Galakan untuk mempelbagaikan
hasil pertanian telah disarankan oleh kerajaan dengan tujuan supaya rakyat
tidak terlampau bergantung kepada dua bentok ekonomi asas iaitu getah dan bijih
timah sahaja. Saranan ini pernah dibuat
oleh Kerajaan ketika negara masih bergantung kepada 2 sumber ekonomi yang
penting ini. Ekonomi yang berasaskan
pertanian pula sering menghadapi masalah cengkaman oleh orang-orang tengah
untuk memasarkan hasil pertanian. Para
petani masih belum mengetahui sistem pemasaran pertanian yang menguntungkan. Bagi mengatasi masalah ini pada hari ini 3
Ogos 1964 sebuah pusat Latihan Kebangsaan Berkenaan pemasaran telah dibuka
dengan rasminya. Perasmian Pusat Latihan Kebangsaan Berkenaan Pemasaran
Pertanian ini telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Syarikat Kerjasama
Encik Mohd. Khir b. Johari di Maktab Kerjasama, Petaling Jaya. Pusat Latihan ini adalah yang pertama
berkenaan dengan pemasaran pertanian pernah diadakan di Malaysia. Pembukaan Pusat Latihan ini mendapat
kerjasama dari Pertubuhan Pertanian dan Makanan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).
Sebagai permulaan kursus pemasaran pertanian yang memakan masa 3 minggu akan
dijalankan bersempena dengan perasmiananya.
Kursus-kursus berbentok syarahan dan latihan amal akan dikendalikan oleh
pakar-pakar FAO yang diketuai oleh Encik F.A.Shah, pakar pemasaran FAO dari
Bangkok. Selain dari itu syarahan juga
oleh pegawai Kementerian Pertanian, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan
serta Universiti Malaya. Sementara
peserta-peserta pula terdiri dari pegawai Kementerian Pertanian, RIDA, FLDA,
dan dari Singapura. Semasa berucap di majlis perasmian ini juga Encik Mohd.
Khir memaklumkan bahawa Kerajaan sedang merancang untuk menubuhkan sebuah
Lembaga Pemasaran Pertanian yang akan mempunyai kuasa untuk memulakan skim-skim
pemasaran hasil-hasil pertanian. Kajian
dan laporan mengenai penubuhannya sedang disediakan oleh Jawatankuasa
Khas. Bantuan dan khidmat nasihat
diperolehi daripada seorang penasihat Pemasaran Pertanian dari United Kingdom
di bawah Rancangan Colombo. Lembaga yang dirangka ini kemudian telah diluluskan
penubuhannya pada 1 Oktober 1965 dinamakan Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan atau lebih dikenali sebagai FAMA. Dengan tertubuhnya Pusat Latihan
Kebangsaan Berkenaan Pemasaran Pertanian ini akan memberikan pendedahan
mengenai pemasaran barang-barang pertanian dengan lebih meluas lagi tanpa
mengharapkan orang tengah. Selain dari itu menolong para petani meningkatkan
sumber pendapatan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan