialah al-Sunah. Di mana Rasul yang diutuskan dalam kalangan kamu iaitu Muhammad dan kiblat di negeri kamu. Di mana Rasul mengajar kamu ke arah kebenaran dan petunjuk dengan mendatangkan segala dalil dan bukti yang menunjukkan keesaan Allah, besar kudrat-Nya dan elok penciptaan-Nya. Seterusnya dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat), yang sudah bertapak secara meluas pada orang Arab seperti membunuh anak-anak perempuan hidup-hidup, membunuh kanak-kanak kerana bimbang kefakiran, membunuh darah dengan sebab yang amat remeh-temeh serta menenggelamkan akhlak dan etika yang mulia. Justeru, Rasul datang untuk membaik pulih segala kepincangan akhlak tersebut.

Seterusnya dinyatakan tugas Rasul iaitu: Dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, di mana al-Quran yang mempunyai banyak hikmah Ilahi serta rahsia rabbani yang kerananya disifatkan sebagai petunjuk dan cahaya. Begitu juga dengan hikmah sebagai sunah Rasul yang amali dan sirahnya sebagai terjemahan kepada maksud al-Quran dalam semua aspek kehidupannya. Sama ada di rumah bersama sahabat ketika perdamaian dan peperangan, musafir dan bermukim, sedikit sebanyak semuanya sebagai tafsiran kepada umumnya al-Quran.

Dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui. Ini bukan kerana ilmu yang bersumberkan pemikiran dan penelitian semata-mata, tetapi cara dan wasilahnya berdasarkan kepada makrifah wahyu. Seterusnya firman Allah: Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan sepertimana kata Ibn ‘Abbas dan Ibn Jubair: Ingatlah kepada-Ku dengan mentaati-Ku nescaya Aku ingatkan kamu dengan keampunan-Ku.

*Ketaatan

Ibrahim bin al-Sirri pula berkata: sebagaimana Aku nikmatkan kepadamu dengan risalah maka ingatlah-Ku dengan tauhid dan membenarkan Nabi-Ku. Al-Qurtubi berkata: Asal zikir adalah sedar dengan hati bagi apa yang yang dizikirkan, dan dinamakan zikir dengan lidah sebagai zikir kerana ia menunjukkan di atas zikir hati kecuali tatkala banyak diitlaqkan zikir atas ucapan lisan jadilah ia mendahului kefahaman.

Antara makna ayat sebagaimana yang disebut: zikir merupakan ketaatan kepada Allah, maka siapa yang tidak mentaatinya nescaya tidak berzikir kepadanya sekalipun dia memperbanyakkan sebutan tasbih, tahlil dan bacaan al-Quran. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Nabi s.a.w. yang bermaksud: Siapa yang mentaati Allah maka sesungguhnya dia berzikir kepada Allah, sekalipun sedikit solatnya, puasanya, dan perbuatannya yang baik. Dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah maka ia lupa kepada Allah. Sekalipun ia membanyakkan solatnya, puasanya dan perbuatannya yang baik. Hadis ini disebut oleh Abu Abdillah, Muhammad bin Khuwaiz Mandad dalam kitabnya Ahkam al-Quran. Justeru, kata Abu Uthman al-Nahdi, sesungguhnya aku mengetahui saat dan masa Allah menyebut dan mengingati kami. Lantas dikatakan kepadanya: Bagaimana kamu mengetahuinya? Jawabnya: Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku) supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan. Ini juga pendapat al-Suddi dan lainnya. Ditanya kepada Abu Uthman: Kami zikir kepada Allah tetapi tidak merasai kemanisan pada hati kami? Jawabnya: Pujilah kepada Allah yang menghiasi anggota untuk mentaatinya. Zu al-Nun al-Misri berkata: Siapa yang zikrullah atas hakikatnya nescaya lupa pada sekalian yang lain dan Allah memeliharanya daripada sekelian yang lain serta digantikannya daripada sekelian yang lain.

Muaz bin Jabal pernah berkata: Tiada amalan anak Adam yang lebih selamat untuknya daripada azab Allah s.w.t. lebih daripada zikrullah. Cukuplah disebutkan di sini sebuah hadis sebagaimana riwayat Ibn Majah daripada Abdullah bin Busur bahawa seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah seraya berkata: Sesungguhnya syariat Islam amat banyak, maka beritakan kepadaku daripadanya dengan sesuatu yang aku beristiqamah dengannya. Lantas sabda Nabi s.a.w.: Sentiasalah lidahmu basah daripada zikrullah.

Dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku). Syukur dengan maksud amalan, pujian dengan lisan, hati dan diterjemahkan dengan perbuatan mentaati kepada Allah serta larangan yang keras daripada mengkufuri nikmat Allah. Al-Syaukani berkata: Syukur ialah makrifah ihsan dan berbicara dengannya. Asalnya pada bahasa ialah mensucikannya.

Iktibar dan pengajaran ayat

Wazifah (jawatan) Rasulullah s.a.w. ialah membaca ayat-ayat Allah, mensucikan manusia, mengajar al-Kitab dan hikmah apa yang mereka tidak tahu.

Zikir kepada Allah merupakan ibadat yang penting dan lambang Allah mengingati seseorang dengan seseorang mengingati Allah.

Syeikh al-Maghari berkata: Sekiranya umat Islam dapat melaksanakan arahan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya maka layaklah mereka mendapat penambahan daripada Allah. Sebaliknya jika mereka mengkufuri nescaya balasan Allah amatlah pedih.

- DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI ialah penulis tamu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4rbbgANF0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 2 September 2017

Jejak sampel DNA Hang Tuah

Oleh Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Pasukan pengkaji sejarah Hang Tuah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) akan mengambil sampel ujian asid deksiribonukleik (DNA) di setiap kubur yang dikenal pasti milik pahlawan terbabit untuk memperoleh bukti sahih kewujudan pahlawan Melayu itu.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, bukti DNA berkenaan akan dipadankan dengan waris Hang Tuah yang dipercayai berada di Bintan, Indonesia dan Singapura ketika ini.

Beliau berkata, bukti berkenaan penting dalam mengukuhkan lagi kewujudan Hang Tuah adalah benar dan bukan hanya cerita dongeng masyarakat Melayu semata-mata.

“Pengkaji sejarah berminat meneruskan kajian berkaitan DNA Hang Tuah dengan mengambil sampel tulang di kubur yang didakwa milik pahlawan itu di Bintan dan Palembang, Indonesia selain Tanjung Kling, Melaka.

“Bukti berkenaan akan dilaksanakan oleh pasukan pengkaji sejarah dari UPM dalam masa terdekat ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbincangan Meja Bulat Kedudukan Hang Tuah Dalam Sejarah Tamadun Melayu, di sini, semalam.

Perbincangan itu dihadiri pensyarah institusi pengajian tinggi awam, ahli sejarah, pengkaji sejarah dan badan bukan kerajaan termasuk Penyelidik dan Karyawan Tamu dari Universiti Malaya Profesor Emeritus Dr Ahmat Adam dan Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM Prof Emeritus Dr Hashim Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin yang sering membentangkan kajian masing-masing mengenai pahlawan itu.

Sementara itu, ahli akademik sebulat suara bersetuju Laksamana Hang Tuah wujud sebagai pahlawan dan tokoh masyarakat Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Ahmad Sarji berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dalam mencari kesepakatan berkaitan kewujudan Hang Tuah.

Katanya, walaupun ada percanggahan merangkumi kewujudan individu bergelar Hang Tuah, sebutan nama dan ketokohan pahlawan yang wujud pada kurun ke-14 itu, namun tiada perbezaan dalam sejarah fakta yang sudah ditulis dalam Hikayat Hang Tuah serta manuskrip di seluruh negara.

“Hang Tuah adalah lambang masyarakat Melayu dan sudah terpahat dalam hati kita sejak dahulu lagi, malah sejarah berkaitan pahlawan itu terus diperturunkan zaman ke zaman.

