Sabtu, 1 Oktober 2016

Pelaksanaan garis panduan baru ke IPTA tahun depan



RKIB : 17/09/1998
KUALA LUMPUR 16 Sept. - Satu garis panduan baru bagi memudahkan urusan kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan dilaksanakan tahun depan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, garis panduan itu akan menggabungkan penggunaan sistem UPUinfoLINE yang mula diperkenalkan tahun ini serta prosedur lama kemasukan pelajar ke IPTA.

Katanya, pihak kementerian yang baru selesai menjalankan post-mortem terhadap kaedah pengambilan pelajar yang dilaksanakan tahun ini bersetuju supaya rombakan dilakukan kepada sistem yang sedia ada.

''Ini bagi membolehkan Unit Pusat Universiti melaksanakan sistem yang lebih berkesan,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kementeriannya di sini, hari ini.

Menurut Najib, pihaknya akan memasukkan data mengenai permohonan para pelajar lepasan SPM di dalam laman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM-Net) bagi membolehkan semakan dibuat di Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Katanya, borang yang digunakan menerusi peraturan baru itu juga akan dipermudahkan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan pelajar ketika mengisi borang.

Beliau berkata, permohonan juga akan dibuka selepas keputusan peperiksaan SPM diumumkan, tidak seperti sekarang ini, para pelajar boleh memohon untuk memasuki IPTA menggunakan keputusan peperiksaan percubaan.

Jelasnya, kementerian juga akan memperkenalkan semula penggunaan kad akuan penerimaan seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini.

''Ada beberapa cara lain akan diumumkan sedikit masa lagi sebab pihak kami sedang mengemas kini beberapa ciri baru dalam garis panduan yang telah ditetapkan,'' ujarnya.

Selain itu, katanya, talian UPUinfoLINE juga akan diperluaskan kepada perkhidmatan talian Celcom.

Mei lepas, urusan kemasukan pelajar ke IPTA menjadi kelam-kabut berikutan banyak masalah yang timbul apabila sistem UPUinfoLINE yang baru diperkenalkan gagal berfungsi secara berkesan.

Keadaan itu menyebabkan kemasukan pelajar ke IPTA dilewatkan kira-kira dua minggu

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4Lpr2sxRN© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol rangkul dua emas



ARKIB : 17/09/1998
Nicol, pemain nombor satu dunia terpaksa berhempas pulas dalam permainan lima set sebelum menumpaskan pemain Kanada, Jonathan Power dalam masa satu jam 20 minit untuk muncul juara kali pertama skuasy diperkenalkan pada KL '98.

Dia tewas dalam set pertama dengan 3-9, tetapi bangkit menguasai dua set berikutnya dengan 9-2, 9-1, sebelum Power menjadikan kedudukan 2-2 apabila mencatat kemenangan 9-2 pada set keempat.

Permainan bertambah tegang pada set penentuan yang turut menyaksikan Power membalingkan raket hampir mengenai muka Nicol ketika pengadil memberikan servis kepada lawannya itu pada kedudukan 2-1.

Itu tidak melemahkan semangat Nicol, pemain pilihan pertama untuk memastikan pingat emas pertama tersebut menjadi miliknya apabila melengkapkan kemenangan dengan 9-2.

Kemenangan ini seterusnya menebus kekalahan enam kali berturut-turut Nicol di tangan Power, dan kali terakhir berkeputusan 3-0 pada perlawanan akhir Terbuka Hong Kong, bukan lalu.

''Pastinya saya gembira menambah emas buat Scotland. Power terlalu emosional dan cuba mengambil kesempatan meraih mata dengan lakonan di gelanggang.

''Nyata itu bukan kelebihan buatnya kerana saya cukup faham taktik yang digunakan dan akhirnya berjaya menewaskannya,'' katanya.

Kekalahan Power bermakna dia memberikan satu pingat perak buat Kanada, manakala Paul Johnson dan Alex Gough masing-masing menghasilkan gangsa buat England dan Wales.

Dalam pada itu, pemain wanita nombor satu dunia, Sarah Fitz-Gerald gagal dalam misinya menebus kekalahan pada Terbuka Singapura apabila tewas kepada rakan senegaranya, Michelle Martin yang meraih emas.

Michelle yang menundukkan Sarah pada kejohanan itu, sekali lagi menunjukkan kehebatan untuk mencatat kemenangan straight set 9-0, 9-6 dan 9-5, serta meninggalkan pencabarnya itu untuk menambah satu lagi pingat perak buat Australia.

''Sebelum bertemu di gelanggang saya sudah bertekad memastikan pingat emas bersejarah ini milik saya dan impian itu nyata berhasil.

''Saya bersimpati dengan Sarah, tetapi setiap pertarungan akhir hanya mempunyai satu tempat selaku juara. Ia menjadi milik saya.

