Rabu, 30 Disember 2015

Lelaki temui cangkerang gergasi

 
AFP - SEORANG lelaki tempatan menunjukkan cangkerang Glyptodont yang ditemui di tebing sebuah sungai dekat bandar Carlos Spegazzini, Argentina pada 25 Disember lalu.

BUENOS AIRES, Argentina – Seorang lelaki menemui satu cangkerang haiwan prasejarah selebar satu meter di tebing sebatang sungai di Carlos Spegazzini, 40 kilometer ke selatan Buenos Aires pada 25 Di­sember lalu.

Cangkerang itu dipercayai milik seekor tenggiling gergasi yang dikenali sebagai Glyptodont, kata beberapa pakar kelmarin.

Lelaki itu, Jose Antonio Nievas menyangka cangkerang bersisik hitam itu merupakan sebiji telur dinosaur selepas melihat objek tersebut melekat di dalam lumpur di tebing sungai itu di ladang miliknya.

Nievas memberitahu stesen televisyen tempatan, Todo Noticias bahawa dia me­nemui cangkerang itu separuh tenggelam di dalam selut dan mula menggali di sekeliling objek tersebut.

Beberapa pakar yang melihat gambar objek itu di televisyen memaklumkan ia dipercayai cangkerang Glyptodont.

“Tiada keraguan bahawa ia kelihatan seperti Glyptodont. Haiwan ini pupus beberapa ribu tahun lalu dan fosilnya ba­nyak ditemui di rantau ini,” kata pakar paleontologi di Muzium Sains Semula Jadi Bernadino Rivadavia, Alejandro Kramarz kepada agensi berita AFP.

Glyptodont merupakan nenek moyang kepada tenggiling mo­den. Haiwan itu mempunyai perisai cangkerang bulat yang besar dan mencapai berat sehingga satu tan.

Spesies itu tinggal di Amerika Selatan berjuta-juta tahun lalu. Kramarz menganggarkan spesimen yang ditemui Nievas itu berusia sekitar 10,000 tahun. – AFP

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3vsVGhSgb Hakcipta terpelihara

PERUBAHAN WAKTU PERSEKUTUAN TANAH MELAYU

Pada  hari  ini 31.12 dalam  tahun 1932,   buat  kali   pertama   waktu Persekutuan Tanah Melayu   telah  diubah  buat  kali  pertama  dari  jam  11.40  minit  malam  kepada  jam  12.00  malam.  Perubahan  waktu  ini  menjadikan  waktu  Persekutuan  Tanah  Melayu  7  jam  20  minit lebih  awal  dari  Waktu  Greenwich.  Namun  pada  1  September  1941,  sekali  lagi  waktu  Persekutuan  Tanah  Melayu  telah diubah dengan  dipercepatkan  10  minit  bagi  menyelaraskan  waktu  tempatan  dengan waktu  antarabangsa.  Sewaktu  pemerintahan  Jepun,   waktu  Tanah  Melayu  ditukar  lagi  mengikut  waktu  Tokyo  iaitu  2  jam  lebih  awal.  Waktu  tersebut  digunakan  hingga  tamatnya  pemerintahan  tentera  Jepun  pada  tahun  1945.  Waktu  Persekutuan  Tanah  Melayu  digunakan  semula  sehingga 31  Disember  1981  apabila  kerajaan  Malaysia  dengan  rasminya  telah mempercepatkan  waktu  Malaysia  sebanyak  30  minit.  Langkah  itu  diambil  untuk  menyeragamkan  waktu  di  antara  Sabah,  Sarawak  dan  Semenanjung.  Berikutan  perubahan  itu,  waktu siang Malaysia adalah lebih lama dari waktu malam dan meletakkan  waktu  Malaysia  kepada  8  jam  awal  dari  waktu  Greenwich.  Sesungguhnya  peristiwa  perubahan waktu  ini  memberi  erti  yang  besar  dan  bersejarah  kepada  rakyat  Malaysia.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

BANTUAN KERAJAAN PERSEKUTUAN UNTUK TUJUH SEKOLAH AGAMA RAKYAT

Pada hari ini 31.12.1960, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan bantuan kepada tujuh buah Sekolah Agama Rakyat Cawangan Al-Ulum Batu 20, Telok Anson. Ketika menyampaikan berita tersebut, Ustaz Salleh Othman selaku Pegawai Perhubungan sekolah-sekolah Agama Rakyat Persekutuan menjelaskan bahawa bantuan tersebut diberikan bagi tujuan memajukan lagi sekolah-sekolah agama di Persekutuan. Beliau juga memberitahu bahawa 70% daripada bantuan itu adalah untuk membayar gaji guru-guru sementara 30% lagi adalah untuk kemajuan sekolah. Untuk memperolehi bantuan tersebut sekolah-sekolah berkenaan hendaklah mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan. Di antara syarat-syarat yang mesti dipatuhi ialah:
membuat peraturan sekolah seperti yang dikehendaki oleh Kerajaan Persekutuan.
belajar 196 hari setahun
murid-murid dicampurkan bagi mengatasi masalah kekurangan guru sekiranya murid di asingkan mengikut jantina.
guru dan ibubapa sanggup bekerjasama untuk kemajuan pelajaran dan sekolah.
Bantuan yang diberikan ini sesungguhnya menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan turut melaksanakan usaha ke arah memajukan lagi sekolah-sekolah Agama Rakyat.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

Mahu Britain pulangkan berlian

London: Satu kumpulan termasuk seorang ahli perniagaan India dan aktres Bollywood akan memfailkan tuntutan untuk memaksa Britain mengembalikan berlian Koh-i-Noor, antara berlian terbesar di dunia yang menghiasi mahkota Ratu Elizabeth II kepada India.
Peguam Satish Jakhu berkata, pihaknya diarahkan memulakan prosiding di Mahkamah Tinggi di England, serentak dengan lawatan Perdana Menteri Narendra Modi ke Britain, minggu ini.
Kumpulan itu yang menggelar diri mereka ‘Gunung Bercahaya’ - iaitu tafsiran nama permata berkenaan - juga bercadang membawa kes berkenaan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague.
Permata 105 karat itu dikatakan satu daripada artifak yang diambil dari India dalam keadaan yang meragukan dan dipersembahkan kepada Ratu Victoria pada 1850 selepas Perang Anglo-Sikh yang melihat Britain menguasai Punjab. Ia dianggarkan bernilai £100 juta (RM662 juta).
Ia juga dipercayai hanya boleh digunakan wanita dan membawa nasib balang jika lelaki memakainya.
Hari ini, ia menghiasi mahkota dipakai Ratu Elizabeth dalam kapasitinya sebagai pemimpin berdaulat bererti dia hanya boleh memulangkannya jika kerajaan Britain bersetuju.
Bagaimanapun, Perdana Menteri David Cameron sebelum ini menggambarkan tidak bersetuju berlian itu dipulangkan.
Sementara itu, pelakon Bollywood Bhumicka Singh berkata: “Batu itu sebahagian daripada sejarah dan budaya kita. Ia mesti dikembalikan.” - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 9:56 AM

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/92154#sthash.BUjymxyx.dpuf

Masjid Al-Hudaibiah akan dibina semula

Jeddah: Masjid Al-Hudaibiah akan diruntuhkan dan dibina semula oleh Kementerian Hal Ehwal Islam dengan kerjasama Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi bagi menggambarkan kepentingannya dalam sejarah Islam.

Masjid yang terletak di barat Makkah itu dibina di tempat Nabi Muhammad (SAW) menandatangani perjanjian damai dengan musyrikin Makkah yang dikenali sebagai Perjanjian Hudaibiah pada 628 Masihi.

Penyelia kementerian berkenaan di Makkah Mohammad Al-Reemi berkata, projek itu sebahagian daripada usaha memulihara masjid dan bangunan lama di Makkah dan Madinah.

Kajian membina semulanya sudah disiapkan dan masjid bersejarah itu akan dibina semula menggunakan teknik saintifik dan bahan canggih.

Setakat ini suruhanjaya berkenaan sudah selesai memulihara 21 masjid di seluruh negara daripada 81 yang telah dikenal pasti. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 7:28 AM
 

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/92652#sthash.ZVrI1jvw.dpuf

Lelaki dipercayai paling tinggi di dunia meninggal dunia

Bangkok: Seorang lelaki yang dipercayai manusia paling tinggi di dunia meninggal dunia akibat komplikasi penyakit yang berpunca daripada kadar pertumbuhannya yang terlalu cepat.

Pornchai Saosri yang mempunyai ketinggian 2.69 meter meninggal dunia pada usia 26 tahun di kediaman keluarganya di kampung Ban Takaeo di wilayah Prasat, Thailand pada Isnin lalu.

Diberi nama timangan Oaf oleh keluarganya, dia baru-baru ini dimasukkan ke hospital dan hanya mampu berbaring kerana menghidap pelbagai penyakit.

Oaf dilaporkan sebagai lelaki paling tinggi di dunia, tetapi dia tidak pernah mendapat pengiktirafan rasmi kerana tidak mampu berdiri lurus dan ketinggiannya hanya diukur ketika duduk.

Lelaki paling tinggi di dunia yang dicatat dalam Rekod Dunia Guinness kini dipegang Sultan Kosen dari Turkey yang mempunyai ketinggian 2.51 meter.

Pornchai menderita penyakit darah tinggi dan meninggal dunia sejurus pulang dari hospital selepas dirawat selama seminggu.

Lelaki itu dijaga oleh ibunya, Woen Saosri, 56, dan bapanya, Saran, 60, dan anak saudara perempuannya yang berusia 15 tahun.

Woen dilaporkan menemui anaknya sudah tidak bernyawa ketika pulang ke rumah selepas mengambil upah mencuci pinggan.

Keluarga Pornchai sebelum ini pernah merayu orang ramai membantu membiayai kos perubatan lelaki itu.

Pornchai ketika itu berkata, dia mahu sebuah katil yang boleh digerakkan ke atas dan ke bawah seperti di hospital untuk memudahkan pergerakannya.

“Saya juga mahu mempunyai wang bagi membayar hutang ibu saya yang sudah tua ini,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 7:34 AM
 
PORNCHAI tidak mampu berdiri dan dijaga oleh ibu bapanya dan anak saudara perempuannya.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/92662#sthash.hslNlREe.dpuf

Harta karun RM8.4b ditemui

Agensi
Cartagena: Pihak berkuasa semalam mengumumkan ia menemui rangka kapal Sepanyol yang sarat dengan emas, perak dan batu berharga, 300 tahun selepas ia dikaramkan Britain di Laut Caribbean.
“Ia penemuan harta karun paling bernilai pernah ditemui dalam sejarah kemanusiaan,” kata Presiden Juan Manuel Santos, semalam.
Dia berkata demikian di bandar pelabuhan Cartagena, berhampiran tempat pakar menemui harta itu.
Pemburu harta karun berusaha mencari kapal itu sejak puluhan tahun lalu yang disifatkan oleh beberapa pihak sebagai ibu kepada semua kapal yang karam.
Jumlah harta yang dipercayai berada dalam rangka kapal itu dianggarkan bernilai sekitar AS$2 bilion (RM8.4 bilion).
Nilainya sepatutnya lebih tinggi tetapi menurun kerana kejatuhan mendadak harga perak, menurut Sea Search Armada (SSA) yang berpejabat di Amerika Syarikat.
SSA yang mendakwa menemui tempat rangka kapal itu terdampar pada awal 1980-an, terbabit dalam pertelingkahan sengit dengan kerajaan Colombia mengenai hak ketuanan terhadap harta itu.
Kapal itu, San Jose, karam pada Jun 1708 berhampiran Islas del Rosario, di pesisir pantai Colombia ketika bertempur dengan kapal Britain yang cuba merampas kargonya, sebahagian daripada Perang Rebut Takhta Sepanyol.
San Jose kapal utama mengetuai sekumpulan kapal membawa emas, perak dan barangan berharga lain dari tanah jajahan Sepanyol di benua Amerika untuk Raja Philip V.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 5:09 AM

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/98379#sthash.xfvDBnlB.dpuf