“Kebanyakan fakta sejarah menceritakan perkara sama mengenai pahlawan itu, cuma ada perbezaan mengenai perkataan Tuah, Tawha atau Toh, namun ahli akademik lain sepakat mengakui kewujudan laksamana itu,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 6:37 AM

Jumaat, 1 September 2017

Ahli akademik bersetuju Hang Tuah wujud



Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.con.my
Kuala Lumpur: Ahli akademik sebulat suara bersetuju Laksamana Hang Tuah wujud sebagai pahlawan dan tokoh masyarakat Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, keputusan itu dilakukan selepas mengadakan perbincangan bersama ahli akademik terdiri daripada pensyarah Institut Pengajian Tinggi Awam(IPTA), ahli sejarah, pengkaji sejarah dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pahlawan Melayu itu.

Beliau berkata, walaupun ada percanggahan merangkumi kewujudan individu bergelar Hang Tuah, sebutan nama dan ketokohan pahlawan yang wujud pada Kurun 14 itu, namun ia tidak bercanggah dalam sejarah fakta yang sudah ditulis dalam Hikayat Hang Tuah serta manuskrip di seluruh negara.

"Hang Tuah adalah lambang masyarakat Melayu dan sudah terpahat dalam hati kita sejak dahulu lagi.

"Kebanyakan fakta sejarah menceritakan perkara sama mengenai pahlawan itu cuma ada perbezaan mengenai perkataan Tuah Tawha atau Toh namun ahli akademik lain sepakat mengakui kewujudan Laksamana," katanya, dalam sidang media selepas Perbincangan Meja Bulat Mengenai Kewujudan Hang Tuah, di sini, tengah hari tadi.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 2:26 PM

Struktur Pemerintahan di Madinah.

OLEH- AHMAD BIN YAAKOB
Kerajaan Islam telah ditubuhkan di Madinah. Negara Islam tersebut diketuai oleh Nabi Muhammad SAW yang juga merupakan seorang Nabi dan Rasul.Pemerintahan di Madinah bersifat negara kota. Nabi Muhammad SAW telah meletakkan asas pemerintahan mengikut pengurusan dan pentadbiran Islam yang sebenar.

       Di Madinah, baginda telah berjaya menggubal Piagam Madinah. Piagam yang digubal tersebut mengandungi 47 fasal yang menerangkan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan umat Islam dan bukan Islam. Oleh itu, piagam tersebut dapat menjadi teras peraturan hidup masyankat baharu Madinah yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum.[1]

Kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin  tertinggi di Madinah. Nabi menjadi Ketua Badan Eksekutif,legislatif dan kehakiman.
Al-Quan sebagai dasar pemerintahan.

Dasar pentadbiran.
a)Mengukuhkan akidah Islamiah.
b)Agama Islam sebagai landasan dan rujukan
c)Majlis syura dan amalan musyawarah dalam pentadbian.
d)Piagam Madinah sebagai Perlembagaan Negara.
e)keadilan sosial.

Pembentukan pasukan tentera.
Masjid sebagai institusi terpenting.
Pusat pemerintahan, pusat ibadat,pusat penyebaran ilmu, pusat kebudayaan dan pusat pertemuan umat Islam dalam menyelesaikan sebarang masalah rakyat.
Usaha-usaha Nabi selepas berjaya menubuhkan negaa Islam di Madinah.[2]
a)Memperkasakan perpaduan.
b)Memakmurkan masjid.
c)Menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai asas pemerintahan.
d)Melaksanakan Piagam Madinah
e)Memimpin melalui teladan.
f)Penyingkiran golongan Yahudi.
g)Membendung kaum munafik.
h)Mempekenalkan pelbagai sistem Islam seperti ekonomi Islam,sistem sosial Islam, perundangan Islam dan kebebasan beragama.
i)Hubungan antabangsa.
j)Memperkasakan sistem pertahanan negara.[3]




[1] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2, Edisi Kemaskini (Shah Alam:Oxford Fajar,2013),36.
[2]Sistem Pemerintahan”,dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),9.  
[3]Ibid,10.

Insurans tongkat, serban Rasulullah RM1.2 juta



Rencana»Agama
Sabtu, 29 Julai 2017 | 12:07am
Insurans tongkat, serban Rasulullah RM1.2 juta
Oleh Norzamira Che Noh
bhnews@bh.com.my
Sempena Ulang Tahun ke-60 BH, segmen BHPlus boleh dilayari secara percuma mulai 23 Ogos 2017.
 Kunci Makam rasulullah-Foto Shazreen Zamzuri

Rahmat miliki ikatan hati cintakan Rasulullah


         MENGHADIRI ceramah sempena Maulidur Rasul antara tanda kasih Mukmin kepada Baginda. - Foto hiasan

Kelahiran Nabi Muhammad SAW membawa rahmat dan barakah yang besar kepada alam ini sehinggakan terdapat syair menggambarkan kemuliaan serta kegembiraan menyambut kelahiran Baginda Rasulullah SAW.

Antara syair yang berkumandang tatkala kelahiran Baginda yang dirakam oleh umat terdahulu adalah 'bibir zaman ini mengukir senyuman menerima kelahiran seorang insan yang agung'.

Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir menerusi rancangan Tarbiah di radio IKIMfm setiap Jumaat, jam 10.30 pagi berkata, tidak ada perkara yang paling memberi rahmat dan keberkatan kepada alam maya ini selain menerima kelahiran insan agung Nabi Muhammad SAW.

Oleh itu, umat Islam yang berkumpul secara beramai-ramai bertujuan memuji dan mengingati kelahiran Baginda Rasulullah SAW tidak perlu dipertikaikan lagi, kerana perbuatan itu tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Menurut Mohd

Nazrul, sungguhpun ada sesetengah pihak melemparkan suara sinis mempertikaikan perbuatan mengingati kelahiran atau kedatangan insan agung ke dunia sebagai perbuatan bidaah atau seumpamanya, itu hanyalah pandangan dangkal dan cetek.

Mengingati kelahiran Rasulullah

Ajaran Islam sangat luas, cantik dan Islam itu sendiri menganjurkan kepada perkara yang membawa kebaikan. Seorang Mukmin yang ada iman di dada, ada kematangan dan kebaikan dalam dirinya tidak sesekali mempertikaikan perbuatan yang mengajak umat Islam untuk menyambut kelahiran Nabi SAW.

Bagi seorang Mukmin yang jiwa dan rohnya dekat dengan Rasulullah SAW, secara tidak langsung menghadirkan perasaannya untuk mengingati kelahiran Baginda dengan melaksanakan amalan baik seperti berhimpun beramai-ramai serta berselawat kepada Baginda Rasulullah SAW.

Menjelaskan lanjut, Mohd Nazrul membuat analogi suami yang mencintai isterinya tidak memerlukan sebarang dalil untuk menjelaskan perasaan cinta terhadap isterinya kerana manusia yang mencintai manusia lain, perasaan cinta itu terbit secara azali tanpa perlu dipaksa atau dicipta perasaan itu.

Riwayat mengisahkan mengenai seorang lelaki Bani Israel yang membuat kejahatan sehingga kaumnya membenci kejahatan lelaki itu. Apabila lelaki itu meninggal dunia, jenazahnya tidak diuruskan sebaliknya dilempar ke tempat pembuangan sampah.

Nabi Musa diberi wahyu oleh Allah SWT untuk menyempurnakan mayat lelaki itu. Nabi Musa dengan tangannya yang mulia menguruskan sendiri mayat lelaki berkenaan. Selesai menguruskan mayat, Nabi Musa ke rumah keluarga lelaki itu dan bertanya kepada isterinya: "Apakah amalan yang dilakukan oleh lelaki ini sehingga mendapat fadilat demikian iaitu mayatnya mendapat kemuliaan Allah SWT. Isteri lelaki itu menjawab: Sebelum tidur, dia meletakkan kitab Taurat di sebelahnya dan membacanya. Dalam pembacaannya apabila tiba pada satu nama, maka dia berhenti dan mencium nama itu. Nama itu adalah Nabi Muhammad SAW."

Lelaki itu mempunyai ikatan hati yang sangat kuat dengan Rasulullah SAW, malah hatinya telah ditakluk dengan nama Nabi Muhammad SAW. Justeru, Allah SWT memberi kerahmatan kepada lelaki yang memiliki hati yang kuat terhadap Baginda Rasulullah SAW.

Oleh itu, bagi seorang Mukmin yang mencintai Rasulullah SAW, mempunyai kekuatan perasaan yang utuh dan kuat kepada Baginda adalah satu perbuatan yang tidak ditolak oleh Allah SWT. Mempunyai rasa cinta dalam hati bukan sesuatu yang dipaksa kerana ia hadir secara semula jadi.

Mencintai Rasulullah SAW akan mendapat kemuliaan dan kerahmatan daripada Allah SWT. Sungguhpun umat hari ini tidak berpeluang menatap wajah Rasulullah SAW, tetapi perasaan cinta kepada Baginda tetap diterjemahkan dengan pelbagai cara asalkan tidak bercanggah syariat Islam.

Jika dilihat riwayat kehidupan Abu Lahab yang mempunyai peluang menatap serta hidup pada zaman Nabi SAW, tetapi kerana tiada iman di dada, Abu Lahab menolak ajaran Nabi Muhammad SAW.

Bebas hamba, kahwinkan anak dengan anak Rasulullah

Walaupun demikian, dalam satu riwayat menceritakan pada waktu kelahiran Nabi Muhammad SAW, Abu Lahab sangat gembira dengan kehadiran Baginda, sehinggakan membebaskan hambanya bernama Suwaibah kerana terlalu gembira. Bukan itu sahaja, Abu Lahab mengahwinkan anaknya dengan anak Rasulullah SAW.

Lantaran kasih terhadap Baginda, disebut dalam hadis riwayat Bukhari yang diceritakan Ibn Abbas, beliau bermimpi bertemu Abu Lahab dan bertanyakan apakah yang telah Allah SWT lakukan kepadanya di alam kubur. Lalu Abu Lahab menyatakan, pada setiap Isnin Allah SWT telah melepaskan dirinya daripada seksa kubur dan Allah SWT telah mengeluarkan air dari celah jarinya untuk diminum. Ini adalah pemberian rahmat dan pembalasan Allah SWT terhadap satu hari kegembiraan Abu Lahab menyambut kelahiran Nabi SAW ke dunia ini.

Jika hari ini, umat Nabi Muhammad SAW gembira sepanjang waktu apabila mengingati Baginda, apatah lagi pada hari kelahiran Nabi ke dunia ini, betapa besar rahmat dan kebaikan yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya.

Seseorang Mukmin yang cintakan Nabi Muhammad SAW menzahirkan perasaan kasih dan sayang dengan kebahagiaan serta kesyukuran mengenang kehadiran Baginda ke dunia ini. Malah, seorang Mukmin juga dianjurkan untuk sembunyikan kegelisahan serta kesedihan atas kewafatan Baginda yang jatuh pada hari sama dengan kelahirannya
Sumber-Berita Harian online Sabtu, 2 Januari 2016 | 6:34am

Kisah lembu gambaran tabiat Bani Israel



Jumaat, 25 March 2016 | 12:05am
Kisah lembu gambaran tabiat Bani Israel
Oleh Ahmad Shukri Yusoff
bhagama@bh.com.my           
 
FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina. Mereka berkata: Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan? Nabi Musa menjawab: Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi seorang daripada golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)." (Surah al-Baqarah, ayat 67)

Kisah lembu betina yang Allah SWT ceritakan menggambarkan tabiat Bani Israel dan watak mereka sejak turun-temurun. Ia juga menjelaskan kudrat Allah SWT, hakikat kebangkitan, mati dan hidup.

Ciri utama Bani Israel

Ciri utama Bani Israel diperkenalkan begitu jelas dalam kisah lembu ini iaitu putusnya hubungan mereka dengan keimanan, kesukaran mempercayai apa yang disampaikan rasul, enggan menurut perintah, mencari alasan dan suka mempersenda sesuatu disampaikan dengan mulut yang lancang.

Apabila Nabi Musa menyampaikan perintah Allah SWT supaya mereka menyembelih seekor lembu betina, reaksi yang sepatutnya ialah mereka mematuhi perintah itu tanpa banyak soal kerana Nabi Musa adalah nabi dan pemimpin yang menyelamatkan mereka daripada cengkaman serta penindasan Firaun.

Biadab terhadap Nabi Musa

Namun, jawapan mereka sangatlah biadab apabila menuduh Nabi Musa mempermainkan mereka dengan menggunakan nama Allah SWT. Nabi Musa sangat kecewa dengan pertanyaan seperti itu kerana nabi tidak berdusta dan bergurau menggunakan nama Allah.

