Pada akhir abad ke 19,
peperangan meletus di Hulu Perak. Peperangan ini turut melibatkan daerah kecil
Lenggong, tempat kelahiran saya. Perang saudara tersebut hanya berakhir pada
1909.
Setelah perang berakhir, Hulu
Perak diserahkan kepada pemerintahan Negeri Perak yang ketika itu telah dijajah
oleh Inggeris. Penyerahan bumi itu oleh kerajaan Siam adalah hasil Perjanjian
Burney antara kerajaan Siam dengan kerajaan Perak di bawah pemerintahan
Inggeris.
Sebahagian daripada Hulu Perak,
bermula dari tempat yang bernama Bukit Nasah di bahagian selatan adalah di
bawah kekuasaan Siam. Kerajaan Siam melantik pembesar dan wakil raja sebagai
pemerintah bahagian Perak Hulu yang dulunya dikenali sebagai Negeri Reman.
Pemerintahan kerajaan Melayu
Reman itu berpusat di tempat yang kini dikenali sebagai KampungSelarong yang
terletak tidak jauh dari pekan kecil Pangkalan Hulu atau dulunya disebut Pekan
Kroh.
Bekas istana Tuan Jagung, Raja
Reman yang terakhir, masih ada hingga sekarang di Kampung Selarong. Di kampung
ini juga terdapat makam permaisuri Cik Neng, iaitu isteri Tuan Jagung.
Permaisuri itu mangkat pada 1915.
Kemangkatan permaisuri itu ada
kaitannya dengan kerinduan yang amat sangat terhadap kematian putera bongsunya
yang bernama Tuan Lebih Long Raya yang bakal menjadi Raja Reman. Putera Raja
Reman ini ditangkap oleh pemerintah Siam pada 1899 dan dibunuh di Bangkok.
Beliau disyaki menjalankan kegiatan untuk memerdekakan Reman daripada cengkaman
Siam.
Begitulah serba sedikit tentang
sebuah kerajaan Melayu yang wujud di Hulu Perak sebelum abad ke-19. Cerita ini
meriwayatkan satu teladan bagaimana pada masa dulu pembesar Melayu dapat
digunakan oleh orang asing yang melaga-lagakan mereka supaya mereka bergaduh
sesama sendiri. Dengan itu senang mereka mengambil alih pemerintahan daripada
orang Melayu.
Angkara inilah yang menyebabkan
berlakunya beberapa peperangan di Hulu Perak. Dulu Reman ialah daerah hulu dan
terletak berhampiran dengan Patani. Kerajaan Melayu Patani yang berteraskan
Islam ialah sebuah kerajaan yang kuat dan sangat stabil pemerintahannya pada
abad ke-17 dan 18.
Setelah Siam menakluki Patani,
negeri itu dipecah- pecahkan menjadi beberapa negeri kecil. Siam melantik
pembesar Melayu menjadi raja atau pemerintah di negeri tajaannya. Reman adalah
salah satu daripadanya. Di Kampung Kerunai, terdapat beberapa batu tanda yang
menjadi sempadan antara Negeri Perak di bahagian hulu dengan negeri Reman yang
berada di bawah kuasa Siam.
Pada 1882, satu perjanjian
dibuat antara kerajaan Perak di bawah penjajah Inggeris dengan Tuan Jagung,
raja Reman di bawah takluk Siam.
Dalam perjanjian itu, kedua-dua
belah pihak bersetuju bahawa sempadan yang baru adalah di Bukit Nasha, yang
terletak kira-kira lima kilometer ke selatan pekan Grik. Hingga sekarang,
tempat itu disebut bukit Nasha, iaitu mengambil sempena perkataan 'nak disahkan
satu perjanjian'.
Pada 1899, satu perjanjian baru
dibuat bagi menentukan sempadan yang boleh diterima oleh orang Melayu Hulu Perak.
Sempadan baru itu terletak di Kerunai, di utara pekan Grik. Di situ, pada masa
ini, terdapat beberapa batu tanda sempadan yang dibuat dengan simen berbentuk
segi empat, kira-kira satu suku meter tinggi dan satu meter lebar. Batu itu
didirikan di atas sempadan. Jarak antara setiap satu adalah kira-kira satu km.
Pada 1909, satu perjanjian
iaitu Perjanjian Burney, disempurnakan antara kerajaan Perak dengan kerajaan
Siam..Dalam perjanjian itu, Siam yang menguasai kerajaan Melayu Reman sejak
1826 bersetuju menyerahkan sebahagian besar Hulu Perak yang luasnya kira-kira
1,800 km persegi kepada kerajaan Negeri Perak.
Sejak penyerahan itu, daerah
Hulu Perak yang rata-rata didiami oleh orang Melayu Patani dan bertutur dialek
Melayu Patani bebas daripada cengkaman Siam. Namun kemerdekaan Hulu Perak
bukanlah bermakna mereka terlepas daripada cengkaman penjajah lain.
Kemudian Hulu Perak berada pula
di bawah pemerintahan Inggeris yang tahu bahawa daerah ini kaya dengan khazanah
yang tersembunyi dalam hutan belantaranya.
Nasib kerajaan Melayu Reman
agak malang. Setelah kematian Tuan Jagung, kerajaan Siam memansuhkan
pemerintahan beraja ke atasnya. Dengan itu berakhir sebuah kerajaan Melayu
Reman yang memerintah sebahagian daripada Hulu Perak dan sebahagian Hulu Patani
yang dahulunya di bawah pemerintahan kerajaan Melayu Patani.
Dalam mana mana penulisan
sejarah Perak, jarang-jarang disentuh negeri Reman, sebuah kerajaan Melayu yang
ditaja oleh Siam. Cuma dalam buku Hulu Perak Dalam Sejarah yang ditulis oleh
Tok Muda Raja Razman bin Raja Abdul Hamid, Tok Muda Meor Shamsuddin bin Meor
Yahya dan Husin bin Mahmud, ada menceritakan dengan panjang lebar kewujudan
kerajaan Melayu Reman di Hulu Perak.
Demikianlah apa yang saya tahu
serba sedikit tentang sebuah kerajaan Melayu di Hulu Perak dan perang saudara
yang berlaku sesama orang Melayu yang didalangi oleh kuasa asing.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4GLZbhDha
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan