Ahad, 17 Januari 2016

Banyak bukti perlu diselongkar

16 Januari 2016 6:26 PM
AZHAR MAD AROS
AZHAR MAD AROS
BENAR atau tidak? Kebanyakan masyarakat lebih banyak melihat gambaran watak Hang Tuah menerusi filem berbanding mengenalinya menerusi dokumen penting yang menyebut nama pahlawan terunggul itu berulang kali.
Kecenderungan mereka untuk menonton filem daripada membaca bahan berkenaan bagaimanapun telah mendorong segelintir penggiat bidang itu menghasilkan karya mengikut selera umum tanpa membuat kajian mendalam mengenai watak Hang Tuah yang menjadi lambang kegagahan masyarakat Melayu Melaka.
Lebih mengecewakan apabila terdapat sesetengah pihak yang bertindak memutar belit fakta sebenar Hang Tuah dan menokok tambah serta mereka cerita sehingga membuatkan Hang Tuah dilihat sebagai watak fiksyen dan kisah perjalanan hidupnya dianggap mitos atau legenda semata-mata.
Wal hal terdapat banyak sumber yang menceritakan kewujudan pahlawan itu sama ada dalam bentuk hikayat, manuskrip mahupun catatan sejarah. Antaranya Sulalatu’s-Salatin atau Sejarah Melayu, Tuhfat Al-nafis dan Hikayat Hang Tuah.
Meskipun, dokumen-dokumen berkenaan dicatat hanya selepas abad ke-15 dan bukan sezaman dengan Hang Tuah, namun data yang diperolehi dari catatan itu diterima pakai sebagai sumber sekunder.
Bahkan, bukti yang menjadi warisan berharga itu turut diiktiraf dunia menerusi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Terbaru, surat tulisan Laksamana Hang Tuah kepada kerajaan Ryukyu di Jepun pada abad ke-15 yang ditemui dalam dokumen rasmi Rekidai Hoan membuktikan tokoh itu wujud dan bukan sekadar mitos semata-mata.
Surat berkenaan ditemui melalui kajian yang dilakukan Profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa bersama Pensyarah Kanan fakulti itu, Dr. Rohaidah Kamaruddin di Ryukyu atau kini dikenali sebagai Okinawa baru-baru ini.
Dalam pada itu Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Azhar Mad Aros (gambar) percaya selain dokumen itu, terdapat lebih banyak lagi bukti lain yang masih tersimpan dan belum ditemui di Okinawa.
“Mungkin lebih banyak lagi dokumen terdapat di sana yang perlu diselongkar, digarap dan dikaji bagi menambah nilai kajian dalam usaha membuktikan kewujudan laksamana itu adalah benar.
“Namun, usaha ini memerlukan peruntukan besar dari kerajaan bagi memudahkan proses pemerolehan dokumen yang dilihat penting di dalam membantu mengukuhkan lagi bukti kewujudan pahlawan yang menjadi lambang semangat jati diri masyarakat Melayu,” katanya.
Tambahnya, kewujudan Hang Tuah sebagai pahlawan terunggul di zaman pemerintahan Kesultanan Melaka perlu dipertahankan memandangkan ketokohan laksamana itu sudah sebati dalam pemikiran dan kehidupan masyarakat Melayu.
“Hang Tuah telah menunjukkan kehebatan, keberanian, kehandalan, kebijaksanaan dan taat setianya sebagai wira nasional yang mewakili masyarakat Melayu bukan sahaja pada zaman Kesultanan Melayu Melaka malah pada hari ini dan generasi seterusnya,” katanya.
Selain itu, Hang Tuah dipercayai turut dicatat dalam pelbagai lipatan sejarah negara-negara lain, namun masih belum dibongkar termasuklah seperti yang pernah diungkapkan oleh pelukis tersohor, Leonardo da Vinci yang hidup sezaman dengan Hang Tuah.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/banyak-bukti-perlu-diselongkar-1.180011#sthash.MNJG85dW.dpuf

