Perkembangan pendidikan dalam
negara di peringkat pengajian tinggi telah bermula sejak awal 1940-an lagi.
Ketika itu pusat pengajian termasuklah maktab perguruan, kolej teknikal, dan
universiti, dibuka satu demi satu di beberapa negeri seperti Melaka, Johor,
Perak dan beberapa buah negeri lagi termasuklah Singapura yang ketika itu masih
bersama Malaya. Salah sebuah pusat pengajian tinggi yang penting dalam sejarah
pendidikan negara ini ialah Universiti Malaya. Universiti Malaya pada mulanya dibuka
di Singapura apabila Maktab Perubatan King Edward Ke-7 dan Maktab Raffles
digabungkan pada tahun 1946. Universiti Malaya kemudiannya dipindahkan dari
Singapura ke Kuala Lumpur pada hari ini 25 Mei 1959. Perpindahan ini dilakukan
setelah sebuah Suruhanjaya atau `Commission & Enquiry’ yang dibentuk pada
tahun 1957 dengan dipengerusikan oleh Sir Robert Atken, Naib Canselor
University Birmingham mencadangkan demikian. Suruhanjaya ini adalah untuk
merancang kemajuan Universiti Malaya di Kuala Lumpur. Pada bulan November 1958,
satu undang-undang telah diluluskan bagi penukaran Universiti Malaya di Kuala
Lumpur sebagai satu institusi yang tersendiri dan mempunyai taraf yang
setanding dengan Universiti di Singapura. Universiti Malaya di Kuala Lumpur
akan mempunyai prinsip pentadbirannya yang tersendiri. Sebelum itu Universiti
Malaya pernah dicadangkan supaya ditempatkan di sebuah kawasan di Johor. Tetapi
cadangan ini telah ditolak oleh Suruhanjaya dan memilih untuk menempatkannya di
Kuala Lumpur. Dari segi lokasi ianya berada di tengah-tengah semenanjung.
Walaupun secara rasminya Universiti Malaya dipindahkan pada 1959, tetapi kursus
jurusan sastera untuk tahun pertama telah dimulakan pada 1957 di bangunan
sementara di Kolej Teknik Kuala Lumpur. Pada tahun 1958, Fakulti Kejuruteraan
dipindahkan ke bangunan barunya di Lembah Pantai. Universiti ini dibina di
kawasan bukit dan lembah seluas 182 hektar. Bangunan Fakulti Sastera dan
Perpustakaan telah siap dibina pada 1959 dan kolej kediaman pertama juga dibuka
pada tahun yang sama. Dalam tahun 1960, Universiti Malaya Kuala Lumpur telah
diisytiharkan sebagai universiti unggul bagi Persekutuan Tanah Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan