Pembinaan Tambak Johor
merupakan peristiwa penting dalam sejarah sistem perhubungan Tanah Melayu dan
Singapura. Usul pembinaan Tambak Johor itu telah dikemukakan oleh Pengarah JKR
Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Encik W. Eyre Kenny, kerana cadangan-cadangan
untuk pembinaan jambatan tidak dapat dijalankan oleh sebab-sebab tertentu yang
tidak dapat dielakkan. Majlis perletakkan batu asas bagi pembinaan tambak Johor
tersebut telah disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Sir Ibrahim ibni
al-marhum Sultan Abu Bakar yang mewakili pihak kerajaan Johor dan kerajaan
Negeri-negeri Selat. Pada hari ini 28.6.1924, Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir
Lawrence Gulliemard telah merasmikan pembukaan Tambak Johor. Turut serta di
majlis pembukaan tersebut ialah Sultan Johor, Sultan Selangor, Yang DiPertuan
Negeri Sembilan, Raja Bendahara Perak dan kenamaan lain. Tambak Johor merupakan
tambak batu yang merentangi Selat Tebrau yang mana berukuran 3465 kaki panjang
dan 60 kaki lebar. Ianya mempunyai
landasan keretapi dua hala, sebatang jalan raya selebar 26 kaki dan lorong
pejalan kaki di kedua-dua belah tambak.
Perbelanjaan pembinaannya sebanyak RM17 juta dan mengambil masa lima
tahun untuk disiapkan. Sewaktu Jepun menawan Tanah Melayu, sepanjang 70 kaki
dari Tambak Johor telah dibom oleh pihak Inggeris bagi menahan kemaraan tentera
Jepun ke Singapura. Walau bagaimanapun Jepun telah berjaya membaiki kerosakan
tersebut dan berjaya menawan Singapura akhirnya. Sesungguhnya dengan pembukaan
Tambak Johor pada hari ini, telah mempercepatkan dan mempermudahkan segala
urusan perhubungan dan perdagangan di antara Tanah Melayu dan Singapura.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan