Jumaat, 10 Mac 2017

Bagaimana Dato' Onn pertahan hak Melayu

ARKIB : 01/09/2000
Oleh:AINOL AMRIZ ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)
KESEDARAN awal tentang nasib orang Melayu yang menghadapi ancaman kepupusan datangnya atas daya usaha seorang Pegawai Daerah Batu Pahat, Dato' Onn bin Jaafar.

Kesungguhan Dato' Onn menentang Malayan Union membawa kepada penganjuran Kongres 1946 yang menyaksikan penubuhan UMNO. Maka perjuangan Dato' Onn cukup kental ketika itu, sehingga beliau memperoleh sokongan padu daripada keseluruhan orang Melayu termasuk daripada kalangan mereka yang berhaluan kiri iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Parti Komunis Malaya (PKM).

Usaha Dato' Onn dan UMNO ini mendapat sokongan daripada bekas pegawai Inggeris di London pada bulan April 1946 dan mereka ini termasuklah bekas Penasihat Inggeris di Johor, R.O. Winstedt dan bekas Ketua Residen Negeri Melayu Bersekutu, Frank Swettenham.

Kata mereka Malayan Union ialah satu tindakan yang memusnahkan orang Melayu.

Justeru pegawai rendah di Tanah Melayu, L.D. Gammans yang mengetuai rombongan kerajaan British berhasrat meninjau keadaan politik semasa di Tanah Melayu dan pada masa yang sama gerakan UMNO mempunyai strategi tersendiri untuk mewujudkan tunjuk perasaan secara aman, di setiap lokasi tempat pelawat itu berada.

Antara tempat yang dikunjungi ialah Johor Bahru dan Kajang (28 Mei 1946), Sri Menanti dan Rembau (29 Mei 1946), Alor Setar pada 5 Jun 1946 dan Pulau Pinang pada 7 Jun 1946.

Lantas kesungguhan UMNO dan orang Melayu mengadakan demonstrasi telah mempengaruhi Gammans dan pada bulan Julai 1946, beliau mendesak parlimen Inggeris, House of Commons supaya mengadakan perjanjian baru bagi menggantikan Malaysia Union.

Menurut buku UMNO Johor, Memartabatkan Bangsa Melayu, gamman berkata, 'orang Melayu merasa mereka telah ditipu oleh Inggeris.'

Maka dalam persidangan UMNO pada 27 Mei 1946, Dato' Onn bercadang melantik peguam, R. Braddell (peguam negeri Johor pada tahun 1930-an) untuk mewakili UMNO dalam perundingan kerajaan Inggeris dari tahun 1946 hingga 1948.

Penentangan Malayan Union ini juga turut mendapat sokongan Raja-Raja Melayu apabila mereka turut rasa tertipu dengan perjanjian MacMichael yang ditandatangani sebelum ini.

Wakil UMNO berbincang buat pertama kalinya dengan Gabenor Malayan Union, Sri Edward Gent pada 29 Mei 1946 di Kuala Kangsar, Perak dan diikuti dengan perbincangan Dato' Onn pada 18 Jun 1946.

Kata Dato' Onn, selagi perjanjian MacMichael tidak dihapuskan, orang Melayu tidak akan tunduk dan bertolak ansur. Pada 26 Jun, Dato' Onn dengan lantang menolak kehendak Setiausaha Negeri bagi Tanah Jajahan, Sir George Hall yang mahu mengekalkan kuasa perundangan negeri-negeri Melayu dalam tangan Raja England.

Sikap tidak bertolak ansur Dato' Onn menyebabkan Inggeris cemas terhadap kebangkitan survival orang Melayu dan Dato' Onn menggunakan otak pintarnya memerangkap Inggeris dalam sepucuk surat yang mengesahkan kegiatan pemuda Melayu kini condong ke Indonesia di Batu Pahat, Johor.

Ancaman Dato' Onn ini terasa munasabah kerana Angkatan Pemuda Insaf (API) yang ditubuhkan pada bulan Februari 1946 dibawah pimpinan Ahmad Boestamam sebagai sayap pemuda PKMM, ialah satu contoh gerakan radikal orang Melayu yang mirip kepada Revolusi Indonesia. Keanggotaan PKMM dalam UMNO dari bulan Mac hingga Mei 1946 boleh mempengaruhi UMNO.

Akhirnya Setiausaha Negeri Tanah Jajahan, GH Hall mengutus surat bertarikh 29 Jun 1946 membenarkan Ketua Gabenor Asia Tenggara, Sir Malcolm MacDonald menerima kehendak orang Melayu.

Pada 24 Julai 1946, Dato' Onn sekali lagi membuktikan survival orang Melayu perlu ada dalam menangani kemelut penyatuan negeri-negeri Melayu dalam Persekutuan selepas Raja-Raja Melayu mahu mengetepikan Melaka dan Pulau Pinang.

Keputusan itu dibantah oleh Dato' Onn dan menjelaskan, negeri itu wajar menjadi anggota Persekutuan kerana kedua-duanya adalah negeri Melayu yang awal terpisah kerana penjajahan. Kenyataan itu disokong oleh Edward Gent.

Beberapa perkara lain turut diperjuangkan oleh Dato' Onn termasuklah sumpah taat setia rakyat Persekutuan yang bukan ditujukan kepada Raja England, sebaliknya kepada Raja Melayu.

Begitu juga, soal perundangan di mana undang-undang Tanah Melayu patut diluluskan oleh Majlis Persekutuan Tanah Melayu tanpa campur tangan Parlimen Inggeris.

Dato' Onn menggunakan sikapnya yang tegas untuk mendapatkan kedudukan baik bagi negeri Melayu walaupun beliau hanya seorang Pegawai Daerah.

Tugas Dato' Onn tidak berakhir di situ, sebaliknya sebagai Yang di-Pertua UMNO, beliau telah menganggotai Jawatankuasa Kerja bagi membuat draf perlembagaan baru menggantikan Malayan Union yang bermesyuarat dari 6 Ogos hingga 1 November 1946.

Dato' Onn membantah cadangan Setiausaha Agung Ketua Gabenor Asia Tenggara, Sir Ralph Hones yang mahu kerakyatan Persekutuan berdasarkan 'siapa sahaja yang mengaku taat setia kepada Persekutuan Tanah Melayu sebagai tanah airnya'(jus soli)

Akhirnya, UMNO dan Raja Melayu menerima orang bukan Melayu sebagai rakyat Persekutuan dengan syarat ketat dan Inggeris pula menerima kerakyatan jus soli bagi orang Melayu sahaja. Maka rangka Perjanjian Persekutuan 1948 diterima oleh ketiga-tiga pihak, UMNO, Raja Melayu dan Inggeris.

Bagaimanapun, Dato' Onn tidak pernah menduga menerima tentangan sehinggalah rangka perjanjian itu dibawa ke Mesyuarat Agung UMNO pada 10 Januari 1947 di Alor Setar untuk dibincangkan.

Ahli UMNO diminta menerima cadangan itu dengan ugutan peletakan jawatan Dato' Onn. Beliau membuat ancaman ini apabila menerima tekanan daripada Saberkas (Kedah), Lembaga Kesatuan Melayu Johor (LKJM) dan PKMM sendiri.

Bagaimanapun cadangan UMNO itu kemudiannya dibincangkan oleh Majlis Penasihat Malayan Union (MUAC) _ badan perundangan tertinggi dalam kerajaan Malayan Union.

Justeru Dato' Onn sekali lagi mendesak Inggeris supaya menambah suara orang Melayu kepada 15 agar sama dengan suara Inggeris dan bukan Melayu dalam majlis penasihat itu.

Tuntutan Dato' Onn dipersetujui Inggeris dan draf itu diluluskan sebelum dihantar ke London pada November 1946. Sebulan kemudian, draf ini dibawa balik ke Kuala Lumpur dan satu mesyuarat tiga segi diadakan bagi membincangkan hal itu sekali lagi sebelum dicetak pada 20 Disember 1947.

Tuntutan Dato' Onn sering kali diterima Inggeris kerana mereka mempunyai kepentingan berdalam menghadapi tekanan golongan kiri iaitu PKM dan PKMM yang mahu mendapatkan kuasa.

PKMM telah menentang UMNO sejak Jun 1946, apabila ia keluar dari parti ini kerana menolak Perjanjian Persekutuan yang tidak memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Kata Dato' Onn: ''Saya ada mendengar beberapa pihak berkehendakkan kemerdekaan penuh atas tuntutan ini, hendaklah kita tunjukkan kebolehan kita supaya barang yang sudah kita pegang itu tidak terlepas daripada tangan kita.''

Ini menyebabkan PKMM menarik balik sokongan dan mereka menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada 22 Februari 1947 untuk menentang Dato' Onn dan UMNO.

Namun begitu, Dato' Onn tetap cekal dan pada 20 Januari 1948, beliau menghadiri Persidangan Pleno di King's House, Kuala Lumpur bersama Inggeris dan Raja Melayu.

Pada peringkat ini, Dato' Onn masih mendesak Inggeris supaya peraturan dan arahan Majlis Mesyuarat Negeri dan Persekutuan di buat dengan pengetahuan negeri Melayu, selain meminta supaya diadakan pasukan berkawal di rumah Menteri Besar. Kedua-dua perkara ini diterima Inggeris.

Dengan persetujuan itu, pada 21 Januari 1948, Perjanjian Persekutuan 1948 ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dan Inggeris di King's House Kuala Lumpur. Dato' Onn hadir sebagai wakil UMNO dan Johor.

Maka terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu yang melindungi hak Melayu di negeri sendiri.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_05.htm#ixzz4awFQHBga © Utusan Melayu (M) Bhd

Kemerdekaan sumbangan wanita dalam pembangunan

ARKIB : 31/08/2000
KEMERDEKAAN selama 43 tahun turut membawa perubahan kepada peranan dan sumbangan wanita dalam membangunkan negara. Peluang mendapat pendidikan yang sama membawa wanita keluar daripada tugas tradisi kepada kerjaya yang lebih mencabar lagi.

Penghayatan dan persepsi generasi wanita baru tentang kemerdekaan mungkin samar-samar kerana selama lebih empat dekad mereka telah menikmati banyak kemudahan seiring dengan kemajuan negara.

Mereka mungkin tidak merasa kepayahan membebaskan negara daripada belenggu penjajah. Kewajaran memperingati perjuangan tokoh-tokoh lama wanita seperti Ibu Zain, Tan Sri Fatimah Hashim, Khatijah Sidek dan lain-lain perlu disematkan dalam pemikiran generasi muda.

Perjuangan kaum wanita dahulu tanpa mengharapkan balasan tidak terbatas kepada tenaga tetapi turut mengorbankan wang ringgit. Adalah menjadi tanggungjawab wanita kini mengisi kemerdekaan dengan sama-sama menyumbang untuk membangunkan negara tercinta.

Dalam mengejar kemajuan wanita juga tidak dapat lari daripada merasai kesan sosial yang dibawa oleh pembangunan itu sendiri. Oleh itu wanita harus kuat dari segi mental dan spiritual untuk menangani masalah ini. Sebagai ibu yang melahirkan dan pendidik sejati mereka jugalah yang mencorak generasi Malaysia akan datang.

Seperti kata tokoh veteran UMNO, Tan Sri Aishah Ghani, 76, wanita hari ini telah berjaya mengecapi kesenangan hasil perjuangan wanita dahulu terutama dalam bidang pendidikan, sosial, ekonomi dan politik.

Kesan perjuangan wanita dahulu dapat dilihat hari ini berdasarkan tahap pencapaian wanita dalam pelbagai bidang.

Peluang pendidikan sama rata kepada kaum wanita membolehkan mereka terus ke hadapan untuk sama-sama berganding bahu dengan kaum lelaki dalam membantu menjana proses pembangunan negara.

Cabaran wanita pada hari ini adalah lebih besar berbanding wanita dahulu.

''Jika dahulu golongan wanita bekerja keras bagi memperjuangkan hak mereka, tetapi wanita hari ini perlu lebih peka terhadap isu-isu dan perkembangan semasa terutama perkara berkaitan dengan institusi kekeluargaan,'' jelasnya.

Tambahnya lagi, wanita hari ini tidak lagi berfungsi sebagai seorang ibu dan isteri tetapi peranan mereka lebih luas iaitu sebagai pekerja, majikan dan sebahagian daripada ahli masyarakat.

Dalam dunia yang serba mencabar, peranan yang dimainkan oleh kaum wanita amat besar kerana masa depan anak-anak terletak di atas bahu mereka.

Sementara itu Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz mengakui pencapaian wanita masa kini begitu memberangsangkan dan setanding dengan golongan lelaki berikutan banyak jawatan penting disandang oleh mereka.

''Kita boleh berbangga kerana mempunyai pengusaha wanita yang berjaya dalam pelbagai sektor khususnya sektor pengeluaran seperti sektor elektronik, pembuatan plastik dan sektor lain yang berkaitan dengan eksport dan import.

''Malah, kerana kecemerlangan mengendalikan perniagaan, tidak hairanlah syarikat-syarikat mereka ada yang telah dianugerahkan dengan ISO 9000,'' katanya.

Mengulas mengenai pengusaha wanita yang masih mengendalikan perniagaan kecil-kecilan, Rafidah memberitahu, walaupun mereka menjual kerepek tetapi ia dibuat dalam jumlah yang besar dan dipasarkan di rangkaian yang lebih luas hinggakan sesetengahnya berjaya membuka kedai runcit.

Sepanjang negara mencapai kemerdekaan, beliau akui suara wanita tidak pernah dipinggirkan malah keharmonian negara yang dikecapi selama 43 tahun memberi peluang yang luas untuk wanita membuat keputusan dan dasar dalam organisasi yang disertai.

Mengenai hala tuju wanita pada zaman yang serba mencabar ini, Rafidah yang merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, wanita masa kini perlu berusaha mempelajari Teknologi Maklumat (IT) untuk memudahkan mereka berinteraksi.

''Jika mereka lambat berbuat demikian, dibimbangi orang lain akan menguasai kemahiran itu dan mereka akan ketinggalan di belakang,'' katanya lagi.

Walau sehebat mana pencapaian mereka, tetapi jika gagal membimbing anak-anak menjadi insan berhemah, kejayaan itu tidak bermakna.

Tokoh muda Azalina Othman yang baru-baru-baru ini telah dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO menyorot tentang penglibatan generasi muda dalam pembangunan politik tanah air mengatakan, generasi muda masih berminat terhadap politik dan mereka juga sayangkan bangsa tetapi ada yang masih mencari saluran yang sesuai dengan aspirasi diri kerana golongan ini mempunyai persepsi yang salah dan menganggap memasuki politik hanya membuang masa.

Pelantikannya baru-baru ini membuktikan UMNO telah membuka pintu kepada generasi muda dan mendengar apa yang disuarakan oleh mereka. Terdapat 62 peratus wanita dewasa di negara ini dan lebih sejuta berusia antara 18 hingga 39 tahun. Soalnya apakah mereka sudah berdaftar untuk mengundi?

''Adalah menjadi tugas setiap golongan muda ini menyertai perjuangan hidup mati bangsa Melayu. Pada hemat saya wanita Melayu mampu memainkan peranan membangunkan masyarakat dan sebagai pemangkin atau ejen perubahan. Keupayaan mereka perlu digunakan secara meluas,'' ujar Azalina.

Penghibur terkenal, Siti Nurhaliza Tarudin, 21, pula berpandangan sejak dahulu lagi negara telah melahirkan ramai tokoh-tokoh wanita yang berjaya dalam pelbagai bidang termasuk seni.

Menurutnya, penglibatan wanita dalam bidang seni sama ada dalam lakonan atau nyanyian dilihat sebagai satu perkembangan yang baik apabila semakin ramai kalangan remaja wanita terutamanya berkecimpung dalam bidang ini.

''Alhamdulillah, setakat ini banyak pencapaian artis wanita di negara ini mendapat pengiktirafan di dalam mahupun peringkat antarabangsa,'' katanya.

Menyentuh mengenai matlamat perjuangan wanita dahulu dan sekarang, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini mengakui tidak banyak bezanya kerana setiap perjuangan mempunyai matlamat yang tersendiri.

Pengerusi Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Intergerasi Wanita Dalam Pembangunan (Naciwid), Datuk Nik Safiah Karim menjelaskan kaum ibu zaman sebelum merdeka sanggup mengorbankan banyak masa tenaga dan wang ringgit demi perjuangan parti UMNO ketika itu.

Sekiranya tiada wang sebagai derma bakti semasa pilihan raya mereka sanggup melucutkan barang kemas untuk dijual demi menampung keperluan parti.

Mereka sanggup memasak sendiri untuk dinikmati bersama dalam mesyuarat parti.

Peranan kaum ibu dalam berkempen memang terkenal, kini kalau dilihat daripada tindak-tanduk generasi muda khususnya yang berkaitan dengan soal-soal kenegaraan, perpaduan dan mendaulatkan seni budaya terlihat satu aliran perubahan sikap yang berbeza dengan generasi dahulu.

Baginya kemampuan mempertahankan ciri-ciri kebangsaan itulah teras kejayaan dan bukan bermegah dengan kehebatan budaya dan ketinggian susila orang lain. Beliau tidak mahu bahasa Melayu ditukar ganti menjadi bahasa kedua dalam negara yang merdeka dan berdaulat.

Kesinambungan perjuangan mengisi kemerdekaan masih tetap mengetengahkan jati diri insan Melayu yang kaya dengan sopan santun dan berbudaya Melayu iaitu menghormati orang tua berbudi pekerti mulia walaupun sudah berjaya mencapai kedudukan yang tinggi. Andai pengisian kemerdekaan mesti berkiblatkan teknologi moden dan sejagat boleh saja diterima asal tidak menggadaikan maruah nusa serta bangsa.

Pada alaf baru ini masyarakat Malaysia, orang Melayu khususnya diajak melihat dalam diri dan mencari jalan mengukuhkan perpaduan umat agar tidak ditelan zaman.

Nik Safiah percaya perjuangan generasi kini relevan dengan aspirasi semasa tanpa mengorbankan perjuangan generasi terdahulu.

Generasi muda negara perlu digilap dengan jalinan kasih sayang memahami aspirasi kebangsaan sambil mengatur barisan hadapan menyambung perjuangan silam yang semakin pudar.

Peluang wanita mendapat pendidikan sama dengan kaum lelaki punca kejayaan mereka hari ini. Malah peluang menyertai bidang pekerjaan dan ekonomi dalam Rancangan Malaysia pertama, kedua, ketiga dan seterusnya menyemarakkan lagi peranan mereka. Beliau berharap usaha menyeimbang kemajuan kerohanian dilaksanakan dengan segera.

''Kita tidak mahu melahirkan generasi muda yang bijak dan kaya raya tetapi miskin kerohanian,'' katanya.

Golongan korporat juga harus membuat sumbangan yang berharga sebagai amal jariah mengikut amalan agama masing-masing.

Ketua Komunikasi dan Pemasaran Jobs DB. Com Malaysia, Khairul Nisa Ismail berkata, selama 43 tahun merdeka wanita seharusnya membuka mata kepada pembaharuan terutama pendedahan kepada bidang teknologi maklumat (IT). Cabaran wanita di alaf baru lebih sengit dalam bidang ini.

''Seruan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad supaya negara bergerak ke arah masyarakat berpengetahuan mendesak wanita mengambil inisiatif untuk turut menceburkan diri dalam e-dagang dan seterusnya mengambil bahagian dalam koridor raya multimedia. Sekiranya mereka peka dan berpengetahuan IT, ia adalah satu aset yang paling berharga dalam menjalani tugas seharian,'' jelas Khairul.

Naib Pengerusi Naciwid Puan Seri Datuk Dr. Fatimah Hamidon pula berpendapat pencapaian wanita hari ini telah melangkah jauh dari segi statistik dan mutu pencapaian. Mereka kini berada dalam semua bidang pekerjaan termasuk keusahawanan.

Tetapi dalam bidang tertentu penyertaan wanita masih kekurangan walaupun memiliki kelulusan hampir sama. Soalnya sekarang bagaimana mereka patut diberi peluang untuk menyumbang secara optimum kepada negara?

Wanita sebagai ejen perubahan tidak berlaku dengan pantas tetapi perlahan. Mereka mesti lebih proaktif dalam badan-badan membuat keputusan atau dasar.

''Wakil-wakil wanita perlu mempunyai idea dan kepekaan tentang isu semasa serta menginsafi masih ramai wanita belum mengecapi 'kemerdekaan' dari segi sosial, ekonomi atau terlepas daripada cengkaman tradisi,'' katanya.

Di sinilah perubahan perlu dilakukan, caranya termasuklah membasmi diskriminasi wanita, melindungi wanita daripada keganasan rumah tangga serta masyarakat, membasmi kemiskinan, mendapatkan keadilan dan pelindungan dari segi agama, undang-undang juga budaya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_03.htm#ixzz4avW4cAoa © Utusan Melayu (M) Bhd

BERBAKTI UNTUK MALAYSIA

rencana

ARKIB : 31/08/2000
HARI ini kita menyambut Hari Kebangsaan ke-43 dengan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbangkan bakti hingga menjadikan negara ini berjaya.

Semangat 'Keranamu Malaysia' yang menjadi tema Hari Kebangsaan kali ini mengajak semua warganegara bertekad untuk meningkatkan bakti untuk negara.

Menabur bakti dalam pelbagai bentuk apabila dilakukan dengan ikhlas untuk negara menepati kehendak semangat 'Keranamu Malaysia' itu.

Biarlah bakti yang dicurahkan kepada negara benar-benar 'Keranamu Malaysia' dan bukannya mengharapkan balasan kebendaan secara langsung.

Apabila kita memberi sumbangan kepada negara, kesan atau balasan daripada bakti itu akan hanya diperoleh secara kolektif.

Malah mungkin yang memperoleh manfaatnya kelak adalah generasi akan datang. Tetapi amalan berbakti kepada negara secara ikhlas amat perlu bagi mengukuhkan Malaysia untuk terus maju dalam apa jua bidang.

Berbakti kepada negara boleh dilakukan dalam apa jua bentuk. Daripada melahirkan rasa sayang kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan turut serta dalam sambutan Hari Kebangsaan hinggalah kepada usaha-usaha memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat.

Dalam kehidupan seharian, seseorang warganegara yang baik boleh seharusnya mengambil tahu tentang perkembangan negara dan bersikap aktif dalam menghadapi masalah-masalah yang timbul.

Begitu juga umpamanya, kita semua seharusnya mengambil tahu tentang undang-undang negara dan mematuhinya bagi kepentingan negara. Dalam hal ini, sudah tentu seseorang itu akan menjauhi perbuatan-perbuatan yang melanggar undang-undang seperti menghindari diri daripada rasuah atau sebarang salah laku seperti menjadi anggota sindiket kemasuksan pendatang asing.

Ini kerana jenayah berbentuk ini boleh mengancam keselamatan negara. Dengan semangat 'Keranamu Malaysia', seseorang warganegara yang baik akan menolak segala godaan, seperti rasuah dan penyelewengan kerana mengutamakan kepentingan negara. Demi negara juga, seseorang warganegara bukan sekadar membuang undi semasa pilihan raya umum tetapi cuba memahami masalah politik negara dan menjunjung keluhuran Perlembagaan.

Ini bermakna, seseorang warganegara Malaysia akan faham tentang suasana kemajmukan masyarakat kita dan menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian perhubungan kaum. Sebaliknya, sikap toleran dan saling hormat-menghormati perlu diamalkan.

Dalam kehidupan seharian, seseorang warganegara yang memikirkan kepentingan negara akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan tempat mereka bekerja.

Jika syarikat-syarikat di Malaysia ini mencapai kecemerlangan, sudah tentu ia dapat memberi sumbangan besar kepada negara. Dalam kehidupan berkeluarga pula, seseorang warganegara memberi sumbangan bakti yang besar kepada negara jika dapat melahirkan keluarga cemerlang. Sekurang-kurangnya dapat mendidik anak-anak yang tidak terjerumus ke dalam masalah sosial.

Tetapi adalah lebih membanggakan dan patriotik jika ada warganegara yang dapat menyumbangkan masa dan tenaga secara sukarela memainkan peranan aktif dalam memajukan masyarakat setempat mereka. Apa yang dilakukan akan mendatangkan hasil yang baik untuk masyarakat dan generasi masa depan dan ia menjadikan hidup lebih bermakna sebab semuanya kerana Malaysia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4avV3kwe5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Kemerdekaan dan perhambaan

ARKIB : 31/08/2000
Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
EMPAT puluh tiga tahun negara mencapai kemerdekaan tidak semestinya menjamin bahawa rakyat kita keseluruhannya telah merdeka sepenuhnya dari segi pemikiran, hawa nafsu dan gejala-gejala perhambaan lainnya yang melanda umat manusia ini.

Serangan yang dibawa oleh ejen-ejen penjajahan bentuk baru melalui teknologi maklumat dan komunikasi serta aliran globalisasi tajaan Barat yang mendominasikan dunia pada hari ini banyak sekali meninggalkan kesan perhambaan di dalam pemikiran dan tindakan rakyat di negara-negara membangun, termasuk rakyat negara kita.

Kemelut perpecahan umat, gejala sosial di dalam masyarakat muda dan tua, kebekuan pemikiran orang-orang yang berilmu dan profesional, sifat fanatik dan taksub melulu, pemujaan individu dan tokoh tertentu tanpa pertimbangan adalah merupakan ciri-ciri perhambaan manusia walaupun pada lahirnya negaranya telah merdeka daripada penjajahan.

Di negara kita sendiri ramai orang yang memuja media asing dengan laporan-laporannya yang penuh dengan agenda penjajahan bentuk baru, iaitu yang ingin memecahbelahkan perpaduan rakyat dan menimbulkan ketegangan di dalam negara semata-mata kerana negara ini ingin menegakkan identiti dan jati dirinya sendiri dan ingin bebas daripada pergantungan melulu kepada kuasa asing.

Tindakan negara merdeka yang ingin melepaskan dirinya daripada penjajahan bentuk baru dan mengisikan kemerdekaannya sendiri dalam erti kata yang sebenarnya telah menimbulkan kemarahan bekas penjajah Barat. Dengan itu penjajah Barat akan berusaha supaya negara yang merdeka ini menjadi kacau bilau dan sentiasa berada dalam ketegangan di antara rakyat dengan pemerintah supaya dengan itu dapatlah mereka memuaskan jarum penjajahannya dengan baik.

Pemujaan media Barat inilah yang mendorong para pemujanya berbicara dengan media asing itu, membenarkan dirinya diwawancara dengan segala komen dan kritikan negatif terhadap negara sendiri, sehingga dengan itu akan lahirlah ke mata dunia seolah-olah dialah pejuang demokrasi dan keadilan negara yang ingin melihat perubahan. Orang-orang begini sebenarnya tidak mendapat tempat sepenuhnya di hati rakyat umum dan di dalam negara sendiri.

Generasi baru yang tidak mengalami sendiri perjuangan rakyat dan negara semasa zaman penjajahan untuk memerdekakan negara mungkin tidak dapat menghayati dan merasakan pahit getir kehidupan pada zaman penjajahan.

Pengalaman itu hanya tertera di dalam tulisan di sana sini yang mungkin tidak dapat dibaca dan dimengertikan dengan baik oleh generasi selepas kemerdekaan. Bagaimanapun perjuangan itu telah berlalu dan tanggungjawab mencapai kemerdekaan negara tidaklah tertanggung ke atas bahu mereka lagi.

Namun yang perlu bagi generasi baru ialah mengisikan kemerdekaan negara dengan melengkapkan diri mereka menjadi anak-anak negara merdeka yang sebenarnya.

Kemerdekaan negara tidak memberi sebarang erti sekiranya kita masih belum mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup di dalam segala bidang kehidupan kita. Demikian juga keupayaan kita di dalam bidang ilmu pengetahuan dan profesionalisme yang tinggi masih belum bererti sekiranya pemikiran kita masih diselubungi oleh pemikiran penjajah dan nilai hidup mereka yang masih terbelenggu dengan hawa nafsu.

Apa ertinya berilmu pengetahuan yang tinggi kalau kita masih terpengaruh dengan cerita-cerita palsu Internet tentang negara kita dan masyarakat. Apa ertinya profesional sekiranya kita masih terperangkap dengan taktik luar yang ingin mengharu-birukan masyarakat kita.

Apa ertinya kemerdekaan negara sekiranya kita masih belum merdeka daripada gejala keruntuhan moral dan kehakisan nilai-nilai murni keagamaan dan kerohanian?

Kalau Islam telah berjaya melaksanakan perancangan yang amat rapi untuk menghapuskan perhambaan sesama manusia dalam bentuk kuno sebelum masyarakat Barat bertindak menghapuskannya, maka kenapakah perhambaan bentuk baru ini terlalu banyak menyerang negara-negara Islam sekarang tanpa tentangan, malah banyak sekali negara Islam dan orang-orang Islam yang sanggup menerima perhambaan ini dengan rela hati?

Salah seorang Khalifah Islam memberi amaran dengan kata-kata hikmatnya; Bilakah kamu memperhambakan sesama manusia, sedangkan mereka dilahirkan ibu-ibu mereka dalam keadaan merdeka? Islam daripada awal lagi telah menyempitkan pintu perhambaan dan membuka luas pintu untuk membebaskan manusia daripada perhambaan, sehingga dengan itu manusia menjadi merdeka dan bebas daripada kezaliman dan penindasan, atau penganiayaan terhadap jiwa raga, harta benda dan maruah serta kehormatan mereka.

Agenda inilah yang dilaksanakan oleh Islam dalam memberikan kemerdekaan kepada manusia dan melepaskan diri mereka dari perhambaan.

Tetapi setelah perhambaan bentuk kuno itu telah pupus dari muka bumi ini, kenapakah ada manusia yang sanggup diperhambakan dalam bentuk baru sehingga sanggup mengkhianati negara dan tanah air sendiri?

Kenapakah manusia sanggup memperhambakan dirinya kepada hawa nafsu keduniaan dengan menggadaikan agama dan nilai-nilai murni kehidupannya?

Apakah kerana soal-soal peribadi dan kelompok tertentu kita sanggup mempertaruhkan maruah dan kehormatan kita sendiri kepada kuasa lain yang ingin memperhambakan kita?

Semoga negara merdeka yang memasuki ke tahun empat puluhan ini akan mulai menampakkan kemerdekaan sebenar dalam pemikiran sikap, tindakan dan wawasan rakyat kita keseluruhannya. Kalau kita berpegang kepada kata-kata hikmah bahawa hidup itu bermula pada umur empat puluh tahun, malah Nabi Muhammad s.a.w. juga dilantik menjadi Rasul kepada umat manusia ketika berumur empat puluh tahun maka masanya telah tiba untuk melatih negara kita sebagai negara yang matang dan maju kerana negara kita telah merdeka lebih dari empat puluh tahun.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM, Ketua Pengarah IKIM

e-mel:ismail@ikim.gov.my

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4avTmfPtV © Utusan Melayu (M) Bhd

Merdeka dan Perkara 153

ARKIB : 29/08/2000
Oleh: DR. RAIS YATIM
HARI jadi negara sudah tiba sekali lagi. Teriakan 'Merdeka' Tunku kedengaran berulang-ulang di radio dan TV. Lagu Allahyarham Sudirman turut berkumandang di udara lantas menusuk jiwa cintakan negara.

Majlis-majlis rasmi memperingati kemerdekaan tanah air berlangsung dan diatur. Warga Malaysia lantas didayung perasaan oleh suasana menjelangnya Hari Kebangsaan kita yang ke-43.

Tanah air sudah merdeka 43 tahun. Jika dibanding dengan seorang insan, usia itu sudah mulai menjangkau ke alam separuh umur. Tetapi bagi sesebuah negara usia itu berada di tahap muda. Amerika Syarikat dalam tempoh 100 tahun sejarah mencapai kemerdekaan dari Britain masih bergelumang dengan keabdian, politik ras dan kepincangan yang sesungguhnya membeliakkan mata jika diperincikan dari sudut nilai hidup hari ini. Tetapi Malaysia yang merdeka hanya selama 43 tahun sudah melepasi belenggu hidup jauh lebih bermanfaat dan membanggakan.

Kacamata hak asasi tuangan Barat memang kebanyakannya mencemik Malaysia tetapi dari segi pencapaian sebenar negara kita sudah lulus ujian-ujian asas ke arah taraf negara maju.

Tinggal lagi memang terdapat segolongan yang mudah lupa akan pencapaian negara kita lalu memuja sistem luaran yang bersandar kepada nilai-nilai dan amalan-amalan tanpa had dan batasan. Kepada mereka menjadi satu larangan atau tabu untuk mengiktiraf kemenangan dan kejayaan yang dicapai setakat ini.

Kemerdekaan yang dicapai dan dinikmati semenjak 43 tahun lalu banyak terdedah kepada fiil ambil mudah, satu-satunya pendirian yang mudah pula didalangi ketidakfahaman tentang beberapa asas kenegaraan. Dalam konteks inilah kontroversi yang sengaja ditimbulkan tentang hak-hak keistimewaan orang Melayu baru-baru ini perlu dijelaskan sekali gus buat selama-lamanya supaya perjuangan kenegaraan boleh diteruskan atas landasan yang teguh yang telah tersedia dan diterima selama ini. Memang diakui, sebelum ini telah dipetuakan supaya isu hak keistimewaan ini jangan lagi dibangkitkan. Tetapi ulasan ini bukan membangkit perkara yang dicegah undang-undang. Ianya adalah bangkitan perkara implimentasi yang dibenarkan undang-undang di bawah Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Malaysia yang lebih dikenal dengan nama Perlembagaan Persekutuan berasal daripada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Perlembagaan 1957 itu pula berasal daripada dokumen yang dikenal dengan nama Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Sebelum termaktubnya Perlembagaan Tanah Melayu 1957 sebuah badan bernama Suruhanjaya Reid telah dibentuk bagi mengkaji dan mengesyorkan asas-asas perlembagaan yang hendak ditubuhkan. Persetujuan asas-asas ini melibatkan pelbagai pihak, termasuk kerajaan British, Raja-Raja Melayu dan UMNO yang kemudiannya membawa masuk parti-parti bukan Melayu seperti MCA dan MIC bagi mewakili masyarakat masing-masing dalam polemik membentuk hak-hak kepentingan bersama di dalam negara Semenanjung Tanah Melayu yang merdeka. Jelas disejarahkan bahawa asas permulaan yang dihuraikan di atas adalah terbitan daripada persetujuan asal antara pelbagai pihak yang mewakili kaum-kaum di negara ini. Pengiktirafan sebelum negara merdeka khususnya, seperti yang diterjemahkan melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, adalah perjanjian dan ikat janji yang setia. Ikat janji setia itu berterusan setelah merdeka hinggalah ke hari ini.

Kesemua dokumen perlembagaan pra-Merdeka dan pasca-Merdeka tersebut di atas mengandungi apa yang dipanggil peruntukan-peruntukan asas. Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu (peruntukan terasas) adalah di antara pruntukan-peruntukan yang diiktiraf terasas dalam erti kata ia tidak boleh dipinda dengan kaedah dan prosedur biasa.

Misalnya hak-hak asasi di bawah Bahagian II Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda dengan hanya berkehendakkan sokongan dua pertiga (2/3) daripada anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Tetapi peruntukan-peruntukan terasas yang disebut itu tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Pindaan yang bersyarat sukar ini menunjukkan bahawa Per. 153 misalnya, tidak dibenarkan untuk dipinda secara mudah.

Sifat dan kedudukan Perkara 153 yang terasas itu bukan sahaja kerana sukar dipinda tetapi juga dicegah oleh undang-undang negara (misalnya Akta Hasutan 1948) daripada dipersoalkan dengan tujuan hendak merendah atau mengetepikan hak-hak itu. Perbuatan sedemikian boleh dianggap sebagai kesalahan di bawah Akta Hasutan, satu-satunya undang-undang yang telah dikekalkan semenjak tahun 1948 dan dibenarkan di bawah kuat kuasa Fasal 10(4) Perlembagaan Persekutuan. Fasal ini membenarkan Parlimen membuat undang-undang bagi menghalang perbuatan mempersoalkan, antara lain hak-hak keistimewaan orang Melayu.

Soal sama ada Peguam Negara hendak mendakwa atau tidak seseorang yang mempersoalkan hak-hak keistimewaan orang Melayu adalah soal lain yang perlu diselesaikan olehnya selaku pendakwa raya berasaskan bukti. Namun Perkara 153 dalam perhitungan ini tetap utuh dan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu. Tidak semua persoalan yang dibangkitkan dari hal hak-hak istimewa orang Melayu itu (Per.153) layak dianggap salah di sisi undang-undang jika persoalan yang ditimbulkan hanyalah bersandar kepada soal-soal penjalanan atau implimentasi peruntukan itu. Perkara 153 yang mengandungi 12 klausa atau pecahan besar perlu difahami dengan teliti bukan sahaja oleh orang Melayu sendiri tetapi juga oleh bukan Melayu. Ini adalah kerana peruntukan keramat ini juga memberi perlindungan kepada anggota masyarakat Malaysia bukan Melayu. Perkara 153 sebenarnya tidak menyebut hak istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak. Ia menyebut istilah kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak (special position of the Malays and the natives of Sabah and Sarawak). Kedudukan istimewa orang Melayu ini adalah di bawah tanggungjawab Yang diPertuan Agong yang juga pada masa yang sama menjaga di bawah klausa (1) Per. 153 kepentingan setimpal kaum-kaum lain (the legitimate interests of other communities).

Di bawah 12 ceraian utama Per.153 itu disenaraikan perkara-perkara pokok yang perlu dijaga atau dilaksanakan. Perkara-perkara pokok itu ialah kedudukan di dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan latihan, pameran, kemudahan-kemudahan khas, permit atau lesen bagi menjalankan apa-apa perniagaan. Baginda, dengan nasihat Kabinet bolehlah mengeluarkan arahan-arahan yang sesuai bagi merealisasikan perkara-perkara pokok itu seperti menentukan kuota pengajian di institusi pengajian tinggi, kolej, dan universiti. Juga ditegaskan di bawah Per.153 bahawa tiada hak yang harus diketepikan sebelum atau selepas arahan itu dibuat. Dalam aspek inilah dikatakan pihak-pihak lain tidak perlu bimbang terhadap pemakaian dan kuat kuasa Per. 153 kerana kedudukan bukan Melayu tetap terjamin.

Per.153 tidak kacau orang lain. Ia hanya berfungsi menjaga dan menangani keciciran yang dialami orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak yang rata-rata masih ketinggalan dalam pelbagai aspek dan jurusan. Tiada apa-apa alasan yang boleh diterima untuk mengkaji semula atau meminda peruntukan terasas ini jika tujuan itu hanya semata-mata hendak menghapuskan atau mengurangkan kedudukan yang sedia ada. Sebaliknya, jika Per. 153 hendak diperhebat atau diperbaiki implikasi dan pemakaiannya untuk orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak maka cadangan itu wajar diterima.

Sesungguhnya debat Per. 153 selesai sudah. Cuma erti merdeka kepada orang Melayu sebaik-baiknya ialah bahawa perlindungan yang diberi oleh Perlembagaan itu tidak harus sampai melemahkan mereka. Yang bukan Melayu pula perlu menerima hakikat bahawa Per 153 tidak merampas mana-mana hak mereka sama ada yang sedia ada mahupun yang akan wujud di masa akan datang.

Salah satu ciri inti kepada konsep merdeka ialah minda mesti bebas daripada prasangka yang bukan-bukan. Menyangka bahawa Per.153 akan melumatkan hak-hak lain adalah satu contoh prasangka yang berbahaya.

Semoga Merdeka kali ke-43 mencuci dan membersihkan diri kita daripada prasangka itu.

DATUK DR. RAIS YATIM, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4avPRSGqN © Utusan Melayu (M) Bhd

Orang politik renungi pendapat Ungku Aziz

ARKIB : 28/08/2000
Saudara Pengarang,
SAYA amat tertarik dengan ruangan temu ramah bersama Pak Ungku yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia, 19 Ogos, 2000.

Apa yang Pak Ungku utarakan itu adalah hasil dari kajian serta pandangan seorang ilmuwan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t dengan kecerdikan serta kepandaian yang tinggi dalam membuat kajian serta penelitian dari segenap aspek.

Kita sepatutnya berbangga kerana mempunyai seorang cendekiawan yang berpandangan jauh dan mampu menilai sesuatu perkara atau isu dengan menggunakan ilmunya.

Topik yang diperjelaskan dalam sesi temuramah tersebut adalah berkaitan dengan orang Melayu, di mana seperti yang diperbincangkan beliau mahu melihat masyarakat Melayu maju ke depan bersama-sama bangsa lain.

Jadi, ahli politik di negara ini perlu melihat dan berfikir sejenak akan apa yang diulas oleh Pak Ungku, agar kita sama-sama dapat mengambil pengajaran dan membetulkan keadaan yang semakin pincang.

Pak Ungku tidak sedikit pun menceritakan perihal emosinya, sekadar berkongsi dengan pembaca akan keprihatinannya terhadap masyarakat Melayu kini yang mana segolongan minoriti mengecap nikmat yang tak terhingga dan majoriti yang lainnya masih daif dan perlu disokong.

Seperti yang dijelaskan oleh Pak Ungku, kita tidak perlu membuat DEB yang baru, dengan menggunakan DEB yang lama pun kita mampu bergerak maju ke depan sekiranya ia dilaksanakan sebaik mungkin oleh kerajaan dan pemimpin rakyat.

Sekiranya yang lama tak terlaksana, apatah lagi yang baru. Mungkin hanya untuk mengabui mata rakyat sahaja.

Jadi, sama-samalah kita berusaha untuk menaikkan martabat bangsa kita di mata dunia. - KU AMIR KU YAHAYA, Kulim, Kedah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm#ixzz4avAxATAb © Utusan Melayu (M) Bhd

Sekolah Wawasan...tidak semestinya tiga komponen aliran

ARKIB : 24/08/2000
Misalnya, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dengan Sekolah Kebangsaan, atau padanan berdua yang lain.

Kata Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd. Khir, tidak akan berlaku 'paksaan' supaya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil berpindah bangunan ke Sekolah Kebangsaan atau sebaliknya.

"Misalnya kalau sekolah Tamil dan Cina terletak berdekatan, maka dua sekolah itu akan membetuk sebuah Sekolah Wawasan,'' katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Perpustakaan Di Malaysia, semalam.

Seminar dua hari itu membincangkan anjakan paradigma yang berlaku dalam bidang keperpustakaan, khususnya proses transformasi daripada yang konvensional kepada konsep elektronik.

Kata Mahadzir, tidak timbul soal untuk membina bangunan baru, atau memindahkan mana-mana aliran di satu-satu kawasan ke kawasan lain untuk melengkapkan ketiga-tiga komponen aliran.

"Tambahan pula kalau ada bantahan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada mana-mana aliran, maka kita akan mendengar dahulu bantahan itu,'' katanya.

Kata Mahadzir, motif pewujudan Sekolah Wawasan tidak lain dan tidak bukan ialah untuk membolehkan perkongsian sumber seperti padang dan kantin supaya boleh berlaku integrasi kaum.

"Tidak perlulah ada mana-mana kaum yang berasa bimbang atau terhakis identiti mereka kalau konsep Sekolah Wawasan itu dilaksanakan kelak ...itupun kalau jadi,'' ujarnya.

Malah, dalam setiap tindak tanduk yang dilakukan oleh kerajaan, maka ia tidak dapat lari daripada landasan yang telah diwartakan dalam perlembagaan Negara yang telah dipersetujui bersama semua kaum, kata Mahadzir.
sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4av1ZN24O© Utusan Melayu (M) Bhd