''Dia (Sarah) juga patut berbangga kerana menyumbang pingat perak untuk negara kami, Australia,'' kata Michelle, pemain nombor dua dunia.

Dua pingat gangsa yang ditawarkan dalam acara ini menjadi milik mutlak England menerusi Cassie Jackman dan Sue Wright yang kecundang pada separuh akhir, kelmarin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4LppbxFS8© Utusan Melayu (M) Bhd

England paksa Malaysia seri 2-2



ARKIB : 16/09/1998
NASIB bukan di pihak Malaysia sekali lagi apabila terlepas peluang untuk mencipta kemenangan kedua acara hoki lelaki Sukan Komanwel XVI (KL '98) setelah dikekang 2-2 oleh England dalam perlawanan kumpulan B di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Kesungguhan skuad negara untuk mencari kemenangan bagi mencerahkan peluang ke separuh akhir sekalipun cuma bersemarak dalam separuh masa kedua dan berbalas pada minit ke-45, lenyap akibat tolakan stroke Jon Wyatt.

Begitupun, skuad negara sebenarnya perlu menyalahkan diri sendiri kerana membiarkan diri mereka bermain dalam keadaan tertekan serta dicengkam gementar tanpa sebab sekalipun berada selangkah pada suatu ketika untuk meraih tiga mata. Ini tampak jelas pada 16 minit pertama apabila England beroleh dua sudut penalti tetapi mujurlah Roslan Jamaluddin, kubu terakhir negara menyimpangkan ancaman yang muncul menerusi pukulan tersebut.

Malaysia mencari taktik serangan kilat untuk mengejutkan anak buah Barry Dancer namun tampanan kurang kemas oleh Nor Azlan Bakar gagal mendatangkan hasil yang bermanfaat dari sudut penalti, minit ke-18 dan 25.

Gara-gara gemar bermain dengan hantaran ke belakang antara R. Shankar dan Maninderjit Singh, Malaysia dihukum dengan jaringan sulung lawan pada minit ke-20.

Tertekan dalam cubaan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, Maninderjit kehilangan kawalannya kepada Justin Pidcock yang mudah menewaskan Roslan untuk membawa England mendahului 1-0. Namun Chairil yang mulanya dikasari oleh seorang pemain England ketika cuba mara ke kawasan D dengan larian solo, kembali membawa kedudukan Malaysia setara menerusi pukulan percuma, 12 minit kemudian.

Rembatan lintang penyerang kelahiran Terengganu ini tanpa disangka-sangka menyelinap ke celah-celah benteng England sebelum melepasi penjaga gol, Simon Mason untuk gol penyamaan yang disusuli sorakan gamat 12,000 penonton.

Gerakan satu sama satu M. Kaliswaran dan Mirnawan Nawawi mencemaskan seketika England pada minit ke-42 sayangnya tolakan ketua pasukan negara ini menyimpang beberapa inci dari gawang.

Minit ke-45 menyaksikan Mirnawan memimpin Malaysia maju 2-1 selepas sungkitannya melonjak ke bumbung gol England hasil reka helah Saiful dan tampanan Azlan yang kali ini berjaya membaiki dua kesilapan awalnya menerusi sudut penalti keempat negara.

England pada minit ke-50 bagaimanapun mengekang hasrat Malaysia setelah tampanan tangan Roslan dipersalahkan pengadil ketika cuba menangkis sudut penalti keempat mereka. Tolakan ke sebelah kanan oleh Jon Wyatt tidak tergapai kaki kiri Roslan sekali gus membawa gol penyamaan England.

Jurulatih negara, Paul Lissek yang hampir kehilangan suara akibat teriakan dari luar padang, agak kecewa dengan persembahan barisan pertahanan yang bermain dengan rasa gementar dan tertekan.

"Mereka seperti hilang keyakinan walaupun suatu ketika sedang mendahului England. Persembahan sebegini jauh lebih rendah dan berada di bawah tahap sebenar kemampuan mereka.

"Sepatutnya mereka berada di luar kawasan D dan tidak terlalu dekat dengan penjaga gol,'' kata Lissek tanpa menamakan siapakah pemain yang dimaksudkannya itu.

MALAYSIA: Roslan Jamaluddin, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, Maninderjit Singh, S. Kuhan, Nor Azlan Bakar, Chairil Anwar Aziz, R. Shankar, M. Kaliswaran, K. Keevan Raj, Mirnawan Nawawi, Calvin Fernandez.

ENGLAND: Simon Mason, Jon Wyatt, Julian Halls, Billy Waugh, Ben Sharpe, Jimmy Wallis, Brett Garrard, Stuart Head, Mark Pearn, Russel Garcia, Duncan Woods.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4LpnX5DKs© Utusan Melayu (M) Bhd

Petani tanam labu seberat 869kg



LABU gergasi ini berukuran 1.2m tinggi dengan ukur lilit 5.4m dan dipercayai yang terbesar di Britain. - AGENSI

LONDON – Seorang petani di sini berjaya menghasilkan tanaman buah labu seberat 869 kilogram (kg) yang dipercayai terbesar di Britain.

Buah labu setinggi 1.2 meter (m) dengan ukur lilitnya 5.4m itu ditanam oleh pasangan kembar, Stuart dan Ian Paton, 55, di kawasan rumah mereka.

Menurut Stuart, setiap hari mereka akan menyiram air sebanyak 378 liter bagi memastikan buah labu itu membesar secara sempurna selain memperuntukkan masa selama tiga jam untuk memeriksa tanaman tersebut.

“Kami tidak pernah bosan menjaganya. Sangat menakjubkan apabila melihat membesar dengan baik,” kata Stuart.

Tambahnya, mereka yakin berpeluang untuk memenangi pertandingan tanaman terbesar tahunan yang akan diadakan tidak lama lagi. – Agensi

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1001&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4LpRPshkLHakcipta terpelihara

Pingat pertama tinju negara



ARKIB : 16/09/1998
 
ADNAN Yusoh membuka tirai kemenangan pingat gangsa pertama Malaysia dalam acara tinju selepas dia menewaskan peninju Afrika Selatan, Silence Mabuza, dalam pertandingan bagi kategori bantam weight semalam.

Kemenangan dengan kiraan mata 16-14 itu sememangnya satu kejayaan manis dalam sejarah tinju negara pada Sukan Komanwel, kerana ini merupakan kali pertama peninju negara memenangi pingat.

Kejayaan itu juga melayakkan Adnan menerima hadiah RM20,000 di bawah skim galakan Majlis Sukan Negara. Tetapi dengan semangat yang semakin meluap-luap, Adnan kian yakin akan dapat mengubah warna pingat yang dimenanginya jika dia berjaya menumbangkan pencabar seterusnya, peninju Tanzania, Yomba Yomba, pada separuh akhir.

Adnan, yang bertinju secara agresif seawal pusingan pertama, menunjukkan kelincahannya mengelakkan serangan lawan serta kepantasan melancarkan serangan kilat.

"Selepas pusingan kedua, saya yakin Adnan akan memenangi perlawanan,'' kata ketua jurulatih Malaysia, Adun Pasu.

Harapan terhadap kemenangan Adnan pada perlawanan suku akhir begitu tinggi sehinggakan para penyokong Malaysia memberikan sokongan bergemuruh daripada awal perlawanan sehingga akhir. Malah, Presiden Persatuan Tinju Amatur Malaysia, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad turut menyaksikan perlawanan itu dan kemudian turun menyambut kemenangan Adnan selepas perlawanan tamat. Adun berkata, selepas peninju pertama negara Rakib Ahmad tewas di tangan peninju Mauritius, Richard Sunee, bagi kategori fly weight, skuad tinju Malaysia dilanda suasana muram.

Rakib tewas kerana kesilapan sendiri iaitu membiarkan lawannya menyerang kira-kira 13 saat sebelum perlawanan tamat. Rakib dijangka menemui laluan yang mudah pada perlawanan separuh akhir jika dia memenangi pertarungan dengan peninju Mauritius itu.

Kekalahan itu juga bermakna Rakib gagal menebus kekecewaannya terhadap kekalahannya di tangan Sunee pada pusingan akhir pertandingan Piala Presiden di Sychelles.

Bagaimanapun, kemenangan Adnan, yang tidak disangka-sangka kerana kelebihan lebih memihak kepada peninju Afrika Selatan, telah membuka mata kepada para peninju Malaysia yang lain bahawa mereka boleh menang jika mempunyai keyakinan dan semangat juang yang tinggi, katanya.

"Adnan kini muncul sebagai wira dan menjadi contoh kepada rakan-rakannya yang lain dalam menuju ke arah kemenangan,'' kata Adun. Jurulatih Malaysia yang berasal dari Thailand itu yakin Adnan boleh menewaskan peninju Tanzania pada separuh akhir kerana dia mengetahui semangat Adnan yang tidak mempunyai perasaan takut terhadap mana-mana pencabarnya. "Saya mengenalinya sejak dia berumur 11 tahun dan melatihnya bertinju seawal usia itu,''

katanya. Timbalan Presiden Persatuan Tinju Amatur Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Borhan Ahmad berkata, Malaysia berharap untuk mengutip dua lagi pingat gangsa menerusi B.Muruguthevan dan Sapok Biki pada perlawanan esok hari.

"Pada awalnya kita menjangka akan mendapat sekurang- kurangnya satu pingat tetapi adalah lebih baik jika kita dapat dua lagi pingat,'' katanya. Sapok akan menentang peninju Zambia, Kanyata Kennedy bagi kategori light fly weight manakala Muruguthevan akan bertarung dengan peninju England, Andrew Mc Lean, bagi kategori light weight.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4LooO1UoX© Utusan Melayu (M) Bhd