Hang Tuah dibuktikan wujud, bukan mitos

Hang Tuah dibuktikan wujud, bukan mitos
16 Januari 2016 6:06 PM
Kuala Lumpur 11 Januari 2015-Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan
Kuala Lumpur 11 Januari 2015-Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan
Dr. Hashi m Musa menunjukkan salinan catatan surat yang membuktikan wujudnya hubungan antara Melaka dengan kerajaan Ryukyu.
PADA asasnya ‘menggali’ sesuatu peristiwa sejarah atau seseorang tokoh dilakukan menerusi kajian yang bersandarkan kepada sumber primer (sumber pertama) dan sumber sekunder (sumber kedua).
Sumber primer biasanya terdiri daripada dokumen, surat, catatan, watikah, warkah, manuskrip, peninggalan dan sebagainya yang dihasilkan oleh seseorang yang sezaman dengan peristiwa yang dikisahkan.
Sementara sumber sekunder pula merupakan tafsiran, kesimpulan serta andaian yang dibuat pengkaji mengenai sesuatu peristiwa berdasarkan sumber pertama. Sumber itu digunakan penyelidik lain sebagai rujukan, perbandingan atau ungkapan bagi mengukuhkan pandangan serta tafsiran terhadap kajian.
Sesuatu karya dianggap bernilai tinggi apabila kajian yang dijalankan berasaskan sumber primer.
Sumber sekunder juga amat penting dan digunakan di dalam mengukuhkan sesuatu kajian, namun pemilihan maklumat harus mengambil kira dari segi kualiti dan kesesuaian data yang digunakan sebagai pendukung data primer bagi memastikan maklumat yang diperolehi itu adalah tepat.
Justeru itu, di dalam kajian mengenai Laksamana Hang Tuah, penyelidik dari Universiti Putra Malaysia iaitu pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Moden dan Komunikasi, Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa berpegang terhadap keyakinan yang menyatakan kewujudan Hang Tuah bersandarkan bukti yang diperolehi melalui sumber primer, selain turut disokong oleh maklumat dari sumber sekunder.
Sebagaimana kewujudan Julius Caesar, Alexander the Great dan Laksamana Cheng Ho atau Zheng He dibuktikan dengan catatan daripada sumber primer dan artifak yang ditemukan sezaman dengan mereka. Kewujudan Laksamana Hang Tuah juga didukung dan diperkukuhkan dengan sumber primer.
“Berdasarkan dokumen rasmi Rekidai Hoan yang diterima dari kerajaan Ryukyu, terdapat surat-surat yang membuktikan wujudnya hubungan di antara kerajaan Melaka dan Ryukyu pada abad ke-15.
“Dokumen itu dalam bahasa Cina yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Atushu Kobata dan Mitsugi Matsada.
“Ada 19 surat kesemuanya dan lapan daripada surat berkenaan diterima dari pihak kerajaan Melaka, sementara selebihnya dari pihak kerajaan Ryukyu. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak tiga yang ditulis oleh laksamana Melaka. Paling penting turut dinyatakan mengenai tarikh surat berkenaan dicatat” katanya.
Catatan surat pertama dalam dokumen 9 bertarikh Februari 1480 menyebut surat berkenaan adalah bagi pihak sultan. Meskipun, tidak menyebut laksamana, namun pengkaji tempatan malah dari Jepun percaya ‘bagi pihak sultan’ itu merujuk kepada laksamana.
“Dari segi terjemahan ayat itu turut menyatakan ‘Raja bagi Negeri Melaka dengan penuh takzimnya menghantar perutusan ini kepada duli yang maha mulia tuanku raja negeri Ryukyu...’. Akhir sekali dinyatakan bingkisan hadiah yang disertakan dan tertera di situ ‘bagi pihak raja’ yang merujuk laksamana.
“Surat kedua dalam dokumen 10 bertarikh April 1480 pula dengan jelas ada tercatat ‘laksamana’, namun tidak menyenaraikan senarai bingkisan hadiah yang disertakan.
“Saya berpendapat surat kedua ditulis oleh laksamana semasa di Ryukyu memandangkan dia tidak membawa bingkisan hadiah sebagaimana kebiasaannya akan membawa bingkisan hadiah sekiranya datang dari Melaka.
“Surat ketiga di dalam dokumen 15 yang bertarikh 17 Mac 1941 juga dicatat oleh laksamana,” katanya.
Meskipun, tidak dinyatakan nama Hang Tuah, namun berdasarkan catatan tersebut, laksamana yang dimaksudkan itu merujuk kepada Hang Tuah jika dipadankan dengan maklumat dari sumber sekunder.
“Jika merujuk kepada surat pertama, ada menyatakan ‘Beta kini berumur enam tahun, dan beta bersyukur di atas anugerah keamanan dan kebajikan ke atas negeri beta...’ Jadi, persoalannya sultan mana yang ditabalkan ketika masih kanak-kanak?
“Bagi menjawab persoalan itu, kita melihat Sejarah Melayu halaman 164 terdapat pesanan Sultan Mansur Shah sebelum mangkat ‘adapun pertaruhkulah anak kita Husin (kemudian ditabalkan sebagai Sultan Alauddin)...ialah gantiku...jikalau barang suatu salahnya, hendaklah dimaafkan oleh tuan-tuan sekalian kerana ia budak, belum sampai akalnya, belum tahu adatnya’.
“Justeru, berdasarkan catatan itu, putera Sultan Mansur Shah iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah merupakan satu-satunya sultan menaiki takhta ketika masih kanak-kanak lagi pada zaman kesultanan Melayu Melaka.
“Sewaktu zaman pemerintahan Sultan Alauddin (1477-1488), Hang Tuah berpangkat laksamana pada ketika itu yang berusia antara 46 hingga 57 tahun. Bahkan, jika melihat kepada tarikh surat itu, ia dicatat pada 1480. Ini jelas menunjukkan tarikh catatan itu adalah pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin,” katanya.
Selain surat itu, kewujudan Hang Tuah juga dibuktikan dengan artifak berupa keris berluk sembilan tanpa hulu dan sarung yang merupakan sebahagian daripada bingkisan hadiah dari kerajaan Melaka kepada kerajaan Ryukyu.
“Di dalam terjemahan surat pertama, dinyatakan salah satu bingkisan hadiah ialah sejenis ‘dagger’ (pisau atau keris) yang diletakkan di tali pinggang. Ciri ini jelas merujuk kepada keris yang dibawa oleh laksamana pada 1480 untuk dihadiahkan kepada pemerintah Ryukyu.
“Keris yang ditemukan di perkarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu itu membuktikan dengan jelas wujudnya hubungan di antara kerajaan Melaka dengan Ryukyu,” katanya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/hang-tuah-dibuktikan-wujud-bukan-mitos-1.180036#sthash.Es4BkUIK.dpuf

Sabtu, 16 Januari 2016

Hang Tuah difitnah, meninggal di Palembang?

16 Januari 2016 6:16 PM
KEHEBATAN Hang Tuah atau Tun Tuah sebagai seorang pahlawan ketika zamannya menyebabkan dia diangkat sebagai laksamana istana pada usia remaja. Setelah berguru bersama empat sahabat rapatnya, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu di Gunung Tundok berdekatan Gunung Ledang, mereka pulang ke Kampung Duyong.
Kelima-lima mereka dikatakan berguru dengan seorang lelaki bernama Seri Petala Adi Putera. Nama Hang Tuah mula disebut-sebut sehingga ke dalam istana ekoran peristiwa dia menyelamatkan Bendahara Tun Perak daripada amukan seorang lelaki berketurunan Jawa.
Setelah diangkat sebagai laksamana, wujud perasaan iri hati dalam kalangan pemuda Melaka terhadap kehebatan Tuah. Sejak dari itu, hidup Tuah dikatakan tidak asing dari asakan fitnah yang datang satu per satu sehingga membawa kepada peristiwa dia dihukum bunuh oleh sultan yang memerintah ketika itu.
Namun, menurut Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad), Khalid Hussin, Hang Tuah pada akhir zaman sebelum kejatuhan kerajaan kesultanan Melayu Melaka telah membawa diri ke Palembang, Indonesia kerana merajuk dengan Sultan Mahmud.
“Oleh kerana itu, kita percaya bahawa makam Hang Tuah berada di Palembang. Menerusi apa yang ditulis oleh sepupu Hang Tuah, Tun Kola dalam manuskrip Hikayat Hang Tuah Duyong, laksamana Melayu terbilang itu terkesan dengan sikap dan perbuatan Sultan Mahmud yang banyak melakukan perkara tidak betul pada masa itu,” katanya kepada S2 baru-baru ini.
Katanya, tindakan Hang Tuah yang membawa diri ke Palembang itu juga merupakan kesan daripada fitnah-fitnah yang dilontarkan kepadanya dan sikap sultan yang lebih mempercayai orang luar daripada mendengar pandangan panglima istananya sendiri.
Malah, Hang Tuah sebenarnya dikatakan merupakan bapa mentua kepada Sultan Mahmud apabila baginda berkahwin dengan seorang anak Hang Tuah, Tun Sabariah. Maka, apabila Sultan Mahmud lebih mengutamakan pandangan orang luar yang banyak mempunyai agenda tersirat, Hang Tuah berkecil hati.
Lalu, beberapa tahun sebelum kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511, Hang Tuah membawa diri ke Palembang dan menetap bersama saudaranya, Tun Alam sehingga dia meninggal dunia di sana.
Ironinya, Khalid berkata, semasa Hang Tuah menjadi panglima perang istana, Melaka beberapa kali berjaya menewaskan serangan Portugis yang begitu mendambakan Melaka sehingga penjajah itu merasa gerun dengan kehebatan laksamana Melayu itu.
Manuskrip itu, katanya, ada menyebut ibu bapa Hang Tuah iaitu Tun Mahmud dan Tun Lela Wati dan beberapa pengikutnya belayar meninggalkan Palembang untuk mencari tanah baharu. Apabila mereka tiba di Pulau Besar, bapa kepada Tun Lela meninggal dunia dan dimakamkan di pulau itu.
“Tun Mahmud menamakan kawasan yang dimudik di kuala sungai sebagai Kampung Duyong. Inilah kampung yang wujud pada hari ini. Tidak lama selepas itu, Hang Tuah dilahirkan di situ.
“Hang Tuah berasal dari kampung ini. Dakwaan mengatakan Hang Tuah berasal dari Tanah Besar China tidak benar. Sebenarnya, Hang itu adalah gelaran bagi pahlawan Melaka. Ia bukanlah nama berketurunan Cina ataupun sebagainya seperti yang diandaikan banyak pihak,” katanya.
Katanya, berdasarkan apa yang tertulis di dalam manuskrip itu, maka logik dikatakan dakwaan makam Hang Tuah di Palembang itu mempunyai asas yang lebih meyakinkan bahawa pahlawan itu meninggal dunia di Palembang. Pendek kata, kewujudan Hang Tuah bukan satu mitos.
“Masyarakat di Palembang begitu mengagumi Hang Tuah. Mereka tahu kisah pahlawan Melayu ini. Malah mereka yakin Hang Tuah wujud berdasarkan bukti yang ada di sana. Jadi, bagaimana pula wujud dakwaan bahawa Hang Tuah ini mitos atau tidak wujud? Itu sesuatu yang menyedihkan,” katanya.
Menyentuh mengenai kewujudan Hang Tuah, ujar Khalid, Hang Tuah merupakan simbol kekuatan orang Melayu sejak sekian lama. Dia merupakan figura yang menguatkan lagi semangat orang Melayu. Sewajarnya sejarah mengenai Hang Tuah diperkukuhkan dengan membangkitkan fakta logik mengenai kewujudannya.
Bagi persatuan itu katanya, mereka tampil dengan fakta dan bukti yang menunjukkan Hang Tuah merupakan seorang insan yang pernah dilahirkan di bumi Melaka. Fakta sejarah yang dinukil sendiri oleh saudara Hang Tuah, Tun Kola di Kampung Duyong.
Katanya, jika hendak disangkal, masakan kerajaan negeri mengangkat Kampung Duyong sebagai perkampungan Hang Tuah yang telah wujud selama 600 tahun.
Malah, terdapat bukti fizikal seperti Masjid Laksamana Hang Tuah, Perigi Hang Tuah, beratus-ratus kubur purba dan Sungai Duyong yang menjadi penghubung penduduk kampung itu dan seluruh Melaka.
Tambah Khalid, sesiapa yang mahu mengetahui kisah lengkap mengenai Hang Tuah dialu-alukan datang dan berjumpa dengannya mahupun ahli persatuan tersebut yang rata-rata terdiri daripada keturunan dan susur galur Hang Tuah di Kampung Duyong.
“Walaupun manuskrip asli Hikayat Hang Tuah Duyong yang dikarang Tun Kola itu kini disimpan oleh Perpustakaan Negara Malaysia, namun persatuan ini mempunyai salinannya. Malah, ahli keluarga kami sempat menterjemahkan tulisan jawi kuno itu ke dalam tulisan rumi untuk difahami orang ramai mengenai kisah Hang Tuah,” katanya.
Hang Tuah difitnah, meninggal di Palembang?
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/rencana/hang-tuah-difitnah-meninggal-di-palembang-1.180007#sthash.0t6MeP1s.dpuf

Jumaat, 15 Januari 2016

PERLETAKAN BATU ASAS BANGUNAN IBU PEJABAT LUTH 15.1.1982

Pada  hari  ini  dalam  tahun  1982, Perdana  Menteri  YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir  bin  Mohamad,   telah  meletakkan batu asas  bangunan Ibu Pejabat  Lembaga  Urusan  dan Tabung Haji (LUTH)  di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur. Di dalam ucapannya  YAB Perdana Menteri,   menyatakan  bahawa  dengan  pembinaan  bangunan  ini,  menandakan  satu  kemajuan  yang  telah   dicapai  oleh  LUTH  sejak penubuhannya  pada  awal  tahun  60-an   serta   menjadi  lambang  kepada  ketelitian  dan kededikasian  pengurusan  LUTH  sehingga  dapat  membawa  institusi  ini  ke  satu  tahap  yang boleh  dibanggakan.  Bangunan    yang  mendapat  sentuhan  arkitek  terkenal Hijaz  Kasturi  ini  telah  dibina  di kawasan  seluas  600 000 kaki  persegi  dengan  konsep  binaan   bangunan  yang   bulat  tinggi  dan  tirus  di bahagian  tengah  serta  berbentuk kembang  ke bawah. Binaan  ini  bertujuan  mendapatkan  ruang  yang  lebih  untuk  melicinkan  pergerakan kenderaan,  sementara   binaan  kembang  di bahagian  atas  pula   adalah  untuk  mengimbangi  seluruh  bentuk  bangunan di samping menimbulkan  kehebatan  binaannya. Bangunan  ini  telah  dirasmikan  pembukaannya pada  19  September  1985  oleh  DYMM  Seri  Paduka Baginda  Yang di-Pertuan Agong,  Sultan  Iskandar Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Ismail. 
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

Khamis, 14 Januari 2016

Tun Razak 1922-1976: Dalam kenangan

TAN SRI ABDULLAH AHMAD
14 JANUARI 2016
 TAN SRI ABDULLAH AHMAD
TAN SRI ABDULLAH AHMAD

HARI ini genap 40 tahun Tun Razak kembali ke rahmatullah. Setelah Allahyarham dilupakan dari ingatan nasional (national conciousness) tiba-tiba memori dan jasanya dikenang.

Sebelah pagi seminar berkenaan Tun Razak berlangsung, malam ini Astro TV menayangkan filem tentangnya dan juga tahlil untuknya di Masjid Ar-Rahah di sebelah Angkasapuri di Kampung Kerinchi.

Masjid ini dinamakan sempena balu Tun Razak, Tun Rahah Noah dan dibiayai sepenuhnya, saya difahamkan, oleh anak bongsu mereka, Datuk Seri Nazir, bos besar CIMB.

Wajar memperingati Tun Razak: 30 peratus kekayaan negara mesti dimiliki Melayu dan Peribumi serta profesion harus mencerminkan bilangan penduduk. Semua sedar matlamat ini tidak lagi menjadi fokus kerajaan. Sedih!

Di mana pewaris politik Tun Razak? Titah Sultan Perak Nazrin Muizzuddin Shah, relevan dan tepat sebab baginda diplomatik kenyataannya agak lembut.

Jika Melayu Peribumi celik mata dengan terang harta, tanah, rumah dan bisnes terus dikuasai orang dagang dan pihak yang sudah pun dominan.

Sebenarnya neokolonialisme sudah lama berada di Malaysia. Bijaknya Melayu dan Peribumi menang sorak kampung tergadai! Pengemis dan broker di negeri sendiri.

Biasalah bagi bangsa Melayu mudah lupa pada pemimpin yang banyak berbakti apa lagi sebab dia tiada lagi.

Melayu Baru asyik mengangkat dan menyanjung pemimpin yang berkuasa sahaja (walaupun sanjungan itu tidak jujur.) Kita senang lupa sejarah sebab tenggelam dalam kemewahan - benarkah Melayu senang dan mewah? Melayu hanya melihat pada pemimpin yang memegang jawatan.

Hilang jawatan hilanglah hormat mereka kepada pemimpin itu.

Sebab saya berkhidmat dengan Tun Razak dalam pelbagai jawatan dan status tidak putus selama 14 tahun (1962-1976) tatkala saya baru berusia 25 tahun hingga Tun Razak menghembus nafasnya terakhir di London 14 Januari 1976, saya dipohon membuat ucapan dalam bahasa Inggeris, bahasa kedua saya, tentang kenangan dan pengalaman saya dengan Allahyarham, suka dan duka, banyak menggembirakan daripada mendukakan.

Walaupun saya masih tidak sihat, saya gagahkan diri menulis ucapan itu yang akan dibaca oleh isteri atau anak saya dan kolum ini kerana saya sanjung memori arwah dan menghormati balunya, Tun Rahah yang masih hidup dan sihat walafiat.

Tun Razak putera gemilang Melayu dan pemimpin ikonik serta terbilang dalam kurun ke-20 selain daripada Tunku Abdul Rahman Putra. Tun Razaklah orang yang memujuk Tunku mengambil alih kepimpinan Umno daripada Datuk Sir Onn Jaafar yang merajuk pada 1951.

Tunku enggan sebaliknya mencadangkan Tun Razak (waktu itu Datuk dan baru berusia 29 tahun) sebagai Presiden Umno.

Tun Razak bermati-matian mahukan Tunku. Sekarang pemimpin berebut-rebut dan tikam-menikam antara satu dan lain untuk memegang jawatan tanpa kira mereka layak atau berbakat. Kawan jadi lawan. Itulah beda antara Melayu Lama dan Melayu Baru.

Kepimpinan bersama Tunku dan Tun Razak (Timbalan Presiden) berlangsung penuh intim selama 19 tahun, mempercayai dan taat setia antara satu dan lain. Tunku bagai bapa kepada Tun Razak dan Tunku menganggap Tun Razak sebagai anak.

Tunku bertindak dalam perkongsian kuasa ini lebih sebagai penaung daripada presiden dan perdana menteri lantas memberi Tun Razak sepenuh mandat mengendalikan kerajaan dan parti. Ibarat perahu takkan karam sebelah atau telur sesangkar, pecah satu pecah semuanya. Begitulah hebat dan mesra perkongsian dan persahabatan mereka.

Sungguhpun, persahabatan kedua mesra sekali peristiwa Mei 13, 1969 telah meletakkan permuafakatan erat itu. Tun Razak dan Tunku tidak akrab lagi.

Setelah Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri 1970 dan Tunku ke Jeddah dan Makkah sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam sedunia (OIC) hubungan kedua semakin retak: perkara kecil menjadi besar. Seringkas seperti bisik Speaking: “There was no love lost between them.” Persahabatan juga kasih sayang kalau tidak dipupuk selalu akan pudar- lama-kelamaan padam.

Kejadian 13 Mei melancarkan Tun Razak “as a leader on his own.” Maka terserlah bakat kepimpinannya yang tersendiri. Walaupun tidak karismatik seperti Tunku, Tun Razak disanjung kerana dia mempunyai “a sharp sense of power.”

Sungguhpun Tun Razak telah meninggalkan kita 40 tahun silam, saya sentiasa mengingatinya sebab saya adalah menteenya yang dididik dan diasuh sehingga nafas bercerai dengan badannya.

Apalagi tahun lepas parti DAP telah menjemput saya untuk berucap di seminar yang memperingati kematian Tun Razak yang ke-39 tahun. Sambutan hebat.

Pensyarah utama adalah saya dan Lim Kit Siang. Adakah sambutan 40 tahun ini sedikit sebanyak ada kaitan dengan sambutan yang didahului oleh DAP?

Apa pun saya sangat gembira parti pemerintah dan parti pembangkang utama telah memperingati kehilangan Tun Razak. Saya berharap kesinambungan peringatan hari kematian Tun Razak menjadi acara rutin.

Tun Razak sentiasa mahu bangsanya gemilang. Kalau saya ringkaskan hasratnya lebih kurang seperti isi dan semangat puisi Usman Awang.



Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu

Masihkah tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang

Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan

Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali memegang timba

Memiliki ekonomi mencipta budaya

Menjadi tuan di negara merdeka.



Hasrat Tun Razak ini dan juga cita-cita bangsa kita tidak akan tercapai. Jika orang Melayu terus berpecah-belah dan orang bukan Melayu terutama bangsa Cina tak payah disuruh-suruh, telah bersatu-padu menentang kerajaan dalam PRU13 dan saya yakin keadaan tidak akan berubah dalam pilihan raya umum akan datang.

Yang menyedihkan masih ada 4,189,754 bakal pengundi yang belum lagi mendaftar dan 43 peratus daripada jumlah itu adalah orang Melayu! Bagaimana kita akan memperkuasakan kedudukan politik kita yang semakin lemah itu?

Pada saya, kalau kita sayangkan Tun Razak dan visinya wajarlah kita pada hari ini terutama kepimpinan Umno yang diterajui oleh anak sulungnya membuat keputusan mendaftarkan muda-mudi Melayu yang belum menjadi pengundi.

Jika tidak, saya bimbang visi Tun Razak untuk gemilangkan bangsa Melayu dan negara Malaysia akan menjadi idaman sahaja.


Saya mohon semua membaca al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada Allahyarham Tun Razak semoga rohnya dicucuri nikmat dan rahmat oleh ALLAH SWT.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 14 JANUARI 2016

Isnin, 11 Januari 2016

Piramid buku Perak pecah Rekod Guinness

SABTU, 26 DISEMBER 2015 @ 3:18 PM

Oleh Balqis Jazimah Zahari bhnews@bh.com.my PUTRI Shazlyn Mohd Zairul Shah,
7, berkesempatan membaca buku di Piramid Buku Terbesar Dunia pada Majlis Perasmian Bos Gaurus Book Fest yang disempurnakan oleh Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris di Stadium Indera Mulia hari ini. - Foto L.Manimaran IPOH:

Projek Piramid Buku Terbesar Dunia sempena Bos Gaurus Book Festival, di sini berjaya memecah Rekod Dunia Guinness (GWR) dengan 70,247 naskhah buku, sebentar tadi. Wakil GWR, Anna Lewis Orford, hadir sebagai saksi dan mengesahkan ia memecahkan rekod dunia membina piramid buku terbanyak dengan jumlah 63,377 buku yang dipegang oleh Kedai Buku Ernster di Luxembourg pada April lalu. Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANP), Nor Aini Mohd Nordin, berkata idea untuk menyertai GWR dilaksanakan oleh IMAGIKA Sdn Bhd pada sekitar bulan Ogos dan pihaknya mengumpul buku pada bulan lalu sebelum mula membina piramid buku pada 19 Disember.

"Secara jujur, bukanlah satu kerja mudah kerana kami perlu melakukannya secara berhati-hati mengikut kriteria untuk melabel, menjejak, melekatkan nombor siri sebelum menentukan bentuk penyusunan struktur piramid di bahagian atas dan di bawah buku dengan begitu teliti dan kukuh. "Sekiranya rekod sebelum ini membina piramid dalam tempoh penyusunan tanpa henti selama lapan minggu untuk membina sejumlah 63,377 buku tetapi kami berjaya siap menyusun selama seminggu sahaja," katanya pada sidang media selepas pengumuman pengiktirafan sijil GWR di pentas utama di Stadium Indera Mulia di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IMAGIKA Sdn Bhd, Hezle Helan dan Pengerusi urusetia program, Rozana Raja Ibrahim. Nor Aini berkata, seramai 40 orang kakitangan yang kebanyakan adalah sukarelawan, bekerja tanpa henti secara bergilir atau mengikut syif bermula jam 8 pagi hingga 8 malam dan 8 malam hingga 8 pagi untuk menyusun dan membina piramid membabitkan 70,247 dengan keluasan 6 x 6 meter dan tiga meter tinggi.

Beliau berkata, 20,000 naskhah buku adalah sumbangan daripada komuniti seluruh negara manakala selebihnya adalah daripada PPANP. "Sesuai dengan slogan 'Perak Amajaya' yang diilhamkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, sebagai negeri yang kaya dengan pendidikan dan ilmu, rekod ini menjadi simbolik bagi menguatkan slogan berkenaan.


Sumber : http://www.bharian.com.my/node/108444

Ahad, 10 Januari 2016

SERANGAN JEPUN DI ATAS MUAR 11.1.1942

Oleh-ahmad bin yaakob

Pada hari ini dalam tahun 1942,  Bandar Muar, Johor telah dibom oleh tentera-tentera Jepun. Pengeboman bandar Muar itu menandakan saat-saat terakhir kejatuhan Tanah Melayu ke tangan Jepun oleh kerana kedudukan Muar dan Johor yang strategik bagi pertahanan di Selatan Tanah Melayu. Di samping itu Muar dianggap sebagai kubu kedua selepas Kedah. Serangan-serangan bom ini telah dilakukan oleh pasukan tentera udara Jepun. Akibat serangan ini Jepun kemudiannya telah menguasai tebing utara Sungai Muar. Sungai Muar merupakan halangan terakhir di Tanah Melayu sebelum mereka sampai di Johor Bahru. Serangan-serangan udara tentera Jepun ini telah dibantu pula oleh kemaraan pasukan ke-15 tentera berjalan kaki Jepun yang diketuai oleh jeneral Nizhimura. Mereka melakukan serangan daripada tiga penjuru, dan terus bergerak menyusur pantai dari muara Sungai Muar menuju Muara Sungai Kesang. Dengan menggunakan jambatan-jambatan yang dibina di atas perahu-perahu, pasukan tentera berjalan kaki dan kereta-kereta kebal Jepun kemudiannya menyeberang Sungai Muar dan pada 16 Januari 1942, berjaya menguasai Sungai Muar sepenuhnya. Untuk mempertahankan Muar, Inggeris telah menghantar pasukan 'Brigade ke-45 Infantry India,' dan pasukan 'Australian Imperial Force' di bawah arahan Leftenan General Bennets. Pasukan Brigade ke-45 'Infantry India' yang baru tiba dan tidak mempunyai pengalaman perang ini telah menyebabkan pasukan Jepun dapat menawan bandar Muar dengan mudah. Ini merupakan satu kelemahan Inggeris yang nyata sekali. Inggeris terpaksa berundur dan cuba menyerang balas di Bakri3, tetapi gagal. Pada 20 Januari 1942, askar yang bertahan di Bakri telah diarahkan berundur apabila suasana di Muar semakin membimbangkan. Tentera-tentera Jepun terus mara dan menawan Batu Pahat, Keluang dan Ayer Hitam. Menyedari suasana bahaya sekiranya mereka terus bertahan di Johor, pihak Inggeris selepas bersidang di 'Pejabat Third Indian Corporations' telah mengambil keputusan untuk berundur dari Johor mulai 28 Januari 1942 atau selewat-lewatnya pada 31 Januari 1942. Dengan pengunduran ini maka berakhirlah pertahanan British di Tanah Melayu. Kejatuhan Muar ke tangan Jepun telah mematikan harapan mereka untuk menyekat kemaraan Jepun. Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan dengan kejatuhan Muar, pintu bagi penguasaan seluruh Tanah Melayu telah terbuka. Jepun hanya menunggu masa untuk terus mara ke Singapura.
SUMBER-http://hids.arkib.gov.my/