Khamis, 17 Disember 2015

Gong Tok Udin


  Oleh Amran Yahya -am@hmetro.com.my


Kuala Pilah: Sebuah gong dipercayai berusia lebih 200 tahun dan dikatakan digunakan sebagai alat komunikasi ketika berada di hutan masih elok dalam simpanan pemiliknya, Salleh Ahmad, 60.

Salleh berkata, gong dikenali sebagai ‘tetamak’ adalah pusaka peninggalan datuk sebelah ibunya yang dikenali sebagai Tok Udin.

“Saya menyimpan gong ini lebih 30 tahun lalu. Ramai yang mahu membelinya terutama dalam kalangan datuk adat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanjung Ipoh di sini, semalam.
Menurut Salleh yang juga Datuk Lembaga Seri Selemak Pahang, pada awal kurun ke-19, gong berkenaan pernah digunakan Tok Udin sebagai alat komunikasi ketika di hutan.

“Tok Udin adalah tukang rumah dan sentiasa membawa gong ketika memasuki hutan untuk menebang pokok bagi dijadikan bahan untuk membina kediaman.

“Gong ini akan dipalu sebagai alat komunikasi bagi menghantar isyarat kepada orang kampung jika dia berdepan masalah,” katanya.

Menurut Salleh, arwah neneknya pernah menceritakan kepadanya sesuatu yang unik mengenai penghasilan gong berkenaan.

“Arwah nenek memaklumkan gong ini buatan tangan Tok Udin dan dia tidak menggunakan peralatan lain. Tembaga ini dibentuk hanya menggunakan jari Tok Udin.

“Walaupun cerita ini seolah-olah mistik tetapi ada kemungkinan juga ia cerita benar. Ia mungkin satu daripada kehebatan dimiliki orang dulu. Biasanya, permukaan gong cantik dan rata tetapi jika diperhatikan serta diamati, gong ini tidak rata selain terdapat banyak kesan cap jari, sekali gus menguatkan lagi kisah penghasilannya,” katanya.

Menurut Salleh, walaupun bentuk gong berkenaan sama seperti gong lain tetapi ia agak luar biasa dari segi warna, tombol dan bunyi.

“Warnanya gelap dan tidak sama seperti tembaga lain. Tombolnya pula dibuat berasingan dan ini menyebabkan dengungnya agak lama serta kuat. Walaupun usia gong lebih 200 tahun tetapi bunyinya masih tetap sama. Saya tiada niat untuk menjualnya walaupun ramai mahu membelinya.

“Pada masa sama, gong ini sering digunakan terutama ketika majlis keramaian adat selain disewa untuk gimik perasmian majlis tertentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 8:17 AM

Salleh membersihkan gong pusaka di rumahnya di Tanjung Ipoh.


- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/99710#sthash.9tw4hifY.dpuf

Rabu, 16 Disember 2015

Hang Tuah tidak wujud?

Oleh Hafizah Iszahanid Hafiza@bh.com.my KUALA LUMPUR:
Hang Tuah tidak wujud sekali gus dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa mereka berasal dari keturunan Hang Tuah adalah dongeng. Karyawan Tamu Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya Prof Emeritus Dr Ahmat Adam berkata, Hang Tuah adalah watak fiksyen yang wujud dalam teks klasik Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah sahaja justeru dakwaan penemuan kubur Hang Tuah dan artifak berkaitan kewujudannya yang dibuat oleh sekumpulan sarjana dari Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini memerlukan penyelidikan yang lebih mendalam.

Sementara kubur di Melaka yang dikatakan milik Hang Tuah sesuai untuk tujuan pelancongan tetapi ia bukanlah kubur Hang Tuah yang sebenar. Ahmat berkata demikian dalam Seminar Sejarah anjuran Jabatan Sejarah UM yang bertajuk Wujudkah Hang Tuah? Malah tegas Ahmat, perkataan Hang Tuah itu sebenarnya tidak wujud pada abad ke-15 dan ke-16 sebaliknya ia dikesan buat pertama kalinya dalam Hikayat Acheh yang ditulis pada hujung abad ke-17.

'Mereka yang bergelar sejarawan harus ingat, Sejarah Melayu itu adalah fiksyen yang boleh disebut sebagai teks sastera sejarah tetapi bukan sebagai teks sejarah. "Watak Hang Tuah juga sudah disebut dalam Hikayat Hang Tuah yang ditulis terlebih dahulu berbanding Sejarah Melayu, jadi ia watak yang diceduk masuk ke dalam naskhah itu," katanya. Tegas Ahmat, pengarang Melayu zaman dahulu tidak akan menggunakan nama sebenar untuk watak pembesar mereka kecuali raja. Apa yang wujud adalah perkataan laksamana yang bermaksud pengikut raja yang setia dan ia tidak merujuk secara khusus kepada Hang Tuah.

"Perkataan laksamana merujuk kepada gelaran yang digunakan untuk pengikut raja yang setia sementara Hang Tuah sebenarnya Tuha yang bermaksud tua atau ketua pemimpin. Ia disebut sebagai Tuah kerana kegagalan penyelidik untuk membaca tulisan jawi dengan betul. "Hang pula adalah perkataan Melayu purba yang bermaksud tukang yang mahir. Laksamana Hang Tuah itu gelaran dan bukan merujuk kepada seseorang yang kita kenal hari ini sebagai Hang Tuah," katanya yang mengkaji mengenai kewujudan Hang Tuah dari sudut fisiologi asal usul perkataan.

Tegas Ahmat keghairahan sesetengah penyelidik untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah perlu berasaskan lebih banyak penyelidikan dan tidak hanya bergantung kepada satu sumber sahaja selain memastikan kesahihan dokumen itu. Ahmat berkata, sejarah seharusnya berdasarkan kebenaran yang objektif dan tidak memihak. "Saya tidak melihat dakwaan ketidakwujudan Hang Tuah ini akan mengganggu orang Melayu kerana ini adalah pendapat akademik. Jika ada yang terganggu, mereka itu jahil," katanya.

Sebelum ini sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendakwa menemui dokumen dan artifak yang diterima daripada kerajaan Ryukyu di Jepun dan satu lagi dari Portugal.
 PENGERUSI Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (PESAWAD), Khalid Hussin menunjukkan lakaran wajah Hang Tuah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Duyong, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan


Sumber: http://www.bharian.com.my/node/104080

Hang Tuah wujud, bukti melalui dokumen

SABTU, 12 DISEMBER 2015 @ 10:02 AM
Hang Tuah wujud, bukti melalui dokumen
Hafizah Iszahanid hafiza@bh.com.my
 
HANG Tuah wujud dan kewujudannya dapat dibuktikan melalui dokumen primer selain disokong dokumen sekunder.

KUALA LUMPUR: Hang Tuah wujud dan kewujudannya dapat dibuktikan melalui dokumen primer selain disokong dokumen sekunder sekali gus menolak pendapat yang menyebut Hang Tuah hanyalah watak fiksyen yang diceduk dari Hikayat Hang Tuah dan dimasukkan dalam Sejarah Melayu.

Profesor Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Emeritus Dr Hashim Musa berkata, beliau berpegang kepada data primer yang diterimanya daripada Kerajaan Ryukyu di Jepun (kini Okinawa) iaitu dokumen rasminya Rekidai Hoan yang menyebut tentang surat yang ditulis laksamana bagi pihak Sultan Melaka ketika itu, Sultan Alaudin Riayat Shah selain catatan pengembaraan Alfonso de Albuquerque yang juga menyebut tentang seseorang yang dirujuk sebagai laksamana.

      Semalam Karyawan Tamu Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Prof Emeritus Dr Ahmat Adam dalam satu seminar anjuran jabatan berkenaan menyebut Hang Tuah tidak wujud sebaliknya hanyalah watak fiksyen kesusasteraan Melayu.

 "Itu pendapat beliau. Kami tetap berpegang kepada data primer selain data sekunder yang diambil dari teks Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Tuhfat al Nafis yang  menyaksikan nama Hang Tuah disebut sekali gus menolak dakwaan Ahmat sebelum ini yang mendakwa nama Hang Tuah hanya disebut pada hujung abad ke-17 dalam Hikayat Acheh.

"Catatan pada tahun 1480 dan 1481 yang menyebut tentang Laksamana berada di Ryukyu bersamaan dengan masa Hang Tuah berkhidmat dengan Sultan Alauddin Riayat Syah yang baru naik takhta semasa masih kanak-kanak  sama seperti yang disebut dalam teks Sejarah Melayu.

"Oleh itu laksamana yang disebut dalam dokumen Ryukyu itu tidak lain daripada Hang Tuah," katanya. Tambah Hashim, perkataan tuah juga sudah wujud dalam bahasa Melayu sejak 2000 tahun lalu iaitu dalam bahasa Maori, satu daripada rumpun Melayu Polinesia yang mana merekodkan perkataan tua, tuha dan tuah. Semalam, Ahmat dalam Seminar Sejarah anjuran Jabatan Sejarah UM juga  menyebut kegagalan penyelidik membaca tulisan jawi menyebabkan munculnya perkataan tuah sedangkan huruf jawi ta wau ha yang tertulis dalam kebanyakan manuskrip Melayu lama membawa maksud tuha atau toh.

Mengulas mengenai dakwaan itu Hashim berkata, dalam naskhah Hikayat Hang Tuah oleh Tun Kola yang masih belum dirumikan dan disimpan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)  Hang Tuah dieja dengan huruf Jawi ta wau ha yang oleh dilafazkan tuha atau tuah, sekali gus tidak timbul persoalan kegagalan membaca tulisan jawi dengan betul.

"Pegangan kami laksamana seperti yang tercatat dalam data dari Ryukyu dan juga catatan Alfonso de Alburqueque  merujuk kepada  Laksamana Hang Tuah seperti juga disimpulkan oleh pengkaji Jepun," katanya. Sementara itu, seorang lagi penyelidik dari UPM Dr Rohaidah Kamaruddin berkata, pandangan Prof Ahmat Adam adalah pandangan yang disorot dari sudut linguistik yang tidak pula bermaksud beliau tidak bersetuju dengan Hikayat Hang Tuah atau Sejarah Melayu sebaliknya tidak bersetuju dengan kata nama Tuah sahaja.

"Prof Ahmat bukankah menolak Hikayat Hang Tuah atau Sejarah Melayu tetapi menolak nama Hang Tuah dari sudut linguistiknya sahaja.  "Sebagai penyelidik beliau berpendapat kami perlu mencari maklumat daripada sumber yang lain pula," katanya. DISYORKAN


Sumber: http://www.bharian.com.my/node/104347

Dr Hassan Said dilantik Naib Canselor UiTM ke-9

ISNIN, 14 DISEMBER 2015 @ 12:48 PM

 
NAIB Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-9, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said. - Foto Surianie Mohd Hanif KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kesembilan, berkuatkuasa 1 Februari 2016.

Dalam kenyataannya, Kementerian Pendidikan Tinggi berkata, sebelum ini Dr Hassan menyandang jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Taylor's dan menjadi Ketua Pengarah Pengajian Tinggi antara Januari 2005 hingga April 2008. Dr Hassan memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang matematik daripada University of Manchester (1979), ijazah sarjana sains daripada Brunel University, United Kingdom (1981) dan ijazah PhD juga daripada Brunel University (1984) dengan pengkhususan dalam bidang Computer Aided Geometric Design.

Beliau telah memulakan kerjaya sebagai pensyarah matematik di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1984, kemudiannya dilantik sebagai dekan fakulti pada tahun 1990 dan Timbalan Naib Canselor (Akademik) USM pada tahun 1995, sebelum berpindah ke kementerian pada 1998 sebagai pengarah bahagian. "Kementerian juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor UiTM ke-8, yang akan tamat tempoh perkhidmatan beliau sebagai Naib Canselor pada 31 Disember 2015 ini," kata kenyataan itu.


Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/104947

Wujudkan panel penyelidik Hang Tuah

Oleh Siti Haliza Yusop shyusop@bh.com.my
 
Pengkaji kesusasteraan Melayu tradisional, Dr Harun Mat Piah untuk sastera. - Foto NSTP KUALA LUMPUR: Panel penyelidik Hang Tuah perlu ditubuhkan untuk mengumpul dan menyusun semula dokumen yang dapat membuktikan kewujudan wira Melayu berkenaan.

Pengkaji kesusasteraan Melayu tradisional, Dr Harun Mat Piah, berkata panel itu perlu membabitkan institusi dan sarjana pengajian Melayu yang berwibawa termasuk Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Yayasan Karyawan dan Universiti Putra Malaysia (UPM), selain badan akademik berkaitan.

"Penubuhan panel itu dapat menjawab sebarang persoalan yang timbul sama ada bersifat akademik mahupun provokatif dengan merujuk dokumen yang sudah diterima sebagai mapan, definitif dan autoritatif. "Ia juga dapat mengelak daripada mengulangi hujah semata-mata untuk menjawab persoalan yang bukan saja tidak lagi relevan, bahkan berbahaya dalam perkembangan semasa dan akan datang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Karyawan Tamu, Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Dr Ahmat Adam menafikan kewujudan Hang Tuah berdasarkan kajian filologinya pada Seminar Wujudkah Hang Tuah? di Jabatan Sejarah UM di sini. Filologi ialah kajian ke atas bahan bertulis yang biasanya karya sastera dan penentuan kebenaran atau ketulenan bentuk serta maknanya.

Dalam seminar itu juga, Ahmat berkata Hang Tuah ialah watak fiksyen yang wujud dalam teks klasik Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan Hikayat Hang Tuah, manakala nama wira itu tidak wujud pada abad ke-15 dan ke-16, sebaliknya hanya dikesan buat pertama kali dalam Hikayat Acheh yang ditulis pada hujung abad ke-17.

Harun berkata, adalah keterlaluan menggunakan kajian filologi semata-mata untuk menentukan kesahihan terhadap kewujudan pahlawan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka itu, apatah lagi menganggapnya sebagai dongeng. "Kemahiran Ahmat dalam menguasai ilmu filologi misalnya dalam analisis akademik terhadap Sulalatus Salatin memang dianggap cukup hebat dan sangat menyumbang dalam kajian Sastera Melayu.

"Bagaimanapun, tindakan menghubungkan penemuan dengan penggunaan filologi dalam menentukan kewujudan Hang Tuah sehingga menganggap keseluruhan peristiwa berkaitannya dongeng, fiksyen dan tidak berasas, rasanya sedikit keterlaluan," katanya. Beliau berkata, sebenarnya ramai sarjana sudah memberikan ratusan bukti secara objektif yang menegaskan kewujudan Hang Tuah, sekali gus penegasan itu tidak sepatutnya terjejas dengan penafian beberapa individu saja.

"Budaya dan tamadun Melayu kini diperlekeh pelbagai pihak justeru amat wajar nasionalis, budayawan dan intelektual Melayu bangkit mempertahankan keagungan serta keperkasaan tamadun Melayu. "Hal itu janganlah sewenang-wenangnya digugat kerana wahana yang diguna pakai dalam gugatan itupun masih belum boleh dianggap berwibawa, konklusif atau definitif," katanya.


SUMBER: http://www.bharian.com.my/node/105035

Ahad, 13 Disember 2015

Kewujudan Hang Tuah terus raih pertikaian

AHAD, 13 DISEMBER 2015 @ 10:04 AM 

Oleh Hafizah Iszahanid dan Siti Haliza Yusop bhsastera@bh.com.my 
KARYAWAN Tamu Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Dr Ahmat Adam. - Foto Rohanis Shukri KUALA LUMPUR : Dakwaan ditimbulkan seorang sejarawan Jumaat lalu yang menafikan kewujudan Hang Tuah berdasarkan filologi, kajian aspek asal usul perkataan dalam sumber sejarah yang ditulis, terus mendapat pertikaian pelbagai pihak. 

Sejarawan dan Felo Penyelidik Kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali mempertikaikan kenyataan dibuat Karyawan Tamu Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Dr Ahmat Adam dengan mengatakan dalam Hikayat Hang Tuah, perkataan Hang Tuah sudah pun digunakan sebelum abad ke -18. 

Ini termasuk dakwaan dibuat Ahmat mengenai ejaan jawi yang dikatakan sebagai berbunyi 'toh' atau tuha itu sebenarnya berbunyi tuah. Tidak bermaksud untuk mempertikaikan apa yang dibentangkan Ahmad, tetapi tegas Abdullah bukti tentang Hang Tuah sudah pun direkodkan sejak dulu. "Sampai bila pun huruf jawi ta wau ha itu akan dibunyikan toh atau tuha mengikut beliau tetapi ada pihak tertentu seperti saya akan terus membacanya sebagai tuah. 

Fisiologi ada kelemahannya sendiri," katanya. Abdullah yang berdebat secara terbuka dengan Ahmat dalam seminar anjuran Jabatan Sejarah UM itu berkata, Hang Tuah sering diperkatakan dalam sejarah nusantara dan walaupun kita tidak mengetahui secara tepat namun ada fakta yang boleh digunakan sebagai rujukan termasuk beberapa hikayat mengenai pahlawan Melayu itu. 

Sementara itu, Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh berkata, kajian mengenai kewujudan Hang Tuah tidak boleh dilakukan dengan melihat fakta dan bahan-bahannya, melalui metadologi yang digunakan di Barat. Katanya, Barat menentukan sejarahnya melalui bahan bangsanya yang banyak terdapat dalam bentuk bahan bertulis, berbeza dengan kita yang datang daripada bangsa yang sangat lisan.

 "Tradisi kita bukanlah tradisi tulisan, jadi kewujudan Hang Tuah itu hanya dapat diketahui melalui cerita daripada orang yang lebih tua (sebelum ditulis). "Jika kita mengikut metadologi Barat dalam sejarah maka kita tidak punya apa-apa. Banyak budaya di dunia bersifat sangat lisan tetapi tidak bermakna rendah mutunya dan tidak boleh dipakai," katanya kepada BH, di sini. 

Muhammad berkata, terdapat dua sumber besar yang boleh digunakan bagi mengetahui mengenai kewujudan Hang Tuah, iaitu kitab Sulalatus Salatin serta Hikayat Hang Tuah. Beliau berkata, di antara keduanya, Sulalatus Salatin tulisan Tun Sri Lanang adalah sumber lebih kuat dalam mengetahui mengenai kewujudan Hang Tuah kerana beliau diceritakan sebagai manusia yang seimbang, iaitu berketrampilan dan intelektual tetapi pada masa sama tidak lari daripada membuat kesilapan. "Hang Tuah dalam Sulalatus Salatin disebutkan sebagai turut melakukan kesilapan apabila mengata bendahara dibelakangnya tetapi kemudian memohon maaf. 

"Ini berbeza sekali dengan naskhah Hikayat Hang Tuah yang ditulis berdasarkan watak sebenar tetapi 'ditiup' menjadi sehingga 200 kali lebih besar daripada watak asalnya," katanya. Bagaimanapun menurut Muhammad, Hikayat Hang Tuah yang turut diterjemahkan beliau ke bahasa Inggeris, The Epic of Hang Tuah, adalah satu karya besar dan watak Hang Tuah diperbesarkan bukan dengan sengaja sebaliknya diisi dengan falsafah dan nilai, seperti turut dilakukan Jepun terhadap watak pahlawan legendanya, Samurai. 

"Proses menterjemah ke bahasa Inggeris itu mengambil masa sehingga 15 tahun sekaligus membolehkan saya memasuki jiwa pengarang asalnya yang menulis cereka berdasarkan watak asal. "Paling penting ialah kita perlu faham, jika Hang Tuah tidak wujud sebaliknya sekadar satu watak dongeng, dia tidak akan disebut berkali-kali dalam Sulalatus Salatin atau Hikayat Hang Tuah, sepertimana Badang dan Benderang yang disebut dalam satu bab dan kemudiannya terus hilang," katanya.


SUMBER : http://www.bharian.com.my/node/104658

Jumaat, 11 Disember 2015

34 tahun guna beg plastik sama

Wrexham (Wales Utara): Seorang pesara masih menyimpan dan menggunakan beg plastik pasar raya Tesco sejak mula memperolehnya pada 1981.

Martin McCaskie, 72, menganggarkan, dia menggunakan beg plastik itu lebih 2,000 kali sepanjang tempoh itu.

“Saya sentiasa melipatnya dengan baik dan menyimpannya di dalam saku kerana yakin saya pasti menggunakannya.

“Beg plastik itu terbukti amat berguna lebih-lebih lagi selepas pasar raya berkenaan mengenakan bayaran untuk setiap beg plastik empat tahun lalu,” kata bekas juruteknik pemprosesan itu.Menurutnya, dia berpegang kepada konsep ‘tidak membazir.’

Bagaimanapun, itu bukannya satu-satu beg plastik lama yang masih di simpanannya.

“Banyak beg plastik yang saya simpan dan ini antara yang paling lama,” McCaskie berkata, mengenai beg plastik Tesco yang dikeluarkan sempena ulang tahun ke-50 penubuhan pasaraya berkenaan.

Anaknya Helen berkata, beg plastik yang sudah berusia 34 tahun itu masih dalam keadaan baik, kecuali berlubang kecil.

Menurut McCaskie, beg plastik lama lebih tahan kerana lebih tebal berbanding yang ada sekarang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 8:40 AM

MCCASKIE menunjukkan beg plastik lama (kanan) dengan yang baru (kiri).

- sumber: http://www.hmetro.com.my/node/97048#sthash.6ubuN9ez.dpuf