Isnin, 8 Mei 2017

Khazanah tersembunyi dalam hutan



Wartawan Sinar Harian
3 Mei 2017
 Khazanah tersembunyi dalam hutan
Khazanah tersembunyi dalam hutan        
Rusidi menunjukkan batu nisan terdapat di kawasan tepi sungai itu.

ALOR SETAR - Sekali imbas, kawasan semak samun di Kampung Bukit Pinang, di sini, tiada sebarang perkara yang luar biasa, bagaimanapun apabila diamati ia membawa penemuan khazanah tersendiri.

Tanpa disedari umum, rupa-rupanya di sebalik rimbunan pokok buluh di tepi sungai kawasan perkampungan itu tersembunyi kubur lama dipercayai Makam Sultan Kedah ke-16, Sultan Ataullah Muhammad Syah II.

Menurut Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, penemuan itu satu perkara menggembirakan, kerana ia penemuan dicari-cari mereka sejak 20 tahun lepas.

“Sudah lama, pihak persatuan mencari makam Sultan Ataullah yang di Makam Diraja Bukit Pinang, bagaimanapun ia tidak pernah ditemui sehinggalah sekarang.

“Sedangkan, pihak PSMCK termasuk saya sendiri sudah beberapa kali ke sana mencarinya. Ketika itu, apa yang ditemui hanyalah kawasan lapang tanpa batu nisan dikatakan kawasan makam sahaja,” katanya.

Sehinggalah, katanya, mereka ke sana pada 23 Mac lepas untuk melakukan kajian di sekitar kawasan kampung itu selepas menerima maklumat dari ahli PSMCK berhubung perkara itu.

“Apabila ke sana, kami menemui sembilan makam termasuk dipercayai milik seorang pemerintah Kota Bukit Pinang, yang rupa-rupanya tersembunyi di bawah ranting buluh itu,” katanya.

Katanya, batu nisan itu dilindungi dan ditutup ranting buluh serta kedudukan lokasi jauh dari penempatan penduduk.

Khazanah tersembunyi dalam hutan
Khazanah tersembunyi dalam hutan
Zambri berdiri atas unjuran tanah dipercayai menjadi benteng kota lebih 300 tahun lalu.

Menurutnya, kubur lama dipercayai makam Sultan Ataullah yang memerintah selama 11 tahun dari 1687 hingga 1698 dianggarkan sudah berusia 330 tahun.

"Pihak persatuan akan mengadakan perbincangan berkaitan tindakan lanjut usaha memelihara makam itu dengan Lembaga Muzium Negeri Kedah.

"Kita juga berhasrat membawa perkara ini kepada Exco Pelancongan dan Warisan, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid untuk tujuan pemeliharaan khazanah itu," katanya.
Makam diraja terakhir Kota Bukit Pinang?

Sementara itu, Ketua Biro Penerbitan dan Pemasaran PSMCK, Dr Ibrahim Bakar berkata, kajian PSMCK mendapati ukiran batu nisan ditemui menunjukkan ia berasal dari Acheh, Indonesia.

Beliau yang juga Pengarang Kehormat berkata, batu nisan itu yang kebiasaannya digunakan kerabat diraja dan golongan bangsawan turut menyerupai makam ditemui di Kampung Chegar, Tunjang, Mac lepas.

“Berdasarkan kajian dan catatan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, sembilan makam lama terbabit berkemungkinan milik Sultan Ataullah, dan kerabat diraja lain,” katanya.

Katanya, catatan pada 1928 hasil karya Muhammad Hassan Muhammad Arshad itu, menceritakan mengenai tiga Sultan Kedah yang bersemayam pusat pemerintahan ketujuh di Bukit Pinang.

Menurut beliau, tiga Sultan Kedah dimaksudkan, adalah Sultan Ataullah (1687-1698), Sultan Abdullah Muadzam Shah (1698-1706) dan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I (1706-1709).

Khazanah tersembunyi dalam hutan
Khazanah tersembunyi dalam hutan
Beberapa makam ditemui di tepi sungai kampung berkenaan.

“Jadi, ada kemungkinan di situ ‘Langgar Diraja Bukit Pinang’ seperti disebut dalam At-Tarikh Salasilah, iaitu makam diraja terakhir di Bukit Pinang, sebelum terbina ‘Makam Diraja’ sekarang di Langgar,” katanya.

Tambahnya, hal ini kerana, dua Sultan Kedah yang memerintah di Kota Bukit Pinang, iaitu Sultan Abdullah dan Sultan Ahmad Tajuddin dimakamkan di Makam Diraja Langgar.

Walau bagaimanapun, kata Dr Ibrahim, perkara terbabit belum dapat dipastikan 100 peratus, untuk itu kajian lanjut sedang dijalankan PSMCK untuk memastikannya.
Tanah jadi benteng kota

Menurut Zambri Abd Wahab, 49, dia menerima maklumat dari sepupunya mengenai kewujudan beberapa kubur lama di tepi sungai Kampung Bukit Pinang sejak dua tahun lepas.

“Sudah beberapa kali pergi dengan rakan, Rusidi Che Omar untuk melihat kubur itu.

Khazanah tersembunyi dalam hutan

Makam tersembunyi di sebalik rimbunan pokok buluh.

"Bagaimanapun, hanya selepas ke sana semula bersama PSCMK menguatkan lagi fikiran kami bahawa makam itu milik orang kenamaan,” katanya.

Lebih menguatkan telahan mereka, katanya, kedudukan makam di bawah rimbunan buluh dan kewujudan tembok tanah setinggi 2.43 meter berdekatan makam seakan-akan benteng kota pemerintahan ketika itu
SUMBER- SINAR HARIAN ONLINE 3 Mei 2017

Ahad, 7 Mei 2017

Sapikin berendam dalam lubuk elak serangan komunis



ARKIB : 03/02/2005

Oleh: RAHMAN DAUD dan WAN SYAMSUL AMLY WAN SAEDEY

Terpaksa `tidur berdiri', antara kepayahan dan keperitan yang terpaksa ditempuh oleh pasukan polis ini, sepanjang 37 hari beliau melaksanakan tugas memerangi pengganas komunis dalam operasi besar-besaran di selatan Thailand pada tahun 1975.

Ketika itu `nyawa bagaikan di hujung tanduk' kerana setiap langkah yang diatur pasti ada bahaya yang menunggu.

Ini kerana selain terpaksa menangkis peluru-peluru musuh yang menghujani anggota keselamatan negara, malah dalam masa yang sama kealpaan dan silap langkah boleh menyebabkan mereka maut angkara jerangkap samar yang tidak memilih mangsa itu.

Namun adat berjuang pasti ada yang gugur dan bagi yang hidup, saat melihat rakan seperjuangan terkulai tidak bernyawa lagi di hadapan mata menjadi igauan ngeri dan tidak akan dapat dilupakan sehingga akhir hayat.

Bagi Sarjan Mejar Sapikin Bari, 55, pengalaman 30 tahun lalu itu begitu tersimpan kemas dalam lipatan sejarah hidupnya.

``Wak (panggilan pada Sapikin), saya rasa tak sedap hati dan minta maaf kalau saya pergi dahulu,'' bisik Allahyarham Mahasan rakan seperjuangannya yang gugur dalam satu pertempuran pada awal pagi.

Akibatnya, sehingga kini bisikan terakhir rakannya itu masih terngiang-ngiang di telinga.

``Mahunya tidak, arwah seperti tahu perjalanan hidupnya apabila kata-katanya itu benar-benar menjadi kenyataan, arwah mati dihujung senjata musuh!'' ujarnya perlahan.

Apabila melihat satu demi satu rakan perjuangan gugur ke bumi, perasaan ngeri dan ketakutan mula menyelinap sehingga menyebabkan kata Sapikin ada anggota yang mahu perpatah dan mahu mengundurkan diri.

``Bagaimanapun, dengan kebijaksanaan ketua platun ketika itu beliau berjaya memulih semangat kami kembali untuk bangkit meneruskan perjuangan,'' katanya.

Namun masih sukar bagi Sapikin apabila raut wajahnya begitu menampakkan kesedihan mengenangkan rakan-rakan yang terkorban dalam operasi yang menjadi titik tolak pembersihan gerakan komunis besar-besaran di Malaya.

Sukar juga bagi Sapikin untuk meluputkan pengalaman apabila platunnya diserang musuh ketika menjalankan operasi di sekitar kawasan Sungai Golok.

``Serangan yang bertalu-talu menyebabkan kami bukan sahaja terpaksa bertahan malah tidak sepicing pun mata ini dapat dilelapkan sedangkan kami dalam keadaan yang begitu memerlukan rehat dan tidur,'' katanya.

Sapikin bersama anggota platunnya itu terpaksa berendam sehingga ke paras leher di dalam lubuk sungai bagi mengelakkan serangan dari pengganas itu hampir sehari lamanya.

``Kami bukan sahaja menggigil kesejukan kerana berendam dalam lubuk bertambah perit apabila hujan juga turun dengan lebatnya sehingga kaki bukan sahaja menjadi kematu sejuk malah teruk diserang dengan pelbagai jenis serangga.

``Namun hujan tersebut ada hikmahnya, walaupun komunis begitu menggila menyerang kami tetapi akibat hujan yang lebat ia menyukarkan pemandangan mereka untuk menembak dengan tepat!'' katanya.

Azab ketika itu sukar sebenarnya hendak digambarkan melalui kata-kata, kata Sapikin.

``Namun demi tugas dan keselamatan negara, kami laluinya juga supaya kematian kami tidak menjadi penyuntik semangat kepada komunis untuk menebarkan pengaruh dan kegiatan mereka,'' katanya.

Pengalaman ngeri berada di hujung maut ini akhirnya mendapat perhatian oleh pihak pegawai atasan.

``Namun kami semakin insaf dan menyedari kerana pegawai tersebut menyifatkan ketabahan kami itu sebenarnya menjadi penyelamat negara.

Bayangkan jika kita berpaling tadah atau menyerah diri kepada komunis, tentunya perbuatan yang sedikit itu mampu menggadai negara kepada semakin kuatnya pengaruh komunis.

``Maka kami cukup berbangga apabila dihargai sebegitu dan semakin semuanya tidak menjadi hal apabila meletakkan keikhlasan di puncak perjuangan,'' katanya.

Panggilan ``Wak'' yang begitu popular kepada Sapikin ini apabila beliau berlatar belakangkan kelahiran di Parit 8, Sungai Leman, Sekinchan, Selangor pada 28 Mac 1950.

Sapikin menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Leman sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Datuk Harun, Tanjung Karang sehingga tingkatan dua.

Beliau kemudiannya memulakan tugas sebagai anggota polis apabila terpilih mengikuti latihan asas di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada tahun 1969.

Selepas tamat latihan, beliau dihantar mengikuti latihan asas polis selama tiga bulan di Ulu Kinta, Perak dan diserapkan ke Batalion 10 di Bukit Galing, Kuantan sehingga tahun 1978.

``Selepas itu saya ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras sebagai anggota tugas am dan cawangan bilik gerakan sebelum dinaikkan pangkat sebagai Sarjan,'' katanya.

Beliau juga pernah bertugas sebagai penolong pegawai penyiasat dan anggota unit kereta peronda.

``Dari tahun 2001, saya ditukarkan ke Balai Polis Pudu bagi menjawat jawatan penolong Ketua Polis Balai sehingga kini,''ujarnya.

Sapikin bertemu jodoh dengan Ramlah Mohd Yusuf, 50, pada Disember 1984 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Noraina Safraa, 18, yang kini menuntut di Universiti Multimedia, Melaka.

Menyentuh kehidupan sehariannya, selain gemar menonton perlawanan bolasepak, beliau juga aktif dalam permainan sepak takraw dan pernah mewakili PDRM di dalam beberapa pertandingan di dalam dan luar negara.

Sepanjang 35 tahun penglibatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau akhirnya melalui detik yang manis apabila menerima penghargaan daripada Ketua Polis Negara.

Beliau juga pernah bertugas mengawal keselamatan dan ketenteraman di beberapa persidangan penting termasuk Persidangan Negara-Negara Komanwel.

``Saya bangga dapat berkhidmat dalam pasukan polis walaupun terpaksa menempuh pelbagai halangan dan cabaran sepanjang menjalankan tugas,''katanya.

Ketika di temui oleh Wartawan Gaya Polis, Sapikin menjalankan tugas untuk hari-hari terakhir kerana beliau dijangka akan bersara wajib tidak beberapa lama lagi

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_01.htm#ixzz4gOTkHQTs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 6 Mei 2017

Bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang meninggal dunia

ARKIB : 21/01/2005
PULAU PINANG 20 Jan. - Bekas Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Pulau Pinang, Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, meninggal dunia di Hospital Loh Guan Lye hari ini setelah menghadapi masalah komplikasi jantung ekoran penyakit buah pinggang yang dihidapinya.
Hamdan, 84, bekas TYT keenam, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.40 petang ini selepas 21 hari dimasukkan ke hospital iaitu sejak 30 Disember lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Toh Puan Siti Zainab Baharuddin dan tiga orang anak iaitu Dr. Siti Khadijah, 47, Siti Aishah, 45 dan Tahiruddin, 35 serta empat cucu.
Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Negeri pada pukul 11 pagi esok selepas solat sunat Aidiladha sebelum dikebumikan di Masjid Jalan Zoo, Air Hitam dekat sini.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Bukit Jambul di sini pukul 5 petang dan disambut oleh beberapa orang ahli keluarga dan kenalan rapat Allahyarham.
Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, ketika ditemui pemberita di pekarangan rumah Allahyarham berkata, negara kehilangan seorang tokoh khususnya dalam bidang pendidikan di Pulau Pinang dan Malaysia amnya.
``Sepanjang perkhidmatan sebagai TYT di Pulau Pinang, beliau merupakan antara TYT paling lama berkhidmat iaitu selama 12 tahun,'' katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, atas permintaan ahli keluarga Allahyarham, kerajaan negeri tidak akan mengadakan sebarang majlis khas sebagai penghormatan terakhir kepada beliau.
Antara kenamaan yang hadir menziarahi beliau ialah beberapa Exco kerajaan negeri yang lain.
Allahyarham yang dilahirkan dalam keluarga ulamak terkenal iaitu Sheikh Tahir Jalaluddin, memulakan perkhidmatan dalam kerajaan sebagai Guru Siswazah di Sekolah Cliiford Kuala Kangsar selepas lulus dalam peperiksaan Normal Class Teacher Training Course pada 1947.
Pada 1955, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah di Universiti Malaya di Singapura dan berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dan sekembalinya beliau ke tanah air Hamdan dilantik sebagai Pegawai Pelajaran di Kementerian Pelajaran pada tahun 1956.
Ketika memangku jawatan itu, Allahyarham ditugaskan untuk menyelaras sekolah menengah khususnya penubuhan sekolah-sekolah berasrama penuh seperti Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Sekolah Datuk Abdul Razak dan Sekolah Tun Fatimah sehingga tahun 1957.
Allahyarham juga dilantik sebagai pengetua pertama Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh.
Bermula tahun 1963, Allahyarham dilantik sebagai Pengawal Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan Malaysia sehingga 1966 dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia menggantikan Aminuddin Baki sehingga beliau bersara pada tahun 1976.
Hamdan dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia pada tahun 1976 dan berkhidmat selama enam tahun sehingga 1982.
Pada tahun 1982, Allahyarham telah dilantik sebagai wakil tetap Malaysia dan duta di UNESCO di Paris, Perancis dari tahun 1982 hingga 1985.
Sekembalinya ke tanah air, Hamdan telah dilantik sebagai TYT pada 1 Mei 1989 dan dilantik sebagai Canselor Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia) pada 1 Ogos 1993.

MUHAMMAD FUAD - Diburu komunis sepanjang masa

ARKIB : 13/01/2005

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar (kanan) menyerahkan tongkat kuasa kepada Muhammad Fuad Talib sempena pengisytiharan daerah Subang Jaya, baru-baru ini.



SUATU ketika dulu, beliau cukup dibenci oleh pengganas komunis yang berkubu kuat di Perak khususnya sekitar Gerik dan Kuala Kangsar.
Apa tidaknya, sebagai pegawai polis Cawangan Khas, beliau dan anak-anak buahnya tidak pernah memberi peluang kepada militan Bintang Tiga itu mengembangkan pengaruh.
Seperti pemburu yang pulang membawa binatang untuk dimakan, mereka pula akan pulang dengan kejayaan apabila satu demi satu rahsia pergerakan bawah tanah pengganas komunis terbongkar.
Asisten Komisioner Muhammad Fuad Talib, itulah nama yang sangat ditakuti oleh komunis.
Zaman itu, Muhammad Fuad dan anak-anak buahnya memang dibenci oleh komunis kerana sering menggagalkan rancangan mereka.
Setiap inci pergerakan mereka diawasi oleh musuh. Nyawa pula bak kata pepatah - `sentiasa berada di hujung tanduk'.
Namun, Muhammad Fuad tidak patah semangat walaupun seorang demi seorang pegawai atasan dan rakan setugas maut ditembak musuh.
Antaranya ialah bekas Ketua Polis Perak iaitu mendiang Tan Sri Khoo Chong Kong. Pegawai polis berwibawa ini mati ditembak pada tahun 1975.
``Saya sendiri nyaris menjadi korban komunis pada tahun 1973 tetapi cukup bernasib baik kerana kebetulan ditukarkan ke bahagian lain seminggu sebelum insiden seorang pegawai polis iaitu Inspektor Md. Zain ditembak mati,'' katanya kepada penulis semasa ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Selangor.
Mengimbas kembali peristiwa itu, Muhammad Fuad yang kini memegang jawatan Ketua Polis Daerah Subang Jaya memberitahu, seminggu selepas Md. Zain mengambil alih tugas daripadanya, beliau telah pergi membuat pemeriksaan di sebuah rumah milik seorang lelaki.
Tiba di rumah lelaki yang dipercayai anggota kumpulan bawah tanah itu, Md. Zain meminta untuk memeriksa kad pengenalannya.
Lelaki itu memasukkan tangan ke dalam beg konon mahu mengambil kad pengenalan tetapi sebaliknya mencari pistol.
Sebaik sahaja memegang pistol, dia terus mengangkat beg dan melepaskan tembakan ke arah Md. Zain.
Menyedari pegawai Cawangan Khas sering menjadi sasaran komunis, Muhammad Fuad sentiasa berhati-hati termasuk ketika berada di tempat awam dan dalam perjalanan pulang ke rumah.
``Saya sering menukar cara pergerakan apabila mahu pulang ke rumah atau pergi ke mana-mana untuk mengelak dikesan oleh komunis kerana khuatir mereka melakukan serang hendap.
``Sebelum masuk ke rumah pula, saya akan memeriksa sekeliling rumah beberapa kali kerana takut musuh bersembunyi,'' kata Muhammad Fuad menceritakan pengalamannya hampir 16 tahun berkhidmat dalam Cawangan Khas.
Walaupun bekerja dalam keadaan tertekan, Muhammad Fuad masih bersemangat mempertahankan keselamatan negara dengan menyalurkan seberapa banyak maklumat risikan mengenai Bintang Tiga.
Hasil risikan itu, hampir 30 anggota komunis berjaya ditawan, dibunuh atau menyerah diri terutama dari Kumpulan Unit Penggempur ke-12 dan Pasukan Kerja Bersenjata ke-6 di Air Kala, Lenggong semasa beliau berkhidmat dalam Cawangan Khas di Gerik.
Di Sauk, Kuala Kangsar pula, Muhammad Fuad berjaya membina satu rangkaian risikan yang jitu terhadap kumpulan Unit Penggempur ke-12 diketuai Lai Muk Sang sehingga terbunuhnya lima anggota kumpulan pengganas itu.
Muhammad Fuad dilahirkan pada 6 Julai 1951 di Melaka dan mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai inspektor percubaan pada 10 Jun 1970 setelah tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Sejak itu, beliau memegang pelbagai jawatan dalam PDRM antaranya Pegawai Turus Ibu Pejabat Cawangan Khas, Ipoh, Perak mulai tahun 1970 hingga 1976.
Timbalan Ketua Cawangan Khas Daerah Gerik (1976 hingga 1980); Pemangku Ketua Cawangan Khas Daerah Gerik (1980 hingga 1981); Ketua Cawangan Khas Daerah Kuala Kangsar (1981 hingga 1985) dan Ketua Cawangan Khas Daerah Teluk Intan (1986 hingga 1989).
Beliau juga pernah dilantik menjadi Pengawai Turus Risik Bahagian Keselamatan Dalam Negeri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1989 hingga 1996.
Selepas itu, beliau ditukarkan ke Tumpat, Kelantan sebagai Ketua Polis Daerah hingga Mei tahun lalu.
``Mulai 1 Jun hingga 31 Disember 2004, saya diberi amanah sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya (Selatan).
``Pada 1 Januari lalu, saya mencatat sejarah apabila dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Subang Jaya pertama apabila daerah Petaling Jaya yang sebelum ini dipecahkan kepada dua bahagian, dijadikan daerah berasingan,'' katanya.
Sepanjang tempoh berkhidmat dalam PDRM, Muhammad Fuad tidak melepaskan peluang memajukan diri dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Daripada hanya memiliki STPM, beliau kini boleh berbangga apabila berjaya memperoleh Diploma Pengajian Strategi dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau juga memiliki Diploma Lanjutan Pengajian Strategi dan Keselamatan, Diploma Sains Kepolisan serta Sarjana Sains dalam Pengajian Perancangan dan Tindakan Kecemasan.
Memiliki pengalaman yang luas dalam
Cawangan Khas, Muhammad Fuad yakin beliau mampu merealisasikan impian menyediakan persekitaran selamat kepada penduduk dan pelabur di Subang Jaya.
``Selain menjadi pusat industri utama di Malaysia, Subang Jaya juga menjadi tumpuan kerana memiliki tempat peranginan seperti The Mines Wonderland dan Sunway Lagoon serta hotel-hotel bertaraf lima bintang.
``Keselamatan harus diutamakan kerana tiada pelancong atau pelabur mahu mengunjungi tempat-tempat tersebut sekiranya persekitaran tidak aman,'' jelas Muhammad Fuad.

Pengunduran taktikal - Selamatkan Osman dan rakan-rakan

ARKIB : 08/01/2005

OSMAN Sharif (kanan) bersama penerima-penerima Pingat Gagah Berani ketika diraikan pada satu majlis baru-baru ini.



``SEMUANYA berlaku secara kebetulan,'' kata bekas tentera Pegawai Waran 1, Osman Sharif menceritakan insiden pertempuran dengan pengganas komunis di Hutan Simpan Kinta yang membawa kepada penganugerahan Pingat Gagah Berani (PGB) kepada beliau.
``Secara kebetulan ketua seksyen yang sepatutnya pergi menyertai operasi bersama Batalion Rejimen Renjer Diraja Keempat (4 RRD) jatuh sakit dan saya diarah menggantikannya.,'' ujarnya mengenang peristiwa awal sebelum terbabit dalam pertempuran yang turut mengorbankan nyawa ketua operasi Kapten Mohana Chandran.
Osman merupakan salah seorang lima anggota Tiga Rejimen Peninjau terpilih menyertai operasi bersama 4 RRD di kawasan Ulu Kinta pada Jun 1971.
Selain itu, kata Osman, senjata M79 yang digunakan menyelamat beliau dan empat lagi anggota dipinjam daripada Renjer Bolhi.
Dalam pertempuran itu Renjer Bolhi bersama pasukan mendiang Chandran. Sebelum berpecah, ketua pasukan Osman, Leftenan Muda Donald sempat meminta senjata M79 daripada Bolhi selepas mendapat kebenaran daripada mendiang Chandran.
Bagaimanapun Osman menjelaskan, di sebalik semua kebetulan itu, segalanya tidak akan berjaya sekiranya beliau tidak dilengkapi pengetahuan mengenai strategi pertempuran dan kemahiran menggunakan senjata.
``Tanpa semua itu saya tidak tahu bagaimana menghadapi saat genting itu. Pertama ketika bertindak mengambil keputusan berundur secara taktikal dan kedua menggunakan senjata M75 yang begitu sensitif,'' ujarnya yang telah menamatkan perkhidmatan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 1985.
Mengimbau kembali peristiwa itu beliau berkata, kejadian tersebut berlaku pada hari kelima operasi.
Seperti dirancang, pada pagi 13 Jun 1971 dengan kekuatan 15 anggota dan dua Agen Khas Kerajaan (SGA), mereka keluar dari pangkalan sementera dekat Sungai Kending membuat rondaan menjejak kedudukan musuh.
Pasukan tersebut dibahagi tiga kumpulan. Kumpulan pertama diketuai Kapten Mohana Chandran, kumpulan kedua diketuai Leftenan Muda Donald dan ketiga oleh Korperal Musa.
Dalam rondaan itu kumpulan Musa diarahkan mengambil kedudukan menjadi kumpulan penyekat dan bersedia melakukan serang hendap di pertengahan jalan.
Osman menyertai kumpulan Donald yang turut disertai Renjer Zainal, Renjer Nordin dan Renjer Khasim Awang.
Kumpulan Osman bergerak dahulu di mana Osman merupakan anggota yang paling kebelakang.
Selepas beberapa jam meronda, Osman melihat kelibat Bolhi yang kemudiannya mengarahkan kumpulan Osman kembali ke satu kawasan.
Di situ, mendiang Chandran menunggu untuk menyampaikan taklimat ekoran daripada kejayaan menjumpai denai musuh.
Selesai menyampaikan taklimat mendiang Chandran menghubungi markas batalion memaklumkan perkembangan dan memberitahu bahawa serangan akan dilakukan selepas makan tengah hari.
Selesai makan tengah hari, kumpulan Osman yang diketuai Donald diarah bergerak ke sebelah kanan manakala kumpulan Chandran mengikuti denai pengganas di sebelah kiri.
Tembakan
``Kami bergerak sehingga ke kaki bukit di sebelah tepi kedudukan khemah pengganas. Kami hanya bersedia kerana sebelum bertolak mendiang Chandran ada berpesan bahawa serangan hanya akan dimulakan dengan tembakan beliau.
``Sampai sahaja di kaki bukit, tembakan telah kedengaran. Pertempuran bermula. Mula-mula dengar mesingan. Kemudian raifal buatan sendiri.
``Kami cuba untuk menembak tetapi masih belum berada pada kedudukan sesuai. Keadaan bukit yang curam menyebabkan tembakan menjadi sia-sia.
``Oleh kerana kehadiran kami masih belum diketahui, kami cuba merapati kawasan itu dengan bergerak lebih kehadapan.
``Kami cuba lagi tetapi bukit itu terlalu curam dan bahaya kerana pada 20 meter terakhir kawasan itu lapang. Semua lalang sudah ditebas.
``Apabila kehadiran kami diketahui kami mula ditembak. Peluru berterbangan atas kepala. Meletup-letup kedengaran apabila terkena pokok.
``Berdasarkan tembakan itu, kami tahu mereka ramai. Kami tidak mampu bangun atau mengangkat kepala. Kami juga sukar untuk berundur kerana telah berada di dalam zon maut atau killing zone,'' cerita Osman.
Pada saat genting itu, kata Osman, Donald bertanyakan kepada beliau tindakan yang perlu dilakukan.
``Berdasarkan kursus taktik yang dipelajari, kalau musuh lebih, berada pada kedudukan strategik, kita tidak boleh menyerang. Kalau serang kita sebenarnya membunuh diri.
``Paling sesuai ialah berundur secara taktikal. Serentak itu saya meminta M79 daripada Zainal. Saya memberitahu sebaik sahaja saya melepaskan tembakan, mereka perlu segera turun menyelamatkan diri,'' jelasnya.
Menurut Osman, senjata M79 sangat sensitif tetapi amat berkuasa dan sesuai untuk digunakan dalam keadaan genting itu.
``Peluru macam bom 40mm. Kalau berada lima meter keliling, boleh mati dan ia boleh mendatangkan bahaya dalam lingkungan 25 meter.
``Ia juga cukup sensitif kerana selepas ditembak, sistem peletupnya telah hidup walaupun baru bergerak sejauh lima meter.
``Ini bermakna kalau terkena sebarang objek walaupun daun ia boleh meletup. Ini yang paling ditakutkan kerana kita bimbang senjata makan tuan. Oleh itu hanya pegawai atau anggota tertentu dibenarkan menggunakan senjata itu,'' ujarnya lagi.
Menurut Osman, menerima senjata itu beliau melepaskan dua das tembakan. Sebaik tembakan pertama dilepaskan, tembakan musuh yang tadi mencurah-curah datang berhenti seketika dan ia digunakan oleh Donald dan dua lagi anggota melompat berlari ke kawasan lebih selamat.
``Tiba di kawasan selamat, mereka pula memberi tembakan perlindungan bagi membolehkan saya dan Zainal keluar daripada zon maut itu,'' katanya.
Menurut Osman, setelah keluar dari tempat berkenaan, kira-kira pukul 6 petang mereka bergerak menuruti lereng bukit sehingga ke bahagian belakang kedudukan musuh yang sedang bertempur dengan kumpulan mendiang Chandran.
``Tempat berkenaan kami jangka akan digunakan musuh mengundur diri. Kami bersedia tetapi tidak ada musuh berundur menggunakan laluan itu.
``Pagi esok, sedang kami mencari jalan keluar kami bertemu satu kumpulan penyelamat 4 RRD yang kemudiannya memberitahu bahawa Kapten Chandran telah gugur,'' katanya.
Menurut Osman, atas tindakan berani dan inisiatif itu dan setelah disokong pihak atasan beliau diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk dianugerahkan PGB.
Beliau menerima pingat tersebut pada 22 Mac 1975 di Kem Sungai Besi.
Sebelum mencapai pangkat tertinggi Pegawai Waran 1 yang melayakkan beliau menjawat jawatan Sarjan Mejar Rejimen, Osman pernah bertugas sebagai jurulatih kadet di Maktab Tentera Diraja
Beliau menamatkan perkhidmatan bersama ATM setelah 24 tahun berkhidmat.
Kini beliau meneruskan kehidupan melakukan kerja-kerja kampung di Felda Palong 8, Gemas, Negeri Sembilan.

Jumaat, 5 Mei 2017

Samaon - Berkaki ayam jejaki komunis

ARKIB : 18/12/2004

MEMBACA kisah perjuangan beliau menentang pengganas komunis seperti yang tercatat dalam buku Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuatkan kita mengagumi akan keberaniannya.
Namun, mendengar sendiri kisah itu dari mulut beliau membuatkan kita insaf dan menghargai erti kemerdekaan dan kemakmuran yang negara kecapi kini.
Di sebalik keberanian serta kejayaan beliau, pelbagai pahit-getir terpaksa ditempuhi.
Beliau sanggup menggadai nyawa demi tugas dan kesetiaan kepada negara.
Mejar (B) Samaon Ahmad, 57, ketika itu bertugas sebagai pegawai risik tentera (MIO) di Sarawak sekitar awal 1970-an.
Keadaan di Bumi Kenyalang pada waktu itu, iaitu antara tahun 1971 hingga 1974 berada pada tahap kemuncak keganasan Parti Komunis Kalimantan Utara (NKCP).
Serang-hendap oleh NKCP di jalan raya dan sungai sering menghantui setiap anggota pasukan keselamatan.
NKCP yang mempunyai kekuatan kira-kira 3,000 anggota menggunakan hutan belantara di Kalimantan Barat sebagai laluan keluar-masuk ke Sarawak semasa melancarkan serangan.
Wilayah Divisyen Ketiga telah diisytihar kawasan darurat dengan tertubuhnya Markas Keselamatan Rajang (Rascom).
Sebagai MIO, Samaon memiliki segala maklumat subversif termasuk senarai anggota NKCP yang paling dikehendaki.
Setiap pergerakan mereka sentiasa dalam pengawasannya.
Malahan, beliau mendapat maklumat bahawa dirinya sendiri turut diperhati oleh unit risik NKCP sehinggakan nombor pendaftaran keretanya ada dalam rekod mereka.
Perkara tersebut membuatkan beliau perlu berwaspada setiap masa.
Beliau terpaksa berpakaian awam dan membawa senjata ke mana sahaja.
``Tugas sebagai MIO telah mengubah corak hidup saya.
``Kalau memandu ke sesuatu tempat, saya tidak akan melalui jalan yang sama semasa pulang kerana takut diserang-hendap dan sentiasa memerhatikan siapa yang mengekori di belakang,'' katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menceritakan semula tugasnya sebagai MIO, Samaon berkata, Operasi (Ops) Jemput yang beliau sertai merupakan misi khas yang paling sukar dilupakan serta paling berbahaya.
Ia digelar Ops Jemput kerana objektifnya adalah untuk mendesak pengganas komunis supaya meletakkan senjata dan kembali ke pangkuan masyarakat.
Sasarannya adalah saki-baki anggota tersebut yang berpangkalan di Indonesia.
Operasi berkenaan berlaku dari bulan Ogos 1971 hingga Mac 1972 di mana Samaon masih berpangkat Leftenan.
Misi beliau adalah menangkap hidup-hidup pemimpin tertinggi salah satu unit penggempur NKCP di dalam sebuah kem terbesar NKCP.
Kem yang dinamakan Kompleks Martinus itu terletak di dalam hutan tebal bergunung-ganang di sebelah timur Nangga Marakai, Kalimantan Barat.
Ia mampu memuatkan 300 orang, lengkap dengan tempat latihan dan kawasan bercucuk-tanam.
Menurut Samaon, kedudukannya begitu strategik dan mempunyai satu sahaja laluan keluar-masuk dengan berjalan kaki dan tidak dapat dilihat dari udara.
``Kedudukannya seolah-olah diapit oleh dua buah gunung. Cuba bayangkan sebuah lembah di mana Gunung Tahan dan Gunung Korbu berada di kiri-kanan.
``Tempatnya cukup cantik umpama di alam kayangan. Kem tentera yang paling cantik pernah saya lihat,'' kata anak kelahiran Negeri Sembilan ini.
Perjalanan ke situ pula memakan masa berhari-hari.
Disebabkan kem tersebut terletak di Indonesia, maka Tentera Nasional Indonesia (TNI) juga terlibat dalam operasi itu.
Perjanjian
Samaon memberitahu, terdapat akta dalam perjanjian sempadan yang membenarkan kedua-dua negara melakukan operasi ketenteraan di negara jiran dalam keadaan-keadaan tertentu.
Sebagai contoh jelasnya, TNI dibenarkan beroperasi dalam Malaysia sekiranya musuh yang diburu di Indonesia memasuki negara ini, begitu juga sebaliknya.
Mengimbas kembali operasi tersebut, Samaon berkata, beliau mengetuai sepasukan tentera elit seramai 12 orang daripada Rejimen Gerak Khas Malaysia (RGKM), Rejimen Pasukan Komando Angkatan Darat (RPKAD) TNI serta anggota NKCP yang berpaling tadah dan menjadi perisik.
Lebih membanggakan Samaon, beliau merupakan pegawai ATM pertama mengetuai pasukan komando dari dua negara berbeza.
Sebelum memulakan operasi, Samaon dan pasukannya terpaksa berlatih berjalan kaki dalam hutan belantara Kalimantan Barat tanpa memakai but selama tiga bulan.
Latihan itu penting kerana mereka akan berkaki ayam untuk mara ke Kompleks Martinus supaya tidak meninggalkan jejak yang boleh dikenali anggota NKCP.
``Jejak but akan membolehkan komunis bersiap-sedia menyembunyikan diri kerana tahu akan kehadiran pasukan tentera.
``Sekiranya ini berlaku, sudah pasti Ops Jemput tidak akan berjaya,'' jelasnya lagi.
Hampir sepanjang siang dan malam selama tiga hari mereka meredah hutan dengan berkaki ayam.
Tiba hari keempat, Samaon terjumpa `tanda' yang menunjukkan kedudukan kem semakin hampir.
Pada masa itu, jam menunjukkan pukul 5.00 petang.
Beliau terus mengarahkan tiga anggotanya untuk meninjau ke hadapan.
Dua jam kemudian, pasukan peninjau kembali dan mengesahkan bahawa kem musuh terletak tidak jauh.
``Pengganas komunis biasanya berehat pada waktu petang sehingga malam setelah melakukan aktiviti harian.
``Kita mudah mengesan kedudukan musuh dalam gelap menerusi cahaya api masakan dan bunyi percakapan serta aktiviti mereka,'' jelasnya.
Beliau mengambil keputusan bermalam di situ.
Pada malam itu juga, beliau membuat model lokasi kem musuh di dalam khemah dan mengatur strategi serta memberikan tugasan kepada setiap anggota pasukannya sebelum tidur.
Pukul 4.00 pagi keesokan harinya, mereka sudah bangun serta bersiap.
Tepat jam 5.00 pagi, mereka bergerak untuk memulakan operasi.
Sebaik tiba di lokasi, mereka membentuk formasi `L' menghadap kem musuh.
Di sebelah kiri Samaon adalah pasukan RGKM dan di kanan pula RPKAD, manakala beliau bersama perisik di tengah-tengah.
Kedudukan mereka dipisahkan oleh sebatang anak sungai.
Tepat jam 6.00 pagi, mereka dapat mendengar siaran radio.
``Saya tahu dengan tepat pukul berapa ketika itu kerana ada siaran berita dari negara China setiap jam 6.00 pagi.
``Kami juga dapat mendengar setiap perbualan mereka kerana kedudukan kami begitu dekat dengan kem musuh,'' kata Samaon.
Semasa menunggu itu juga, salah seorang musuh menuju ke arah sungai untuk membuang air dan memberus gigi.
Namun, Samaon membiarkan sahaja kerana dimaklumkan oleh perisik bahawa musuh tersebut bukannya orang yang mereka cari.
Setelah hampir sejam, mereka mula gelisah kerana musuh yang dikehendaki tidak juga muncul.
Mereka mula merasa tertekan kerana terlalu lama menunggu.
Mereka tidak berupaya untuk merapati lebih hampir ke kem kerana terdapat sungai.
Untuk melintas sungai pula sudah pasti akan dilihat musuh.
Oleh kerana keletihan, Samaon pun berdiri.
Ketika berdiri, tiba-tiba beliau melihat di hadapannya terpacak seorang komunis.
Jarak mereka cukup hampir iaitu kira-kira lima meter dan mereka bertentang mata tanpa melakukan sesuatu akibat terkejut.
Pistol
Di pinggang pengganas komunis itu terselit sepucuk pistol dan Samaon pasti orang itu adalah ketua yang dicari-cari.
Menurut beliau, hanya ketua yang menggunakan pistol.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat meluru untuk menangkapnya kerana dipisahkan oleh sungai.
Ketika itu juga beliau melihat komunis itu cuba mengambil pistolnya.
Sepantas kilat juga Samaon membidik senjatanya ke arah musuh dan menembak.
Dalam keadaan kelam-kabut itu beliau tidak menyedari bahawa kunci keselamatan senjata jenis M16nya berada pada keadaan automatik.
Maka berhamburan beberapa das tembakan mengenai musuh yang kemudiannya rebah lalu mati.
Ketua musuh tersebut sebelum itu sempat membalas dua das tembakan ke arahnya tetapi tersasar.
Bunyi tembakan Samaon menyebabkan anggota-anggota komunis yang lain di dalam kem dan pasukan tentera berbalas tembakan.
Pertempuran itu berpihak kepada tentera.
Hasil penggeledahan, mereka mendapati sebanyak tiga anggota komunis berjaya dibunuh termasuk ketuanya.
Mengikut tradisi RPKAD, musuh yang dibunuh akan dipenggal kepalanya untuk dibawa pulang.
Bagaimanapun, sebagai menghormati perisik yang merupakan bekas anggota NKCP, Samaon menghalang perbuatan tersebut.
Mereka juga berjaya menemui semula sepucuk raifal jenis SLR milik ATM.
Raifal itu dirampas oleh komunis dalam satu serang-hendap di Batu Lintang dalam Divisyen Kedua berhampiran Sri Aman sebelum itu.
Walaupun misi menangkap ketua musuh hidup-hidup tidak tercapai, namun hasil serangan itu berjaya melumpuhkan kegiatan NKCP di Kalimantan Barat.
Unit-unit kecil NKCP di hutan Kalimantan Barat kemudiannya memindahkan pangkalan mereka ke Sarawak ekoran operasi tersebut sehinggakan kawasan tersebut bebas sepenuhnya daripada kegiatan komunis.
Bagaimanapun, Sameon menganggap kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama erat banyak pihak terutama Ketua MIO Sarawak, Mejar Maulud Maamin; Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Datuk Sri Yuen Yuet Leng; Panglima 3 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Hassan Salleh dan Panglima Korem 12 TNI, Kolonel Kadarusno yang berpengkalan di Sintang, Kalimantan Barat.
Di atas keberanian luar biasa yang ditunjukkan dalam Ops Jemput, Samaon dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Yahya Petra Ibrahim di Istana Negara pada 6 Jun 1973.
Kerjaya Samaon dalam tentera bermula setelah ditauliahkan sebagai pegawai dalam Kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada tahun 1968.
Bapa kepada empat orang anak ini bersara pada tahun 1986 setelah berkhidmat lebih 18 tahun dalam ATM.

Rabu, 3 Mei 2017

3. BINCANGKAN SUMBER EKONOMI DAN KEPENTINGANNYA KEPADA MASYARAKAT PADA ZAMAN PEMERINTAHAN NABI MUHAMMAD S.A.W DI MADINAH

Pendahuluan
·         Pada 622 M Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah kesan daripada Perjanjian Al­Aqabah 1 dan Al-Aqabah II dengan golongan Arab Madinah iaitu suku kaum Aus dan Khazraj. Kedatangan Nab] clan golongan Muhajirin disambut baik oleh masyarakat Madinah.
·         Melalui Perjanjian Madinah, Rasulullah telah dilantik sebagai ketua negara bagi memimpin masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan Madinah merupakan negara Islam yang pertama.
·         Sebagai pemimpin negara Rasulullah telah menjalankan pentadbiran negara, membangunkan ekonomi dan sosial di Madinah. Dari sudut ekonomi, Rasulullah telah memberi tumpuan untuk menghapuskan jurang ekonomi masyarakat Madinah dan pembangunan ekonomi selaras dengan tuntutan agama Islam.
Sumber-sumber Ekonomi

1.      Derma (sedekah)
  1. Sumber - Derma merupakan sumber pendapatan negara yang terpenting terutarna di awal penubuhan negara Islam. Sumbangan derma dilakukan oleh masyarakat Madinah yang kaya clan berharta. Ianya dalam bentuk sumbangan keperluan asas seperti pakaian dan makanan, wang, dan harta tanah.
  2. Kepentingan -
                      i.          Derma dan sumbangan ikhlas golongan Ansar telah dapat menyelesaikan masalah kemiskinan golongan Muhajirirt yang berhijrah ke Madinah tanpa membawa sebarang harta benda. Orang Ansar telah berkongsi harta mereka (rumah, kebun, dan dusun) dengan saudara mereka golongan Muhajirin.
                     ii.         Derma juga penting untuk membolehkan Rasulullah memperkukuhkan kedudukan tentera Islam.. Contohnya. Dalam peperangan Khandak, Saad bin Ubadah menderma kurma kepada tentera Islam. Usman bin Affan, Abu Bakar, Talhah bin Ubaidullah telah menderma wang untuk memperkukuhkan tentera Islam dalam perang Tabuk.
                    iii.        Selain itu orang Islam juga telah mewakafkan tanah mereka untuk kepentingan          masyarakat dan agama. Kulthum bin al-Hinm telah menyerahkan tanahnya untuk membina masjid Quba'.

2. Rampasan Perang (Ghanimah dan Fai')
a.       Sumber-Kekalahan musuh dalam sin' peperangan dengan tentera Islam telah menghasilkan pendapatan negara dalam bentuk hasil rampasan perang. Harta tersebut ditinggalkan oleh pihak musuh yang menyerang tentera Islam. Bentuk rampasan perang ialah bekalan makanan, senjata, binatang ternakan, dan barang perniagaan yang dibawa oleh pihak musuh. Dalam peperangan Badar, tentera Islam berjaya mendapat rampasan seperti unta, tikar Wit dan pakaian. Dalam perang Khaibar tentera Islam berjaya mendapat harta rampasan perang yang besar iaitu dianggarkan 9,500 dinar dalam bentuk senjata, unta, emas, dan kekayaan lain.
  1. Kepentingan-Setiap harta rampasan perang dibahagi kepada lima bahagian. Satu bahagian diserahkan kepada tabung negara dan empat bahagian diagihkan kepada tentera Islam yang menyertai peperangan tersebut. Walaupun hasil rampasan perang tidak besar tetapi ianya penting sebagai pendapatan negara dan sumbangan tentera Islam yang menyertai perang secara sukarela clan tidak dibayar gaji. Ianya dapat mengurangkan bebanan ekonomi masyarakat Islam.
3. Hartanah yang ditinggalkan oleh musuh
a.       Sumber -Di zaman Rasulullah hartanah tanah kebanyakannya yang dimiliki oleh orang Yahudi yang tinggal di Madinah. Bani Qainuqa memiliki pasar, rumah, dan kedai. Bazu Nadir dan Bani Quraizah memiliki ladang yang luas terutama di Khaibar. Tindakan orang Yahudi melanggar perlembagaan Madinah menyebabkan mereka diusir keluar daripada kota Madinah dan harta milik mereka ditinggalkan sebagai harta rampasan.
b.      Kepentingan-Hartanah ini membolehkan Rasulullah mengagihkan kepada masyarakat di Madinah bagi mengurangkan jurang ekonomi dengan persetujuan golongan Ansar dan Muhajirin. Rasulullah telah mengagihkan sebahagian daripada hartanah Bani Nadir kepada dua orang Ansar yang miskin dan orang Muhajirin. Sementara itu dusun di Khaibar merupakan tanah yang dimiliki oleh petani asal dengan syarat menyerahkan sebahagian hasilnya kepada kerajaan.
4. Tebusan Tawanan Perang
a. Sumber- Sumber pendapatan negara juga diperoleh daripada hasil tebusan tawanan perang. Dalam Perang Badar. Menurut Ibnu Ishaq, 20 orang tawanan perang telah membayar 75,000 dirham. Dalam peperangan orang Islam menentang Bani al-Mustaliq--Ferlaya mendapat tebusan tawanan perang.
b. Kepentingan-Tebusan tawanan perang disyaratkan satu daripada lima bahagian di serahkan sebagai khumus kepada negara dan selebihnya kepada tentera Islam. Wang tebusan tersebut digunakan oleh Rasulullah untuk memperkukuhkan tentera Islam (kelengkapan perang)
5. Jizyah
a.       Sumber- Jizyah sejenis cukai yang hanya dikenakan kepada lelaki non muslim sahaja. Golongan pertama membayar jizyah kepada Rasulullah ialah penduduk oleh penduduk Taima' pada tahun 7 H. Orang Yahudi Taima bersetuju membawa jizyah sebagai perlindungan keselamatan clan harta benda mereka . Selain itu jizyah juga dibayar oleh penduduk bukan Islam di Najran, Harba, dan Azruh. Kadar jizyah dibayar oleh kebanyakan mereka ialah satu dinar. Contohnya 300 orang penduduk Allan telah membayar 300 dinar untuk setahun.
b.      Kepentingan - Pembayaran Jizyah ke atas negara Islam di Madinah menunjukkan masyarakat bukan Islam di Semenanjung Tanah Arab telah mengiktiraf kepimpinan Nabi Muhammad dan negara Islam Madinah. Orang Yahudi yang sebelum ini berusaha untuk menentang kerajaan Islam terpaksa meminta perlindungan dari kerajaan Islam. Pendapatan dari cukai jizyah juga membolehkan Nabi membangunkan masyarakat Islam di Madinah.

6. Zakat
  1. Sumber - pada tahun 2H zakat diwajibkan ke atas orang Islam. Zakat dibahagikan kepada dua jenis iaitu zakat harta dan zakat fitrah. Zakat harta merupakan pembayaran atau cukai ke atas harta apabila sampai nisabnya dan genap setahun. Zakat fitrah diwajibkan oleh Rasulullah di bulan Ramadan dengan kadar yang ditetapkan ke atas makanan rugi kepada golongan yang berhak. Zakat berikan kepada golongan yang berhak menerimanya dari hukum syarak. Zakat harta benda termasuklah hasil pertanian rug], bintang ternakan tertentu, keuntungan perniagaan, emas, dan perak..
b.      Kepentingan- Selain daripada menandakan keimanan seseorang, zakat juga memberi kesan ekonomi dan sosial ke atas masyarakat Islam. Ianya dapat mengurangkan jurang kekayaan dan membantu golongan yang miskin dan berada dalam kesulitan.    Selain daripada kerajaan, masyarakat Islam juga berperanan dalam bidang ekonomi dan sosial. Mengikis sifat bakhil, dan menyucikan harta.

Kesimpulan

Kepelbagaian sumber ekonomi pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW sangat membantu dalam perkembangan negara Islam Madinah dan menjadi panduan pengurusan ekonomi kepada negara Islam seterusnya.
sumber-SKEMA PERCUBAAN PAHANG 2017