Sabtu, 12 November 2016

PEMASYHURAN BANDAR MUADZAM SHAH

Pembangunan Wilayah merupakan usaha-usaha Kerajaan bagi mempercepatkan pembangunan di negara ini. Di antara Organisasi Pembangunan Wilayah yang ada seperti KEJORA, KESEDAR, DARA, KETENGAH dan lain-lain lagi. Pembangunan Wilayah ini tidak sahaja berpaksi kepada perkembangan dari segi sektor ekonomi semata-mata tetapi juga kemudahan asas dan perbandaran. Bagi DARA bandar utama di kawasan ini dikenali dengan Muadzam Shah. Pada hari ini 12 November 1977, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah telah memasyhurkan bandar Muadzam Shah. Dengan ini wujudlah secara rasmi sebuah bandar di pembangunan Wilayah DARA. Bandar Muadzam Shah akan menjadi pusat bandar yang akan memberi perkhidmatan kepada daerah-daerah pendalaman. Sebelum ini bandar ini dikenali dengan nama Bukit Redan. Bandar ini telah dirancang supaya kelihatan menarik dan dinamik dengan menggabungkan konsep tradisi desa dan kemudahan asas moden seperti kedai, gerai di sepanjang jalan, dewan masyarakat, surau, sekolah, tadika dan padang permainan. Kewujudan bandar Muadzam Shah ini, merupakan satu usaha Kerajaan mewujudkan masyarakat bumiputera di kawasan bandar, serentak dengan itu membuka peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

sumber-http://www2.arkib.gov.my/

Jumaat, 11 November 2016

Abdullah Timbalan PM -- Dr. Mahathir lepaskan jawatan Menteri Dalam Negeri


 

ARKIB : 09/01/1999
Abdullah Timbalan PM -- Dr. Mahathir lepaskan jawatan Menteri Dalam Negeri
ABDULLAH Ahmad Badawi berjabat tangan dengan Dr. Mahathir Mohamad sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Kuala Lumpur semalam. - Gambar ZULAZHAR SHEBLEE.

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Menteri Luar, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dalam satu rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di sini lewat petang ini.

Serentak dengan itu, Dr. Mahathir turut melantik Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin sebagai Menteri Kewangan Pertama. Daim turut mengekalkan portfolio yang disandangnya sekarang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Syed Hamid Albar beralih ke Kementerian Luar dan tempatnya diganti oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abang Abu Bakar Mustapha.

Ini merupakan rombakan kabinet pertama dan terbesar selepas pelucutan jawatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah menafikan salah laku seks.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak kekal di portfolio sedia ada.

Dr. Mahathir mengumumkan pelantikan tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu pejabat parti itu, kira-kira 5 minit sebelum masuk waktu berbuka puasa.

Dengan pengumuman itu bermakna Dr. Mahathir kini hanya memegang jawatan Perdana Menteri sahaja, setelah melepaskan portfolio Menteri Dalam Negeri dan juga Menteri Kewangan Pertama. Bagaimanapun jawatan Menteri Kewangan Kedua kekal dipegang oleh Datuk Mustapa Mohamed.

Dr. Mahathir berkata, pelantikan-pelantikan itu akan berkuat kuasa apabila beliau melaporkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Presiden UMNO itu turut mengumumkan bahawa parti itu tidak mengadakan pemilihan pucuk pimpinan tahun ini yang dijangka diadakan pada Jun.

Beliau juga berkata, jawatan Timbalan Presiden UMNO juga tidak akan diisi sehinggalah pemilihan parti diadakan iaitu dalam tempoh 18 bulan selepas mesyuarat agung parti Jun ini.

Dr. Mahathir berkata, oleh kerana tiada pelantikan Timbalan Presiden dalam masa terdekat, maka ahli-ahli MT sebulat suara berpendapat supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri diisi sekarang.

Sementara itu Abdullah ketika mengulas mengenai pelantikannya itu berkata:

''Saya rasa terharu dan terkejut dengan pelantikan ini kerana rakan-rakan lain yang dipertimbangkan oleh Perdana Menteri juga berkemampuan dan berwibawa.''

Beliau terharu dengan pelantikan itu berjanji akan menjalankan tugas dengan baik dan penuh dedikasi.

Pada masa yang sama, katanya, beliau juga mengharapkan kerjasama daripada rakan-rakan dalam kebinet bagi memenuhi tanggungjawab yang diberikan itu.

Oleh: OTHMAN MOHAMAD dan AZNAN BAKAR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4Phq6N6Yi © Utusan Melayu (M) Bhd

Pemilihan Abdullah dianggap tepat

ARKIB : 09/01/1999
KUALA LUMPUR 8 Jan. - Pelantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dilihat oleh pelbagai pemimpin sebagai pemilihan yang tepat dan mampu mengelakkan sebarang kontroversi.

Abdullah yang mesra dengan panggilan ''Pak Lah'' termasuk di kalangan pengamal media sebelum ini adalah antara calon paling disebut-sebut mengisi jawatan itu yang kosong sejak 2 September lalu akibat pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik yang mengalu-alukan pelantikan itu berkata, rakyat perlu memberi masa kepada Abdullah untuk membuktikan kebolehannya memimpin negara melalui jawatan baru itu.

''Pelantikan ini mempunyai banyak kebaikan untuk BN dalam usaha memajukan lagi negara ini.

''Kita yakin selepas ini soal jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak akan dipertikaikan dan ini akan memudahkan kita untuk menumpukan usaha untuk memenangi pilihan raya akan datang,'' katanya kepada Utusan ketika dihubungi di sini hari ini.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik berkata MCA menyokong penuh pelantikan Abdullah dan menyifatkan pelantikan itu sebagai amat wajar untuk mengukuhkan kedudukan negara dan Barisan Nasional pada masa depan.

''MCA amat gembira sekali dengan pelantikan itu untuk menjamin Malaysia terus mantap terutama dalam bidang ekonomi.

''Pelantikan itu kerana Dr Mahathir menganggap Datuk Abdullah adalah paling sesuai berikutan ketokohan yang ada padanya itu,'' ,'' katanya kepada pemberita pada majlis angkat sumpah 100 orang anggota Wanita MCA Negeri Kedah di Sungai Petani malam ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, rakyat negeri itu merasa bangga atas pemilihan Abdullah dan berharap akan mendapat sokongan penuh dari seluruh negara.

Menurutnya, sesuai dengan pengalaman yang ada pada beliau sejak berkecimpung dalam politik dan UMNO sekian lama, beliau yakin Abdullah mampu menjalankan tugas dengan lebih cemerlang.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Sharif Omar berkata, Abdullah memang layak memegang jawatan tersebut kerana beliau seorang yang berhemah tinggi.

''Pemilihan ini akan dapat menstabilkan keadaan politik negara dan seterusnya membolehkan tumpuan diberikan kepada pemulihan ekonomi,'' katanya ketika dihubungi Utusan malam ini.

Di SEREMBAN, Menteri Besar Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, pelantikan Abdullah adalah kena tempatnya kerana beliau adalah seorang pemimpin yang lama dalam UMNO dan seorang teknokrat yang berpengalaman.

''Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan memberi sokongan penuh terhadap beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri,'' tegasnya.

Beliau juga menyifatkan pelantikan Tun Daim Zainuddin sebagai Menteri Kewangan amat tepat kerana beliau adalah seorang menteri yang berpengalaman.

Katanya, Daim telah membuktikan kebolehannya semasa negara ini mengalami kemelesetan ekonomi sebelum ini dan sehingga sekarang beliau telah memainkan peranan penting dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara.

Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Benard Dompok berkata, kerajaan negeri menyifatkan pelantikan Abdullah sebagai paling sesuai dan kena pada masanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, kerajaan negeri memberi sokongan penuh di atas pelantikan itu dan akan bersama-sama memberikan kerjasama dalam semua bidang.

Katanya, Abdullah boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat di negara ini.

''Selain mempunyai hubungan yang rapat dengan pemimpin kerajaan, Abdullah juga mampu berhadapan dengan mana-mana pemimpin pembangkang.

''Pada masa yang sama, beliau mempunyai pengalaman yang luas di peringkat antarabangsa yang boleh digunakan dalam memastikan perjalanan pentadbiran yang cekap dan licin,'' katanya.

Beliau menambah, pelantikan semula Daim juga akan memberi keuntungan kepada negara berdasarkan pengalaman luas bekas Menteri Kewangan itu dalam hal ehwal ekonomi.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Yusof Noor berkata, pemilihan itu adalah tepat kerana ia telah direstui oleh bakal-bakal calon.

Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata, UMNO menyokong penuh keputusan Dr. Mahathir berhubung dengan pelantikan itu.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan ada pihak yang akan kecewa kerana dalam setiap keputusan yang dibuat perkara seperti itu akan berlaku.

''Keputusan telah dibuat dan kita telah beri pilihan kepada Perdana Menteri untuk buat keputusan dan sekarang adalah masa untuk semua pihak menyokong keputusan itu,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4Pho3sL00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Abdul Aziz penerima pertama Anugerah Za'ba

ARKIB : 18/12/1998
Pemilihan beliau berdasarkan sumbangan besarnya dalam menggerakkan kegiatan penerbitan buku-buku ilmiah sejak era prakemerdekaan, bermula dengan penubuhan Pustaka Antara yang masih wujud sehingga kini.

Pustaka Antara adalah syarikat penerbitan pertama milik orang Melayu dan kebangsaan ketika menjadi satu-satunya bangunan syarikat Melayu beroperasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur selepas merdeka.

Dilahirkan di Sabak Bernam pada 23 April 1921, Abdul Aziz adalah tokoh seangkatan dengan beberapa nama besar dalam bidang kesusasteraan seperti Za'ba sendiri, Pak Sako, Ibrahim Yaakop dan Abdul Rahim Kajai.

Dengan pemilihan itu, beliau menerima hadiah wang tunai RM5,000 selain persalinan baju, buku, plak dan tiket penerbangan ke Pesta Buku Antarabangsa di Frankfurt serta sijil penghargaan.

Hadiah tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib di kampus induk UPSI di Tanjung Malim petang semalam.

Pemilihan dibuat menerusi jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Abu Bakar Nordin dan dianggotai wakil-wakil kerajaan negeri Perak, Persatuan Penerbitan Bumiputera (Ikatan) dan Malaysia Encyclopedia Research Centre Berhad (MERC).

Latar belakang pembabitan Abdul Aziz di bidang ini bermula dengan beliau melancarkan akhbar mingguan Pedoman sebelum menerbitkan buku-buku ilmiah untuk kegunaan sekolah-sekolah Melayu ketika pra dan pasca merdeka.

Beliau juga menerbitkan buku karya sasterawan Indonesia antaranya, Keluarga Gerilya, Salah Asuhan, Tenggelamnya Kapal Van Der Vick, Layar Terkembang dan Siti Nurbaya.

Kebanyakan buku karya penulis besar Arenawati dan Usman Awang diterbitkan oleh Pustaka Antara di samping sebuah buku karya Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman iaitu Looking Back.

Sebuah buku terbitan syarikat tersebut yang masih popular dan diguna pakai di sekolah-sekolah ialah Ikhtisar Sejarah Kesusasteraan Melayu 1 & 2 karya Lim Chuan Siu.

Abdul Aziz juga terlibat secara langsung menyemarakkan semangat orang-orang Melayu menentang Malayan Union menerusi penerbitan akhbar Majlis.

Anugerah Za'ba dilancarkan sebagai pengiktirafan dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor penerbitan di kalangan bumiputera di negara ini dan setanding dengan Anugerah Sasterawan Negara.

Ia serentak dengan kempen mengumpul dana untuk mewujudkan 'Kursi Za'ba' di UPSI bertujuan menghasilkan buku akademik dalam bidang bahasa, pengajaran bahasa dan kesusasteraan.
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM
Sumber- ARKIB  UM: 18/12/1998


Jen. Zahidi Penglima ATM yang baru

ARKIB : 17/12/1998
KUALA LUMPUR 16 Dis. - Jeneral Datuk Seri Mohd. Zahidi Zainuddin akan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baru menggantikan Jeneral Tan Sri Ismail Omar, yang akan bersara pada 31 Disember ini.

Pelantikan Mohd. Zahidi, 50, yang sekarang ini adalah Panglima Tentera Darat, merupakan Panglima Angkatan Tentera yang ke 14 dalam sejarah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika menggumumkan demikian berkata, jawatan Panglima Tentera Darat pula, akan diisi oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Hashim Hussein.

Berikutan pelantikan itu, Mohd. Hashim, 51, akan dinaikkan ke pangkat Jeneral pada 1 Januari ini.

''Kedua-dua pelantikan itu berkuatkuasa pada 1 Januari 1999 ini,'' katanya pada sidang akhbar di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Menurut Syed Hamid, kedua-dua pelantikan itu telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, setelah mendapat kelulusan Majlis Angkatan Tentera Malaysia.

Bagaimanapun katanya, penyandang jawatan Timbalan Panglima Tentera Darat yang akan dikosongkan oleh Mohd. Hashim serta kenaikan pangkat pegawai-pegawai kanan ATM yang lain akan diumumkan kemudian.

''Jawatan-jawatan lain akan diisi tahun depan. Kita telah mempunyai senarai nama dan terpulanglah kepada Majlis untuk membuat keputusan,'' kata Syed Hamid.

Mohd. Zahidi yang berpengalaman luas sebagai Pegawai Memerintah, Pegawai Staf dan Latihan, telah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 1 Januari tahun ini dan jawatan Timbalan Panglima Tentera Darat sejak 1 Jun 1997.

Beliau yang dilahirkan pada 30 April 1948 di Kuala Kangsar, Perak dan mendapat pendidikan awal di Ipoh sebelum memasuki Maktab Tentera Diraja (MTD) di sini pada tahun 1964, pernah dilantik sebagai Ketua Pasukan Pemerhati Gencatan Senjata Iran-Iraq PBB (UNIMOG) pada Ogos 1988.

Ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 13 April 1968 dan beliau pernah mengikuti kursus-kursus berkaitan pertahanan dan ketenteraan di Australia, Amerika, Filiphina dan Pakistan.

Sementara Mohd. Hashim yang dilahirkan di Johor Bahru pada bulan Jun 1947, merupakan pegawai kanan ATM yang pertama memimpin kumpulan sulung Batalion Malaysia (Malbat 1-UNPROFOR) untuk berkhidmat di Bosnia Herzegovina di bawah Panji-panji Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November 1993.

Ketika masih berkhidmat di Bosnia, beliau telah dinaikkan ke pangkat Brigedier Jeneral dan telah diberi kepercayaan sebagai pegawai kanan yang pertama memimpin Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) ATM di bawah Briged ke-10 (Para) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 10 Oktober 1994 di Langkawi.

Mohd. Hashim yang ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Batalion ke-9 RAMD pada 1966, pernah terlibat secara langsung dalam tugas-tugas operasi membanteras kegiatan pengganas komunis ketika itu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm#ixzz4PgjpQSH7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 10 November 2016

Malaysia kuasai badminton dunia

 
IMPIAN V Shem (kanan) dan Wee Kiong untuk bergelar beregu No. 1 dunia tercapai setelah kedudukan ranking dikemas kini oleh BWF semalam.

MALAYSIA kini menguasai gelanggang badminton apabila beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong mengikut jejak langkah Datuk Lee Chong Wei untuk bergelar jaguh No. 1 dunia.

Kedudukan ranking terbaharu itu dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam yang menunjukkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mengumpul 71,297 mata.

Gandingan Chai Biao dan Hong Wei dari China menduduki tempat kedua dengan 70,220 mata manakala beregu Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen di tempat ketiga (67,534).

“Saya gembira dengan gelaran itu (No. 1 dunia) dan berharap kami dapat kekalkan status tersebut. Kini saya mahu fokus kepada kejohanan dan bermain seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

V Shem dan Wee Kiong yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Denmark bulan lepas, merampas status No. 1 dunia daripada beregu Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong.

Menurut laman web http://www.bwfbadminton.org, Chong Wei masih kekal di kedudukan pertama dunia dengan 93,503 mata, manakala beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying di tangga keempat (67,060)

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4PgAj6Gck Hakcipta terpelihara

Pakar sifatkan kejadian pokok kuini ganjil

ARKIB : 11/12/1998
KUALA LUMPUR 10 Dis. - Pakar-pakar holtikultur menyifatkan kejadian pokok kuini mengeluarkan buah belimbing sebagai ganjil dan amat mustahil, tetapi salah seorang daripada mereka mengandaikan kemungkinan ia berpunca daripada kedudukan kedua-dua pokok berkenaan yang terletak berdekatan.

Profesor Madya Dr. Wong Kai Choo dari Universiti Putra Malaysia berkata, berdasarkan pada pemerhatiannya, adalah mustahil fenomena tersebut terjadi kerana kuini adalah dari baka mangifera manakala belimbing pula averrhoa.

''Saya berpendapat perkara ini terjadi mungkin disebabkan oleh dahan dari pokok belimbing itu berdekatan dengan pokok kuini.

''Jarak yang berdekatan ini mungkin menyebabkan pokok kuini itu mampu mengeluarkan buah belimbing walaupun pokok itu terdiri daripada baka yang berlainan,'' katanya ketika dihubungi di pejabatnya di Serdang hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian aneh di Batu Pahat, Johor apabila seorang suri rumah mendapati pokok kuini miliknya turut menghasilkan buah belimbing.

Suri rumah tersebut, Mariati Hussin, 64, mengesan kelainan itu ketika memeriksa pokok tersebut seminggu lalu dan mendapati buah-buah itu tumbuh secara berpasang-pasangan pada dahan yang sama.

Dalam jarak kira-kira enam meter dari pokok kuini itu, terdapat pokok belimbing yang juga sebesar pokok kuini itu.

Menurutnya, itu adalah pertama kali pokok kuini turut mengeluarkan buah belimbing.

Tambah Wong, walaupun jarak yang berdekatan memungkinkan perkara itu terjadi, namun peratus kejayaannya amat rendah dan jarang berlaku.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan Holtikultur di Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Izham Ahmad berkata, walaupun kedua-dua buah berkenaan menjalani proses kacukan, namun ia tidak mungkin akan berjaya kerana spesies kedua-dua buah itu amat berlainan.

Bagaimanapun beliau menolak andaian bahawa perkara itu terjadi walaupun dahan pokok belimbing itu berdekatan dengan pokok kuini.

Sehubungan itu, tambah Izham, MARDI tidak akan pergi ke rumah suri rumah terbabit kerana perkara itu jika diteliti dari sudut saintifik, ia tidak boleh berlaku sama sekali.

''Penyelidikan yang dibuat ke atas sesuatu perkara yang mustahil dari sudut saintifik lazimnya hanya akan melalui jalan buntu,'' ujarnya yang mengakhiri perbualan dengan berkata ''kalaupun perkara ini terjadi, ia hanya dengan kuasa Tuhan semata-mata.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4PcEPD9s3 © Utusan Melayu (M) Bhd