Sabtu, 1 Oktober 2016

Sapok Biki pastikan 7 emas jadi kenyataan



 
ARKIB : 21/09/1998
Sapok Biki pastikan 7 emas jadi kenyataan
PENINJU negara, Sapok Biki (kiri) kegembiraan selepas pengadil mengangkat tangannya untuk mengumumkan sebagai pemenang pingat emas KL'98 kategori light flyweight kategori 48kg sebaik dia menewaskan peninju Kenya, Moses Kinyua di Stadium Melawati, Shah Alam, semalam.

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Peninju negara, Sapok Biki memastikan sasaran awal negara untuk memenangi tujuh pingat emas menjadi kenyataan hari ini selepas beliau memenangi pingat unggul itu di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor.

Pingat emas itu diperoleh selepas Sapok menewaskan peninju pilihan dari Kenya, Moses Kinyua pada acara akhir light flyweight 48kg dengan kiraan 19-13.

Emas yang diperoleh Sapok, adalah yang pertama dari sukan tinju sejak negara menyertai Sukan Komanwel sejak tahun 1930 di Hamilton, Kanada.

Sapok yang beraksi dengan tenang di hadapan penonton bertindak bijak, sesekali menyerang untuk menambah mata.

Sebaik beraksi di pusingan kelima, Sapok dengan yakin mengangkat tangannya walaupun perlawanan sebenar tinggal beberapa saat.

Detik kejayaan Sapok itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah serta Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sewaktu majlis penyampaian pingat oleh Dr. Mahathir, Sapok mengalirkan air mata dan ketika Jalur Gemilang dinaikkan dan lagu Negaraku diperdengarkan, Sapok terus hiba.

Lebih bermakna lagi apabila Dr. Mahathir memeluk 'wira' tinju itu sebagai tanda ucapan tahniah di atas kegigihan Sapok untuk membuktikan acara yang dipelopori peninju Kenya sejak 16 tahun itu kini dikuasai oleh Malaysia.

Kejayaan Sapok itu turut sama diraikan oleh kedua ibu bapanya, Biki Kinyau dan Limah Jamba yang memberi semangat pada anak mereka itu.

Turut sama mengiringi ibunya ialah bapa saudara serta emak saudara Sapok, Bawing a/l Jamba dan Jatok a/p Tenung.

Sehingga malam ini Malaysia sudah mengutip tujuh emas, sebelas perak dan 10 gangsa.

Empat tahun lalu di Victoria, Kanada, Malaysia menduduki tangga ke-13 dengan dua emas, tiga perak dan dua gangsa, berharap menduduki tempat 10 teratas di Kuala Lumpur dan memperoleh tujuh pingat emas.

Bagaimanapun sasaran itu telah diubah menjelang temasya ini berikutan kecederaan ke atas seorang peserta harapan acara menembak, Nurul Huda Baharin yang terbabit dengan kemalangan jalan raya sebelum temasya bermula.

Sejak 1930 hingga 1994, Malaysia telah menang sejumlah 12 pingat emas, 13 perak dan 11 gangsa.

Kejayaan mendapatkan pingat emas sebelum ini dihasilkan daripada acara badminton dan angkat berat, tetapi kali ini ia turut disumbangkan oleh sukan yang lain juga.

Malaysia memenangi pingat emas pertama menerusi boling tenpin beregu selepas Kenny Ang dan Ben Heng menang emas.

Kenny juga mendapatkan pingat emas perseorangan lelaki.

Pingat-pingat emas yang lain diperoleh dari acara badminton lelaki berpasukan, Mohamad Hidayat Hamidon angkat berat dan gimnastik berirama melalui pasukan wanita.

Nurul, yang hampir terlepas peluang menyertai temasya ini kerana lengannya yang patah, berjaya memenangi pingat emas menembak dengan memecahkan rekod baru.

Sementara acara badminton perseorangan lelaki, pemain negara, Wong Choon Hann dan Yong Hock Kin akan bermain sesama sendiri pada perlawanan akhir esok untuk memperoleh pingat emas dan perak.

Bagi acara beregu pula, pasangan negara Choong Tan Fook/Lee Wan Wah mara ke akhir selepas menewaskan Simon Archer/Christoper Hunt dari England, 15-13, 15-11 dan Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock menumpaskan Julian Robertson/Nathan Robertson dari England, 15-2, 12-15, 15-8.

Pasangan beregu negara ini juga akan beraksi sesama sendiri untuk menentukan pingat emas dan perak, esok.

Walaupun tidak rasmi, Malaysia kini memperoleh sembilan pingat emas dengan mengambil kira pingat yang diperoleh menerusi acara badminton ini.

Beregu wanita Chor Hooi Yee/Lim Pek Siah gagal dalam usaha mereka memburu emas namun kejayaan meraih pingat perak sudah memadai untuk memahat nama sebagai beregu wanita pertama mara ke pusingan akhir badminton Sukan Komanwel.

Hari ini juga menyaksikan peserta wanita acara boling padang perseorangan, Saedah Abdul Rahim memenangi pingat perak.

Sementara itu, dalam acara gimrama hari ini, Thye Chee Kiat sekadar menduduki tempat keempat individu keseluruhan dengan 37.239 mata, sementara Carolyn Au-Yong yang mengutip 36.594 mata menduduki tempat keenam.

Di arena menembak, kesemua peserta negara yang bertanding tidak memperoleh sebarang pingat pada acara terakhir hari ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4LsksazVw© Utusan Melayu (M) Bhd

Peluru emas Nurul pecah rekod raifal angin Sukan Komanwel



ARKIB : 19/09/1998
Air mata Nurul Huda mengiringi kemenangannya selepas papan markah mencatat tembakannya 494.8 mata, bukan sahaja sudah cukup untuk menjuarai acara tersebut malah mengatasi rekod Sukan Komanwel 488.7 mata yang dipegang Fani Theofanus dari Cyprus.

Paling manis, kejayaan meraih emas pertama acara menembak Sukan Komanwel itu diraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang turut berada di LISRAM.

Sebaik berakhir acara raifal angin perseorangan wanita semalam, Perdana Menteri dan isteri terus mengucapkan tahniah kepada Nurul Huda sambil diiringi laungan kata-kata semangat ''Malaysia Boleh'' dan nyanyian lagu patriotik Barisan Kita oleh skuad penembak negara.

Bagi menambah kerancakan ''pesta'' kejayaan negara, tidak jauh dari tempat Nurul Huda menempa kemenangan, seorang lagi penembak, Zainal Abidin Md. Zain melakukan kejutan untuk meraih perak acara raifal laras penuh perseorangan lelaki.

Kejayaan tersebut menambahkan lagi koleksi pingat negara dalam sukan menembak dengan satu emas, empat perak dan dua gangsa setakat ini.

Sebelum ini, Malaysia memperoleh tiga pingat perak dalam acara raifal angin berpasangan dan raifal angin perseorangan lelaki, pistol sport perseorangan wanita manakala dua gangsa diperolehi menerusi acara pistol sport berpasangan dan pistol angin berpasangan wanita. Peringkat akhir raifal angin perseorangan wanita semalam menyaksikan Nurul Huda memulakan tembakan agak mencemaskan apabila mencatat 8.8 mata sedangkan pencabar terdekatnya, Sharon Bowes (Kanada) menembak 10.4 mata.

Bagaimanapun, Nurul Huda bangkit melepaskan tembakan ke sasaran yang melebihi angka 10 mata dalam siri kedua sehingga lapan untuk mengumpulkan 475.6 mata bagi mengatasi Sharon yang mengikuti rapat dengan catatan 472.4 mata.

Nurul Huda kemudian menembak 9.2 mata dalam siri kesembilan untuk mengumpul 494.8 mata di depan sekalipun Sharon mencatat 10.3 tetapi ketinggalan dengan jumlah keseluruhan 493.3 mata.

Akhirnya Nurul mengakhiri acara tersebut dengan tembakan 10.0 mata bagi mencipta rekod baru Sukan Komanwel dengan catatan 494.8 untuk mengatasi pemenang perak, Sharon (493.3 mata) manakala Louise Minett dari England meraih gangsa (491.7).

Sementara penembak perak negara, Zainal Abidin pula berjaya mengatasi pemenang gangsa Andrew Luckman dari England dalam acara yang menyaksikan James Paton bukan sahaja meraih emas tetapi mencatat 402 mata untuk memecah rekod Sukan Komanwel (398).

Lain-lain acara pula tidak menghadiahkan pingat buat negara apabila Hasli Amir Hassan sekadar menduduki tempat keempat (668.0) dalam acara pistol tembak tubi perseorangan lelaki yang menyaksikan juara Metodi Igorov dari Kanada meraih emas (674.8) serta mengatasi rekod Sukan Komanwel (674.8).

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4LshzJdEK© Utusan Melayu (M) Bhd

Memori 1975 berulang



ARKIB : 18/09/1998
           
PRESIDEN Persekutuan Hoki Malaysia, Sultan Azlan Shah bergambar bersama skuad hoki negara yang layak ke separuh akhir hoki KL '98 selepas menewaskan Kanada 2-1.

Tiada kata mampu diungkap lagi apabila menyaksikan pegawai meluru ke padang dan berpelukan penuh gembira sesama pemain negara sebaik sahaja hon terakhir berbunyi.

Namun yang pasti ialah sorakan gamat penonton yang meraikan kejayaan semalam saling tak tumpah imbasan ulangan suasana gemilang di Padang Kilat apabila Malaysia mara ke separuh akhir Piala Dunia 1975 dengan menewaskan Belanda.

Dua jaringan skuad negara menerusi Nor Saiful Zaini Nasiruddin dan Calvin Fernandez sekalipun dicabar dengan pembalasan daripada Peter Milkovich, memimpin Malaysia untuk menerajui kumpulan B sekali gus memintas England dengan kelebihan perbezaan gol.

Seawal permainan, Malaysia sesekali mengancam kubu lawan dengan tiga gerakan padang menerusi S. Kuhan, Mirnawan Nawawi dan M. Kaliswaran dalam 15 minit pertama namun semuanya masih sipi.

Saiful yang berplaster dan masih bengkak di mata kiri akibat penangan pemain Pakistan, Ahad lalu, tidak mensia- siakan peluang menerusi sudut penalti kedua Malaysia untuk merembat kencang menewaskan Mike Mahmood pada minit ke-27.

Malaysia terus bertahan dengan kedudukan itu selama 26 minit sebelum tolakan penalti stroke oleh ketua pasukan lawan, Peter Milkovich menangguhkan hasrat skuad negara buat sementara.

Minit ke-65 melaksanakan impian yang dinanti-nantikan ribuan peminat hoki negara apabila Calvin dengan pukulan kilasnya menembusi Mahmood selepas menerima rembatan percuma yang deras daripada Saiful, beberapa inci dari kawasan D.

Gol ini dibantah oleh pemain Kanada yang menganggap pengadil dari Scotland, David Wallis mulanya mahu memberi sudut penalti sebaliknya masih tetap meneruskan permainan.

Tentu sahaja kejayaan ini menguntum riak gembira tidak terhingga jurulatih Paul Lissek yang ternyata mampu mengubah Malaysia bertambah baik dalam masa tiga bulan selepas hambar pada Piala Dunia di Utrecht, Mei lalu.

''Saya lihat anak buah saya kini benar-benar bermain sebagai suatu pasukan. Malaysia mampu menyerang dengan mengambil risiko serta turut utuh ketika bertahan.

''Kini kami mensasarkan sebutir pingat dan saya yakin kita memang mampu untuk melakukannya,'' tambah Lissek pada sidang berita selepas perlawanan.

Jurulatih Kanada, Shiaz Virjee pula berkata, dia akur dengan permainan cemerlang skuad negara malah turut memuji kehebatan Lissek mengubah taktik dan formasi pemain.

''Saya rasa perlawanan segetir ini perlukan pengadil yang lebih baik. Saya kecewa tidak dapat meneruskan peluang meraih pingat selepas hampir mencapai antara keenam terbaik ketika Piala Dunia,'' ujar Virjee.

Sementara itu, India menyusuli langkah Australia dari kumpulan A untuk mara ke separuh akhir hoki lelaki sekali gus akan menghadapi Malaysia, juara kumpulan B, esok.

Ini berikutan kejayaan mengetepikan New Zealand 3-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam yang turut menutup sisa-sisa peluang Afrika Selatan yang memerlukan kedua-dua pasukan itu seri.

Afrika sekalipun mencipta jaringan terbesar kejohanan, 12-3 ke atas Trinidad & Tobago dalam perlawanan terakhirnya semalam, terpaksa pulang lebih awal apabila cuma mengumpul 10 mata berbanding India, 12 mata.

New Zealand yang turut pulang tanpa kemenangan semalam, mendahului menerusi Darren Smith pada minit ke-23 sebelum dijawab tiga gol lawan, Mohamed Riaz, Nandamoori Mukesh Kumar dan Dhanraj Pillay.

Sementara Australia membelasah Wales 4-0 untuk menjamin kedudukannya selaku juara kumpulan A hasil dua jaringan Matthew Smith di samping James Elmer dan Michael Brennan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4LsfThHBo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bank Bumiputra, Commerce Asset bergabung



ARKIB : 18/09/1998
KUALA LUMPUR 17 Sept. - Bank kedua terbesar Malaysia dijangka muncul dengan penggabungan yang dirancangkan diumumkan hari ini antara Commerce Asset Holdings Bhd. (CAHB) dan Bank Bumiputra Group (BBMB).

Penggabungan yang dicadangkan itu, yang akan menghasilkan sebuah kumpulan kewangan utama dengan kira-kira RM80 bilion aset, akan diwujudkan dengan cara pertukaran saham yang akan berasaskan kepada nilai aset ketara bersih.

Ini akan menghasilkan Kementerian Kewangan mencapai kepentingan utama di dalam kumpulan baru itu.

Satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Pengerusi CAHB, Datuk Mohd Desa Pachi dan Pengerusi BBMB, Tan Sri Dr. Abdul Khalid Sahan yang akan membuka jalan untuk kedua-dua pihak memasuki satu tempoh pelaksanaan prapenggabungan.

''Ini akan termasuk satu ketekunan wajar, penilaian dan perancangan,'' kata satu kenyataan yang dikeluarkan selepas upacara menandatangani MoU itu.

Pengarah Eksekutif CAHB, Dr. Rozali Mohd. Ali berkata, pegangan saham kumpulan kewangan utama itu akan menjadi berinstitusi lebih kukuh dan berkepelbagaian yang baik. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_05.htm#ixzz4LsXStVUf© Utusan Melayu (M) Bhd