Isnin, 3 Ogos 2015

PEMILIHAN YANG DIPERTUAN AGONG PERTAMA

Pada  hari  ini 3.8.2015 dalam  tahun  1957,  satu  Persidangan Khas RajarRaja Melayu telah diadakan  bagi  memilih Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong  yang  pertama  dan  Timbalannya  bagi  Persekutuan  Tanah  Melayu  Merdeka  pada  31   Ogos  1957.  Persidangan  yang  telah  berlangsung  di   Dewan  Mesyuarat  Majlis  Kerja  Kerajaan  Persekutuan, Kuala  Lumpur  ini dipengerusikan  oleh  Sultan  Kedah.  Pemilihan  Yang di-Pertuan Agong  dan  Timbalannya telah  dilangsungkan   mengikut  syarat-syarat  bahagian  tiga  dalam  Perlembagaan  Persekutuan  Tanah  Melayu  di  Persidangan  Raja-Raja  Melayu  yang  ke  43.  Kesemua  Raja  Melayu  telah  hadir  pada  persidangan  khas  ini  kecuali  Sultan  Johor  yang  berada  di  Eropah  dan  telah  diwakili  oleh  Tengku  Mahkotanya.  Tuanku Sir Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah di pilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang pertama, sementara  DYMM  Tuanku  Hishamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.  Sesungguhnya,  pemilihan  Yang di-Pertuan Agong  sebagai  Ketua  Negara  telah  menjadi  lambang  kepada  Persekutuan  Tanah  Melayu  yang  bebas  dan  Merdeka.

SUMBER- http://hids.arkib.gov.my/

Sabtu, 1 Ogos 2015

Air mata buat perwira

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz-azimfitri@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kejam dan tidak berhati perut apabila wanita yang sarat mengandung turut dibunuh komunis selain balai polis diserang dan dimusnahkan.

Itu antara babak pantomim pejuang negara menentang pengganas komunis pada 27 Jun 1948 yang dipersembahkan sempena sambutan Hari Pahlawan di Dataran Merdeka pagi semalam.

Peristiwa berdarah yang berlaku di Balai Polis Kuala Krau, Pahang, lebih 60 tahun lalu itu mengorbankan nyawa 25 anggota polis dan keluarga mereka.

Persembahan pantomim bertemakan kisah pejuang negara itu turut disertakan dengan deklamasi sajak bertajuk ‘Pahlawan’ yang disampaikan Deputi Superintendan Rosbaini Kassim dan Asisten Superintendan Mohamad Mahat.

Dua acara utama itu menjadi fokus sambutan selain upacara perbarisan dan pertunjukan tempur oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perbarisan dan pantomin disertai 531 anggota dan 27 pegawai ATM dan PDRM itu diketuai Deputi Superintendan Mohamad Zaini dan Ketua Pancaragam Superintendan Mohamad Rosli Omar.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan mencemar duli menyaksikan upacara sambutan berkenaan.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan isteri Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah.

Hadir sama, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sementara itu , Othman Mohd Yusoff, 72, yang ditemui menceritakan saat ibunya mati ditembak pengganas komunis dalam serangan di Balai Polis Kuala Krau ketika dia baru berusia dua tahun.

“Memang pada waktu itu (serangan komunis) saya tidak faham dan ingat apa-apa. Namun orang kampung memberitahu menemui saya terselamat berhampiran mayat arwah ibu, Mahami Konel dengan keadaan mulut saya dipenuhi darah.

“Penduduk kampung menceritakan saya diselamatkan selepas dua hari serangan berlaku,” katanya.

Biarpun tidak merasai keperitan serangan komunis pada tahun 1948 itu, namun dia dan abangnya tetap sedih berikutan kehilangan ibu pada usia muda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:17 AM

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/67537#sthash.wnkkMfsY.dpuf

Jumaat, 31 Julai 2015

Persetujuan Manila 31.7.2015

Pada hari ini 31.7.2015 dalam tahun 1963,  Perdana  Menteri  Persekutuan  Tanah  Melayu,  Tunku  Abdul  Rahman  Putra  telah mewakili  kerajaan  Tanah  Melayu  dalam  upacara  menandatangani  satu  persetujuan  yang  dikenali  sebagai   Persetujuan  Manila.  Persetujuan  yang  ditandatangani  di  Manila  ini  adalah   diantara  Kerajaan  Persekutuan  Tanah  Melayu,  Republik  Indonesia  dan  Filipina.  Kerajaan  Republik  Indonesia  diwakili  oleh  Presiden  Soekarno,  manakala  kerajaan  Filipina  pula  diwakili  oleh  Presiden  Diosdado  Macapagal.  Persetujuan  ini  ditandatangani  untuk  kepentingan  bersama  bagi  menjamin  keutuhan,  keselamatan,  pembangunan  ekonomi  dan  kemajuan  sosial  serantau.  Persetujuan  ini  juga  mengandungi  pendirian  kerajaan  Republik  Indonesia  dan  Filipina  berhubung  penubuhan  Malaysia  dan  kemasukan  Borneo  Utara  ke  dalam  Malaysia.  Ketiga-tiga  ketua  kerajaan  ini  juga  telah  mencapai  kata  sepakat  dan  persetujuan  bersama  agar  sebarang  pertelingkahan  terutama  mengenai  tuntutan  Filipina  ke  atas  Borneo  Utara  diusahakan  secara  aman  serta  selaras  dengan  Piagam  Bangsa-Bangsa  Bersatu  dan  Deklarasi  Bandung.  Sesungguhnya,  persetujuan  yang  ditandatangani  ini  telah  membawa  kepada  pembentukan  Malaysia  pada  16  September  1963.

SUMBER- http://hids.arkib.gov.my/

PERANG BETING MARU.

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

Pada hari ini Jumaat 31.07.1849, satu pertempuran telah berlaku antara orang-orang Iban Saribas dengan angkatan perang James Brooke di sebuah beting pasir yang besar dinamakan Beting Marau di Kuala Sungai Kerian, Sarawak. Pertempuran yang mengorbankan banyak jiwa ini terkenal sebagai Perang Beting Marau. Perang yang berlaku ini adalah berikutan pengepungan yang dilakukan oleh angkatan perang James Brooke untuk memerangi orang Iban Saribas yang dianggap oleh Brooke sebagai perompak laut. James Brooke telah melengkapkan angkatannya dengan 3 buah kapal perang bertama H.M.S. Royalist, Albatros dan Namesis. Di samping itu angkatan tersebut disertai oleh kapal-kapal kecil dan perahu yang hanya mengandungi lebih daripada 3,000 orang. James Brooke dan angkatan perangnya telah bertolak dari Kuala Sungai Sarawak pada 25 Julai dan pada 27 Julai, angkatan James Brooke telah mengepung Kuala Sungai Kerian. James Brooke mendapat berita bahawa pada 26hb. Julai satu angkatan perompak laut yang besar telah bertolak meninggalkan Sungai Saribas menuju ke arah Sungai Batang Lupar dengan tujuan menyerang sebuah kampung besar. James Brooke telah mengatur rancangan untuk menyerang angkatan tersebut apabila mereka pulang ke tempat mereka di Sungai Saribas. Selama 3 hari angkatan perang James Brooke menunggu dan akhirnya kelihatan perahu-perahu orang Iban Saribas sebanyak 150 buah menuju ke Kuala Kelakar. Apabila hari malam, perahu-perahu tersebut cuba masuk ke Sungai Saribas. Angkatan perang James Brooke telah mengepung dari belakang dan berlakulah pertempuran. Orang Iban Saribas  bayak yang tewas dan terpaksa berundur. Ketua Orang Iban Saribas bernama Linggir yang enggan mengalah, dengan marah dan bengisnya telah membawa pasukannya menyerang salah sebuah kapal perang James Brooke yang bernama Namesis yang berlabuh berhampiran Beting Marau. Pertempuran yang hebat telah berlaku mengakibatkan ramai orang Iban Saribas terbunuh dan yang lainnya melarikan diri. Perahu-perahu mereka banyak musnah dan karam. Hanya perahu Linggir dan Abang Apung bersama orang-orangnya sahaja yang dapat melepaskan diri dari pertempuran tersebut. Pertempuran inilah yang dikenali sebagai Perang Beting Marau.
SUMBER- http://hids.arkib.gov.my/

Rabu, 29 Julai 2015

Negara Persekutuan Amerika Syarikat

OLEH –AHMAD BIN YAAKOB
Konsep negara Persekutuan
Istilah persekutuan berasal daripada perkataan Greek, iaitu foedus yang membawa maksud perjanjian. Persekutuan merupakan gabungan beberapa buah wilayah atau negeri yang dahulunya bebas tetapi kemudiannya menjadi negara bersekutu di bawah satu perlembagaan pusat.
 
Sistem persekutuan merupakan sistem pemerintahan yang terdiri daripada dua kerajaan, iaitu kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Setiap kerajaan pusat dan negeri mempunyai bidang kuasa masing-masing dalam perkara-perkara tertentu. Apabila  wilayah-wilayah tersebut bergabung ke dalam sebuah persekutuan, dengan sendirinya wilayah-wilayah berkenaan menyerahkan kedaulatan kepada kerajaan pusat dan ketaatan rakyat tertumpu kepada kerajaan persekutuan.[1]

      Sungguhpun wilayah tersebut telah menyerahkan kedaulatannya kepada kerajaan pusat, wilayah tidak akan hilang identiti kerana ada perkara-perkara tertentu yang dijamon oleh perlembagaan persekutuan. Perlembagaan Amerika tetap memberi kebebasan kepada negeri-negeri menggubal undang-undang yang berkaitan dengan adat dan budaya tempatan kerana setiap negeri mempunyai latar belakang dan sejarah yang berlainan.

      Amerika Syarikat merupakan negara persekutuan yang dibentuk daripada 13 buah negeri yang pernah menjadi koloni Britain. Amerika Syarikat mempunyai 50 buah negeri dan saiznya luas. Penduduknya terdiri daripada berbilang kaum, namu perpaduan rakyatnya masih utuh.[2]

Pemerintahan Negara Persekutuan
Perlembagaan Amerika menggariskan secara terperinci badan-badan yang memerintah Amerika.
 Presiden Amerika boleh membatalkan undang-undang dengan menggunakan kuasa veto.Presiden juga mengawasi kongres. Walaupun kerajaan persekutuan diberi kuasa yangluas, rakyat tidak bangkit menentang kerajaan.Ini kerana kebebasan mereka tidak diusik. Perkara berkaitan dasar luar dan perdagangan diserahkan kepada kerajaan persekutuan.

Ciri-ciri negara Persekutuan.
Kerajaan pusat tidak diberi kuasa yang banyak. Persekutuan merupakan liga negeri dan bukan kerajaan pusat yang kuat. Kerajaan pusat tidak dapat melaksanakan projek pembangunan kerana kurang sumber kewangan. Kedudukan kewangan kerajaan pusat bergantung kepada sumbangan kerajaan negeri. Kerajaan tidak dibenarkan membentuk sistem perdagangan antara negeri atau negara lain.[3]

Konvensyen Philadelphia 1787.
Dalam Konvensyen Philadelphia 1987 timbul perdebatan hangat tentang kuasa yang akan diberi kepada kerajaan pusat dan yang akan mengawal kerajaan pusat. Persidangan ini membawa kepada pembentukan Perlembagaan Amerika setelah kompromi dicapai dalam kalangan 13 buah negeri.

      Perlembagaan Amerika telah menggariskan secara terperinci badan-badan yang memerintah Amerika Syarikat. Ia dilakukan supaya terdapat satu sistem timbang tara sebagai perlingungan unsur-unsur authoritarian dan radikal.[4]
      Perubahan kedudukan kerajaan selepas abaf ke-18 (Konvensyen Philadelphia)
Antara perubahan ialah memberi kuasa kepadaKerajaan Persekutuan membuat keputusan dalam hal mata wang, mengisytihar peperangan , megenakan cukai, menggubal undang-undang berkaitan bidang kehakiman dan menguasai bidang perdagangan.

Presiden boleh membatalkan undang-undang dengan menggunakan kuasa veto dan boleh mengawal kongres. Kongres pula melalui dua pertiga undi di kedua-dua Dewan Senat dan dewan Perwakilan boleh mengatasi kuasa veto Presiden. Oleh itu, apabila menggubal undang-undang satu pihak boleh mengawasi pihak yang lain.

      Oleh kerana kerajaan Persekutuan diberi kuasa yang lebih luas, rakyatnya juga tidak menentang kerana kebebasan dan hak peribadi mereka tidak diusik dan kuasa berkaitan dasar luar dan perdagangan yang diberikan kepada Kerajaan Persekutuan menjadikan Amerika Syarikat sebuah negara yang berjaya mengawal kedudukan ekonomi dan politik antarabangsa.[5]



[1]Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,(Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi 2015),143.  
[2] Ibid.
[3]“Negara Bangsa”,dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1,73.   
[4]Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,144,
[5] Ibid,145.

Ahmad Zahid dilantik TPM baharu

Oleh MOHD. TURMADZI MADUN
 
NAJIB (tengah) mengumumkan rombakan Kabinet yang melibatkan pengguguran Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam. Turut hadir ialah Ahmad Zahid (kiri) dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menggugurkan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan empat menteri lain dalam rombakan Kabinet selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Dalam rombakan Kabinet yang berkuat kuasa hari ini, Najib mengumumkan jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diambil alih oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga mengekalkan jawatan Menteri Dalam Negeri.

“Keputusan menggantikan Tan Sri Muhyiddin merupakan satu keputusan yang amat sukar tetapi terpaksa saya lakukan agar jemaah menteri dapat bergerak sebagai satu pasukan yang jitu.

“Sebagai anggota Kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap kerajaan serta negara.

“Ia juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama Kabinet,” katanya ketika mengumumkan rombakan Kabinet di Bangunan Perdana Putra di sini yang turut disiarkan secara langsung menerusi TV1.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0729&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3hFsk7Nkg Hakcipta terpelihara

Selasa, 28 Julai 2015

Negara Kesatuan Perancis

oleh AHMAD BIN YAAKOB
Hasil Pembelajaran –Membincangkan sistem pemerintahan negara kesatuan dan negara persekutuan.
Negara Kesatuan Perancis abad ke-18-19 (1700-1899)

1.a) Konsep negara kesatuan.
Negara kesatuan merujuk kepada kuasa kerajaan Pusat lebih luas berbanding kuasa kerajaan tempatan yang lebih terhad. Ia juga merujuk kepada pemusatan semua kuasa negara di dalam satu sistem yang memberikan kuasa tertinggi kepada kerajaan pusat.Contoh kerajaan kesatuan ialah Perancis, Britain, Itali dan Jepun.[1]

b.Pemerintahan negara kesatuan.
Konsep negara kesatuan yang diamalkan di Perancis merujuk kepada pemusatan semua kuasa negara sehingga memberi kuasa tertinggi kepada kerajaan pusat.

      Setelah sistem feudal dihapuskan, pentadbiran baharu diperkenalkan di Perancis. Perancis dibahagikan kepada 83 department atau wilayah. setiap department pula dibahagikan kepada cantons atau daerah. Setiap cantons dipecahkan lagi kepada commune.

      Departmen yang ditubuhkan pada tahun 1790 berperanan untuk menguruskan perkhidmatan di kawasan tempatan . Pentadbirannya  diketuai seorangPrefet yang dilantik oleh kerajaan pusat. Setiap prefet bertanggungjawab terus kepada Menteri dalam negeri.

      Di setiap departmen diwujudkan General Council. Ahlinya dilantik pemerintah pusat. General Council menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan pusat.  Commune pula berperanan mendabir kawasan bandar.[2]  

      Commune dibentuk bagi mentadbir kawasan bandar. Institusi ini diketuai oleh Datuk Bandar atau Mayor sebagai ketua eksekutif. Selain itu diwujudkan juga sebuah Majlis Bandaran  (Municipal Council). Antara tugas Commune termasuklah mengendalikan perkara-perkara yang menyentuh pentadbiran di bandar seperti meluluskan permit bangunan, menjaga keselamatan penduduk dan menguruskan pendaftaran perkahwinan.

      Datuk bandar merupakan wakil kerajaan pusat di kawasan bandar. Beliau berperanan untuk menguatkuasa undang-undang tempatan,mendaftar jurutera awam, menguruskan pekerja di kawasannya dan lain-lain. Bagaimana pun keputusan yang dibuat oleh Datuk Bandar boleh dipinda atau dibatalkan oleh kerajaan pusat.[3]

      Commune merupakan isntitusi yang dibentuk bagi memberikan perkhidmatan kepada penduduk tempatan seperti pejabat pendaftaran, mahkamah rendah, jabatan kerja raya, polis tempatan dan sebagainya.[4]




[1]Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,141.    
[2]“Negara Bangsa”,dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1,73.   
[3]Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,142.     
[4]Ibid, 143.