Sebagai jawapan kebiadapan ini, Nabi Musa memohon perlindungan Allah SWT daripada termasuk golongan yang jahil.

Ayat dalam surah al-Baqarah ini memaparkan kisah berlaku dalam masyarakat Bani Israel yang melihat sendiri seorang lelaki dibangkitkan kembali selepas kematiannya untuk mendedahkan siapakah pembunuhnya dan selepas itu dia mati kembali.

Masyarakat Bani Israel berada dalam suasana yang sungguh buruk, mereka melakukan jenayah, kemudian menyembunyikan sehingga tidak dapat dikesan siapakah melakukannya. Mereka sedia membuat pakatan menyembunyikannya daripada pihak berkuasa.

Kisahnya bermula apabila seorang lelaki kaya daripada kalangan Bani Israel dibunuh dan mayatnya diletakkan di kampung berdekatan dengan tempat pembunuhannya. Kejadian itu menimbulkan pertikaian dan tuduh-menuduh antara dua kampung berkenaan mengenai siapakah pembunuhnya.

Perkara itu dirujuk kepada Nabi Musa dan mereka meminta Baginda bermunajat kepada Allah SWT supaya didedahkan siapakah pembunuhnya. Allah SWT memerintahkan Bani Israel menyembelih seekor lembu betina, sebenarnya jika mereka menyembelih mana-mana lembu pun sudah memadai.

Sebahagian lembu itu digunakan untuk dipukul atas mangsa bunuh dan dia akan memberitahu siapa yang membunuhnya, maka selesai segala masalah. Bagaimanapun, Bani Israel menunjukkan sikap angkuh dengan tidak mempercayainya dan bertanya pelbagai soalan mengenai sifat dan rupa lembu.

Wasilah hidupkan orang mati As-Syahid

Sayyid Qutb ketika menghuraikan keperluan Allah SWT menghidupkan kembali orang mati menggunakan wasilah iaitu dengan menggunakan sebahagian badan lembu dan dipukulkan kepada si mati mengikut adat Bani Israel, lembu disembelih kerana korban.

Di sini, satu potongan anggota daripada lembu disembelihkan itu dapat mengembalikan nyawa kepada jasad yang terbunuh sedangkan anggota itu tidak mempunyai hayat atau kudrat untuk menghidupkan yang mati.

Ia hanyalah wasilah zahir yang dapat menunjukkan kudrat Allah SWT kepada mereka iaitu kudrat yang tidak diketahui oleh manusia bagaimana ia bertindak. Mereka hanya melihat kesan kudrat sahaja, tetapi tidak mengetahui hakikatnya dan cara ia bekerja.

Sesungguhnya memahami hakikat dan cara menghidupkan yang mati antara rahsia Allah SWT dan tiada jalan untuk sesiapa mengetahuinya.

Syeikh Al-Maraghi berpendapat, mereka disuruh menyembelih lembu betina bukannya binatang lain kerana mereka menyembah anak lembu. Ini bertujuan menghina benda yang mereka sembah dan mengetahui sejauh mana kecintaan mereka dalam penyembelihan anak lembu menerusi jawapan diberi.

Penyembelihan lembu ini mempunyai dua perkara yang tersirat iaitu menyelesaikan krisis pembunuhan dan mengenal pasti pembunuh sebenar. Memberi isyarat yang jelas kebesaran dan kudrat Allah SWT dapat menghidupkan orang mati sehingga dapat menceritakan kembali peristiwa yang berlaku terhadap dirinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu," (Surah al-Maidah, ayat 101) Sebenarnya nama surah al-Baqarah diambil daripada isu utama dalam agama iaitu keimanan dan kepercayaan kepada hari kebangkitan.

Mereka yang tidak percaya kepada hari akhirat, hari kebangkitan dan hari perhitungan pasti akan sesuka hati berbuat apa-apa tanpa memikirkan kesannya.

Ayat ini mengingatkan kita tabiat dan perangai Bani Israel, keperluan mengelak pertanyaan tidak perlu dalam agama dan penegasan Allah SWT berlakunya hari kebangkitan untuk setiap manusia diadili oleh Rabbul Jalil
Sumber-Berita Harian online Jumaat, 25 March 2016 | 12:05am