Daerah Larut di Perak adalah di
bawah pemerintahan Long Jaafar sehinggalah beliau meninggal dunia pada
1858. Beliau telah digantikan oleh
anaknya Ngah Ibrahim dan telah mendapat restu daripada Baginda Sultan Perak. Ngah Ibrahim telah meneruskan pentadbiran
sebagai Orang Besar Jajahan iaitu wakil Sultan Perak. Bagi mengukuhkan kedudukannya pada hari ini 23 Oktober 1863,
Ngah Ibrahim bin Long Jaafar telah dianugerahkan gelaran Orang Kaya Menteri
Larut oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Jaafar Muazzam Shah.
Penganugerahan gelaran tersebut adalah juga sebagai mengenang jasa dan
perkhidmatan cemerlang beliau kepada baginda sultan dan terhadap perkembangan
serta kemajuan perusahaan melombong bijih timah di daerah Larut. Kawasan ini
menjadi tumpuan pelombong-pelombong China.
Pada awal tahun 1860 ramai pekerja lombong Cina dari Negeri-negeri Selat
datang berhijrah ke daerah Larut untuk melombong bijih dan menubuhkan dua
kumpulan kongsi gelap, Ghee Hin dan Hai San. Dalam tahun 1862, sekumpulan
orang-orang Kongsi Ghee Hin dari Klian Baharu iaitu seramai 14 orang telah
pergi ke Klian Pauh iaitu kawasan Kongsi Hai San kerana hendak bermain judi
yang akhirnya mengakibatkan berlakunya pergaduhan. Ngah Ibrahim sebagai Orang
Besar Jajahan bertanggungjawab menjaga keamanan daerah Larut telah menjalankan
siasatan dan mendapati kumpulan Ghee Hin
bertanggungjawab mencetuskan pergaduhan itu. Ketua kumpulan itu, So Ah Chong
telah dihukum bunuh. Orang-orang Ghee Hin tidak berpuas hati dengan tindakan
Ngah Ibrahim Ialu mengadu kepada Kolonel Cavenangh, Gabenor Inggeris
Negeri-negeri Selat. Tanpa siasatan rapi Cavenagh menuntut bayaran gantirugi
daripada Sultan Perak kerana wakil baginda membunuh Ketua Kumpulan Ghee Hin,
seorang rakyat British. Ngah Ibrahim yang bertanggungjawab dalam kes itu
bersedia membayar gantirugi kepada Gabenor Inggeris bagi pihak Sultan Perak
dengan syarat baginda sultan bersetuju menganugerahkannya gelaran yang
berpadanan dengan bayaran gantirugi sebanyak $17,447.04. Sebagai ganjaran di
atas khidmat beliau itu serta kecekapannya mengendalikan perusahaan lombong di
Larut, pada hari ini dalam tahun 1863, Sultan Perak telah berkenan
menganugerahkan gelaran Orang Kaya Menteri Larut kepada Ngah Ibrahim.
Penganugerahan itu telah meletakkan Ngah Ibrahim sebagai orang yang berkuasa
penuh di Larut. Ngah Ibrahim bebas membuat perhubungan dengan mana-mana kuasa
luar tanpa persetujuan dan kebenaran Sultan Perak. Bagaimanapun setelah
termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, kuasa mutlak Ngah Ibrahim
terhadap daerah Larut telah dinafikan oleh pentadbiran Inggeris sebaliknya
mengekalkan gelaran.[1]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan