Pada hari ini 23.5.1964,
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Tun Abdul Razak telah
merasmikan pembukaan Sekolah Latihan Teknik Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) di Kinrara Kuala Lumpur. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua
Turus Angkatan Bersenjata Malaysia Lt. Jeneral Tengku Osman bin Tengku Mohd.
Jewa, Setiausaha Kementerian Pertahanan, En. Abdul Kadir Yusuf serta para
pegawai kanan TUDM. Dalam ucapannya semasa merasmikan pembukaan Sekolah Latihan
Teknik tersebut, Timbalan Perdana Menteri menyatakan lebih 400 orang pemuda
akan dilatih dalam 1965 untuk diambil berkhidmat sebagai Juruteknik TUDM. Usaha
mendapatkan Juruteknik berkebolehan amat penting dalam memperkemaskan
TUDM. Menurut beliau lagi, sebagai usaha
memperkembangkan TUDM, sebuah pengkalan TUDM akan dibina di Alor Setar. Beliau
berharap dengan wujudnya Sekolah Latihan Teknik ini dan juga bantuan daripada
Angkatan Tentera Udara Diraja British akan dapat memajukan lagi Angkatan Udara
Malaysia. Sesungguhnya pembukaan rasmi Sekolah Latihan Teknik TUDM di Kinrara
pada hari ini dalam tahun 1964, telah membawa TUDM maju setapak lagi dalam
usaha mengembangkan sayapnya melindungi ruang angkasa negara daripada sebarang
pencerobohan musuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan