Khamis, 29 April 2021
Isnin, 26 April 2021
26 APRIL 1994-PERTABALAN DULI YANG MAHA MULIA AGONG KE-10.
Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-10 pada 26 April 1994 dan menamatkan tempoh penuh jawatannya selama 5 tahun pada 25 April 1999. Antara sumbangan terbesar baginda semasa tempoh tersebut adalah sokongan kuat terhadap penganjuran Sukan Komanwel yang berlangsung dengan jayanya di Kuala Lumpur pada tahun 1998.
Rabu, 21 April 2021
Mimbar Masjid Kariah Nerasau menghampiri usia 200 tahun
BERNAMA
HARLENY menerangkan corak serta ukiran yang terdapat pada mimbar Masjid Kariah Kampung Narasau yang diukir oleh Baba Husin dari Jepara, Jawa Tengah, Indonesia ketika ditemuramah Bernama, baru-baru ini. FOTO Bernama
Rembau: Keunikan mimbar Masjid Kariah Nerasau di sini, yang kini mendekati usia 200 tahun, membuktikan keunggulan agama Islam di negara ini terpelihara sejak sekian lama.
Ketua Jabatan Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Harleny Abd Arif berkata, mimbar yang diukir oleh Baba Husin dari Jepara, Jawa Tengah, Indonesia itu mempunyai inskripsi lengkap, iaitu berbeza dengan mimbar lain dalam kajiannya sebelum ini.
Beliau berkata, inskripsi lengkap itu mengesahkan usia sebenar sesebuah mimbar dan setakat ini menerusi kajian terhadap sejumlah mimbar tertua dalam negara, mimbar di Masjid Kariah Nerasau dan Masjid Kariah Kampung Selemak dekat sini, mempunyai inskripsi lengkap.
Jelasnya, mimbar Masjid Kariah Nerasau itu berusia 183 tahun manakala Masjid Kariah Kampung Selemak pula berusia 177 tahun, dan berdasarkan maklumat daripada inskripsi, kedua-dua mimbar itu diukir oleh individu yang sama.
"Daripada kebanyakan mimbar yang saya kaji di masjid-masjid lama dalam negara, setakat ini hanya mimbar di Masjid Kariah Nerasau yang mempunyai inskripsi paling lengkap iaitu terdapat waktu, hari bulan beserta tahun hijrah, nama dan tempat kelahiran pengukir seperti yang tertera pada panel gunungan mimbar itu," katanya kepada Bernama.
Memperincikan kesenian mimbar berkenaan, beliau berkata, seni khat pada inskripsi gunungan mimbar Masjid Kariah Nerasau itu mendekati seni khat Nasakh, dan gaya seni itu ditampilkan dalam versi Jawi yang disusun secara bertindan.
Terjemahan inskripsi itu dalam versi rumi adalah: "Hijrah Nabi SAW sanah 1,254 iaitu tahun di antara hari bulan Jamadil Akhir hari Isnin waktu Dhuha maka adalah Tuan Haji Jalil Abdul Rahman ia memelihara Masjid An Nur. Tukangnya orang Jawa nama Baba Husin Jepara Barongan," katanya.
Masjid Kariah Nerasau adalah antara masjid tertua di Negeri Sembilan dibina secara bergotong-royong oleh masyarakat setempat diasaskan oleh Abdul Jalil Abdul Rahman.
Meskipun masjid itu dibuat penambahbaikan bersesuaian dengan pertambahan penduduk di kawasan itu, namun keaslian ruang dalam binaannya seperti ruang mihrab serta mimbar tertua itu masih utuh berdiri, digunakan lebih 10 imam di masjid berkenaan.
Harleny berkata, panel ukiran mimbar Masjid Kariah Nerasau dengan ketinggian mencecah tiga meter, menampilkan ragam hias (corak) jenis mekar sejunjung pada bahagian panel gunungan dengan aplikasi teknik ukiran tebuk tembus bersilat dan tebuk timbul bersilat.
Beliau menjelaskan maksud ragam hias dalam konteks reka bentuk mimbar mencakupi corak (pengulangan motif) pada keseluruhan permukaan mimbar atau panel tertentu pada bahagian mimbar.
"Ragam hias itu menampilkan komponen bunga mahkota, bunga dan daun yang melatari panel gunungan mimbar. Komponen utama adalah bunga mahkota bermotifkan bunga teratai yang diolah dalam tiga kelopak dari pandangan sisi," katanya.
Jelasnya, selain motif bunga teratai, mimbar itu turut mempamerkan motif bunga ketumbit yang disusun secara berulang.
Bagi mimbar Masjid Selemak pula, Harleny menyifatkan ia adalah mimbar adik-beradik dengan mimbar Masjid Kariah Nerasau, yang hanya berselisih usia enam tahun, kerana diukir oleh pengukir yang sama.
Sementara itu, Imam Masjid Kariah Nerasau, Mohamad Yusof Hashim berkata, masjid itu adalah tumpuan penduduk di Kampung Solok Bangkung, Kampung Ampangan Penajih, Kampung Relung, Kampung Nerasau dan Kampung Chenong yang boleh memuatkan 300 jemaah.
Mohamad Yusof, 64, berkata, beliau yang berkhidmat sebagai imam di masjid itu lebih 10 tahun sangat mengagumi hasil seni ukiran mimbar dan masjid itu yang masih kekal utuh walaupun sudah berusia ratusan tahun.
SUMBERDisiarkan pada: Mac 30, 2021 @ 11:36am
Ukiran unik mimbar 211 tahun
BERNAMA
Mimbar di Masjid Losong Haji Mohd di sini berusia 211 tahun dengan motif Bunga Teratai pada gunungan mimbar dihasilkan oleh pengukir yang tersohor pada era tersebut. FOTO BERNAMA
Kuala Terengganu: Terletak kira-kira enam kilometer dari pusat bandar raya Kuala Terengganu, Masjid Losong Haji Mohd di sini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana di dalamnya terdapat sebuah mimbar yang masih utuh berdiri walaupun sudah berusia 211 tahun.
Ketua Jabatan Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Dr Harleny Abd Arif berkata, berdasarkan kandungan inskripsi terdapat pada bahagian gunungan mimbar tersebut, ia dibina pada 1810 Masihi.
"Apa yang uniknya, pada gunungan mimbar tersebut terdapat ukiran angka 1225 Hijrah, tersembunyi di sebalik inskripsi seni khat Thuluth yang disusun secara bertindan. Ia diukir di dalam ruangan yang berbentuk seakan pohon budi. Apabila ditukar kepada tahun masihi ia bersamaan dengan 1810 Masihi yang dikenal pasti sebagai tahun pembuatan mimbar tersebut.
"Selain itu, pada ruangan berbentuk pohon budi itu juga terdapat kandungan inskripsi yang tertera perkataan 'Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam'," katanya kepada Bernama di Masjid Losong Haji Mohd di Kampung Losong Haji Mohd di sini.
Dr Harleny berkata, walaupun tidak tertera nama pengukir pada inskripsi tersebut, berdasarkan pengamatannya pada motif ukiran mimbar berketinggian lebih tiga meter itu ia dihasilkan oleh pengukir yang tersohor pada era tersebut.
Hal ini kerana, katanya, motif bunga teratai pada gunungan mimbar di Masjid Losong Haji Mohd turut mempunyai persamaan dengan olahan motif pada bahagian puncak panel gunungan pada bahagian gerbang dan pintu masuk Makam Tok Pelam di Kampung Ladang Titian di sini.
"Sheikh Abdullah Abdul Aziz atau dikenali sebagai Tok Pelam meninggal dunia pada 1819 dan dikebumikan di makam berkenaan. Jurang sembilan tahun antara pembuatan mimbar di Masjid Losong Haji Mohd dengan ukiran di Makam Tok Pelam ini meyakinkan saya bahawa kedua-dua khazanah yang mempunyai nilai sejarah tersebut dihasilkan oleh pengukir yang sama atau daripada pengukir sealiran lebih 200 tahun lalu.
"Sekiranya ia dihasilkan oleh pengukir yang sama, ini menggambarkan pengukir mimbar tersebut bukanlah calang-calang pengukir kerana beliau juga diberi kepercayaan membuat ukiran pada makam Tok Pelam iaitu seorang tokoh ulama yang sangat terkemuka," katanya.
Mimbar di Masjid Losong Haji Mohd di sini tertera angka 1225 Hijrah bersamaan 1810 Masihi itu tersembunyi di sebalik inskripsi seni khat Thuluth yang disusun secara bertindan, diukir di dalam ruangan yang berbentuk seakan pohon budi. FOTO BERNAMA
Mimbar di Masjid Losong Haji Mohd di sini tertera angka 1225 Hijrah bersamaan 1810 Masihi itu tersembunyi di sebalik inskripsi seni khat Thuluth yang disusun secara bertindan, diukir di dalam ruangan yang berbentuk seakan pohon budi. FOTO BERNAMA
Selain itu, Dr Harleny berkata, motif bunga teratai dan motif Langkasuka yang terdapat pada gunungan mimbar berkenaan turut ditemukan dalam ragam hias mimbar atau sejumlah artifak di Indonesia.
"Antaranya ialah pada gunungan mihrab Masjid Agung Sang Cipta Rasa atau dikenali sebagai Masjid Agung Cirebon di Jawa Barat, sejumlah gunungan mimbar tua di Acheh dan rehal yang menjadi alas mushaf al-Quran tulisan tangan milik seorang guru agama, Abdurrahman Stambul di Masjid Raya Sultan Riau Penyengat di Kepulauan Riau," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, rata-rata identiti mimbar di Tanah Melayu termasuk mimbar di Masjid Losong Haji Mohd mempunyai sulur di sisi kiri dan kanan pada bahagian gunungannya yang bersamaan dengan rata-rata reka bentuk gunungan di Alam Melayu.
Identiti tersebut turut ditemukan antaranya pada mimbar Masjid Agung Demak di Jawa Tengah, mimbar Masjid Tua Katangka di Gowa, Sulawesi Selatan dan mimbar Masjid Tgk Di Pucok Krueng di Pidie, Acheh.
Dr Harleny yang berpengalaman selama 12 tahun dalam bidang kajian ragam hias mihrab dan mimbar berkata, mimbar yang dipasang secara pasak dan diletakkan di atas binaan konkrit itu diukir menggunakan teknik Tebuk Tembus Bersilat dan teknik Tebuk Timbul Bersilat pada bahagian gunungan yang menyerlahkan lagi keindahannya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Losong Haji Mohd, Mohd Muda berkata, mimbar yang kini dicat warna keemasan itu pada suatu ketika dahulu terletak di tapak masjid yang lama iaitu kira-kira 50 meter dari masjid yang sedia ada kini.
"Apa yang saya tahu, masjid baharu ini dibina sekitar penghujung 1890-an dan apabila pembinaannya siap mimbar tersebut dibawa dan diletakkan di dalam masjid ini," katanya yang berasa bangga dengan mimbar yang sangat unik dan bersejarah itu.
Mohd berkata, ahli jawatankuasa masjid sentiasa berusaha menjaga mimbar itu antaranya dengan mengecat setiap dua atau tiga tahun sekali supaya keindahannya sentiasa terpelihara.
SUMBER-Disiarkan pada: April 22, 2021 @ 7:01am
Selasa, 13 April 2021
Selangor gergasi bola sepak negara
LIPATAN SEJARAH\
Pada 10 April 1972, Selangor kekal sebagai “gergasi” bola sepak negara berikutan kejayaan menundukkan Perak 3-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.Dua gol kemenangan Selangor telah dijaringkan oleh pemain baharunya, Mokhtar Dahari dan Mohd. Shah Norbit manakala gol ketiga disumbangkan oleh pemain antarabangsa, Rahim Abdullah.1
_________________________________
Ahad, 4 April 2021
22 firaun diarak [METROTV]
AFP
Kaherah: Perarakan membawa mumia 22 firaun termasuk permaisuri paling berkuasa Mesir melalui bandar ini untuk dibawa ke lokasi baharu.
Mumia itu diarak sejauh tujuh kilometer dari Muzium Mesir ke Muzium Kebangsaan Tamadun Mesir dengan kawalan ketat.
MUMIA dibawa dengan kenderaan khas berwarna emas. FOTO AFP
Digelar sebagai Perarakan Emas Firaun, mumia 18 raja dan empat permaisuri itu diarak dengan giliran bermula yang paling tua, dengan setiap satunya di atas kenderaan khas dihiasi gaya silam Mesir.
Kenderaan lain dan pejalan kaki tidak dibenarkan berada di Dataran Tahrir yang menjadi lokasi muzium sedia ada, dan kawasan dilalui kenderaan membawa mumia itu.
ANTARA peserta perarakan yang menunggang kuda. FOTO AFP
Imej perarakan itu yang memaparkan upacara pembukaan dengan koerografi dan lengkap dengan alunan muzik disiarkan secara langsung di stesen televisyen.
"Dengan penuh bangga, saya berhasrat untuk menyambut raja-raja dan permasuri-permasuri selepas rombongan ini," kata Presiden Abdel Fattah al-Sisi di Twitter sebelum upacara berkenaan.
ANTARA peserta perarakan memakai kostum zaman kuno Mesir. FOTO AFP
Seqenenre Tao II, yang memerintah selatan Mesir kira-kira 1,600 sebelum Masihi, adalah pertama dalam perarakan itu.
Ia diikuti Ramses IX, yang bertakhta pada abad ke-12 sebelum Masihi, pada akhirnya.
ANTARA peserta perarakan memakai kostum zaman kuno Mesir. FOTO AFP
Ramses II, yang memerintah selama 67 tahun dan Permaisuri Hatshepsu yang juga firaun wanita paling berkuasa turut dibawa pada perarakan itu.
Kenderaan berwarna emas yang membawa mumia berkenaan dilengkapi dengan alat penyerap gegaran sepanjang perarakan selama 40 minit itu.
SUMBER-MY METRO ONLINE Disiarkan pada: April 4, 2021 @ 9:43am
Sabtu, 3 April 2021
Struktur kapal, kepingan mata wang zaman Kesultanan Melayu Melaka ditemui
BERNAMA
18
MUHAMMAD Jailani (lima, kanan) melihat kepingan kayu dipercayai serpihan rangka atau struktur kapal karam pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditemui di kawasan tambakan pasir di Pulau Melaka di Bandar Hilir. FOTO Bernama
Melaka: Sebanyak 30 kepingan kayu dipercayai serpihan rangka atau struktur kapal yang karam pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, ditemui di kawasan tambakan pasir di Pulau Melaka di Bandar Hilir di sini.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, serpihan struktur kapal daripada kayu merbau itu, dipercayai milik sebuah kapal perdagangan buatan tempatan yang digunakan untuk aktiviti perdagangan.
Beliau berkata, antara yang turut ditemui di tapak berkenaan ialah ratusan kepingan mata wang dipercayai digunakan pemerintahan Sultan Mahmud antara tahun 1488 hingga 1511, di samping pecahan atau taburan seramik seperti tembikar dan porselin dari Dinasti Ming dan Qing, mata wang Belanda jenis VOC dan mata wang Portugis.
PELBAGAI mata wang pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, mata wang Belanda jenis VOC dan mata wang Portugis ditemui di kawasan tambakan pasir di Pulau Melaka di Bandar Hilir. FOTO Bernama
"Kesemua penemuan itu ditemui menerusi kerja-kerja ekskavasi penyelamatan artifak, yang dilaksanakan Bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), di Pulau Melaka bermula 25 Mac lalu.
"Justeru, kerajaan negeri menerusi Perzim akan mengambil langkah segera, bagi memastikan kerja-kerja ekskavasi kepada pencarian artifak atau khazanah negara dan negeri di Pulau Melaka dijalankan, agar harta itu dapat dilindungi," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pulau Melaka di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perzim Datuk Akramuddin Abdul Aziz, Timbalan Pesuruhjaya Warisan JWN Mohamad Muda Bahadin, Pengurus Besar Perzim Drs Mohd Nasruddin Rahman, Ketua Penyelidik Datuk Dr Dionysius S K Sharma dan Pengarah Bahagian Arkeologi JWN Rozairy Arbi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri bercadang memberikan peruntukan kecemasan, bagi memastikan kerja-kerja ekskavasi di tapak berkenaan dapat diteruskan dengan lebih lancar, kerana dipercayai lebih banyak artifak atau penemuan bakal ditemui.
Katanya, peralatan khas seperti 'ground-penetrating radar' (GPR) digunakan bagi mengesan rangka atau serpihan lain artifak dan rangka kapal, yang mungkin masih berada di bawah tambakan pasir di kawasan itu ekoran perubahan paras air dan kerja-kerja penambakan laut di Pulau Melaka sejak 2015.
Muhammad Jailani berkata, kerja-kerja menganalisa artifak yang ditemui turut dijalankan bagi membuktikan kaitannya dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, dan aktiviti perdagangan pada zaman berkenaan.
Beliau berkata semua penemuan berkenaan akan dipamerkan di Kompleks Pelancongan Samudera Perzim untuk tatapan rakyat.
SUMBER-MY METRO ONLINEDisiarkan pada: April 2, 2021 @ 9:52pm
Khamis, 1 April 2021
Syiling Britain paling mahal dijual pada RM9.4 juta
DUNIA RAGAM GLOBAL TERKINI
BAHAGIAN hadapan syiling berdiamater 3.5 sentimeter menunjukkan wajah Raja Edward VIII manakala bahagian belakang menggambarkan baginda membunuh naga sambil menunggang kuda.- HA.COM/BNPS
Syiling Britain paling mahal dijual pada RM9.4 juta
Oleh KOSMO!
28 Mac 2021, 5:10 pm
DALLAS, Texas – Sekeping syiling emas memperingati Raja Edward VIII memecah rekod dunia apabila terjual pada harga £1.65 juta (RM9.4 juta) dalam acara lelongan oleh firma Heritage Auctions di Dallas, Amerika Syarikat, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Syiling percubaan yang direka oleh Humphrey Paget itu menjadi syiling Britain paling mahal pernah dijual mengalahkan rekod jualan peribadi £1 juta (RM5.7 juta) untuk syiling Edward VIII Corak Berdaulat dengan nilai muka £1 (RM5) yang ditaja Royal Mint pada Januari 2020.
Syiling emas dengan ukiran wajah Edward VIII pada sebelah sisi itu tidak pernah dilancarkan memandangkan baginda hanya memerintah selama 11 bulan.
Ia merupakan satu daripada tiga keping duit syiling Edward VIII £5 (RM28) yang diketahui wujud di dunia.
Dua lagi dimiliki agensi yang bertanggungjawab menghasilkan syiling Britain, Royal Mint dan seorang pengumpul persendirian di Amerika Syarikat.
Naib Presiden Eksekutif Numismatik Antarabangsa Heritage Auctions, Cristiano Bierrenbach, menyifatkan syiling itu adalah hadiah terhebat dalam angka numismatik Inggeris iaitu kajian melibatkan koleksi syiling.
“Ini adalah syiling yang tidak sempat dimiliki oleh raja sendiri. Penjualannya benar-benar peluang sekali dalam seumur hidup untuk pembida.
“Kecantikan dan kualitinya tidak dapat disangkal dengan dua keping lagi dipercayai berada di tangan pengumpul persendirian,” katanya. – Agensi SUMBER-KOSMO ONLINE
Bilangan masjid di Indonesia hampir cecah 1 juta
DUNIA RAGAM GLOBAL TERKINI
Gambar fail 1 Mei tahun lalu menunjukkan enduduk tempatan meninggalkan masjid besar Baiturrahman di Banda Aceh selepas menunaikan solat Jumaat di minggu kedua bulan Ramadan. - AFP
Bilangan masjid di Indonesia hampir cecah 1 juta
Oleh KOSMO!
29 Mac 2021, 12:00 pm
JAKARTA – Republik Indonesia yang mempunyai penduduk beragama Islam paling ramai di dunia atau bersamaan 80 peratus rakyatnya menyaksikan hampir sejuta masjid telah dibina di negara itu, lapor akhbar Arab News kelmarin.
Sejak tujuh tahun lalu, seorang pegawai Kementerian Agama Indonesia (MRA), Fakhry Affan diberi tanggungjawab mengendalikan Sistem Maklumat Masjid (SIMAS) iaitu pangkalan data digital untuk mengira jumlah masjid telah dibina di negara berkenaan.
“Ia satu pekerjaan yang tiada penghujung kerana masjid dan musala baharu dibina hampir setiap masa di Indonesia,” kata Fakhry kepada Arab News.
Meskipun begitu, sistem SIMAS diwujudkan bagi mendapatkan sekurang-kurangnya anggaran terbaik berkenaan bilangan kewujudan masjid di Indonesia yang mempunyai 270 juta orang Islam.
Menurut Affan, tugasannya jauh lebih rumit sebelum penubuhan SIMAS pada 2013 apabila agensi keagamaan di kesemua wilayah atau daerah Indonesia mengeluarkan anggaran berbeza tanpa memberikan rujukan rasmi.
Data manual kementerian itu sendiri menyenaraikan lebih 741,000 masjid berdasarkan maklumat yang diterima daripada wakil-wakil yang dipertanggungjawabkan.
“Cabaran terbesar pekerjaan petugas-petugas MRA adalah perbezaan ketara bilangan masjid dan musala yang ada jadi pada 2013, kami mula mendigitalkan maklumat yang ada bagi mengesahkan data manual sedia ada,” jelas Fakhry.
Seramai 5,000 pegawai MRA telah ditugaskan membantu Fakhry dalam projek ini bermula dari peringkat bandar hingga ke peringkat kecamatan di seluruh Indonesia.
Tugas utama mereka adalah mendaftar dan mendigitalkan data masjid atau musala yang ada tanpa mengira saiz ukurannya selagi ia dijadikan tempat menunaikan solat.
Setiap tempat yang didaftarkan dari Masjid Istiqlal iaitu masjid negara di ibu kota Jakarta hingga ke ruang solat di dalam restoran, mendapat nombor pengenalannya sendiri dengan penerangan ringkas mengenai tempat dan cara menuju ke sana.
Ketika Arab News menemu ramah Affan minggu lalu, pasukannya berjaya mengumpulkan maklumat mengenai 599,486 masjid dan musala.
“Dalam masa 10 minit, jumlahnya boleh berubah. Ia sentiasa dikemas kini oleh rakan sekerja saya di seluruh negara, “katanya.
Sehingga kelmarin, jumlah itu telah meningkat menjadi 600,581 iaitu hampir 80 peratus dari jumlah manual yang diberikan kepada MRA dan menghampiri sasaran 90 peratus yang mahu dicapai oleh MRA menjelang akhir tahun ini.
Selain menempatkan pegawai MRA di setiap wilayah, daerah dan kecamtan, pasukan ini turut menggunakan dorn bagi mendapatkan gambar masjid dan sekitarnya dari pelbagai sudut. – Agensi SUMBER-KOSMO ONLINE
Pakar sejarah sangkal insiden Terusan Suez disebabkan sumpahan Firaun
DUNIA RAGAM GLOBAL TERKINI
Insidenyang berlaku di Mesir sejak seminggu lalu dikatakan akibat sumpahan kuno Firaun. -Getty Images
Pakar sejarah sangkal insiden Terusan Suez disebabkan sumpahan Firaun
Oleh KOSMO!
1 April 2021, 8:51 am
KAHERAH- Sebilangan pengguna media sosial percaya bahawa insiden sebuah kapal kontena tersadai selama seminggu di Terusan Suez, Mesir pada minggu lalu berpunca daripada sumpahan Firaun, lapor Daily Star kelmarin.
Andaian tersebut dibuat susulan beberapa insiden pelik yang berlaku di Mesir sejak beberapa minggu yang lalu termasuk peristiwa kapal MV Ever Given tersadai sehingga mencetuskan panik dalam kalangan komuniti perniagaan global dan kemalangan kereta api yang mengorbankan 30 nyawa.
Orang ramai tampil dengan teori siri insiden malang tersebut disebabkan sumpahan Firaun, namun dakwaan itu disangkal oleh pakar sejarah Mesir, Zahi Hawass.
Pada 3 April ini, acara dikenali sebagai Perarakan Emas Firaun akan menyaksikan 22 mumia termasuk Raja Ramses II, Raja Seknen Ra dan Raja Tuthmosis III, Permaisuri Hatshepsut dan Permaisuri Merit Amun akan dibawa dari Muzium Mesir di Tahrir menuju Muzium Nasional Tamadun Mesir.
Orang ramai percaya acara 40 minit itu telah membangunkan semula sumpahan kuno tersebut.
Seorang pengguna Facebook di Mesir menulis satu kenyataan amaran berbunyi ‘Kematian akan datang dengan cepat kepada mereka yang mengganggu ketenteraman Firaun.’
Warga Mesir juga berkongsi amaran bencana kononnya akan berlaku, ada antaranya berbentuk gurauan tetapi ada juga yang serius.
Satu amaran tersebut bermaksud ‘Final Destination 2021 : Sumpahan Firaun’ dan satu lagi menyatakan ‘Tiga kejadian besar dalam tempoh seminggu. Sumpahan Firaun atau Mumia berlaku kepada sesiapa yang mengganggu Firaun’.
Hawass bagaimanapun menolak dakwaan wujud ‘sumpahan Firaun’.
Seorang personaliti Mesir juga menafikan khabar angin tentang sumpahan kuno itu dan mendakwa bahawa Firaun telah memberitahunya secara peribadi bahawa mereka tidak marah dengan perarakan yang dijadualkan berlangsung lusa itu. -Agensi
SUMBER-KOSMO ONLINE
Saintis percaya ada planet asing dalam Bumi
DUNIA RAGAM GLOBAL TERKINI
SERPIHAN planet asing, Theia dipercayai terkubur di pusat Bumi selepas ia berlanggar dengan planet kita 4.5 bilion tahun lalu. - GETTY IMAGE
Saintis percaya ada planet asing dalam Bumi
Oleh KOSMO!
1 April 2021, 11:00 am
LOS ANGELES, California – Saintis-saintis di Amerika Syarikat percaya serpihan planet asing dinamakan Theia terkubur di dalam perut Bumi selepas dua planet tersebut berlanggar 4.5 bilion tahun lalu, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Sebilangan saintis berpendapat impak sama di angkasa lepas telah membentuk Bulan. Bagaimanapun, mereka kini mengkaji serpihan akibat pelanggaran itu yang dipercayai tertanam di dalam kerak Bumi.
Pakar geologi Universiti Negeri Arizona, Qian Yuan berpendapat, tompok-tompok padat di dalam perut Bumi yang dianggap misteri merupakan serpihan Planet Theia yang masih terpasak kukuh di dalam bumi.
“Mantel planet Theia mungkin beberapa peratus lebih padat daripada mantel Bumi.
“Keadaan itu mengakibatkan ia tenggelam ke lapisan paling bawah Bumi dan terkumpul di dalam timbunan termokimia,” katanya pada Persidangan Sains Planet dan Bulan yang diadakan secara maya baru-baru ini.
Mantel merujuk kepada lapisan di antara kerak dan teras luaran Bumi
Timbunan termokimia itu boleh menyebabkan seismik iaitu aktiviti batuan bawah tanah yang menyebabkan kejadian seperti gempa dan letusan gunung berapi di kawasan tompokan tersebut.
Saintis-saintis juga mengenal pasti kawasan spesifik di dalam di mana serpihan Theia tersimpan.
Teori pertembungan Planet Theia dan Bumi dikenali sebagai hipotesis impak gergasi.
Menurutnya, Theia telah berlanggar dengan Bumi sekitar 4.5 bilion tahun lalu dan sebilangan saintis berpegang kepada teori tersebut kerana ia dapat menjelaskan kewujudan Bulan dan mengapa teras planet kita lebih besar berbanding saiz Bumi sendiri.
Saintis turut percaya material Theia yang padat dapat bertahan selama berbilion -bilion tahun. – Agensi SUMBERKOSMO ONLINE