Pada hari ini 21.9.1956,
Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ketiga yang diadakan di Johor Baharu telah
mengistiharkan Zainal Abidin bin Ahmad atau Zaaba sebagai Pendita bahagian
Melayu. Gelaran Pendita ini dianugerah memandangkan jasa-jasa dan sumbangan
beliau terhadap bahasa dan kesusteraan Melayu. Zaaba atau Zainal Abidin bin
Ahmad dilahirkan pada 16 September 1895 di Batu Kikir, Negeri Sembilan. Beliau
pernah bertugas sebagai penterjemah di Pejabat Pelajaran Negeri-negeri Selat
dan Persekutuan Tanah Melayu, kemudian dipindahkan ke Maktab Perguruan Sultan
Idris, Tanjung Malim. Di sini beliau telah banyak menyumbangkan
tulisan-tulisannya di dalam Majalah Guru dan Al-Ikhwan. Beliau juga telah
banyak mengarang buku-buku untuk Sekolah Melayu dan merupakan satu-satunya anak
Melayu yang berpendidikan tinggi yang telah meletakkan asas yang kukuh dalam
tata bahasa Melayu. Ini terbukti dari hasil karya Pelita Bahasa Melayu yang
merupakan rujukan utama bagi seluruh masyarakat yang ingin mengetahui tentang
Bahasa Melayu. Sesungguhnya Zaaba adalah seorang anak Melayu yang tidak
jemu-jemu mengabdikan diri kepada bahasa dan kesusteraan Melayu sejak sebelum
perang. Pemergiannya merupakan satu kehilangan yang besar dalam bidang bahasa
dan kesusasteraan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan