SUSUNAN SAIFUL HAIZAN HASAM
(SUKAN@UTUSAN.COM.MY) | 16 Julai 2016 12:10 AM
Atlet Finland, Heikki
Savolainen mengetuai bacaan ikrar Olimpik dalam Temasya Helsinki 1952.
SUKAN Olimpik Helsinki 1952
yang berlangsung dalam era pasca Perang Dunia II mempunyai signifikan besar
dalam menyatukan seluruh masyarakat dunia walaupun hanya untuk seketika.
Antara yang menjadi topik
hangat ialah penyertaan semula Kesatuan Soviet selepas mereka meninggalkan
Olimpik berikutan Revolusi Bolshevik 1917.
Selain revolusi, dalam tempoh
40 tahun Kesatuan Soviet mengasingkan diri daripada Olimpik, berlaku dua
perang dunia.
Ironiknya, Kesatuan Soviet
memilih untuk kembali sewaktu temasya berlangsung di Finland, negara yang
diceroboh mereka dua kali dalam Perang Dunia II.
Kedatangan kontinjen Kesatuan
Soviet ke Finland disambut baik oleh rakyat negara itu walaupun Finland berada
dalam fasa pemulihan selepas tewas dalam dua peperangan di tangan negara
jirannya.
Penyertaan Kesatuan Soviet juga
mencetus ‘perang dingin’ Olimpik antara negara itu dan seteru politik serta
ketenteraan, Amerika Syarikat (AS).
Kontinjen AS pada peringkat
awal dikejutkan dengan jumlah pungutan pingat oleh Kesatuan Soviet yang
mendahului carta. Mereka terpaksa berjuang sehingga hari terakhir untuk meraih
76 pingat dan memintas Soviet yang mengumpul 71 pingat.
Persaingan antara blok Barat
dan Timur amat dirasai sebagaimana yang dinyatakan jaguh dekatlon AS, Bob
Mathias yang menang buat kali kedua dalam acara berkenaan.
“Terdapat pelbagai tekanan
terhadap atlet AS berikutan penyertaan Kesatuan Soviet. Mereka bagaikan musuh
sebenar kami.
“Atlet amat berharap untuk
menewaskan mereka dan mereka wajib ditewaskan. Perasaan itu amat kuat meresap
semangat seluruh pasukan AS,” katanya dalam buku The Olympics: A History of the
Modern Games.
Walaupun tidak menjuarai
Olimpik 1952, penyertaan Soviet berjaya memahat penguasaan dalam sukan
tertentu seperti gimnastik berpasukan wanita. Mereka menguasai acara itu
selama 40 tahun sehinggalah Kesatuan Soviet berpecah kepada beberapa republik.
Selain itu, Helsinki turut
mencacat sejarah sebagai bandar yang mempunyai populasi terendah iaitu
kira-kira 380,000 penduduk yang pernah menganjurkan Olimpik.
Sumber-http://www.utusan.com.my/sukan/perang-dingin-olimpik
1.353993#sthash.0Yas7Urv.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan