Rabu, 27 Julai 2016

Format baru peperiksaan -- Menekankan keperluan individu dan membina kemahiran berfikir

ARKIB : 05/03/1998
KUALA LUMPUR 4 Mac - Kementerian Pendidikan akan mengubah format peperiksaan utama di semua peringkat persekolahan sebagai langkah pertama ke arah mewujudkan sistem pendidikan yang fleksibel.

Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, format peperiksaan di semua peringkat persekolahan itu akan menekankan keperluan individu dan mampu membina kemahiran berfikir di kalangan para pelajar.

''Malah, format baru ini akan mengubah corak pembelajaran yang berdasarkan ingatan supaya para pelajar didedahkan kepada aspek komunikasi secara bertulis dan berfikir secara kritis serta kreatif,'' katanya di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan kementerian untuk mengubah sistem pendidikan supaya ia tidak lagi mementingkan kemahiran berkumpulan, sebaliknya menekankan keperluan individu.

Najib baru-baru ini mengumumkan pihaknya akan mengambil beberapa langkah baru bagi menyesuaikan sistem pendidikan negara dengan keperluan para pelajar masa kini.

Katanya, walaupun semua peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dikekalkan tetapi bentuknya adalah berbeza.

Kata beliau, kementerian itu sedang membuat persediaan terperinci mengenai perubahan format peperiksaan itu supaya ia benar-benar mampu memenuhi keperluan sistem pendidikan pada masa depan.

Jelasnya, Pusat Perkembangan Kurikulum, Lembaga Peperiksaan, Bahagian Sekolah dan Bahagian Pendidikan Guru dipertanggungjawabkan untuk membuat segala kajian dan persediaan mengenai sistem penilaian baru.

Jelas Najib, beliau akan mengumumkan tarikh permulaan sistem penilaian baru apabila kajian dan persedian untuk melaksanakannya siap.

Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4FcdYpMTy © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan