Ahad, 6 Disember 2020

Mesin kod rahsia Nazi ditemui di dasar Laut Baltik

Disember 6, 2020 @ 8:28pm



Gambar diedarkan World Wildlife Fund (WWF) menunjukkan mesin Enigma yang ditemukan di dasar Laut Baltik di timur laut Jerman. - Foto AFP/WWF/SUBMARIS/Florian Huber

BERLIN: Sekumpulan penyelam Jerman menemukan mesin pemecah kod rahsia Enigma milik Nazi di dasar Laut Baltik.

Mesin itu digunakan tentera Nazi untuk menghantar mesej berkod ketika Perang Dunia Kedua.

Penemuan unik itu diserahkan kepada muzium untuk dibaik pulih, Jumaat lalu.

Mesen kod legenda itu ditemukan bulan lalu ketika penyelam berkenaan mencari pukat terbiar di Teluk Gelting di timur laut Jerman.SUMBER-BH ONLINE

Khamis, 29 Oktober 2020

UMK temui telaga ada kaitan dengan Hang Tuah

 | | 29 Oktober 2020




Penduduk Kampung Meranti Abd Hadi Omar, 67, (kiri) bersama Ahmad Syakir Mohd Massuruddin menunjukkan telaga dipercayai dibina oleh Hang Tuah ketika ditemui Bernama baru-baru ini.- Foto Bernama

PASIR MAS - Sepasukan penyelidik daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendakwa menemui sebuah telaga di Kampung Meranti di sini, yang didakwa telah wujud pada abad ke-15 dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kedatangan Laksamana Hang Tuah.
Pengarah Kreatif Technopark yang juga Pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK Mohd Aswawi Isa berkata, kewujudan telaga sedalam lebih 8 meter itu dipercayai dibina oleh Hang Tuah pada lebih 500 tahun lampau ketika dalam pelayarannya ke Siam pada ketika itu.
“Penduduk mendakwa telaga berkenaan yang dinamakan mereka sebagai Telaga Pancur itu dipercayai telah wujud lebih awal daripada pembukaan kampung itu sekitar pada tahun 1850 dan pernah tertimbus akibat banjir dan ditemui semula pada dua tahun lepas.
“Sebelah telaga ini pada zaman ketika itu terdapat sebatang sungai yang digunakan pedagang untuk mendapatkan air bersih dan sungai tersebut boleh sampai ke Patani ketika itu,” katanya kepada TV3 dan Bernama di sini hari ini.
Mohd Aswawi berkata, menurut hikayat, Hang Tuah yang telah diutuskan Sultan Melaka untuk ke Siam untuk membeli enam ekor gajah daripada Raja Siam Phra Chau, dipercayai telah singgah ke kampung itu untuk berehat.
“Ketika itulah Hang Tuah telah mengarahkan pengikutnya untuk sama-sama membina telaga selepas melihat kebersihan air mata air dan kemudiannya telah meneruskan pelayaran ke Siam,” katanya.
Beliau berkata, sampai ke Krisek, Patani, pahlawan itu telah berehat di sana dan kemudiannya telah membina perigi yang terkenal oleh penduduk di situ dengan nama perigi Hang Tuah.
Katanya, pihaknya akan meneruskan lagi kajian mendalam mengenai telaga berkenaan yang dilaporkan tidak pernah kering, walaupun pada musim kemarau yang menyamai dengan Perigi Hang Tuah di Melaka.
Sepasukan penyelidik daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendakwa menemui sebuah telaga di Kampung Meranti di sini, yang didakwa telah wujud pada abad ke-15 dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kedatangan Laksamana Hang Tuah. - Foto Bernama
“Kita perlu mendapatkan lagi maklumat-maklumat yang tepat untuk kita jadikan satu lagi bahan sejarah terpenting negara, untuk melengkapkan sejarah Laksamana Hang Tuah ini,” katanya.
Bagi Pensyarah Fakulti Bio Kejuruteraan dan Teknologi UMK Wan Mohd Faizal Wan Ishak berkata, melalui kajian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia atau SIRIM Berhad, mendapati air daripada telaga itu adalah bersih.
"Air ini amat bersih dan boleh diminum, kerana kaitan punca airnya di bawahnya melalui lapisan batu,” katanya.
Bagi penjaga telaga itu Mohd Mansor Daud berkata, air daripada telaga itu yang dahulunya boleh diguna oleh seluruh penduduk kampung, kini hanya digunakan oleh penduduk sekitarnya termasuk sebuah maahad tahfiz.
“Memang bersejarah telaga ini dan kami juga telah mendapat pengesahan Sirim mengenai kebersihan telaga ini,” katanya.
Beliau berkata, demi keselamatan penduduk dan juga mengelak telaga itu daripada tertimbus lagi akibat banjir, telaga itu telah dibina dengan kedudukan yang lebih tinggi dan ditutup kawasan sekeliling dengan binaan zink dan air kini dijanakan dengan menggunakan pam elektrik.
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/107575/EDISI/Kelantan/UMK-temui-telaga-ada-kaitan-dengan-Hang-Tuah© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Jumaat, 23 Oktober 2020

Luqman lakar sejarah di Belgium

Oktober 24, 2020 @ 6:47am



Luqman Hakim dimasukkan pada minit ke-73 perlawanan antara KV Kortrijk dan RSC Anderlecht. - Foto ihsan Facebook KV Kortrijk

KUALA LUMPUR: Luqman Hakim Shamsudin melakar sejarah sebagai pemain Malaysia pertama beraksi di liga utama Eropah apabila dimasukkan pada minit ke-73 perlawanan antara KV Kortrijk dan RSC Anderlecht awal pagi tadi.

Walaupun pasukannya, KV Kortrijk tewas 3-1 pada perlawanan itu, penampilan Luqman dalam liga utama Belgium itu sudah cukup membanggakan.

Malah kemasukannya pada minit ke-73 selepas ketinggalan 3-0 membawa kepada gol tunggal KV Kortrijk yang dijaringkan Llombe Mboyo menerusi sepakan penalti pada minit ke-87.

Penyerang 18 tahun negara itu diikat lima tahun oleh kelab Belgium milik usahawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan pada Ogos lalu.

Dia diberi kepercayaan untuk menyarung jersi skuad senior dalam perlawanan di liga divisyen satu Belgium itu semalam selepas menyerlah bersama skuad muda KV Kortrijk. SUKAN BH ONLINE

Isnin, 19 Oktober 2020

1972-PIALA MALAYSIA 1972

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

SIRI SEJARAH PIALA MALAYSIA



Ketika perlawanan akhir Piala Malaysia pada 9 April 1972, saya baru Darjah 2. Tetapi dah baca kisah Piala Malaysia dalam Utusan Malaysia yang abang noh kirim supaya beli semasa balik dari sekolah. Pada tyahun 1972 Mokhtar Dahari muncul buat kali pertama mewakili Selangor dalam Perlawanan Akhir Piala Malaysia. Mokhtar yang bermain sebagai sayap kiri Selangor berjaya menjaringkan gol pertama Selangor pada minit ke-29.

FAKTA PERLAWANAN AKHIR

Selangor 3-0 Perak

m-29 Mokhtar Dahari

m-57 Mohd Shah Norbit

m-78 Rahim Abdullah

PEMAIN SELANGOR

LEE FUNG KEE, BAHWANDI HAIRALAL, M.CHANDRAN, SOH CHIN AUN, SANTOKH SINGH, CHOW KWAI LAM, RAHIM ABDULLAH, YAP ENG KOK, MOKHTAR DAHARI, MOHSEIN ALIAS, MOHD SHAH NORBIT.


PEMAIN PERAK

WONG HEE KOK, TAN KOK LEONG, CHOW TUCK CHUAN, KHOO LUAN KHEN, V. KRISNASAMY, R. GURURATNAM, ONG TEE KIAT, (R. VISVANATHAN), RADA GOPAL, SYED AHMAD, CHAN SZE ONN.

Jumaat, 16 Oktober 2020

1973- P.RAMLEE MENINGGAL DUNIA

 OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

Ketika Juru hebah Radio mengumumkan P.Ramlee meninggal dunia saya baru Darjah 3. Ketika itu saya bermain kertok di rumah Tok Wan Deraman di Kampung Gong Chapa. Sedih juga kerana sejak Darjah 1 hingga sekarang yang meminati filem-filem P.Ramlee terutama Pendekar Bujang Lapok dan Anak Bapak. Sehingga tahun 2020 un saya masih menonton Filem Tiga Abdul, Masam-Masam Manis, Bujang Lappok dan banyak lagi.

P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa, 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun akibat sakit jantung semasa hampir tiba di Hospital Kuala Lumpur dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, beliau telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 6 Jun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. Selain itu rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak telah diubahsuai dan dijadikan sebagai Pustaka Peringatan P Ramlee pada tahun 1986. Manakala di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur namanya turut diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan P. Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982. Di Kuching juga ada sebatang jalan yg dinamakan Jalan P. Ramlee. Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran "doktor". Beliau juga diberi penghormatan oleh Pemerintah Negeri Sarawak dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak atau Datuk Amar Bintang Kenyalang (Posthumous) (DA (P)) pada 2009. Anugerah tersebut telah disampaikan kepada anak angkat beliau iaitu Dian P. Ramlee.

Rabu, 14 Oktober 2020

Asal Usul Kuala Kubu Bharu, Selangor

By Freddie Aziz Jasbindar -2 April 2019



ShareFacebookTwitterTelegram

Sejak awal abad ke 18 lagi Kuala Kubu asalnya dikenali dengan nama Hulu Selangor dan telah menjadi satu kawasan yang amat penting untuk aktiviti perlombongan bijih timah.

Orang-orang melayu tempatan disana mula memikirkan satu cara yang paling mudah untuk mendapatkan bijih timah lantas mereka telah memutuskan untuk membina sebuah empangan untuk merentasi Sungai Kubu pada sekitar tahun 1780.

Bayangkan pada waktu itu tanpa bantuan teknologi moden seperti hari ini, orang-orang melayu dengan bantuan orang asli berjaya membina empangan kukuh yang sepanjang 1.6 kilometer dan mempunyai lebar 90 meter dengan hanya menggunakan kayu dan tanah.

Apabila empangan mula penuh, air yang melimpah telah disalurkan untuk menjadi air terjun yang deras arusnya. Maka tanah-tanah yang mengandungi bijih akan tercampak ke dalam arus deras ini.

Konsepnya adalah lumpur dan tanah akan hanyut dibawa arus deras manakala ketul-ketul bijih timah yang berat akan mendap ke dasar sungai untuk digali kemudian hari.

Perang saudara di Selangor juga turut menyaksikan kawasan Kuala Kubu menjadi kawasan pertahanan dan kubu kuat buat Sayyid Masyhor yang merupakan sekutu kepada Raja Mahadi.

Sayyid Masyhor dikatakan telah berjaya mengumpulkan seramai 2,500 orang angkatan perang dan pasukan Tengku Kudin telah cuba menyerang kubu-kubu Sayyid Masyhor tetapi gagal.

Ada teori yang menyatakan bahawa dari kubu-kubu yang dibina oleh Sayyid Masyhor inilah Kuala Kubu mendapat namanya. Sayyid Masyhor hanya dapat dikalahkan oleh pasukan perang dari Pahang yang diminta oleh Tengku Kudin untuk menyerang Kuala Kubu.

Akhirnya Sayyid Masyhor berundur dan mendapat perlindungan di Istana Perak. Maka selepas kekalahan Sayyid masyhor yang berlaku sekitar awal dalam tahun 1870, Kuala Kubu atau Hulu Selangor telah menjadi jajahan bawah pentadbiran Pahang.

Tengku Kudin telah menyerahkan daerah ini kepada Bendahara Wan Ahmad sebagai balasan pertolongan pasukan perang Pahang dan untuk membayar perbelanjaan perang yang telah dikeluarkan dahulu oleh Pahang.

Beberapa tahun selepas Inggeris menjadi penjajah selangor, Kuala Kubu mendapat perhatian mereka kerana kekayaan hasilnya. Sebab itulah mereka menghantar Cecil Ranking sebagai pemungut hasil dan majistret daerah Hulu Selangor.

Cecil Ranking melihat bahawa terdapat potensi besar yang ada di Kuala Kubu dan tanpa berlengah lagi, beliau telah mengesyorkan pihak Inggeris supaya membina bandar baru yang lebih tersusun di Kuala Kubu untuk memaksimakan potensi ekonominya.

Sebelum sempat melihat Kuala Kubu jadi bandar, empangan yang sudah berusia lebih 100 tahun itu pecah melimpah dan Cecil Ranking telah mati lemas dalam bencana banjir besar yang melanda.

Tragedi ampang pecah itu tidak melemahan semangat Inggeris untuk membangunkan bandar Kuala Kubu. Mereka telah menjadikan Kuala Kubu sebagai pusat pentadbiran Hulu Selangor lengkap dengan pejabat daerah, hospital dan rumah-rumah pegawai.

Kuala Kubu pernah menjadi pintu masuk utama untuk ke negeri Pahang apabila jalan bridle path ke Raub telah siap diperbaiki. Sewaktu terjadinya pemberontakan pahang, Kuala Kubu menjadi pintu utama untk menghantar bekalan kepada pasukan Inggeris bagi menundukkan pemberontak.

Dalam tahun 1896, satu kawasan peranginan untuk pegawai-pegawai serta saudagar telah dibina di atas Bukit Kutu berhampiran dengan bandar Kuala Kubu.

Aktiviti perlombongan bijih timah yang sangat giat dijalankan di Hulu Sungai Selangor akhirnya telah membawa padah yang besar bagi bandar Kuala Kubu.

Kesan sampingan yang terpaksa dihadapi adalah hakisan tanah yang teruk telah berlaku dan telah mengakibatkan pasir dan lumpur telah turun hanyut meliputi bandar Kuala Kubu setiap kali banjir besar berlaku.

Dalam tahun 1900 sehingga 1931, telah berlaku siri banjir-banjir besar yang bukan sahaja mengakibat kerugian harta benda, tapi menimbuskan sebahagian bandar Kuala Kubu dengar timbunan lumpur dan pasir.

Oleh yang demikian, Kuala Kubu tidak lagi selamat untuk diduduki bagi aktiviti ekonomi dan dalamtahun 1921, Pihak Berkuasa Tempatan kerajaan Inggeris telah mengistiharkan bahawa mereka tidak lagi dapat menjamin keselamatan penduduk Kuala Kubu lalu menggesa mereka berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Masalah banjir ini menjadi begitu kronik sehingga pada tahun 1921 dan pusat pentadbiran Kuala Kubu dipindahkan ke Rasa. Dalam pada masa yang sama, pihak Inggeris telah merancang kawasan baru yang lebih tinggi dan selamat dari banjir bagi membangunkan bandar Kuala Kubu yang baru.

Mereka telah menggunakan khidmat seorang arkitek yang berasal dari New Zealand bernama Charles Compton Reade, untuk mereka pelan bandar yang baru. Banjir besar yang berlaku pada tahun 1926 telah mempercepatkan lagi proses bagi membina bandar baru ini.

Akhirnya bandar ini pada asasnya telah siap dibina dalam tahun 1930 di mana pusat pentadbiran dipindahkan semula dari Rasa ke Kuala Kubu yang baru. Namun masih ada lagi penduduk tempatan di Kuala Kubu yang masih enggan berpindah ke Kuala Kubu Bharu ini kerana mata pencarian dan perniagaan mereka terletak di kawasan lama ini.

Dalam tahun 1931, berlaku satu lagi peristiwa banjir besar di mana akibatnya Kuala Kubu lama terus ditinggalkan oleh penduduknya ditelan pasir dan bumi.

Maka segala sejarahnya yang gilang gemilang sebagai bandar kolonial Inggeris yang makmur di Selangor telah terkubur di dalam tanah sehinggalah pada awal 1980 yang mana berlakunya penempatan dan pembangunan semula kawasan Kuala Kubu Lama dan Ampang Pecah ini.SUMBER-https://www.sejarah.my/asal-usul-kuala-kubu-bharu-selangor/

Sabtu, 10 Oktober 2020

FOTO Gajah purba Gopeng

MyMetroUtama



Redzuan Muharam

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sekumpulan saintis Universiti Malaya (UM) menemui fosil gajah purba Stegodon pertama di dalam negara dengan anggaran kasar usia geologi antara 30,000 hingga 80,000 tahun di dalam sebuah gua batu kapur terletak di Gopeng, Perak.

Fosil itu ditemui hasil penyelidikan diketuai oleh saintis dari Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Dr Ros Fatihah Muhammad bersama Lim Tze Tshen, ahli paleontologi vertebrat dan zooarkeologi dari Persatuan Paleontologi Malaysia.IHSAN UM

Tambahnya, proses pengimejan dilakukan dua pakar gigi dari Fakulti Pergigian UM iaitu Prof Madya Dr Norliza Ibrahim dan Dr Mohd Azmi Abdul Razak mendapati fosil ditemui itu berkemungkinan Stegodon.

"Diharap, kawasan penemuan diwartakan oleh kerajaan negeri supaya dilindungi daripada pencerobohan dan boleh dicadangkan sebagai satu geotapak baru Geopark Lembah Kinta.

"Di samping jenis haiwan yang masih hidup, ada bukti dari lokasi penemuan Stegodon dan tapak paleontologi lain yang menunjukkan tinggalan haiwan yang sudah pupus pernah wujud di Semenanjung Malaysia seperti Orang Utan, badak sumbu Sumatera, badak raya Java, beruang hitam Asia dan satu spesies tikus kuno yang sudah lama pupus dari seluruh dunia.

Menurut Dr Ros Fatihah, penemuan itu hasil maklumat kumpulan peneroka gua, Kinta Valley Watch selain tinjauan serta kajian pasukan penyelidik.

"Kajian setakat ini menunjukkan tinggalan hidupan ini tidak berasosiasi dengan manusia purba.

"Namun amat penting dalam kajian berkaitan sejarah migrasi fauna kuno dan juga perubahan alam sekitar di rantau Asia Tenggara," katanya.

Menurut Dr Ros Fatihah, Stegodon merupakan salah satu genus Proboscidea daripada famili Stegodontidae yang sudah lama pupus.

Katanya, gajah purba itu berbeza dengan spesies moden Asia (Elephas maximus) yang masih wujud di Malaysia dari segi morfologi, ekologi dan taksonomi.

"Tiada penemuan fosil Stegodon di Malaysia sehingga kini. Justeru, perkara ini amat penting dari segi biogeografi dengan implikasi terhadap pembinaan semula sejarah laluan migrasi biota zaman Pleistosen, termasuk manusia.

"Perak mempunyai kepelbagaian spesimen dan spesies Proboscidea yang paling tinggi di Malaysia, iaitu sekurang-kurangnya dua atau tiga jenis Proboscidea yang berlainan pernah hidup di Semenanjung Malaysia seperti Stegodon sp, Elephas maximus dan berkemungkinan juga Palaeoloxodon namadicus.

"Fosil dikenal pasti sebagai Stegodon oleh Lim Tze Tshen dan juga hasil dari perkongsian pakar dari seluruh dunia iaitu antaranya 5th Earl of Cranbrook, Datuk Seri Gathorne Gathorne-Hardy dari Natural History Museum (London), Dr John de Vos dari Naturalis Biodiversity Center (Leiden), Dr Gert van den Bergh dari Universitin Wollongong, Australia, dan Dr Gerrell Drawhorn dari Universiti California (Sacramento), Amerika Syarikat," katanya.

FOSIL Stegodon yang ditemui saintis UM di dalam sebuah gua batu kapur di Gopeng. FOTO IHSAN UM

"Dengan kesedaran awam tentang pentingnya memelihara bukit batu kapur daripada ancaman pengkuarian dan penemuan fosil ini sebab kukuh untuk pemeliharaan berterusan," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UM, Datuk Abdul Rahim Hashim merakamkan ucapan tahniah kepada penyelidik yang menemui fosil itu dan berterima kasih kepada semua pihak terbabit.


PROSES mengeluarkan fosil gigi Stegodon daripada dinding gua. FOTO IHSAN UM

"Penemuan fosil ini satu tonggak sejarah dalam bidang kajian paleontologi kuaterner di Malaysia.

"Setakat ini, hanya ada dua sarjana kedoktoran dianugerahkan dalam bidang ini iaitu yang pertama berkenaan fosil dan paleo-ekologi mamalia besar manakala satu lagi berkenaan fosil dan paleo-ekologi tikus.

"Selain itu, beberapa penerbitan dihasilkan mengenai penemuan tapak fosil mamalia baru yang berpotensi tinggi di Semenanjung Malaysia dan penentuan umur geologi tapak lama dengan menggunakan kaedah yang terkini.

"Syabas dan tahniah saya ucap kepada Dr. Ros Fatihah dan pasukan beliau yang berjaya membuka lembaran baru bidang kajian ini.

"Setinggi-tinggi penghargaan juga diucap kepada Pejabat Menteri Besar Negeri Perak, Jabatan Mineral dan Geosains Perak dan Perbadanan Taman Negeri Perak kerana memberikan kerjasama bagi menjalankan kajian lanjutan di tapak penyelidikan," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 6:40 AM


Ahad, 4 Oktober 2020

Ikan RM17,039

MyMetroUtama



Agensi

New Delhi: Tuah buat seorang wanita di India yang menjadi 'kaya' sekelip mata selepas menangkap ikan gergasi seberat 52 kilogram.

Gulf News melaporkan hasil tangkapan itu dijual di pasar berdekatan dengan harga 6,200 rupee (RM352) sekilogram.

Pushpa Kar, penduduk di kampung Chakphuldubi, Pulau Sagar di barat Bengal menangkap ikan gergasi dari sebuah sungai di perkampungan itu sebelum meraih 300,000 rupee (RM17,039) menerusi hasil jualan itu.

Penduduk tempatan mendakwa, penemuan ikan gergasi itu belum pernah berlaku sebelum ini.

Bercakap kepada media tempatan, Kar menyifatkan ikan itu umpama rezeki terpijak buatnya seumur hidup.

"Saya dapat lebih daripada 300,000 rupee selepas menjual ikan itu di pasar borong.

"Saya tidak pernah nampak ikan sebesar itu seumur hidup saya. Di sini, Silver Croaker dipanggil ikan Bhola," katanya.

Difahamkan, wanita itu ternampak ikan berkenaan terapung sebelum terjun ke sungai dan sedaya upaya membawanya ke tebing.

Penduduk tempatan membantu wanita itu membawa ikan itu ke pasar.

"Ikan itu kemungkinan terbunuh kerana berlanggar dengan kapal," kata seorang penduduk kampung.

Sementara itu, peniaga tempatan mendakwa nilai ikan itu kemungkinan lebih mahal jika ia tidak mati dan membusuk.

Lemak ikan itu dijual dengan harga tinggi dan dieksport ke negara di Asia Tenggara, malah maw ikan (perut ikan) boleh mencecah sehingga 80,000 rupee (RM4,544) sekilogram atau lebih mahal lagi.

Seorang pengguna Twitter, Pooja Mehta membuat ciapan tentang penemuan ikan yang menjadikan wanita itu kaya dalam semalaman hingga perkongsian itu menjadi tular dan jadi bualan ramai.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 6:30 AM

Isnin, 28 September 2020

Hajiji Ketua Menteri Sabah ke-16

MyMetroUtama



Yun Mikail

Kota Kinabalu: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor sah bergelar Ketua Menteri Sabah baharu selepas mengangkat sumpah, 10.32 pagi, hari ini.

Beliau mengangkat sumpah jawatan berkenaan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Turut mengangkat sumpah Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Manakala, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffry Kitingan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Dua serta jawatan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Tiga dipegang Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam selain dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun dipilih memegang jawatan Menteri Kerja Raya Sabah dalam Kabinet negeri manakala Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.

Terdahulu, rombongan membawa Hajiji tiba di pintu utama Istana Negeri pada 10 pagi.

Hajiji mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semalam sebulat suara menamakannya sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 11:27 AM

Ahad, 27 September 2020

Unit 1.1 Masyarakat Feudal

 Oleh- AHMAD BIN YAAKOB

Masyarakat Feudal
Kemunculan masyarakat feudal di Eropah dapat dikesan sejak zaman pertengahan awal.
Menjelang akhir abad ke-19, masyarakat feudal muncul di bahagian lain di benua Eropah
Kemunculan masyarakat feudal di England bermula semasa pemerintahan William Si Penakluk (1028-1087).Baginda meletakkan asas bagi kelahiran feudalisme yang lebih teratur dan sistematik di negara tersebut. Menjelang abad ke-16 dan 17, berlaku perubahan dalam peranan dan kedudukan masyarakat feudal di England. Prubahan ini berlaku ekoran daripada perkembangan pesat dalam bidang ekonomi dan kemunculan negara bangsa.Perkembangan masyarakat feudal di Jepun dapat dikesan sejak zaman Kamakura hingga zaman Sengoku Jidai. Feudalisme di Jepun mencapai kematangan pada zaman Shogun Tokugawa  (1603-1867). Masyarakat feudal di England dan Jepun pada abad ke-16 mempunyai ciri-ciri yang tersendiri.[1]
Konsep / definisi Masyarakat Feudal
Pengertian masyarakat feudal.
Istilah masyarakat feudal digunakan oleh sejarahwan untuk menerangkan susunan sosial masyarakat pada Zaman Pertengahan di Eropah.  Selain benua Eropah, masyarakat feudal muncul di Jepun sekitar abad ke-14 dan 15. Menurut Marc Bloch dalam buku beliau yang bertajuk Feudal Society, masyarakat feudal merupakan masyarakat berhierarki yang mempunyai struktur susun lapis tersendiri. Kedudukan, kuasa dan status setiap lapisan ditentukan meleluai penguasaan tanah.[2]

      Dalam masyarakat feudal wujud hubungan peribadi antara lor (pemilik tana) dan vassal (pemegang tanah) berasaskan ikatan perjanjian  (kontrak). Berdasarkan perjanjian tersebut, lord dan vassal saling bertanggungjawab terhadap kepentingan bersama. Dalam konteks ini ,satu pihak memberi perlindungan manakala satu pihak lagi menawarkan perkhidmatan  tentera.

.Secara umum tetdapat dua maksud feudalisme yang merangkumi ciri persamaan dan perbezaan.Takrifan pertama feudalisme ialah satu bentuk organisasi politik dan sosial yang mempunyai kelas atau susunan tertentu iaitu mengikut Susun lapis hierarki.Takrifan kedua Membawa maksud satu sistem hubungan timbal-balas yang berdasarkan ketaatsetiaan antara dua kumpulan manusia bebas.[3]

Sistem feudal pula ditakrifkan sebagai sebuah kerajaan politik tempatan yang ditadbir oleh individu-indivudu tertentu dan bukan wakil dari kerajaan pusat.  Dalam sistem feudal, kedudukan seseorang individu adalah mengikut sistem kelas  dan bersusun lapis mengikut hierarki.[4]




[1]SivachandralingamSundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Dunia (1500-1955) Penggal 1,Edisi Kemaskini, (Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd,2013),1
[2]SivachandralingamSundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Dunia (1500-1955) Penggal 1,Edisi Ketiga,2.
[3]“Masyarakat Feudal”, dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),1.
[4]Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Ajurun Begum Ahamed, Pra-U gereja terdiri daripada golongan yang mementingkan material dan mempunyai dua tanggungjawab iaitu agama dan dunia (tanah).Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,(Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.2014),2.

Jumaat, 25 September 2020

Wan Chik Daud meninggal dunia

MyMetroUtama



Ridzuan Abdul Rahman

mohamadridzuan@hmetro.com.my

PEMBACA berita popular RTM dan pelakon Wan Chik Daud, 80, meninggal dunia di kediamannya tengah hari, hari ini.

Berita itu dimaklumkan anak lelakinya dikenali sebagai Shaizar atau Jat menerusi kiriman mesej aplikasi WhatsApp kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).

Allahyarham Wan Chik menghidap kanser payu dara tahap empat, kencing manis, darah tinggi dan lumpuh membuatkannya hanya mampu terbaring di rumah.

Allahyarham mengalami serangan angin ahmar ringan dua tahun selepas pemergian suaminya yang juga pelakon, Allahyarham M Rajoli pada 2010.

Penderitaan Wan Chik mendapat perhatian beberapa pihak antaranya YKAT dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang melakukan kunjungan ke rumahnya awal tahun ini.

Allahyarham mempunyai empat anak yang mana dua daripadanya menetap di Amerika Syarikat dan Singapura.

Dua lagi anaknya menetap di Kuala Lumpur.

Wan Chik pernah berlakon dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi filem Do Re Mi ketika zaman kegemilangan Studio Merdeka di Kuala Lumpur.

Selepas itu, dia meneruskan kerjaya bersama RTM sehingga bersara.

Jenazahnya kini berada rumahnya di Lembah Keramat, Kuala Lumpur.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 12:56 PM

Khamis, 24 September 2020

Masjid lama Kampung Belimbing Dalam tertua di Malaysia?



KEADAAN masjid lama di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini yang mungkin menjadi tertua di Malaysia selepas wujud beberapa bukti kemungkinan dibina pada zaman Kesultanan Melayu Melaka abad ke-15. UTUSAN/ RIZANIZAM ABDUL HAMID

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

24 September 2020, 4:35 pm

ALOR GAJAH: Sebuah masjid lama yang sudah runtuh dan terbiar usang di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini mungkin menjadi tertua di Malaysia selepas wujud beberapa bukti kemungkinan ia dibina pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 atau tahun 1500.

Itu kesimpulan awal dibuat dua pakar sejarah tamadun Islam dan arkeologi, Pemangku Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli dan Pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam, Hasanuddin Yusof.

Sekiranya penemuan beberapa bukti awal itu dapat disahkan dengan fakta, menurut mereka masjid lama yang sudah runtuh dan terbiar di belakang Masjid Imam Muslim, Kampung Belimbing Dalam itu boleh diiktiraf sebagai masjid tertua di Malaysia.

Setakat ini, Masjid Kampung Laut yang terletak di Kampung Nilam Puri, Kelantan diiktiraf sebagai masjid tertua di Malaysia yang dibina pada abad ke-18.

Menurut Dr. Zuliskandar, terdapat beberapa bukti penemuan awal yang memungkinkan masjid lama di Kampung Belimbing Dalam itu dibina pada abad ke-15 atau 16 Masihi.

Kebanyakan bahan binaan yang masih ada di masjid ini saya boleh pastikan paling lewat pun ia sudah wujud pada akhir abad ke-17 (tahun 1601 hingga 1700).

Tapi petunjuk awal mengaitkan ia mungkin dibina lebih awal pada abad Ke-15 atau 16 itu ada, sebab dari segi asas binaan itu ia menggunakan blok batu laterit yang besar yang mana kita tahu penggunaannya berlaku sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan pada tapak masjid lama itu di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau sebagai ahli akademik, dapatan atau petunjuk awal itu perlu dibuktikan dengan kajian dan data imperikal untuk menyokong andaian berkenaan.

Untuk itu, kita perlu buat kajian arkeologi yang mana bahan-bahan kayu masjid ini perlu di hantar ke Amerika Syarikat untuk dibuat kajian pentarikhan kronometrik.

Pihak berkuasa juga perlu membuat kajian dilapidasi ataupun konservasi supaya masjid ini dapat dipulihara

kerana ianya amat signifikan terhadap perkembangan Islam di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Hasanuddin yang berpengalaman luas mengenai sejarah ratusan masjid di alam Melayu dari selatan Thailand hingga ke Indonesia berkata, terdapat banyak persamaan binaan masjid lama berkenaan dengan beberapa masjid di Jawa, Indonesia yang dibina pada abad ke-15.

Antara ciri-ciri yang ada pada masjid binaan abad ke-15 adalah penggunaan bata yang nipis, batu laterit yang digunakan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan penggunaan kaedah tanggam pada kayu dan bingkai kerana tidak menggunakan paku.

Berdasarkan bukti itu, masjid ini selewat-lewatnya dibina pada tahun 1700 malah ada kemungkinan lebih awal jika Portugis tidak menguasai tempat ini,” katanya.SUMBER-UTUSAN

Selasa, 22 September 2020

Perigi ratusan tahun di Kampung Mengabang Kapal?

 MyMetroMutakhir



Zatul Iffah Zolkiply

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Sebuah perigi lama yang dipercayai berusia ratusan tahun ditemui di kawasan Kampung Mengabang Kapal, di sini.

Perigi yang ditulis bertarikh 1345 dijumpai penduduk kampung ketika membersihkan kawasan berkenaan pada Jumaat lalu.

Difahamkan, ada antara penduduk kampung mengetahui kewujudan perigi itu di kawasan berkenaan namun tidak ada yang berani menghampiri kawasan berkenaan yang ketika itu semak samun selain didakwa 'keras'.

Penduduk, Dilah Ambak, 60, berkata, telaga itu dahulu dikatakan sering menjadi tempat persinggahan pedagang yang singgah ke negeri itu.

"Mengikut cerita orang lama, kawasan ini menjadi tempat orang singgah untuk sembahyang dan mandi kerana terdapat surau di kawasan ini.

"Perigi ini sudah lama tetapi kawasan ini dipenuhi semak dan Jumaat lalu kita bergotong-royong dan selepas diteliti, nampak tarikh yang tercatat.

"Saya tak pasti berapa usianya tetapi yang pastinya perigi ini sudah wujud lama," katanya.

Bagi Prof Datuk Dr Yahaya Ibrahim yang juga penduduk kampung sama berkata, perigi lama itu mampu menjadi tarikan terbaharu yang berkunjung ke kampung berkenaan.

Dr Yahaya yang juga Timbalan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara berkata, kajian mendalam perlu dilakukan bagi mengetahui kesahihannya.

"Tarikh yang ada di perigi jadi tanda tanya sama ada masihi atau hijrah, jadi kalau hijrah pun hampir seratus tahun, kalau masihi sudah 600 tahun lebih 675 tahun.

"Ia memang satu penemuan yang luar biasa dalam konteks sejarah dan perlu dipelihara pihak yang bertanggungjawab.

"Kita bersihkan tempat ini sebab merancang untuk menjadikannya kawasan rehat dan tak sangka jumpa perigi ini, jika benar ia adalah tinggalan sejarah, ia perlu dipelihara," katanya yang juga pensyarah kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Sementara itu, Ketua Bahagian Sejarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu Azuan Harun berkata, kajian mendalam akan dilakukan bagi memastikan usia sebenar perigi berkenaan.

"Kita tidak boleh buat kesimpulan terlalu cepat dan kajian mendalam perlu dilakukan bukan sahaja membabitkan perigi ini tetapi sejarah kawasan dan penempatan di sini.

"Daripada segi fakta, susah nak jangka usia sebenar perigi ini tetapi daripada segi strukturnya, kemungkinan ada yang ditambah kemudian tetapi binaan asas perigi ini agak unik.

"Jika ditanya bila kita akan tahu usia sebenar perigi ini, ia memerlukan masa yang panjang untuk kita diperhalusi kerana ia membabitkan banyak aspek serta kerjasama pelbagai pihak.

"Sekiranya kajian mendapati usia perigi ini seperti yang didakwa berusia ratusan tahun, kawasan ini akan menjadi salah satu tarikan bagi pelancong," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 2:03 PM

Isnin, 21 September 2020

Pahlawan negara Awang Raweng selamat disemadikan

MyMetroMutakhir



Melvin Joni

am@hmetro.com.my

Kuching: Jasad mendiang pahlawan negara, Datuk Sarjan Awang Raweng selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Taman Budaya di sini.

Pengebumian mendiang dilaksanakan dengan penuh penghormatan menggunakan peraturan pengebumian negeri dan juga protokol ketenteraan.

Upacara bermula dengan tiupan trompet "Last Post" diikuti dengan dua minit berkabung, kemudian disusuli tiupan trompet "Rouse" dan bacaan doa oleh Reverend Canon Roanni Cannindy.

Bendera Malaysia dan bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diletakkan pada keranda mendiang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Kerajaan Sarawak menyerahkan bendera Malaysia kepada anak mendiang, Panggau Awang diikuti penyerahan bendera ATM oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakari Yadi kepada Doris Awang.

Ahli keluarga serta hadirin kenamaan yang lain turut memberikan penghormatan terakhir serta meletakkan bunga pada pusara mendiang.

Beliau selamat disemadikan pada 11.35 pagi.

Terdahulu, jasad mendiang ditempatkan di Dewan Suarah Kuching sejak semalam untuk diberi penghormatan terakhir oleh orang kenamaan dan awam.


JASAD mendiang Awang Raweng dibawa ke Makam Pahlawan selepas ditempatkan di Dewan Suarah untuk diberi penghormatan terakhir. FOTO Melvin Joni

JASAD mendiang Awang Raweng dibawa ke Makam Pahlawan selepas ditempatkan di Dewan Suarah untuk diberi penghormatan terakhir. FOTO Melvin Joni

Awang Raweng meninggal dunia pada usia 104 tahun sekitar jam 2.15 petang Jumaat lalu di kediamannya di Jalan Padri, Sri Aman disebabkan uzur.

Beliau adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang menerima pingat George Cross daripada kerajaan British dan diundang setiap dua tahun ke London untuk menghadiri sambutan hari lahir Ratu Elizabeth II.

Selain pingat George Cross, beliau turut dianugerahkan Panglima Setia Bintang Sarawak oleh Kerajaan Sarawak pada 2018, Pingat Jasa Malaysia 2011 dan terdahulu Queen Elizabeth II Diamond Jubilee Medal 2012, Queen Elizabeth II Golden Jubilee Medal 2002, Queen Elizabeth II Silver Jubilee Medal 1977 dan Queen Elizabeth II Coronation Medal 1953.

Malah, beliau juga anugerahkan Ijazah (Kehormat) Sarjana Pengajian Strategik oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 27 Oktober 2015.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 5:21 PM

Ahad, 20 September 2020

SALASILAH NABI MUHAMMAD SAW

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

Menurut Abu Musad Al-Husny sasilah Nabi Muhammad SAW bermula dengan bapa baginda Abdullah,Abdul Mutalib, Hasyim, Abdul Manaf, Qushai bin Kilab, Kaab, Luai, Ghalib, Fihr,Nazar, Kinanah, Khuzamah, Mudrikah, Ilyas, Mazar, Maad bin Adnan.[1]
___________________________________
[1] Abu Musad Al-Husny, Sejarah Nabi Muhammad S.A.W, (Batu Caves Selangor:Pustaka Ilmi,2014),65.

Jumaat, 18 September 2020

Tapak kaki paling tua di Chile

MyMetroGlobal



Reuters

SANTIAGO: Satu tapak kaki berusia 15,600 tahun ditemui di selatan Chile dan dipercayai yang paling tua dijumpai di Americas.

Tapak kaki itu ditemui seorang pelajar Universidad Austral Chile pada 2010.

Saintis mengambil masa beberapa tahun untuk menolak kemungkinan tapak itu milik haiwan dan mengenal pasti usia fosil terbabit.Ahli paleontologi Universidad Austral, Karen Moreno berkata, penyelidik turut menemui tulang haiwan antaranya gajah primitif berhampiran lokasi penemuan.

Karen berkata tapak kaki itu membuktikan kewujudan manusia di Americas lebih dari 12,000 tahun lalu.

Sedikit demi sedikit, kami mula menemui lokasi yang menunjukkan kewujudan manusia di Amerika Selatan. Namun, tapak kaki ini adalah yang paling tua di Americas,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 1:00 PM

Semenanjung Arab pernah diliputi hutan hijau

MyMetroGlobal



AFP

Washington: Kira-kira 120,000 tahun lalu, sekumpulan manusia berhenti untuk minum air di sebuah tasik cetek di kawasan yang kini dikenali sebagai utara Arab Saudi.

Kumpulan itu dikatakan berhenti seketika di lokasi itu sebelum meneruskan perjalanan jauh ke tempat lain.

Tasik berkenaan juga menjadi sumber air untuk pelbagai haiwan termasuk unta, kerbau dan gajah, namun saiznya berkali ganda daripada yang dilihat pada hari ini.

Malah, kumpulan manusia berkenaan dikatakan turut memburu haiwan berkenaan.

Ia berdasarkan rekonstruksi dilakukan saintis susulan penemuan tapak kaki manusia dan haiwan zaman silam di Gurun Nefud.

Menurut kajian yang diterbitkan menerusi jurnal Science Advances pada Rabu, penemuan tapak kaki berkenaan adalah petunjuk kepada laluan generasi terdahulu sebelum ke Afrika.

Penyelidik mendakwa bahawa Semenanjung Arab pada masa itu adalah dipenuhi dengan hutan hijau.

Situasi pada masa itu dengan variasi iklim cuaca lebih lembap dikatakan amat berbeza dengan Semenanjung Arab pada hari ini yang dipenuhi gurun pasir.

"Ada satu ketika, gurun yang mendominasi Semenanjung Arab adalah kawasan hijau yang luas dengan tasik air tawar dan sungai," kata penulis bersama Richard Clark-Wilson dari Royal Holloway, United Kingdom.

Pengarang bersama jurnal itu, Mathew Stewart dari Institut Max Planck untuk Kimia Ekologi, Jerman memberitahu AFP bahawa tapak kaki ditemui ketika lawatan lapangan bagi kajian Ijazah Doktor Falsafah pada 2017.

Ia dikesan menerusi hakisan pada mendapan di sebuah tasik dikenali dalam Bahasa Arab sebagai 'Alathar' yang bermaksud jejak.

Secara keseluruhan, tujuh daripada 100 kesan tapak kaki dan penyelidik merumuskan bahawa ia milik dua atau tiga orang yang mengembara bersama-sama.

Selain itu, 233 fosil ditemui dan haiwan karnivor dikatakan tertarik dengan kehadiran banyak haiwan herbivor di Alathar, sama seperti yang dilihat di padang rumput di Afrika, pada hari ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 11:36 AM

Khamis, 17 September 2020

Ramly terlibat 50 pertempuran



RAMLY Mohd. Sharif menunjukkan gambar lama semasa dia berkhidmat sebagai askar Melayu ketika ditemui Utusan Malaysia di Titi, Jelebu, baru-baru ini. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

17 September 2020, 8:35 am

JELEBU: “Nyawa dipertaruhkan, setiap kali pertempuran, saya hanya ingat akan mati, semua demi negara.”

Itu luahan bekas anggota askar Melayu, Ramly Mohd. Sharif, 89, ketika mengenang tugasnya mempertahankan negara daripada ancaman komunis sejak tahun 1949.

Menurut Ramly, dia memasuki perkhidmatan askar Melayu pada November 1949 dan berkhidmat selama lapan tahun, namun sepanjang tempoh tersebut, dia terlibat dalam kira-kira 50 pertempuran dengan komunis.

Saya bersyukur sepanjang bertugas bersama askar Melayu, saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Saya anggap ia sebagai satu keajaiban, namun sedih apabila teringat kepada rakan-rakan yang telah terkorban dalam pertempuran.

Saya antara askar Melayu termuda ketika itu kerana memasuki tentera pada usia 16 tahun. Sepanjang lapan tahun itu, saya banyak menghabiskan masa dalam hutan memburu komunis,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Titi, Jele­bu dekat sini baru-baru ini.

Mengimbau kembali, Ramly berkata, selepas memohon menjadi anggota tentera, dia telah menjalani latihan selama lapan bulan di Port Dickson sebelum diserap ke Batalion Ketiga Askar Melayu.

Pada waktu itu, kedengaran suara-suara mengatakan saya masih tidak cukup umur, namun ada pegawai memilih saya kerana melihat saya bersemangat dan matang.

Selepas enam bulan, saya dihantar ke Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan dan berulang-alik menjalani operasi dalam hutan selama beberapa bulan. Pada 1951, saya juga dipilih menjadi salah seorang anggota dalam platun bagi satu operasi di Endau, Mersing, Johor,” katanya.

Tambahnya, selepas lapan tahun berkhidmat sebagai tentera, dia mengambil keputusan berhenti dan menerima tawaran diberikan kerajaan.

Tawaran diberi kerajaan kepada askar ialah sama ada mahu terus berkhidmat atau berhenti berikutan keadaan pada waktu itu agak aman, jadi saya mengambil pilihan berhenti.

Susulan perkhidmatan diberikan, saya dianugerahkan pingat oleh kerajaan British dalam satu majlis di Ipoh pada 1956. Berbekalkan wang tamat perkhidmatan berjumlah RM750, saya pulang ke Kuala ­Klawang dan melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara kehidupan,” katanya.

Ramly berkata, dia berbangga dapat menyumbang khidmat mempertahankan ibu pertiwi negara sekali gus membawa kepada kemerdekaan negara.

Malah, dia juga bersyukur kerana berpeluang menyaksikan pembangunan berterusan yang dicapai Malaysia.

Ketika zaman Jepun, hidup memang sukar, nak makan pun sangat susah, ketika komunis bermaharajalela pula, keadaan memang teruk, rakyat hidup dalam ketakutan.

Saya puas menikmati kehidupan di zaman-zaman berbeza dan kini merasa bangga masih dapat melihat usia kemerdekaan negara yang sudah mencecah 63 tahun,” katanya. SUMBER– UTUSAN

Isnin, 14 September 2020

Pelakon watak 'Pak Andak' dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 meninggal dunia

 HIBURAN»Selebriti

Isnin, 14 September 2020 | 10:57am



Allahyarham Idris yang menghidap kencing manis, meninggalkan seorang balu dan dua anak.

Pelakon watak 'Pak Andak' dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 meninggal dunia

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

bhhip@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pelakon drama rantaian, 7 Hari Mencintaiku 2 yang terkenal dengan watak Pak Andak, Idris Mat Diah, 61, meninggal dunia di kediamannya di Putrajaya, kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

Berita itu disahkan anak bongsunya, Nur Alia Muliyani, 27, kepada BH Online.

Alia memberitahu, ibu, Che Hawa Abu Bakar, 60, mendapati bapanya berada dalam keadaan lemah, kira-kira jam 2 pagi, di ruang menonton televisyen (TV) tingkat bawah rumah.

"Pada jam 12 tengah malam tadi, saya turun ke dapur dan mendapati bapa tertidur di lantai depan TV. Namun, ketika itu, saya tidak menegur bapa dan naik semula ke bilik.

"Pada jam 1.45 pagi, abang pulang ke rumah dan mendapati bapa sudah beralih tempat, duduk di kerusi.

"Lima belas minit kemudian, ibu yang terdengar bunyi TV yang kuat, turun, namun, mendapati arwah dalam keadaan lemah," katanya.

Alia berkata, mereka segera menghubungi ambulans dan bantuan pernafasan segera diberi pasukan kecemasan.

Namun, katanya, bapa tidak dapat diselamatkan dan disahkan sudah meninggal dunia.

"Bapa menghidap kencing manis yang tinggi tetapi keadaannya baik-baik saja.

"Cuma baru-baru ini, bapa kurang selera makan. Kami bagaimanapun tidak mengesyaki apa-apa kerana sejak disahkan menghidap kencing manis, kami sudah biasa melihat pergerakan bapa tidak seaktif dulu.

"Lagipun arwah bapa sudah berusia lebih 60 tahun.

"Pemergiannya cukup mengejutkan kerana selain kencing manis, bapa tidak sakit. Kami tidak sangka bapa akan pergi kerana arwah memang suka menonton TV sehingga jam 2 hingga 3 pagi," katanya.

Allahyarham Idris meninggalkan seorang balu serta dua cahaya mata.

Jenazah dibawa ke Masjid al-Faizin, Kepong untuk dimandi dan dikafankan. Jenazah dijangka dikebumikan sebelum Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Kepong.

Antara drama yang pernah dilakonkan Allahyarham adalah Cucu Tauke Beras, Menantu Bilal, Andainya Takdir dan Zahir Tak Terucap.Selain berlakon, Idris pernah berkhidmat sebagai pustakawan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada era 1980-an.SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE