Sabtu, 5 November 2016

Usman Awang: 50 tahun di dunia sastera

ARKIB : 29/10/1998
KALAU tanpa pementasan teater puisi Dari Bintang Ke Bintang pada November ini, tentunya tidak ada satu acara pun yang diadakan bagi merayakan ulang tahun ke-50 Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang dalam kesusasteraan Malaysia.

Kalau mengambil kira Korban Tanah Air sebagai puisi pertamanya, pada 7 November ini genap 50 tahun Usman Awang menggunakan sastera sebagai wadah perjuangan nasionalisme dan kritikan sosial.

Korban Tanah Air ada signifikannya dalam kesusasteraan tempatan. Malah berhubung rapat dengan gerakan nasionalisme yang turut melibatkan golongan penulis.

Tentunya 50 tahun satu jangka masa yang cukup panjang bagi seorang karyawan untuk memperlihatkan konsistensi dalam karya-karya mereka. Dalam ruang waktu itu tentu sahaja menuntut beliau merentasi pelbagai pertembungan ideologi, milieu sosial dan perubahan politik.

Barangkali kerana Usman Awang bukan daripada kalangan orang politik, maka ideologi dan prinsip perjuangannya tetap sama. Karya Usman Awang terus tajam seperti tajamnya sepit ketam dalam puisi Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul?

Tetapi setakat ini belum ada acara sastera yang membincangkan secara serius puisi-puisi Usman Awang sempena ulang tahun ke-50 ini.

Usman Awang bukan sahaja Angkatan ASAS 50 memperjuangkan kemerdekaan malah terus memainkan peranan menjadi pemerhati terhadap kemelut politik dan sosial yang memberikan kesan kepada masyarakat bawahan pada dekad-dekad selepas 50-an.

Mujur Fauziah Nawi mengambil inisiatif mementaskan puisi-puisi Usman Awang. Inilah acara bagi seorang Sasterawan Negara yang perjuangannya merentasi sempadan geografi, politik dan bangsa.

Pementasan ini setidak-tidaknya memperlihatkan ada kalangan generasi baru yang masih melihat sumbangan sasterawan yang pernah merentasi beberapa zaman yang penuh traumatis. Tetapi itu sahaja belum cukup untuk melihat kembali pemikiran dan sumbangan Usman Awang dalam waktu yang cukup panjang itu.

Sewajarnya ada usaha untuk membawa masyarakat menelaah puisi seperti Keranda 152 yang melontarkan kritikan berani terhadap isu bahasa Melayu dalam konteks hari ini.

Tulisan Usman dalam Keranda 152, ''Anak Melayu/panas dadamu membakar baju/kita arak keranda 152/ke tanah perkuburannya di Parlimen.'' Usman menyentuh pelbagai tema; politik, sosial, keluarga, kemanusiaan dan antarabangsa. Beliau memanifestasikan kemanusiaan dalam Surat Masyarakat Gagak kepada Datuk Bandar ekoran kempen menembak gagak pada tahun 1972 dulu.

Atau secara sinis menyingkap jurang dalam masyarakat dalam Penjual Pisang Di Kaki Lima, putar belit orang politik dalam Pak Utih atau kasih sayang yang tidak bersempadan dalam Ke Makam Bonda.

Naskhah teater Matinya Seorang Pahlawan pula dianggap keberanian Usman Awang mengangkat Jebat sebagai simbol wira. Inilah karya yang digunakan oleh Usman Awang untuk mengubah pemikiran masyarakat kepada suatu yang luar daripada kebiasaan.

Tetapi malangnya ulang tahun ke-50 ini semacam tidak dipedulikan oleh organisasi tertentu. Apakah ini memperlihatkan sasterawan dekad 90-an menjengah alaf baru dengan meninggalkan landasan yang dibina oleh mereka yang seangkatan dengan Usman Awang?

Apa pula peranan yang dimainkan oleh media elektronik tempatan untuk memanfaatkan sastera untuk membangunkan pemikiran masyarakat? Setakat ini belum ada rancangan yang khusus melihat karya Usman Awang secara retrospektif di TV atau radio.

Apakah ini kerana Usman Awang bukan P. Ramlee yang diberi ruang yang cukup luas untuk kembali ke tengah masyarakat. Atau bukan Ziana Zain yang majlis perkahwinannya seolah-olah menjadi isu nasional hingga berbulan-bulan lamanya.

Usman Awang tentunya tidak mahu dijulang-julang seperti orang politik untuk sentiasa berada di mata masyarakat. Tetapi ini tidak bererti beliau harus dilupakan atau karya-karyanya tidak perlu ditelaah untuk melihat relevan dengan kemelut politik, sosial dan kemanusiaan semasa.

Dua dekad lalu, dalam puisi Mereka Telah Bangkit, Usman menulis tentang satu kebangkitan. Memang puisi-puisi Usman sering membangkitkan kesedaran dan keyakinan. ''Mereka telah bangkit/dari buku yang dibacanya/dari tembok yang melindunginya/dengan bendera dan lilit kepala'' (Mereka Telah Bangkit 1967)

Puisi Usman Awang perlu terus dibaca kerana ia relevan dengan semua zaman dalam semua situasi.

E-mel: kuseman@pc.jaring.my

Oleh: KU SEMAN KU HUSSIEN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4P8LqVrFi © Utusan Melayu (M) Bhd

Kementerian Multimedia berkuat kuasa 1 Nov.

ARKIB : 31/10/1998
KUALA LUMPUR 30 Okt. - Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos akan dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia berkuatkuasa 1 November ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, Datuk Leo Moggie dilantik sebagai Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Menurut Dr. Mahathir, kementerian baru itu juga akan dipertanggungjawabkan berhubung aspek-aspek dasar dan pengawalseliaan penyiaran yang sebelum ini di bawah Kementerian Penerangan.

Tambah beliau, kuasa meluluskan lesen penyiaran juga tidak lagi tertakluk di bawah Kementerian Penerangan sebaliknya akan diletakkan di bawah kementerian baru itu.

''Kementerian Penerangan bagaimanapun masih bertanggungjawab terhadap pembangunan dasar dan pelaksanaan berkaitan penyebaran penerangan kerajaan dan operasi Radio dan Televisyen Malaysia (RTM),'' ujarnya pada sidang akhbar di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Dr. Mahathir berkata, menteri di kementerian baru itu akan mewujudkan satu struktur organisasi baru untuk mengurus fungsi komunikasi dan multimedia dengan mengadakan tafsiran menyeluruh, objektif dan strategi jangka panjang bagi pembangunan industri tersebut.

Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan satu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berkuatkuasa pada tarikh yang sama.

Sehubungan itu katanya, kerajaan telah bersetuju untuk memperuntukkan geran pelancaran sebanyak RM122 juta kepada suruhanjaya berkenaan.

Dr. Mahathir juga berkata, sebahagian daripada fungsi Jabatan Telekomunikasi Malaysia akan diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia termasuk aspek telekomunikasi, penyiaran dan perkomputeran.

Tambahnya, fungsi pengawalseliaan Jabatan Pos yang sedia ada akan disatukan ke dalam fungsi Suruhanjaya bersama-sama Akta Tandatangan Digital 1997.

Penubuhan Kementerian baru itu dibuat selepas Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 diluluskan oleh Parlimen Julai lalu.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan Dr. Syed Hussein Mohamed sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pertama.

Dr. Syed Hussein merupakan seorang yang berpengalaman dalam bidang komunikasi antarabangsa dan pernah menjawat pelbagai jawatan penting berkaitan komunikasi dan multimedia.

Pendidikan tertinggi Dr. Syed Hussein ialah, Ijazah Kedoktoran Falsafah (Ph. D) dalam Kualiti Kejuruteraan dari Universiti Birmingham (1973), Ijazah Sarjana Sains dalam Industri, Matematik dan Statistik dari Universiti Aston (1971) dan Ijazah Sarjana Muda kepujian dalam Kejuruteraan dari Universiti London. (1963).

Antara jawatan yang pernah disandang ialah Pengerusi Persekutuan Elektrik Asia, Ahli Majlis Institut Kejuruteraan Malaysia, Naib Presiden Telekomunikasi Komanwel, Ahli Majlis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Jawatankuasa Pemilih Audit.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_03.htm#ixzz4P8qkeFWf © Utusan Melayu (M) Bhd

Cipta sejarah


 

ARKIB : 31/10/1998
JOHN Glenn melambai-lambaikan tangannya sebaik sahaja meninggalkan kuarters krew menuju ke kawasan pelancaran di Pusat Angkasa Lepas Kennedy kelmarin. - Gambar Reuters.

Warga Amerika Syarikat, John Glenn, 77, mencipta sejarah sekali lagi dengan muncul sebagai angkasawan tertua menjelajah orbit.

Tiga puluh enam tahun lalu, beliau muncul sebagai rakyat Amerika Syarikat yang pertama tiba di orbit.

Glenn, seorang bekas senator dari Ohio adalah di antara enam angkasawan yang berlepas dengan kapal angkasa Discovery dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy di Cape Canaveral, Florida awal pagi semalam waktu Malaysia.

Pelancaran kapal angkasa itu menandakan penerbangan kali kedua Glenn ke angkasa lepas yang sebelum ini pernah meneroka angkasa di bawah Projek Mercury pada 20 Februari 1962.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4P8nbid7K © Utusan Melayu (M) Bhd

Allahyarham Fuad Stephens Tokoh Wartawan Negara

ARKIB : 27/10/1998
KUALA LUMPUR 26 Okt. - Tokoh yang memainkan peranan utama dalam kejayaan pembentukan persekutuan Malaysia, Allahyarham Tun Mohammed Fuad Stephens, hari ini dianugerahkan Tokoh Wartawan Negara oleh Institut Akhbar Malaysia (IAM).

Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan anugerah terulung kewartawanan Malaysia itu kepada balu Allahyarham, Toh Puan Rahimah Stephens, pada perasmian Persidangan Kesatuan Akhbar Komanwel, di sini.

Ini adalah kali keempat sejak 10 tahun lepas, anugerah terulung kewartawanan Malaysia diberikan. Penerima sebelum ini ialah tokoh wartawan veteran Tan Sri A.Samad Ismail (1988), Tan Sri Lee Siew Yee (1991) dan Allahyarham Datuk Ishak Haji Mohammad (1995).

Allahyarham Mohammed Fuad, yang dilahirkan pada 14 September 1920, pernah menjadi Ketua Menteri Sabah.

Penglibatannya dalam dunia kewartawanan bermula apabila beliau menyumbang penulisan kepada satu-satunya akhbar di negeri kelahirannya - North Borneo News - dengan menggunakan nama pena Vox Populi.

Selepas sepucuk surat yang dikenali sebagai Blood is Thicker than Water, (Darah Lebih Pekat Daripada Air), yang mana beliau mengkritik penjajah kerana diskriminasi terhadap kakitangan awam tempatan, Allahyarham dipelawa menulis artikel untuk akhbar itu.

Setelah meraih banyak pengalaman semasa bersama North Borneo News, Allahyarham Mohammed Fuad kemudian membuka syarikat akhbarnya sendiri, Sabah Times, dengan modal awal hanya sebanyak RM1,000.

Edisi pertama akhbar harian itu di Borneo Utara dipasarkan pada Mac 1952 dengan beliau berperanan sebagai editor, wartawan, jurutaip, penyusun huruf dan penghantar akhbar.

Dua tahun kemudian, beliau membeli North Borneo News dan menggabungkannya dengan Sabah Times. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_07.htm#ixzz4P8DoCvmy © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 4 November 2016

Beregu remaja negara cipta nama

ARKIB : 12/10/1998
MELBOURNE - Beregu Malaysia Chan Chong Meng/Tao Seng Kok dengan mudah menumpaskan pasangan Jiang Shan/Cai Yun dari China untuk menjuarai Kejohanan Badminton Remaja Dunia dengan kemenangan 15-7, 15-3 pada perlawanan akhir berat sebelah di Pusat Sukan dan Akuatik di sini semalam.

Juara perseorangan remaja Malaysia Yeoh Kay Bin, yang juga pilihan ketiga, tersingkir apabila ditewaskan pemain bukan pilihan dari China Zhang Yang 10-15, 17-14 pada satu perlawanan amat menarik.

Chan Chong Meng dan Joanne Quay turut menaikkan nama negara apabila menjuarai acara beregu campuran setelah mengalahkan Choi Min Ho dan Lee Hyo Jung 15-6, 15-10.

Gandingan beregu Chong Meng dan Seng Kok mempamerkan permainan cemerlang dengan sering memaksa lawan melakukan kesilapan. Kedua-duanya bermain baik di jaring tanpa membenarkan pasangan China mengutip mata dengan mudah.

Meskipun agak gementar pada permulaan, Chong Meng dan Seng Kok segera bertukar rentak dan bermain dengan lebih yakin sebaik sahaja mendahului 3-2. Ketika mendahului 9-7 pasangan Malaysia terus menamatkan permainan dengan mengutip enam mata lagi tanpa servis bertukar tangan.

Chong Meng dan Seng Kok menguasai permainan dari permulaan set kedua sehingga mendahului 9-0 sebelum Jiang Shan dan Cai Yun berjaya menjadikan kedudukan 9-2. Beregu Malaysia memperoleh satu mata lagi sebelum membungkus permainan 15-3 dalam masa tiga puluh minit.

Naib presiden Persekutuan Badminton Antarabangsa, Datuk Punch Gunalan, yang menyampaikan pingat memberitahu bahawa Chong Meng dan Seng Kok merupakan pasangan terunggul di dunia dalam kategori remaja.

''Masanya tidak lama lagi bagi mereka mengetepikan pemain senior pula,'' katanya sebelum bergegas ke Sydney untuk menghadiri satu mesyuarat Majlis Olimpik.

Jurulatih Malaysia Zhou Ke-jian berkata beliau gembira dengan persembahan Chong Meng dan Seng Kok. ''Mereka bermain baik sekali. Saya sungguh gembira.''

Perseorangan wanita dimenangi pemain China Gong Ruina yang menewaskan rakan senegara Hu Ting 3-11, 13-10, 11-7, manakala beregu wanita juga dimenangi pasangan China Zhang Jiewen dan Xie Xinfang yang mengalahkan Gong Ruina dan Huang Sui 3-15, 15-3, 15-10. - Bernama




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4P6aslQQH © Utusan Melayu (M) Bhd

Perpustakaan maya kian popular

ARKIB : 12/10/1998
SEBELUM era Internet, kalau kita mahu mempelajari atau mengetahui sesuatu maklumat, maka tempat yang sesuai ialah bahagian rujukan di perpustakaan sekolah atau perpustakaan awam.

Bahagian rujukan itu menjadi perkara yang sangat penting dalam pencarian maklumat.

Kini, dengan kemunculan laman web yang diakui sebagai nadi maklumat, beberapa syarikat seperti Ask Jeeves (http://www.askjeeves.com), InfoPlease (http://www.infoplease.com), Answers.com (http://www.answers.com) dan Electric Library (http://elibrary.com) cuba membuat pendua sistem rujukan maklumat, sepertimana yang terdapat di perpustakaan.

Berdasarkan kepada perkembangan pesat sekarang, laman untuk tujuan rujukan itu dijangka bertambah dari semasa ke semasa.

Bagi tujuan itu, pengurusan Ask Jeeves dan Information Please sedang berunding dengan tapak pencari (search engine) utama yang telah diakui seperti Yahoo! (http://www.yahoo.com).

Yahoo! merupakan gerbang kepada maklumat yang popular kepada para pengguna Internet.

Seperti juga perkhidmatan rujukan perpustakaan yang dikendalikan secara manual, capaian perkhidmatan rujukan elektronik juga meliputi ensiklopedia, almanak, dan pangkalan data gergasi berhubung sesuatu perkara, meliputi geografi, dan budaya popular.

Kebanyakan robot rujukan menawarkan bantuan sepantas kilat: Cuma taip soalan. Jawapan serta-merta muncul dipaparan komputer, seolah-olah serentak dengan masa carian pada Internet.

Pada Answers.com, jika jawapan tidak diketahui serta-merta, anda boleh meminta supaya jawapan dihantar melalui e-mel kemudian.

Jawapan berbeza dalam julat masa minit hingga beberapa jam.

Kemungkinan ciri terbaik yang dimiliki oleh rujukan elektronik ini ialah keupayaan 'robot chip mikro' untuk memahami pertanyaan dalam bahasa Inggeris yang mudah.

Ini bermakna para pencari maklumat boleh menanyakan soalan yang mudah.

Kebanyakan perkhidmatan mencari maklumat di Internet adalah percuma.

Syarikat-syarikat menyokong perkhidmatan mereka melalui iklan dan perkongsian. Bagaimanapun ada syarikat pembekal maklumat yang mengenakan bayaran.

Misalnya Electric Library, yang dimiliki Infonautics beribu pejabat di Wayne, Pennsylvania mengenakan bayaran RM38 sebulan kepada akses pangkalan data buku-buku, gambar foto, peta, televisyen dan transkrip radio serta artikel daripada beratus-ratus akhbar, majalah dan penerbitan berkaitan perniagaan.


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm#ixzz4P6ZN66BL © Utusan Melayu (M) Bhd

Kerusi PBB: Dunia iktiraf peranan kita


 

ARKIB : 10/10/1998

ABDULLAH Ahmad Badawi semasa sidang akhbar di Wisma Putra, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Kejayaan Malaysia memenangi kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuktikan pengiktirafan dunia terhadap peranan yang dimainkan oleh negara ini di peringkat antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Malaysia akan memberi keutamaan ke atas isu-isu keselamatan yang meruncing seperti Palestin dan Kosovo.

Menurut beliau, Malaysia akan memainkan peranannya dalam Majlis Keselamatan dengan lebih aktif dan bebas demi melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat antarabangsa.

''Kita memahami fungsi lima kuasa besar yang mempunyai kuasa pembatal. Oleh itu, kita harus bertindak secara lebih berkesan supaya (kuasa) veto itu tidak akan digunakan dalam sesuatu keputusan,'' katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Selain Malaysia yang mendapat 174 undi daripada 176 anggota PBB, empat negara lain yang turut memenangi kerusi itu untuk sesi 1999-2000 ialah Argentina (171), Namibia (167), Kanada (131) dan Belanda (122).

Malaysia pernah dipilih menduduki kerusi itu pada tahun 1985 dan 1989.

Tugas lima anggota tidak tetap Majlis Keselamatan sekarang iaitu Bahrain, Brazil, Gabon, Gambia dan Slovenia tamat pada hujung tahun ini.

Majlis Keselamatan PBB dianggotai oleh lima anggota tetap iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Britain, China dan Perancis dan 10 anggota tidak tetap.

Abdullah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama sekali kepada kumpulan Asia yang telah memilih Malaysia daripada awal lagi untuk menjadi wakil tunggal benua itu bagi menduduki kerusi berkenaan.

Ditanya pendirian Malaysia mengenai tindakan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang mahu mengebom Yugoslavia berhubung krisis Kosovo, beliau berkata, Malaysia berpendirian bahawa apa-apa tindakan yang hendak diambil organisasi itu biar mendapat sokongan PBB.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4P5r94CE7 © Utusan Melayu (M) Bhd