Pada hari ini 24.07.1874,
Sultan Abdullah yang dilantik menjadi Sultan Perak berikutan dengan
pengisytiharan memberi kuasa memungut cukai kepada Residen. Pengisytiharan ini
telah diketepikan buat beberapa waktu kerana keengganan baginda
menandatanganinya akibat daripada perlantikan dan perselisihan yang berlaku
dengan J.W.W. Birch iaitu Residen Inggeris yang pertama di Perak. Kedatangan
Birch di Perak sebagai Residen Inggeris tidak menyenangkan hati Sultan Abdullah
dan Pembesar-pembesar Negeri kerana sikap dan tindakannya yang dianggap
melampau batas. Perselisihan Sultan Abdullah dengan Birch menjadi rumit apabila
Birch tidak bersetuju dengan tindakan Sultan Abdullah memajakkan kuasa memungut
cukai di Muara Sungai Perak kepada seorang saudagar Cina. Birch berpendapat
kuasa memungut cukai itu hendaklah diserahkan kepada pegawai-pegawai kerajaan
yang dilantik olehnya. Dalam bulan Februari dan Mac, Birch telah mendesak Sultan
Abdullah supaya menandatangani pengisytiharan yang membolehkan beliau mengambil
alih tugas-tugas memungut semua cukai. Sultan Abdullah dengan disokong oleh
Laksamana dan Menteri Larut enggan menandatangani pengisytiharan tersebut.
Sultan Abdullah telah bertindak menulis surat dan cuba menghantar wakil menemui
Sir Andrew Clarke untuk meminta supaya Birch ditukarkan ataupun dihadkan
kuasanya. Tetapi tindakan Sultan Abdullah itu telah gagal. Satu lagi
perselisihan antara Sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar Perak dengan Birch
telah terjadi apabila Residen bertindak melindungi hamba abdi yang melarikan
diri. Orang-orang besar menganggap perbuatan ini sebagai satu cabaran kepada
hak turun temurun mereka. Sementara itu Birch sekali lagi meminta Sultan Abdullah
menandatangani pengisytiharan berkaitan dengan kuasa memungut cukai tersebut
dan Sultan diberi tempuh sehingga 20hb. Julai, untuk berbuat demikian kalau
tidak jawatan baginda akan diturunkan. Memandangkan kepada ancaman ini, satu
mesyuarat telah diadakan pada 21hb. Julai di Durian Sebatang dengan dihadiri
oleh pembesar-pembesar Perak atau wakil-wakil mereka kecuali Raja Yusof. Hasil
mesyuarat ini satu rancangan telah diatur untuk membunuh Birch yang dianggap
telah merosakkan adat istiadat yang lama. Maharaja Lela sanggup menjalankan
pembunuhan tersebut. Sultan Abdullah pula pada zahirnya akan menunjukkan
perhubungannya yang biasa dengan Residen, dan bersetuju menandatangani
pengisytiharan yang memberi kuasa memungut semua cukai kepada Residen. Dalam
pada itu dengan cara sulit, Sultan Abdullah telah menghantar orang-orang
baginda ke Pulau Pinang untuk membeli senjata bagi pemberontakan yang akan
dijalankan. Akhirnya rancangan ini sampai ke puncaknya apabila Birch dibunuh
dalam bulan November 1875 di Pasir Salak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan