Jumaat, 1 September 2017

Al-Aqsa simbolik perjuangan nabi



Rabu, 18 Mei 2016 | 6:00am
Al-Aqsa simbolik perjuangan nabi
Oleh Mohd Faiz Othman
Kongsi artikel
           
MASJID al-Aqsa.

SEPANJANG perjalanan Rasulullah SAW untuk bertemu Allah SWT dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda yang diiringi Malaikat Jibril singgah di beberapa lokasi dan hikmah di sebalik peristiwa dilalui bukan sahaja kepada Baginda, tetapi insan lain yang mengambil ibrah daripadanya.

Di Masjid al-Aqsa, Rasulullah SAW diperlihatkan kehadiran roh 124,000 nabi (menurut ulama) yang menantikan penghulu segala nabi iaitu Baginda sendiri dan dapat melihat Nabi Musa, Nabi Isa serta Nabi Ibrahim mendirikan solat. Rasulullah SAW juga mengimamkan solat bersama nabi yang berkumpul di Masjid al-Aqsa.

Ustaz Muhammad Syaari Abd Rahman yang berkongsi kisah Israk Mikraj itu dalam program Ibrah di IKIMfm berkata, perhentian Rasulullah SAW di Masjid al-Aqsa adalah simbolik dalam meneruskan perjuangan nabi-nabi terdahulu yang majoritinya dari Palestin.

Katanya, suasana nabi di masjid berkenaan yang menunaikan solat dalam keadaan penuh kerehatan dan kegembiraan menyedarkan Rasulullah SAW bahawa solat akan menjadikan Baginda lebih kuat kerana sebelum peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW berada dalam kesedihan.

"Baginda berduka kerana ketika di Makkah dakwah Baginda ditolak, malah Baginda turut dicemuh dan dicaci. Oleh itu, Allah SWT menghadirkan motivasi pertama kepada Baginda dengan mengimamkan solat di Masjid al-Aqsa," katanya.

Menurut beliau, sekuat manapun ujian dan musibah yang menimpa, hendaklah menjadikan solat sebagai kekuatan seperti dilakukan oleh nabi terdahulu, jangan biarkan diri diperhambakan oleh emosi dan syaitan.

Ketika mikraj, sekali lagi Rasulullah SAW dipertemukan dengan nabi dan berkomunikasi bersama mereka. Ia adalah kegembiraan kedua bagi Rasulullah SAW terutama dapat bersua dengan Nabi Adam di langit pertama dan bertukar salam.

Di langit kedua, Nabi SAW dipertemukan oleh Allah SWT dengan Nabi Yahya dan Nabi Isa. Ucapan daripada Nabi Isa sangat memberi kesan motivasi kepada Nabi SAW dengan lafaz "Marhaban Bi Akhi As-Soleh Wa Nabi As-Soleh".

Kemudian diperjalankan Nabi SAW ke langit ketiga dan bertemu insan paling indah rupa parasnya. Saat bersua dengan Nabi Yusuf, Baginda SAW teringatkan surah Yusuf dan kisah bagaimana Nabi Yusuf diusir oleh saudaranya sendiri. Menjadi kekuatan buat Rasulullah SAW saat Nabi Yusuf mengukir senyuman dan melafazkan salam kepada Baginda.

Motivasi kepada Rasulullah

Di langit keempat, Nabi SAW bersua Nabi Idris. Nabi Muhammad SAW dipertemukan dengan Nabi Musa di langit keenam.

Pertemuan itu diakhiri salam berserta tangisan Nabi Musa. Lantas Rasulullah SAW bertanya: "Mengapa menangis? Nabi Musa

berkata: Ya Muhammad, aku

menangis kerana akan ada

pemuda yang bangkit selepas aku, yang mana pengikutnya lebih ramai masuk ke syurga berbanding pengikutku."

Mendengarkan itu, bertambah motivasi Baginda SAW meneruskan dakwahnya. Di langit ketujuh, alangkah gembiranya Nabi

Muhammad SAW dipertemukan dengan moyangnya sendiri, Nabi Ibrahim sedang bersandar berehat di Bait Al-Ma'mur.

Nabi SAW diberikan kekuatan dengan lafaz daripada nabi terdahulu termasuk penjaga pintu tujuh petala langit yang memuliakan dan mengenali Nabi Muhammad SAW.

Apabila diuji Allah SWT, banyak dengarkan ucapan motivasi. Saat lemah kerana ujian, datangkan kata-kata positif yang mampu membangkitkan semangat iaitu lafaz "aku hamba Allah".
Sumber-Berita Harian online Rabu, 18 Mei 2016 | 6:00am

Syafaat Rasulullah selamat umat



Syafaat Rasulullah selamat umat
Kongsi artikel                                                          
SYAFAAT bererti memohon pertolongan atau mengharapkan sesuatu yang boleh membantu ketika berada di saat kesukaran seperti di Padang Mahsyar.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW menceritakan, apabila manusia berada dalam keadaan saling bertengkar dan pelbagai rupa di Padang Mahsyar, akhirnya mereka bertanya satu sama lain berapa lamakah mereka akan berada dalam keadaan itu? Masing-masing meluahkan keinginan untuk mencari syafaat yang boleh menyelamatkan mereka ketika itu. Akhirnya mereka memutuskan untuk meminta bantuan daripada Nabi Adam.

Menurut Rasulullah, kelompok manusia yang berani mencari Nabi Adam untuk memohon syafaat adalah dalam kalangan ulama yang hidup selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Kelompok ulama ini akan bergerak mencari Nabi Adam dan apabila bertemu, mereka meminta Baginda memohon kepada Allah SWT supaya mengadili manusia di Padang Mahsyar ketika itu.

Nabi Adam tidak berani berbuat demikian kerana berasa pernah melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Baginda menyuruh mereka meminta pertolongan daripada Nabi Noh.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati di IKIMfm berkongsi riwayat Abi Hamid dalam kitabnya Kashful Ulum Al-Akbar yang menceritakan manusia mula bergerak mencari Nabi Noh selama kira-kira seribu tahun.

Selepas bertemu Nabi Noh, Baginda juga sangat takut kepada Allah SWT kerana kaumnya berpaling daripada ajaran yang dibawanya. Nabi Noh meminta mereka menemui Nabi Ibrahim.

Pencarian manusia di Padang Mahsyar berterusan seribu tahun lagi. Apabila bertemu Nabi Ibrahim, Baginda tidak mampu membantu dan mencadangkan supaya mencari Nabi Musa.

Seribu tahun kemudian mereka bertemu dengannya tetapi Baginda juga tidak dapat berbuat apa-apa dan meminta kelompok manusia itu mencari Nabi Isa.

Selepas seribu tahun dan bertemu Nabi Isa, Baginda juga tidak berani membantu kerana sangat takut dengan kemarahan Allah SWT. Nabi Isa meminta memohon bantuan daripada Nabi Muhammad SAW.

Rupa manusia berbeza-beza

Sepanjang pencarian itu, kelompok manusia berada dalam keadaan rupa yang berbeza-beza. Apabila bertemu Rasulullah SAW, mereka berkata: "Ya Rasulullah, kami sudah lama berada di Padang Mahsyar ini. Tolonglah berdoa dengan menggunakan syafaat yang ada padamu, supaya Allah SWT mempercepatkan pengadilan kita sebelum dihisab di sisi-Nya."

Baginda mula sujud, lalu Allah SWT bertanya kepada malaikat walaupun mengetahui sebabnya kenapa Rasulullah SAW berbuat demikian. Malaikat menjawab: "Ya Allah, sesungguhnya Muhammad itu mengharapkan sesuatu daripada-Mu. Rasulullah SAW bersujud sambil menangis dan merayu: Ya Allah tolonglah lakukan sesuatu untuk mengadili umatku ini." Lalu Allah memerintahkan umat Baginda yang belum dihisab, masuk ke dalam syurga melalui pintu yang terletak di sebelah kanan.

Menurut Rasulullah SAW, mereka yang masuk ke dalam syurga tanpa dihisab dan diazab adalah manusia yang semasa hidupnya dahulu tidak pernah mendapatkan bantuan bomoh atau menjadi bomoh yang mensyirikkan Allah SWT.

Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah: "Siapakah orang yang paling gembira apabila mendapat syafaat daripada kamu pada Hari Kiamat kelak, ya Rasulullah? Baginda menjawab: Wahai Abu Hurairah, aku fikir bahawa tidak ada seorang pun yang akan bertanya kepadaku soalan ini, orang yang paling gembira adalah mereka yang mengucapkan Laila illallah Muhammadur Rasulullah dengan tulus ikhlas daripada hatinya dan berusaha menjauhkan apa yang dilarang oleh Allah SWT."

Qadi bin Iyat berkata, lima syafaat Rasulullah SAW iaitu syafaat umum bagi seluruh umat manusia, syafaat kedua ialah untuk memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa dihisab terlebih dahulu, syafaat ketiga untuk mengeluarkan umatnya yang berdosa daripada memasuki neraka, syafaat keempat untuk mengeluarkan umatnya yang berdosa daripada neraka dan syafaat kelima untuk meninggikan darjat penghuni syurga.

Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
Sumber-Berita Harian online Jumaat, 12 Ogos 2016 | 6:39am

Yahudi, Nasrani sembunyi kenabian Rasulullah



Jumaat, 30 Disember 2016 | 12:03am
Oleh Ahmad Shukri Yusoff
PENDETA Yahudi yang menganut Islam, Abdullah Ibn Salam berkata, "Aku lebih lama mengenali Baginda Nabi SAW daripada mengenali anakku sendiri. Lalu Umar bertanya kepadanya: Mengapa Abdullah menjawab: Aku tidak ragu Nabi Muhammad SAW seorang nabi, tetapi anakku, boleh menyebabkan ibunya menyeleweng." Secara spontan Umar menciumnya.

Demikianlah pengakuan seorang pendeta Yahudi yang mendapat hidayah Allah SWT dan pengakuan sama daripada Tamim Al-Darriy, bekas pendeta Kristian.

Sebenarnya orang Yahudi dan Nasrani mengenali Rasulullah SAW dan kebenaran dibawa Baginda seperti mana tertulis dalam kitab Taurat dan Injil. Mereka sengaja menyembunyikan kebenaran ayat yang menceritakan mengenai kemunculan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang menggembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah Ali-Imran, ayat 21)

Perbuatan melampau

Abu Al-Abbas bin Al-Mubarrad berkata, ayat ini mengisahkan mengenai sekumpulan Bani Israel yang membunuh nabi mereka yang menyeru supaya beriman kepada Allah SWT. Begitu juga apabila datang sekumpulan orang beriman yang membela kebenaran, mereka turut dibunuh.

Ilmu yang diketahui perlu disebarkan kepada masyarakat umum apatah lagi ilmu berkaitan kebenaran, tidak boleh disembunyikan. Sikap Yahudi dan Nasrani menyembunyikan kebenaran berita kemunculan Nabi Muhammad SAW dan perkara lain yang mereka tahu kebenarannya adalah perbuatan melampaui batas.

Sebenarnya golongan Yahudi dan Nasrani mengenali Nabi Muhammad SAW sebelum kehadiran baginda lagi. Allah SWT telah mengkhabarkan berita kemunculan Nabi Muhammad SAW menerusi wahyu yang disampaikan kepada Nabi Musa dan Nabi Isa.

Nafikan kebenaran

Golongan itu sengaja menyembunyikan kebenaran dan akan menafikan kemunculan Nabi Muhammad SAW. Jika ditanya, mereka mengakui nabi disebutkan dalam kitab mereka, tetapi menyembunyikan hakikat kebenarannya malah orang Nasrani mengatakan nabi dijanjikan adalah Isa al-Masih bukan Nabi Muhammad SAW.

Mereka turut membunuh golongan yang membimbing manusia ke arah kebaikan dan berlaku adil seperti diajarkan nabi. Orang yang berusaha melaksanakan petunjuk nabi berada di bawah pengaruh nabi dan mereka turut dibenci golongan Yahudi serta Nasrani.

Kedua-dua golongan itu juga melancarkan serangan terhadap Nabi Muhammad SAW dan keinginan membunuh Baginda turut dirasakan kaum musyrik Arab. Perbincangan membunuh Baginda dilakukan golongan Yahudi yang hidup ketika ayat ini diturunkan.

Berpaling kepada kebenaran dalam hakikat kehidupan hari ini mungkin berbeza dengan keadaan berlaku pada zaman nabi tetapi memang ada dalam kalangan umat Islam yang sudah mengetahui kebenaran dan tetap ingin menyembunyikannya.

Mereka sedar terhadap tuntutan agama dan hukum ditetapkan syarak namun disebabkan enggan melaksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam atas sebab tertentu, mereka cuba menafikan kebenaran yang diketahui.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources
Sumber-Bertia Harian online Jumaat, 30 Disember 2016 | 12:03am

Peranan Piagam Madinah

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
a)Menyatukan penduduk Madinah yang bebilang kaum.
Masyarakat Madinah khususnya umat Islam dapat disatukan menerusi Piagam Madinah.Piagam ini juga menitikberatkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam seperti saling hormat-menghormati, tolong-menolong dan sebagainya.
Melalui Piagam Madinah ini dapat dirumuskan bahawa masyarakat Madinah yang dahulunya mengamalkan tradisi jahiliah seperti mementingkan diri sendiri dan kaum masing-masing telah berubah dengan menerapkan nilai-nilai persaudaraan Islam.[1]
b)Undang-undang tertinggi Madinah selepas al-Quran bagi menyelesaikan pemasalahan penduduk.
Piagam Madinah telah memperuntukkan layanan yang adil kepada orang Yahudi dan orang Islam serta menyatupadukan penduduk Madinah yang berbilang kaum, keturunan,kebudayaan agama dan kepercayaan. Maka terbentuklah ummah Madinah.[2]  
c)Mengariskan dasar-dasar umum pemerintahan negara dan pentadbiran masyarakat.
d)Pengistiharan bahawa Madinah adalah sebuah negara yang berdaulat dan berperlembagaan.
Piagam Madinah juga membawa kepada terbentuknya negara Madinah yang berdaulat dan bermaruah dan menjadi sebuah negara Islam. Piagam Madinah ini bukan sahaja meletakkan nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul, tetapi seorang pemimpin yang yang berwibawa dalam semua urusan pentadbiran dan pemerintahan negara.[3]   
e)Melaksanakan syariat Islam dalam semua aspek kehidupan temasuk bidang ekonomi, pendidikan dan sosial.[4]      
f)Kedudukan Nabi sebagai pemerintah tertinggi yang unggul.
Kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai Pemerintah tertinggi dan Unggul
Baginda merupakan seorang negarawan yang unggul dan berperanan sebagai pemimpin bagi kerajaan Madinah yang memiliki masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama.Masyarakat Madinah menerima baginda sebagai ketua negara Madinah.

       Baginda memberi tumpuan terhadap aspek akidah dan juga aspek duniawi dalam pemerintahannya. Piagam Madinah meletakkan baginda sebagai ketua kerajaan dan hakim yang tinggi dan unggul. Sebagai ketua hakim, baginda menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Madinah seperti perselisihan kaum berdasarkan hukum Allah SWT dan keputusan baginda. Masalah ini juga diselesaikan dengan adil dan bermusyawarah.Baginda juga mewujudkan institusi kehakiman dan keadilan untuk menyelesaikan masalah yang timbul.[5]
g)Mewujudkan Rasa Tanggungjawab Mempertahankan Madinah
Semangat Piagam Madinah telah mendorong masyarakat Madinah yang terdiri daripada umat Islam dan bukan Islam bersama-sama mempertahankan kerajaan Madinah daripada serangan musuh.Masyarakat Madinah dilarang menjalinkan hubungan dengan musuh-musuh Islam yang menentang kerajaan Islam Madinah.

       Untuk mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan sebarang permusuhan antara masyarakat Madinah, semangat cintakan negara dipupuk. Oleh itu, semangat ini dapat mengelakkan musuh Islam mengambil kesempatan menawan Madinah.Kaum Yahudi dianggap sebagai warganegara Madinah seperti masyarakat Islam selagi mereka melaksanakan tanggungjawab mereka menurut Piagam Madinah.[6]




[1] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),35.
[2]Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,2013),32.
[3]Ibid,56..
[4]“Sistem Pemerintahan”,dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),9.
[5] “Sistem Pemerintahan”,dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),29.
[6] Ibid,33.