Pada
hari ini dalam tahun 1967, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah
merasmikan Seminar Pembangunan yang dilangsungkan di bangunan Mara Kuala
Lumpur. Seminar yang dilangsungkan selama 10 hari itu dihadiri oleh para
perwakilan daripada 14 buah negara iaitu India, Sri Langka, Ghana, Indonesia,
Iran, Kenya, Malagasy, Nigeria, Filipina, Vietnam Selatan, Thailand, Turki,
Uganda, Republik Arab Bersatu dan Malaysia sebagai tuan rumah. Dalam ucapannya
semasa merasmikan seminar tersebut, Tun Razak menyifatkan persidangan ini
sebagai "Sidang Kecil Bangsa-bangsa Bersatu" kerana ianya dihadiri
oleh berbagai negara dari Benua Afrika, Asia Barat dan Asia. Sementara itu
pengerusi Tetap Seminar tersebut Tan Sri Jamil Rais berharap seminar ini dapat
memecahkan masalah bagi mencapai pembangunan di negara-negara masing-masing
dengan bertukar-tukar pendapat mengenai pembangunan di negara masing-masing.
Tun Abdul Razak juga memberitahu bahawa Kerajaan Malaysia telah berusaha untuk
memberi kemakmuran hidup kepada rakyatnya. Dengan adanya seminar seperti ini
adalah diharapkan sesuatu yang bernas akan dapat dirumuskan dalam seminar ini
yang akan membawa faedah kepada semua pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan