Pada hari ini 21.7.1875 satu
mesyuarat telah dilangsungkan di Durian Sebatang, Perak bertujuan untuk
membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan campur tangan Inggeris khususnya
pengenalan sistem Residen yang telah menghakis kuasa Raja dan pembesar-pembesar
Melayu. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh oleh pembesar negeri Perak
seperti Datuk Maharajalela, Datuk Laksamana dan Datuk Sagor. Sultan Abdullah
yang baru menaiki takhta Kerajaan Perak dengan bantuan Inggeris juga turut
menghadiri mesyuarat tersebut. Dalam Mesyuarat itu beberapa syor telah
dikemukakan tentang cara-cara untuk membunuh J.W.W. Birch, Residen Inggeris di
Perak. Laksamana mengesyorkan supaya Residen itu dibunuh dengan menggunakan
racun; Sultan Abdullah mengesyorkan supaya dibunuh dengan cara menggunakan
hantu atau kuasa ghaib; Datuk Maharajalela mengesyorkan supaya ditikam;
sementara Datuk Sagor mengesyorkan untuk menyerang Inggeris di Bandar Baru dan
menurunkan bendera Inggeris. Walaubagaimanapun syor Datuk Maharajalela
dipersetujui dan beliau telah diberi tugas untuk melaksanakannya. Dengan itu
Datuk Maharajalela telah mengarahkan anak-anak buahnya Pandak Endut, Kulup Ali,
Siputum, Ngah Jabar dan Setuah untuk menjalankan tugas membunuh Birch.Akhirnya
pada 2 November 1875 J.W.W.Birch, Residen Inggeris di Perak telah berjaya
dibunuh di Pasir Salak Kampung Gajah ketika beliau sedang mandi. Dengan
kejayaan pembunuhan Birch itu telah menaikkan lagi semangat orang-orang Melayu
Perak untuk menentang Inggeris yang menceroboh tanah air mereka dan membawa
kepada tercetusnya peperangan yang besar di antara kedua pihak.
SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/hids
Tiada ulasan:
Catat Ulasan